Tag Archive: Lajnah Tashih al-Quran


Lokasi pertemuan kami kali ini ialah di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya. Seingat saya sepanjang penglibatan dalam mesyuarat ini selama 6 tahun sebagai ahli lajnah, ini kunjungan pertama ke hotel ini. Dari segi kemudahan dan kelengkapan hotel, memang memuaskan dan sangat membantu kami untuk menyelesaikan tugasan kali ini.

Pecahan bahan al-Quran yang hendak disemak kali ini agak banyak. Kebiasaannya pada akhir tahun, para penerbit, pencetak dan pengedar akan memohon pengesahan teks al-Quran mereka, kerana selepas ini pada tahun hadapan pertemuan bagi penyemakan berikutnya kebiasaannya diadakan pada bulan februari atau mac. Untuk pertemuan kali ini, setiap seorang kami menyemak 55-56 juzu’ seorang.

Sesuatu yang agak sentimental dalam pertemuan kali ini ialah ini adalah mesyuarat terakhir bagi kontrak kami sebelum diperbaharui atau tidak. Setiap dua tahun, lantikan akan dibuat dan untuk kali ini berakhir pada mesyuarat kali ini. Sudah ada negeri yang menamakan wakil mereka yang baru, atau menggantikan seorang daripada dua wakil negeri masing-masing.

Walaubagaimanapun negeri yang mencadangkan wakil, keputusan terakhir terletak pada keputusan Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang dipengerusikan oleh Tan Sri Harussani Zakaria sama ada mereka mengekalkan ahli lajnah yang lama, atau menerima cadangan negeri-negeri berkenaan pertukaran ahli yang mewakili negeri masing-masing.

Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun bersama-sama memikul amanah ini, saya merasakan diri terlalu kerdil dan menadah banyak ilmu secara teori dan praktikal melalui penyemakan al-Quran sama ada berupa mashaf, digital, readpen, vcd, cd, audio dan sebagainya. Sudah tentu secara keseluruhan dan umumnya semua ahli lajnah dan urus setia di peringkat KDN banyak membimbing.

Namun sebagai rekod dan penghargaan saya secara khusus, saya catatkan di sini antara watak penting yang selalu menjadi rujukan saya ialah Ybhg Datuk Ustaz Solahuddin Omar, Ustaz Azhari Othman, Ustaz Khairul Anuar Mohammad, Ustaz Shaharuddin Pangilun, Ustaz Kamaruddin Komeng dan lain-lain. Saya juga suka bergaul dengan Ustaz Abd Rahim Mohd Zain yang suka menyelangi kalamnya dengan bahasa Arab, juga Ustaz Mazlan Zaini dan Ustaz Moghni Asrari yang menjadi teman sembang isu-isu semasa.

Saya juga teringat akan kelembutan Ybhg Dato’ Idris Talib bak sebagai ayahanda kami, kepakaran ilmu khat Ustaz Haji Mohd Ilham Haji Ihsan; mengenang Ustaz Zaheruddin, Ustaz Nasruddin Ngah dan Ustaz Ku Afwa dengan smartfone masing-masing serta galak dengan dunia ict mereka, Semuanya menjadi kenangan manis, mudah-mudahan kenangan yang baik itu menjadi inspirasi dalam kehidupan selepas ini, dan semoga bertemu lagi pada masa akan datang.

Beliau adalah salah seorang ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN sejak 2006, bererti musim yang sama saya menyertai lajnah berkenaan. Sebenarnya saya sudah mengenali beliau sejak tahun 1999 ketika kami menduduki peperiksaan diploma tahfiz al-Quran di Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Baru sementara Ustaz Moghni adalah salah seorang pensyarah di sana. Saya ingat lagi beliau adalah pensyarah bagi subjek Ulum al-Quran.

Saya agak rapat dengan beliau kerana kami sering duduk berhampiran dan sekumpulan dalam siri-siri mesyuarat lajnah ini sejak kami sama-sama menjadi ahli lajnah. Pernah juga beliau menyantuni saya sebagai musafir ketika satu program Seminar Aqidah anjuran Jabatan Mufti Wilayah berlangsung di Masjid Wilayah Jalan Duta dan ketika itu beliau menjadi salah seorang imam di sana.

Ustaz Haji Moghni, 51 tahun berasal dari Sekinchan Selangor, pernah merantau ke Mesir antara tahun 1987 hingga 1993 untuk menyambung pengajiannya selepas belajar di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran. Sekembalinya ke tanahair, beliau berkhidmat di beberapa tempat antaranya imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Pensyarah Darul Quran (1998-2006), Imam Masjid Wilayah (2006-2009) dan sehingga artikel ini ditulis beliau merupakan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Hulu Langat Selangor sejak tahun 2010.

Saya menjangkakan pada awalnya tiada mesyuarat akan diadakan memandangkan Ramadhan yang semakin hampir. Semua maklum barangkali ahli lanjah hampir semuanya terlibat dengan tugas dan amanah sebagai imam-imam tarawih di seluruh negara. Rupanya beberapa hari sebelum berpuasa, kami dipanggil untuk menyelesaikan semakan sekitar 1500 juzu’ antara 27hb hingga 30hb Julai lalu.

Menarik kali ini semua 35 orang ahli lajnah dapat berkumpul di Selesa Beach Resort, Port Dickson, lokasi mesyuarat penyemakan berlangsung. Pengalaman 5 tahun bersama lajnah tashih al-Quran, ini kali kedua mesyuarat diadakan di Port Dickson. Setiap ahli menyemak sekitar 45-46 juzu’ seorang, agak banyak tetapi bagi saya lebih mudah diselesaikan kerana kebanyakan bahan melibatkan mashaf dan hanya beberapa bahan melibatkan al-Quran Digital. Meski banyak bahan, saya tetap meluangkan masa merehatkan diri di Pantai Port Dickson bersama kenalan lama.

Mudah-mudahan penyemakan ini diambil kira sebagai amal demi menjaga al-Quran al-Karim di negara tercinta.

Sepanjang saya menyertai lajnah penyemakan dan pengesahan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun 2007, rasanya pertemuan kali ini mengumpulkan genap 35 ahli lajnah sekaligus. Sebelum ini kebiasaannya ada sahaja ahli yang berhalangan seperti bertembung dengan program jabatan masing-masing atau menunaikan umrah, haji dan sebagainya.

Terdapat 25 bahan semakan semuanya membabitkan lebih seribu juzu’, kebanyakannya teks mashaf dan bakinya adalah bahan digital. Slot pertama pada malam sabtu di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Dato’ Sallehuddin Omar sebelum disambung oleh Ustaz Haji Azhari Othman. Slot-slot berikutnya dipengerusikan oleh Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur.

Sepanjang pertemuan kali ini juga kami dapat mengemaskini maklumat kerjaya kawan-kawan yang lain. Antaranya kami dimaklumkan pengerusi kami iaitu Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur sudah pun bersara daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sejak awal januari lalu. Ustaz Haji Moghni Asrari juga tidak lagi bertugas di Masjid Wilayah Persekutuan dan telah berpindah sebagai Pegawai Tadbir Agama (PTA) di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam slot akhir, mesyuarat bersetuju dan mengamanahkan saya untuk mengendalikan emelgroup untuk ahli-ahli lajnah tashih al-Quran dan juga individu yang berkelayakan bagi membincangkan sebarang perkara berkaitan penjagaan al-Quran dan perkembangan ilmu-ilmu yang berkaitan langsung dengannya, khususnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Mesyuarat berakhir tengahari isnin.


PIMPIN TANGAN


Pak Yunus Hashim, pegawai KDN memimpin dua pelajar Darul Quran yang cacat penglihatan menyeberang jalan menuju ke Masjid Negara Kuala Lumpur. Jumaat lalu kami bersolat jumaat di sini. Ini kali kedua saya solat jumaat di sini.

Ahli Lajnah Tashih al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri berkumpul di ibu negara dalam rangka mesyuarat dan menyemak al-Quran yang hendak dipasarkan di negara ini.


AL-QURAN BRAILLE


Barangkali ia satu catatan istimewa buat kami Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila terdapat permohonan semakan al-Quran Braille 30 juzu’ oleh Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Pada awalnya, saya hairan juga memikirkan bagaimana cara menyemak tulisan braille yang hanya berbentuk titik-titik yang ditebuk itu. Melihat pula teksnya yang begitu tebal, siapa pula hendak menyemak dan membetulkan al-Quran berkenaan jika terdapat kesalahan.

Tidak lama, kami dimaklumkan kehadiran lima orang pelajar Darul Quran cacat penglihatan (tapi celik hatinya), yang akan ditugaskan membantu penyemakan al-Quran Braille ini.  Ahmad Qusairi Mat Zizi, Abdul Majid Md Yusuff, Wan Md Fadhil Wan Fauzi, Mohd Azhar Baharom dan Mohd Firdaus Hairi.

Qusairy berasal dari Pasir Puteh Kelantan, Abdul Majid dari Kuala Krai, Fadhil dari Kota Bharu, Azhar dari Taiping dan Firdaus dari Pelabuhan Kelang. Kesemua mereka baru menghafaz al-Quran antara tiga hingga sepuluh juzu’ dan memahami tulisan braille. Sedikit masa saya luangkan untuk bertanya punca sakit mereka. Ada yang bermula dengan demam panas, ada yang kerana saraf malam, glukoma iaitu masalah kilang air mata dan kanser mata.

Penyemakan al-Quran Braille ini dijalankan dengan pemantauan Ustaz Azhari Othman dan Ustaz Tahir Abdul Manaf yang juga kedua-duanya pensyarah di Darul Quran. Pelajar ini akan ‘meramas’ tulisan braille berkenaan dan membacanya, sementara Ustaz Azhari dan Ustaz Tahir akan mendengar dan mencatat kesalahan jika ada.

Mesyuarat kami telah memberi mandat kepada mereka untuk menyelesaikan dalam tempoh sebulan al-Quran Braille berkenaan kerana masa yang lama diperlukan untuk menyemak dan mengesahkan ketepatan tulisan berkenaan. Mudah-mudahan ini sebahagian sumbangan kecil untuk kemudahan mereka yang berkenaan membaca Kalam Allah SWT ini.

Sekalung tahniah juga kepada PERTIS atas usaha murni ini.



Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Quality, Jalan Raja Laut. Ini kali kedua mesyuarat penyemakan tahun ini, kali pertama tempohari pada bulan April di Hotel UNITEN Bangi. Ini juga kali kedua mesyuarat diadakan di sini sepanjang penyertaan saya, kali pertama rasanya dua tahun lalu.

Kami tiba semalam. Seperti kedatangan kami pada april lalu, nampaknya kami memulakan persinggahan di Restoran Saba’  Cyberjaya,  menjamu selera menu Timur Tengah. Nasi daging kambing menjadi pilihan dengan jus mangga berharga RM20 seorang. Boleh tahan. Kalau hari-hari begini tambah botak kepala.

Sejak awal saya menjangka bahan untuk disemak kali ini lebih banyak daripada biasa kerana lajnah ini agak terlewat bermesyuarat berbanding tempoh sepatutnya. Sudah tentu banyak lambakan permohonan pelanggan untuk meminta bahan mereka disemak oleh pihak KDN.

Pada awal taklimat semalam, dijangkakan setiap ahli mesyuarat akan menyemak lebih 50 juzu’ seorang dan mesti diselesaikan selewat-lewatnya pada pagi ahad. Mesyuarat pembukaan dipengerusikan oleh Dato’ Syeikh Mohammad Nor Mansur al-Hafiz dan dihadiri 32 ahli.

Ada keistimewaan mesyuarat kali ini. Kami dimaklumkan al-Quran Braille ada dalam senarai untuk disahkan ketepatannya. Khabarnya, inilah kali pertama al-Quran Braille dihantar untuk disemak kepada lajnah ini.

Petang semalam sebaik tiba dan petang tadi dalam keadaan sibuk, saya mencelah keluar ke Pertama Kompleks. Kali ini lebih RM500 habis untuk membeli buku terbitan baru pelbagai tajuk. Saya cuba membaca satu demi satu dan akan saya susulkan sinopsis dan ulasannya dalam artikel mendatang.


SESI MENYEMAK AL-QURAN

Jujurnya, sesi kali ini amat memenatkan.

Setiap kami bermula khamis malam jumaat hingga pembahagian terakhir malam ini menyemak sebanyak 42 juzu’ seorang. Walaubagaimanapun, amanah yang diberi selaku ahli lajnah tashih mesti diselesaikan sebelum mesyuarat berakhir.

Bahan yang terlalu banyak dan ahli lajnah yang hadir hanya 29 orang berbanding 35 ahli keseluruhannya.

Ada di kalangan sahabat ahli lajnah menghabiskan semakan sehingga jam 2-3 pagi, ada yang menyambung semakan di bilik setelah sesi menyemak berakhir pada lewat malam.

Dalam pemerhatian ini, kami menyaksikan Dato’ Hj Salahuddin Omar sudah menyelesaikan semakan sebanyak 30 juzu’ pada petang jumaat lagi.

Dalam kesibukan menyemak al-Quran, saya bersama beberapa sahabat sempat bertemu dengan seorang ahli kumpulan nasyid INTEAM, Sdr Abd Rahim Osman di Hotel UNITEN.

Ikatan persahabatan dan persaudaraan terjalin, sembang perkenalan menjadi topik cerita, beliau menghadiahkan saya sebuah CD Marhaban & Barzanji. Terima kasih.

Mesyuarat kali ini diadakan di Hotel Residence, UNITEN Kajang Selangor.

Lokasi mesyuarat kali ini di sini menyingkap semula kenangan saya bermesyuarat dalam lajnah ini buat pertama kalinya 3 tahun lalu. Ia menjadi kenangan kerana lajnah ini bagi saya adalah lajnah yang berkat kerana ia berkaitan langsung dengan al-Quran.

Seingat saya, nama saya dicadang oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan yang juga merupakan ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.

Di dalam ini terkandung ahli-ahli al-Quran yang masyhur dengan ilmu al-Quran khususnya dalam bidang tahfiz, qiraat dan seumpamanya. Pemilihan nama saya ketika itu sudah tentu bagi saya menjadi rahmat yang besar kerana berpeluang berguru secara tidak langsung dengan mereka setiap kali bertemu dalam mesyuarat.

Mesyuarat bermula pada sebelah malam dipengerusikan oleh Ust Hj Azhari Othman, selaku timbalan pengerusi lajnah mewakili pengerusi Dato’ Sheikh Mohd Nor Mansur yang tiba lewat.

Mesyuarat penyemakan tahun 2010 agak lewat dimulakan kerana sudah masuk bulan April sedangkan bahan yang diterima oleh urusetia agak banyak. Oleh itu di peringkat ini kami dimaklumkan setiap ahli akan menerima bahan semakan lebih daripada 40 juzu seorang.

Sebahagian besar bahan semakan kali ini adalah berupa teks mashaf, manakala selebihnya berupa audio sama ada readpen, telefon dan cd.

Pada masa bermulanya mesyuarat, beberapa krew TV JAKIM datang ke bilik mesyuarat kami untuk rakaman video korporat. Khabarnya, ia akan ditayangkan untuk majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan kerajaan.

Tarikh : 10 November 2009 (Selasa).

Masa : 7.30 pagi – 4.30 petang.

Tempat : Dewan Saadah, Wisma MUIS Kota Kinabalu.

Anjuran : Kementerian Dalam Negeri (KDN) & Kerajaan Negeri Sabah

Penceramah :

1) Ust Mohd Rani Osman (KDN)

Ahli-Ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN :

2) Dato’ Ust Hj Sallehuddin Omar al-Hafiz

3) Shaikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah

4) Ust Hj Abd Rahim Md Zain al-Hafiz

Tajuk-Tajuk :

1) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986

2) Sejarah al-Quran & Kelebihan Rasm Uthmani

3) Istilah Dhabt (Penandaan) Dalam al-Quran

4) Kaedah Penulisan Rasm Uthmani

%d bloggers like this: