Tag Archive: Lajnah Tashih al-Quran KDN


BBQ KDN

Makan malam pada malam minggu diadakan bagi meraikan dua warga Unit Kawalan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri yang berpindah ke tempat lain. Ustaz Haji Abdul Rani Osman yang sebelum ini Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) unit ini berpindah ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Imam Besar menggantikan Ustaz Hj Mohd Ali Sarbini.

Ustaz Haji Abdul Rani kalau tidak salah saya sempat bersama kami sekitar dua tahun. Dalam mesyuarat penyemakan teks al-Quran, beliau sentiasa hadir  bersama-sama kami. Selain itu, turut berpindah ialah saudara Mohd Zahid Mahpol, warga unit ini yang banyak bekerja keras dalam membantu mengedarkan bahan-bahan semakan bagi membolehkan mesyuarat berjalan lancar. Zahid berpindah ke bahagian lain juga dalam KDN setelah 6 tahun di unit ini.

Bersama Pak Yunus Hashim, Zahid sentiasa sibuk memastikan urusan-urusan teknikal seperti memaklumkan perjalanan mesyuarat, mengatur tiket kapal terbang, kenderaan pengangkutan dan sebagainya. Seperti kata Dato’ Sheikh Mohamad Nor Mansur malam itu, kedua-dua mereka telah melakukan sumbangan yang besar dalam unit ini serta banyak membantu ahli lajnah.

Selain semua ahli Lajnah Tashih al-Quran, turut hadir ialah warga Unit Kawalan Teks al-Quran bersama keluarga masing-masing. Terima kasih atas sumbangan Ustaz Rani dan Zahid, serta selamat bertugas di tempat baru masing-masing.


HIKMAH BAH

Sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai hikmah yang besar kepada kita. Pada sisi orang lain, ia mungkin menjadi musibah dan pada sisi orang yang lain pula ia menjadi kebaikan yang tersendiri. Ketika berlaku kematian, ia menjadi musibah kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang menyayanginya. Boleh  jadi dalam sisi lain ia menjadi titik perubahan kepada seseorang untuk menjadi manusia yang lebih baik. Demikianlah.

Banjir besar berlaku di Kedah dan Perlis melibatkan sekitar 40 ribu manusia. Daripada pandangan yang besar, ini adalah musibah yang Allah SWT turunkan kepada hamba-hamba-Nya, baik yang beriman atau sebaliknya. Hanya bentuk musibah itu perlu dibahagikan, adakah ia berbentuk musibatul bala – yang berbentuk ujian, musibatul jaza’ – yang berbentuk pembalasan, atau musibah at-tarbiyah – yang berbentuk pendidikan. Jadi setiap orang sudah barangkali tidak sama bentuk musibah yang menimpanya.

Kami bermesyuarat menyemak al-Quran di Alor Star. Alhamdulillah, bahan tidak banyak dan penutupan mesyuarat diawalkan kepada malam rabu – jadual asal berakhir pada tengahari rabu. Sebahagian AJK kami berkira-kira balik awal  pagi rabu khususnya yang menaiki penerbangan ke KLIA. Saya dan beberapa sahabat lain pula merancang hendak ke Pekan Rabu yang terletak tidak jauh dari lokasi penginapan kami.

Beberapa orang bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star awal pagi untuk balik ke Kuala Lumpur. Tidak sampai sejam, mereka patah balik. Rupa-rupanya laluan ke lapangan terbang ditutup kepada semua. Bahkan khabarnya semua penerbangan ditangguhkan bermula 6 petang selasa lagi. Keadaan menjadi sedikit kelam kabut. Perancangan untuk bersiar-siar di Pekan Rabu terbatal.

Sebahagian menukar penerbangan ke Butterworth Pulau Pinang, manakala sebahagian lagi menumpang kenderaan kawan-kawan menuju ke Kuala Lumpur atau Ipoh dan kemudian menaiki bas. Saya dan Ustaz Ibrahim berpakat meng‘open’kan tiket Alor Star-KLIA dan kami menumpang Ustaz Haji Azhari Othman bersama-sama Ustaz Haji Ilham dari Selangor. Saya berhajat turun di Ipoh sementara yang lain terus ke Kuala Lumpur.

Menjadi hikmah yang baik kepada saya apabila bah berlaku di Kedah sehingga kami gagal menaiki pesawat. Barangkali demikian disusun oleh Allah SWT, apabila di Ipoh saya ditakdirkan bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Saya menghubungi Cikgu Jamil Dayan yang menjemput di R&R Simpang Pulai, kemudian bertemu Ustaz Atiqullah di Masjid Negeri Perak dan akhirnya menziarahi Ustaz Md Iqbal Said di rumahnya. Saya akan catatkan kisah-kisah mereka dalam entri yang akan datang.

Foto berikut di R&R Simpang Pulai, sementara menanti Cikgu Jamil.

Beliau adalah satu nama besar dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia.

Ustaz Haji Azhari Haji Othman al-Hafiz dilahirkan pada 30 Mei 1953 di Kampung Tegayung, Melor Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SRK Tegayung sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Shamsul Ma’arif Pulai Condong (1963-1968) dan  Maahad Muhammadi antara tahun 1968 hingga 1971. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Institut Tahfiz yang ketika itu beroperasi di Masjid Negara pada 1973 hingga 1976.

Mengimbas kembali pengajian tahfiz di Masjid Negara, beliau menceritakan bahawa mereka seramai 12 orang adalah kumpulan yang ketiga dari seluruh Malaysia yang mendalami ilmu tahfiz al-Quran. Meskipun sudah berlalu  lebih 35 tahun, beliau masing mengingati rakan-rakan sekelas beliau iaitu Ustaz Datuk Haji Idris Talib, Ustaz Haji Salleh Sani Harun, Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Basri Khalil, Ustaz Mohd Ma’ruf Nasruni, Ustaz Abdullah Haji Anis, Ustaz Raihal Anis, Ustaz Yusuf Mohammad, Ustaz Abdul Aziz Mohd Noor, Ustaz Salleh Yaakub dan Ustaz Muhsin.

Seterusnya, Ustaz Haji Azhari melanjutkan pengajian ke Mesir, khususnya di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra selama enam tahun bermula dengan kelas Aliyah dan kemudian Takhassus Qiraat antara tahun 1978 hingga 1984. Dalam tempoh itu beliau sempat bertalaqqi al-Quran dengan tiga orang masyaikh iaitu Shaikh Said al-Khaidri dengan talaqqi qiraat tujuh, Shaikh Fathi Daud dengan talaqqi qiraat sepuluh dan Shaikh Abdul Rauf juga talaqqi qiraat sepuluh.

Sekembali ke tanahair, bermulalah kerjaya beliau dengan bertugas sebagai imam di Masjid al-Akram Datuk Keramat pada awal 1985. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bertugas sebagai Pegawai Penasihat Agama di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam antara Julai 1985 sehingga Mac 1990. Bermula Mac 1990 itulah beliau mula melapor diri bertugas di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai JAKIM.

Di BAHEIS, beliau ditempatkan di Pusat Islam sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ). Lokasi IPTQ seringkali berubah antaranya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail dan Hulu Langat sebelum kampus tetapnya kini di Kuala Kubu Baru dengan nama Darul Quran. Sehingga kini, meski masih bertugas sebagai warga JAKIM, beliau pernah bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada tahun 2000-2004, kembali ke Darul Quran pada 2004, berpindah ke Masjid Wilayah Jalan Duta pada 2005 dan kembali sekali lagi ke Darul Quran pada 2007 sehingga kini.

Kepakaran beliau dalam ilmu-ilmu al-Quran menyebabkan beliau seringkali diundang ke pelbagai majlis dan acara berkaitan. Antaranya sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kebangsaan sejak 1985, MTQ PDRM Kebangsaan sejak 1988, MTQ Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 1996, dan hakim Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan sejak 1993. Beliau turut pernah diundang sebagai hakim Majlis Menghafaz al-Quran anjuran negara Arab Saudi pada 2009.

Selain sering menyampaikan ceramah di seluruh negara berkaitan ilmu-ilmu al-Quran seperti tajwid, fasahah, suara dan lain-lain, beliau juga adalah ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri sejak 1992 dan pernah diberi peranan sebagai pengerusi pada tahun 1994-2002. Kini beliau adalah timbalan pengerusi di bawah kepimpinan Datuk Shaikh Haji Mohammad Nor Mansor al-Hafiz yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Berkenaan keluarga bahagianya, beliau mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajah Rosnani Tumijo yang berasal dari Selangor pada tahun 1978 dan dikurniakan dengan enam orang anak. Raihani, 30; Hannan, 26; Siti Marahaini, 23; Ruhi Najihah, 19; Ismah Azirah, 15; dan Nur Aqilah, 11 tahun. Anak sulung beliau, Raihani telahpun berumahtangga dan sehingga kini mempunyai dua orang cahayamata.

Beliau turut bercerita berkenaan rezeki dan ilmu yang Allah SWT kurniakan dalam dunia tahfiz al-Quran sehingga beliau berpeluang melawat negara-negara asing seperti Mesir, Arab Saudi, Syria, China, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand selain undangan dari negeri-negeri di seluruh pelusuk Malaysia.

Antara peristiwa yang menjadi kenangan beliau ialah apabila terjatuh dari keretapi di Mesir (dipanggil metro) ketika beliau baru tiba beberapa bulan di sana semasa pengajian di Maahad Qiraat al-Azhar. Selain itu, pengalaman manis beliau apabila pertama kali dijemput mengajar al-Quran pada 1974 (ketika masih belajar di tahfiz) di rumah Datuk Abdullah Ahmad ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Di hujung perbualan kami, beliau sempat menasihatkan guru-guru al-Quran terutama ribuan mereka yang pernah berguru dengannya agar beramal dengan al-Quran kerana Allah SWT, mengajarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat tanpa bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliki. Selain itu beliau turut menasihatkan guru-guru al-Quran agar tidak meletakkan harga tertentu kepada masyarakat. Kepada mereka yang menghafaz al-Quran beliau bersama-sama mengingatkan agar menjaga hafalan dengan selalu mengulang-ulang hafalan mereka.

Temuramah dan bual bicara diadakan pada 2 November 2010 di Hotel Holiday Villa, Alor Star Kedah sempena Mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

ZIARAH RUMAH IMAM BESAR KEDAH

Dari Insaniah, kami seterusnya menziarahi rumah Imam Besar Masjid Zahir, Shaikh Haji Roslan Abdul Halim al-Hafiz yang juga ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN di Jalan Fajar Alor Star. Shaikh Roslan selain seorang qari, juga adalah hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Rumah yang beliau duduki ketika ini adalah rumah yang baru siap dibina. Cantik dengan pemandangan sawah padi yang terbentang di belakang rumah. Doa selamat dan kesyukuran dipimpin oleh Dato’ Ustaz Haji Idris  Talib (Melaka) memohon limpah kurnia Allah SWT serta keberkatan buat tuan rumah sekeluarga.

Alhamdulillah, kami dihidang dengan jamuan yang menyelerakan. Syukur kerana dalam mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran ini, sesekali kami dapat berziarah dan bertamu ke rumah ahli-ahli lajnah. Dengan demikian, ukhuwah tidak terhenti sekadar dalam mesyuarat dan urusan rasmi bahkan silaturrahim terus terjalin sehingga ke rumah dan menjangkau keluarga masing-masing.

LAWATAN KE INSANIAH

Kesempatan berada di Kedah, kami semua ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN melakukan kunjungan rasmi ke Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah pada petang tadi diketuai oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Ustaz Haji Azhari Othman. Ketibaan kami pada jam 3.25 petang disambut oleh Dekan Pengajian al-Quran Prof Madya Dr Azharuddin Sahil dan Pendaftar Mohd Najib Haji Abdullah dan beberapa staf INSANIAH yang lain.

Dalam pertemuan sejam itu, majlis didahului dengan taklimat dan pengenalan Lajnah Tashih al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Haji Azhari Othman sebelum pihak INSANIAH memberikan taklimat berkenaan sejarah dan perkembangan KUIN sehingga kini. Apa yang saya fahami, pengajian akademik INSANIAH yang bermula pada awal 1996 dengan tiga jurusan asas iaitu Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab, kini sudah dinaiktaraf sebagai kolej universiti bermula 2006.

Apabila YAB Ustaz Azizan menerajui kerajaan negeri Kedah pada 2008 beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH, beliau telah melantik Prof Dato’ Dr Jamil Osman sebagai Rektor INSANIAH yang keempat pada 1 Mei 2008. INSANIAH terus mengorak langkah kehadapan apabila pada sepanjang tahun 2009 INSANIAH menawarkan sebanyak 40 program pengajian merangkumi daripada peringkat asasi sehingga PhD berbanding 7 program sahaja sebelum itu. Sebanyak 4 Kulliyyah dan Pusat akademik  baru ditubuhkan iaitu Kulliyyah Kejuruteraan dan Teknologi, Kulliyyah Kejururawatan, Pusat Siswazah dan Penylidikan dan Pusat Asasi.

Kami turut dimaklumkan berkenaan pembinaan kampus tetap INSANIAH di Kuala Ketil disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak dengan tanah seluas 832 ekar dijangka akan siap fasa pertama pada 2012. Sehingga kini terdapat 150 orang pensyarah, 6,000 siswa siswi termasuk hampir 1000 pelajar antarabangsa dari 25 buah negara dengan pelbagai program pengajian daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD).

Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, layari web rasmi INSANIAH di http://www.insaniah.edu.my/v3m/index.php/


TERIMA

Pertama kali menerima tugasan ini pada 2007 setelah dicalonkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan disokong oleh SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah yang merupakan ahli Lembaga Kawalan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN). Setiap dua tahun, perlantikan sebagai ahli Lajnah Tashih al-Quran akan disemak semula. Biasanya sokongan daripada KDN  diberikan jika prestasi sepanjang dua tahun memuaskan dan jabatan agama negeri pula tidak mengemukakan nama perwakilan yang lain sebagai ganti.

Ini kali ketiga nama saya terus ditawarkan dan saya menerima dengan kesyukuran yang tidak terhingga. Peluang berkenalan dengan tokoh-tokoh alim ulama’, mengutip ilmu berharga daripada mereka serta berpeluang mendalami kaedah penyemakan al-Quran di Malaysia sesungguhnya suatu pengalaman yang sangat tidak ternilai. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kesempatan untuk saya dan kami semua berperanan khususnya dalam menjaga kesucian al-Quran di Malaysia.

Kehadiran mesyuarat kali ini di Hotel Holiday Villa adalah seramai 32 orang, dengan tiga AJK tidak dapat menghadirkan diri. Ustaz Haji Zaheruddin Mohktar (Negeri Sembilan) sudah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji beberapa minggu lalu, Ustaz Haji Muhammad Muridi (Perlis) dilaporkan menjaga ibunya yang sakit sementara Ustaz Wan Alauddin menjaga anaknya yang cedera parah dalam kemalangan motorsikal beberapa hari lalu.

Mesyuarat diketuai oleh Datuk Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur selaku pengerusi JK Lajnah Tashih. Sebenarnya, sesi perlantikan kami sudah berakhir pada julai lalu bagi sesi 2009-2010. Alhamdulillah dalam mesyuarat ini kami dimaklumkan pihak Lembaga Kawalan Teks al-Quran KDN bersetuju untuk menyambung khidmat semua 35 AJK yang sedia ada. Kami masing-masing diserahkan surat perlantikan dan surat terima untuk ditandatangani oleh semua AJK.

Alhamdulillah kerana sebagai generasi baru, saya dapat menimba banyak pengalaman daripada tokoh-tokoh ulama al-Quran yang terulung di Malaysia khususnya dalam bidang tahfiz al-Quran, rasmul Quran, dhobtul Quran dan ilmu qiraat. Peluang ini selama dua tahun mendatang sudah tentu sangat berharga bagi kami dan diri saya sendiri. Untuk saya, ini adalah tahun kelima berpeluang berkhidmat untuk menjaga kesucian al-Quran.

Mesyuarat bermula dengan tazkirah oleh Ustaz Khairul Anwar Mohammad al-Bakri salah seorang ahli lajnah yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Beliau menyarankan agar semua ahli bersama-sama meningkatkan pengetahuan dalam bidang ini memandangkan kepakaran itu sangat terbatas di negara kita. Beliau turut menyebut beberapa kitab penting untuk sama-sama dimiliki dan dihadamkan khususnya dalam bidang rasmul Quran dan dhobtul Quran.

Di awal sesi semalam, sudah beberapa bahan al-Quran digital ditolak kerana mengandungi kesalahan besar terutama melibatkan masalah dhobtul Quran dan rasmul Quran. Akhirnya kami dimaklumkan daripada keseluruhan 14 bahan yang memohon untuk disemak, lima daripada bahan itu ditolak kerana sebab-sebab yang disebutkan tadi.

Walaupun bahan tidak banyak kali ini – setiap seorang memeriksa tidak sampai 20 juzu’, saya pula agak lambat menyiapkan tugas kerana kurang sihat sejak awal tiba di Alor Star. Sedikit sebanyak tugasan agak terganggu kerana saya banyak berehat. Siang tadi, saya menggagahkan diri keluar dari bangunan untuk mencari ubat dalam suasana hujan di sekitar Alor Star.

Dalam pada itu rakaman tahniah diucapkan kepada salah seorang urusetia Unit Teks al-Quran KDN Sdr Mohd Nor Zahid Mahpol  dan isterinya Nor Hafiza Yusof yang telah menimang cahayamata lelaki beberapa hari lalu. Selain itu ucapan selamat jalan buat Ustaz Hashim Othman yang akan menunaikan fardhu haji tahun ini, semoga memperolehi haji mabrur.

Edit 3 Nov : Anak Ustaz Wan Alaudin disahkan meninggal dunia pagi ini (rabu) di Sungai Petani akibat kecederaan serius setelah kemalangan pada khamis lalu. Beberapa ahli rombongan mesyuarat berangkat mewakili ahli lajnah menziarahi keluarga Ustaz Wan Alaudin. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada keluarga beliau. Al-Fatihah.





Dalam kesibukan penyemakan al-Quran, kami sempat mengadakan majlis ramah mesra dan dialog bersama Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran Datuk Zaiton Abd Samad malam tadi. Datuk Zaiton baru bertugas di bahagian ini beberapa bulan lalu.

Dalam pertemuan ringkas itu, pengerusi lajnah tashih al-Quran Dato’ Sheikh Hj Mohammad Nor Mansur serba sedikit menerangkan sejarah dan fungsi lajnah ini kepada rombongan SUB. Tidak ketinggalan beberapa masalah yang sering melambatkan proses penyemakan al-Quran oleh ahli lajnah. Dato’ Sheikh juga meluahkan beberapa permintaan bagi meningkatkan kemahiran ahli lajnah dalam menjalankan tugasan mereka.

Pertemuan ramah mesra dan dialog itu berakhir kira-kira jam 10.40 malam, sementara kami pula meneruskan penyemakan al-Quran sehingga jam 3 pagi.

%d bloggers like this: