Tag Archive: LHDN


CERAMAH DI LHDN

IMG_4149Alhamdulillah, pagi Jumaat, saya dapat hadir dan mengisi program ceramah mingguan di Wisma Lembaga Hasil Dalam Negeri, Karamunsing.

Kali kedua hadir ke sini, rasanya kehadiran warga LHDN lebih ramai dan meriah rasanya. Kalau kali pertama hadir beberapa bulan lalu, hampir tiada yang saya kenali, kali ini lebih mesra dan santai kerana kenalan sudah bertambah, dan sedikit sebanyak saya sudah memahami reaksi dan suasana di sana.

Ceramah kali ini berkisar di bawah tajuk keperibadian muslim. Buat pertama kalinya, saya membawakan tentang huraian Ibadur Rahman, Surah al-Furqan ayat 63-76.

Dengan keterbatasan masa, saya hanya dapat menghuraikan secara santai beberapa ciri di dalam ayat berkenaan.

IMG_4151Pertama, menjadi manusia yang bersopan dan tenang, tidak sombong dan angkuh. Tenang ketika senang dan susah, ketika mendapat nikmat dan menerima musibah.

Ada yang sombong dengan ilmunya, pangkat, gelaran, harta dan sebagainya. Apa kewajaran dengan angkuhnya manusia, sedang mereka dilahirkan melalui 2 saluran kemaluan.

Kedua, kebijaksanaan berhadapan dengan orang jahil. Ada orang jahil yang menyedari kejahilannya lantas ia belajar. Ada pula orang jahil yang tidak menyedari kebodohannya, lantas menganggap dirinya pandai dan orang lain pula bodoh.

Ketiga, kesungguhan untuk bermunajat kepada Allah saat orang lain dibuai mimpi. Berdiri, rukuk dan sujud memohon keampunan Allah dan rahmatNya.

Keempat, ia memohon perlindungan api neraka. Ciri ini menunjukkan kerendahan dirinya di hadapan Allah SWT. Sesudah ia menghidupkan malamnya dengan ibadah dan munajat, ia bermohon perlindungan pula dengan Allah SWT.

Banyak lagi ciri yang tidak sempat dihuraikan. Walaubagaimanapun, mudah-mudahan dengan sedikit itu para pendengar dan audien dapat mengambil pengajaran dan iktibar.

Sebagai satu respon mereka, ketika jamuan ringan setelah itu, ada permintaan agar diadakan kelas bacaan buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ susunan almarhum Dr Fathi Yakan yang baru meninggal dunia seminggu lalu.

CERAMAH DI WISMA LHDN

p3270020Sebagaimana dijanjikan, saya berada di bangunan berkenaan jam 8.25 pagi untuk menyampaikan ceramah tentang Maulidur Rasul SAW.

p3270023Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah satu agensi kerajaan yang sejak beberapa tahun lepas begitu aktif mengadakan program seumpama ini.

Di telinga saya, Badan Kebajikan Islam mereka begitu harum dengan pelbagai aktiviti untuk meransang ruh Islami ke dalam diri warga LHDN.

Dalam ceramah sekitar 70 minit itu, saya memulakan dengan persoalan dan perbandingan dengan kita yang sering mengakui sebagai ummat baginda SAW.

Bagaimana Islam di dalam diri kita, di dalam rumah, di bilik dan sebagainya, adakah sesuai dengan ajaran Nabi SAW? Bagaimana kalau Nabi SAW berkunjung ke rumah kita, melihat patung di almari perabot kita, melihat apa cerita kita tonton, apa vcd yang kita simpan dan koleksikan, apa buku yang kita baca?

p30900421Cukupkah dengan hanya saban tahun buat sepanduk, berarak, tanda cinta kepada Nabi?

Dalam masa yang sama, saya tidak menafikan kepentingan dan  syiar yang ada ketika perarakan bersepanduk, dengan adanya sikap kerjasama, toleransi, kesatuan dan sebagainya.

Bahkan sambutan maulid itu menyebabkan orang bukan Islam mengetahui bahawa hari itu adalah sambutan kelahiran Nabi akhir zaman.

Saya teringat kisah Islamnya Hj Nic bahawa antara asbab keislamannya ialah apabila melihat umat Islam berarak mengelilingi kota dengan gembira sambil membawa sepanduk dan melaungkan ucapan yang tidak difahaminya (iaitu bersolawat).

p3270024Demikian sedikit kepentingan menyambut maulid Nabi, dan tidak pula sekadar itu dan tidak habis setakat itu.

Akhlak Nabi SAW yang diibaratkan al-Quran bergerak itu, mesti diteladani sama ada ketika berjalan, berdiri, duduk; ketika di rumah, di masjid, di pasar, bersama keluarga, sahabat-sahabat, atau orang bukan Islam dan sebagainya.

Kepada Badan Kebajikan Islam khusus Encik Ismail Yusuf, dan hadirin  sekitar 60 orang itu, terima kasih atas undangan.

 

p3270025

%d bloggers like this: