Tarikh : 28 Julai 2016
Lokasi : Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
Tarikh : 16 Mei 2014
Lokasi : LTA Kota Kinabalu
Sumber foto : Page Darussyifa’ Sabah
Alhamdulillah, tokoh yang dinanti ini akhirnya tiba juga buat sekian kalinya ke Kota Kinabalu. Tuan Guru mempunyai jadual yang padat di Sabah, dalam waktu yang singkat. Saya berkesempatan hadir menyambut beliau dan rombongan di LTA Kota Kinabalu dan mencium tangan beliau yang sudah beberapa tahun tidak bertemu.
Setahun sudah berlalu kemalangan keretapi dan lori minyak di tengah landasan keretapi dekat Shell Kg Peringatan Petagas berhadapan persimpangan keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Ia menjadi satu titik sejarah, meskipun tiada jiwa yang terkorban walau saat itu keretapi sarat dengan penumpang yang keluar dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu.
Itu peristiwa petang 31 Oktober 2011.
Sesudah setahun tragedi, stesen minyak ditutup dan persimpangan keluar kereta dari LTAKK menuju ke arah Petagas/Putatan juga masih ditutup. Sebagai pengguna jalanraya, barangkali bukan saya seorang tertanya-tanya kesudahan persimpangan berkenaan, adakah hendak ditutup terus atau masih bersifat sementara?
Maksud saya, jika pihak berkuasa berhajat menutup terus jalan, maka sebaiknya dibina pembahagi jalan yang bersifat kekal daripada membiarkan penghadang sementara seperti yang ada sekarang. Ia kelihatan tidak comel dan mencacatkan pemandangan jalanraya. Tiang-tiang lampu-lampu trafik yang rosak kesan hangus juga masih terbiar sedemikian rupa.
Jika pihak berkuasa berminat untuk membuka semula persimpangan berkenaan, ia juga disokong kerana memudahkan pengguna jalanraya keluar dari kawasan lapangan terbang ramai yang menuju ke arah Putatan. Buat masa ini laluan sekarang untuk membuat pusingan-u di persimpangan agak menyusahkan terutama pada waktu puncak.
Sekian pendapat pengguna jalanraya.
Alhamdulillah, tengahari tadi sempat turut memeriahkan suasana di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menghantar sejumlah 18 siswa-siswi Sabah yang menyambung pengajian ke Mesir. Bilangan itu termasuk 2 orang yang mengikuti pengajian perubatan di sana. Antara yang hadir mengucapkan selamat jalan ialah pegawai-pegawai dari Pusat Zakat Sabah, JHEAINS selain ibu bapa dan keluarga pelajar.
Rasanya ini tahun ketiga atau keempat saya ikut ‘menyemak’ di sana, mengucapkan tahniah kepada ibu bapa, memberi nasihat secara percuma tanpa diminta, menyabarkan kesedihan mereka berpisah antara satu sama lain dan barangkali babak paling menggembirakan ialah meminta mereka (mana yang dapat) berkumpul sekeluarga dan merakamkan foto-foto kenangan mereka.
Seperti biasa, memang ada yang menitiskan air mata baik yang pergi atau yang ditinggalkan, tidak kira siswa atau siswinya juga. Hanya satu harapan saya (kerana saya tahu mereka membaca dan melayari blog ini – terima kasih), sila hargai nilai air mata yang mengalir di wajah ibu bapa dan keluarga kalian. Jangan sia-siakan pengorbanan dan harapan mereka, buktikan kalian adalah anak-anak soleh dan solehah yang boleh berjaya dalam pengajian dan kehidupan.
Saya tahu ada kalangan mereka terdiri daripada keluarga yang susah, justeru ibu bapa dan keluarga memerlukan kudrat yang lebih untuk menyalurkan kewangan setiap bulan kepada mereka. Barangkali tidak ramai anak-anak yang menyedari, apa yang dibincangkan oleh kedua ibu bapa mereka setiap malam, memikirkan sara yang wajar dikirim, mencedok dan mengorek dari mana-mana sumber halal untuk kemudahan anak di perantauan.
Saya juga dapat maklum ada sesetengah ibu bapa yang keberatan dan tidak melepaskan anak-anak mereka menyambung pengajian kerana pelbagai sebab. Antaranya masalah kesempitan kewangan, dan satu lagi ialah keengganan melepaskan anak perempuan kerana bimbangkan keselamatan anak masing-masing. Betullah, semuanya sayangkan anak mereka, tetapi sebahagiannya tidak mendapat maklumat yang benar dan tepat, kerana ada menjangkakan anak mereka akan tinggal sendirian, tiada langsung kawan-kawan perempuan, menjadi mangsa rusuhan dan sebagainya.
Jadi, anak-anak dan adik-adik yang berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Mesir (atau ke mana juga), tolong perbetulkan persepsi yang salah itu dan berikan khabar gembira kepada ibu bapa sendiri dan ibu bapa kawan-kawan yang tidak dapat menyambung pengajian kerana masalah ketidakcukupan informasi yang benar itu. Semoga kalian berjaya membentuk diri menjadi manusia yang berilmu, beriman dan beramal, serta kemudian berbakti kepada masyarakat, memberikan inzar kepada kaumnya supaya mereka beringat-ingat.
Sementara itu, yang sudah menyelesaikan pengajian, baliklah ke negeri masing-masing. Kerja dakwah terlalu banyak untuk dipikul di pundak kalian. Mari kita bersama-sama memikulnya.
(Foto-foto di atas dan bawah, jika berkaitan, boleh dan halal disalin (copy), cetak dan tampal di bilik kalian. Sila maklumkan juga keluarga kalian di kampung tentang foto ini, sebab ada keluarga pelajar yang meminta saya salinan foto ini (sedang saya tidak ada nombor kontek mereka), dan lagi bagus layarilah blog ini. Bertambah juga trafik di blog ini. Kalian hendak tahu aktiviti dakwah dan isu di sekitar sini, datang-datanglah ke blog ini. 😉
Seorang sahabat yang juga seorang guru mengirimkan satu mesej di facebook meminta komentar berkenaan kesilapan-kesilapan dalam tulisan bahasa Arab di papan-papan tanda yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Bukan satu tetapi banyak yang mereka kesan.
Kesilapan-kesilapan itu ada yang merupakan keciciran huruf, titik, kesilapan tatabahasa dan seumpamanya yang perlu diperbaiki segera bagi memudahkan para pelancong memahami istilah dan nama tempat dengan lebih tepat. Walaubagaimanapun, hasrat dan kesungguhan mereka meletakkan tanda nama dan arah termasuk dalam masa Arab adalah disokong sepenuhnya.
Perhatikan video klip melalui youtube berikut :
Saat pulang daripada menghantar seseorang di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, saya sudah nampak banting-banting bergantungan tentang bayaran automatik sebelum keluar dari kawasan pakir.
Tapi orang ‘kebaruan’ seperti saya, tidak tahu apa-apa dan memandu keluar seperti biasa. Palang di hujung jalan menghalang saya untuk keluar terus dan saya tidak tahu bagaimana hendak bayar bil pakir.
Berundur dan patah balik. Rupanya ada mesin-mesin yang diletakkan untuk kita bayar terlebih dahulu sebelum memandu keluar. Nampaknya sistem itu agak menarik tetapi mungkin lebih banyak mesin dan penerangan dibuat khususnya pada waktu puncak.
Pagi jumaat tadi kami dimaklumkan dengan dua berita.
Seorang tua pangkat nenek kepada kami dari Labuan yang kami panggil dengan Nenek Bungsu (70 tahun) dimasukkan ke Hospital Likas. Berita kedua, makcik Marinah (47 tahun) salah seorang anak kepada Nenek Bungsu sedang nazak di Hospital Labuan, khabarnya terkena jangkitan kuman tikus.
Saya hubungi Farizah yang menemani ibunya di hospital sebelum tengahari, saya dimaklumkan mereka akan keluar sebentar lagi dan terus pulang ke WP Labuan melalui penerbangan MAS yang ditanggung oleh Baitulmal Labuan. Rupanya mereka sudah tiga malam di hospital ini.
Saya hubungi Along yang lebih hampir lokasinya agar dapat menjemput Nenek Bungsu dan Farizah di Hospital Likas dan saya menemani mereka di Terminal Satu LTAKK sehingga mereka masuk ke balai berlepas untuk penerbangan jam 4.10 petang.
Jam 4.00 petang saya kembali ke pejabat. Setengah jam kemudian saya dimaklumkan bahawa Makcik Marinah sudah kembali kerahmatullah sekitar jam 4.15 petang. Demikian ketentuan Allah SWT, semoga semuanya dapat bersabar.
Alhamdulillah, pagi ini solat subuh di surau Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Saya tiba di terminal ketika waktu azan subuh baru selesai berkumandang. Saya sudah daftar masuk lebih awal melalui sistem mesin malam tadi untuk ke ibu negara. Solat subuh disertai sekitar 15 orang, antaranya adalah beberapa bakal jamaah haji.
Hari ini juga seramai 447 bakal jamaah haji dari Sabah akan berlepas pada jam 8.35 pagi. Mereka adalah rombongan kedua selepas rombongan pertama berlepas pada 16 Oktober lalu. Mereka mula berkumpul di sini sejak jam 3 pagi lagi. Kelihatan juga beberapa sahabat saya yang bertugas lantikan Tabung Haji untuk memudahkan urusan perjalanan jamaah haji ini.
Antara yang kelihatan ialah Ustazah Inun Mamit, Ustazah Salwa dan Ustazah Hajah Salmah Hasan. Maklumlah, di kalangan jamaah haji ini bukan setakat tidak pernah ke luar negara, naik kapal terbang pun barangkali buat pertama kali. Jadi sudah tentu lebih banyak bantuan dan sokongan diperlukan.
Masuk ke balai berlepas, saya nampak Ustaz Suparlan Roto dan isterinya Winarsih Trimo berjalan dalam kelompok jamaah haji berkenaan. Rupanya mereka termasuk dalam senarai tetamu Allah SWT tahun ini. Semoga urusan mereka turut dimudahkan oleh-Nya. Mereka suami isteri orang baik.
“Doakan kami”, kata ustaz.
“Sama-samalah kita. Orang musafir doanya maqbul”, ujar saya.
Semoga Allah memberi kurnia haji mabrur kepada semua jamaah haji. Ustaz Haji Ahadin, Cikgu Haji Burhanuddin, Dr Hajah Kartina, Cikgu Haji Zulkifli Awang, Tuan Haji Suwito, Imam Haji Kifli, Cikgu Haji Abu Bakar, Dr Haji Awang Setia, Ustaz Haji Hamdan, Ustazah Hajah Qurratul Ain dan ramai lagi.