Tag Archive: Lajnah Tashih al-Quran KDN


Datuk Idris Talib

Suramnya hati saya mendengar pemergian Ybhg Datuk Haji Idris Talib al-Hafiz, seorang ulamak al-Quran Negeri Melaka pada 11 Julai lepas kerana penderitaan penyakit kencing manis beliau. Tidak banyak saya kenali, melainkan hanya dalam tempoh 2007-2012 saya menyertai Lajnah Tashih al-Quran KDN yang Allahyarham Ustaz Datuk Idris turut bersama dalam JK tersebut.

Saya mengetahui beliau sebagai seorang tokoh yang terkenal di Melaka, lembut orangnya dan kasih kepada anak-anak yatim. Kami para ahli lajnah satu ketika apabila bermesyuarat di Melaka tidak akan melepaskan peluang berziarah ke rumah beliau dan bertemu anak-anak yatim beliau. Kebetulan dua kali berziarah, kedua-dua itu pula musim durian, dan kami dilayan dengan meriah sekali.

Dalam mana-mana mesyuarat, Allahyarham sering membawa anak yatim secara bergilir-gilir di hotel-hotel tempat mesyuarat berlangsung. Anak-anak ini akan membawakan beg atau bahan mesyuarat beliau dan mengiring beliau keluar dan masuk ke bilik persidangan.

Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang sebaik-baiknya kepada Allahyarham Ustaz Datuk Haji Idris Talib atas amal solehnya semasa di dunia dan semoga berpanjangan sehingga hari kiamat serta mengampunkan dosa-dosanya.

Mesyuarat kali ke-4 Lajnah Tashih al-Quran di Hang Tuah World Heritage Hotel Melaka diadakan pada 13-15 September 2012. Ada beberapa perkara yang menghiasi mesyuarat kami kali ini. Antaranya Setiausaha Bahagian (SUB)  Penerbitan dan Kawalan Teks al-Quran sudahpun bertukar kepada orang baru. Dahulu Encik Abdul Aziz Md Nor yang sangat memahami dan mengambil berat akan perkembangan lajnah kami, sementara sejak beberapa minggu kebelakangan SUB Bahagian ini diamanahkan kepada Puan Hashimah Nik Jaafar. Mudah-mudahan beliau dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

Kedua, sudah mula kedengaran tentang cerita perlantikan anggota ahli lajnah sesi akan datang 2013-2014. Perlantikan kami untuk dua tahun 2011-2012 akan berakhir pada sesi terakhir – dijangka sekali lagi akan bermesyuarat pada bulan november. Ada ahli lajnah yang akan dikekalkan dan ada yang digugurkan untuk memberi peluang wakil-wakil yang lain pula. Walaubagaimanapun, keanggotaan ahli lajnah akan diputuskan sepenuhnya melalui mesyuarat Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang dipengerusikan oleh SS Tan Sri Harussani Mufti Perak, walaupun jabatan agama negeri-negeri ada mencadangkan wakil-wakil negeri mereka.

Ketiga, kami dimaklumkan antara tujuan mesyuarat dibawa ke Melaka ialah untuk menziarahi Ybhg. Datuk Haji Idris Talib, salah seorang ahli lajnah kami yang keuzuran. Beliau orang lama, seorang penghafaz al-Quran yang terkenal di negeri ini telah menjalani pembedahan di bahagian kaki beberapa minggu sudah akibat penyakit kencing manis. Mudah-mudahan beliau bersabar dengan ketentuan ini. 

Mesyuarat kali ini tidaklah terlalu stres dan ketat kerana jumlah bahan al-Quran yang disemak agak berpatutan. Hanya 42 juzu’ seorang untuk diselesaikan bermula rabu malam khamis sehingga pagi sabtu sama ada mashaf  al-Quran atau pun al-Quran digital. Semoga usaha kecil ini memberi kebaikan untuk semua demi menjaga kesucian al-Quran.

Alhamdulillah dapat lagi menyertai mesyuarat penyemakan al-Quran kali ini di Hotel Quality Shah Alam. Mesyuarat kali ini didahului dengan pembentangan dan perbincangan bagi melengkapkan kertas kerja dan tayangan ‘power point’ bagi tajuk sejarah penulisan dan pengumpulan al-Quran, ilmu rasm al-Quran dan ilmu dhobt al-Quran. Cadangannya apabila power point ini siap sepenuhnya akan digunakan untuk pembentangan seluruh negara.

Dimaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN sedang rancak mengatur Seminar al-Quran Rasm Uthmani di seluruh negara. Sebelum ini, pembentangan seminar berkenaan bergantung atas kebijaksanaan pembentang dan penceramah sahaja. Walaupun topik yang disampaikan tidak banyak berbeza, pihak penganjur berpendapat lebih baik kertas kerja atau tayangan power point diselaraskan di seluruh negara. Ustaz Khairul Anuar Mohammad al-Bakri diamanahkan untuk mengetuai sesi perbincangan ini dan pada akhir sesi dimuktamadkan bahan yang dipersetujui.

Sesi kedua penyemakan al-Quran kali ini, setiap ahli lajnah menyemak sekitar 44-45 juzu’ seorang, kebanyakannya bahan digital dan readpen yang perlu dihabiskan sebelum tengahari isnin. Banyak perbincangan dan perkongsian idea, maklumat dan pendapat sesama ahli lajnah, dan kesempatan bertemu kali ini saya dan sahabat-sahabat lain dapat bertanya hukum hakam tajwid khususnya kepada Ybhg Dato’ Haji Sallehuddin Omar, salah seorang pakar tajwid di negara ini yang juga naib pengerusi lajnah ini.

Alhamdulillah, kami bertemu lagi dalam siri kedua tahun ini mesyuarat lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri. Lokasi kali ini ialah di Hotel Corus Port Dickson Negeri Sembilan, yang saya kira pertama kali kami menginap di hotel berkenaan. Gembira rasanya bertemu otai-otai huffaz al-Quran dari setiap negeri apatah lagi dapat menimba ilmu dan pengalaman mereka dalam pertemuan singkat sebegini.

Tempoh berkumpul kami daripada 6hb mei lepas dan berakhir tengahari tadi yang  kurang sehari jika mengikut kebiasaan sebelum ini. Dalam pertemuan kali ini setiap seorang kami menyemak  43 juzu’ al-Quran pelbagai bahan mashaf dan digital. Suasana yang sibuk dengan bahan semakan masing-masing menyebabkan masa berbual dan sembang-sembang peribadi sangat terbatas. Bahkan sejak masuk ke hotel berkenaan, kebanyakan kami tidak keluar langsung dari bangunan berkenaan sehinggalah waktu kepulangan jam 1.30 tengahari tadi.

Ini pertemuan sulung kami bagi tahun 2012 dan tahun keenam bagi saya duduk bersama-sama otai-otai al-Quran di Malaysia. Senarai AJK untuk sesi ini akan berakhir sekitar bulan julai kalau tidak salah saya, entah disambung lagi atau tidak wallahu a’lam. Tetapi banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang keberadaan di dalam lajnah ini, sementelahan saya sendiri yang paling junior dari segi umur dan suka bertanya kepada tokoh-tokoh di dalamnya.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi, sementara menanti sahabat-sahabat ahli lajnah yang lain tiba dengan penerbangan masing-masing, kami dimaklumkan oleh Pak Yunus bahawa bahan yang hendak disemak sangat banyak dan memecah rekod jumlah sebelum ini. Katanya ramai syarikat yang menghantar bahan untuk disemak oleh KDN dan dalam masa yang sama pertemuan kami kali ini lambat sedikit berbanding musim-musim lepas yang biasanya pertemuan pertama diadakan pada februari.

Sesi pertama pada khamis malam jumaat bermula dengan pembentangan khas bersama Ybhg Professor Madya Dr Muhammad Mustaqim Mohd Zarif dari Fakulti Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tajuk yang dibentangkan adalah berkenaan dengan al-Quran Braille, di mana beliau membentangkan kepada kami beberapa isu dan cabaran berkaitan al-Quran Braille khususnya di Malaysia, perbandingan dengan negara-negara Islam yang lain serta cadangan-cadangan beliau yang kami pandang bernas demi memperbaiki al-Quran Braille menurut rasm al-Uthmani.

Apa yang saya ketahui tentang beliau ialah ada beberapa kajian yang beliau lakukan yang bersangkutan dengan pembentangan beliau antaranya; ‘Method Pengajian Braille al-Quran’; ‘Pembangunan Braille al-Quran Rasm Uthmani’; ‘Kaedah Pengajaran Kelas Agama Bagi Pelajar Cacat Penglihatan : Kajian Kes Di Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor’ dan banyak lagi. kami memandang usaha beliau yang murni agar al-Quran Braille dapat dihampirkan ke rasm uthmani kalaupun tidak dapat seratus peratus. Katanya itu juga impian kalangan OKU cacat penglihatan yang beliau temui dalam siri-siri pertemuan dan kajian beliau.

***

Berbalik cerita penyemakan al-Quran kami kali ini yang diadakan di Hotel Quality Jalan Raja Laut. Bayangkan dari khamis malam jumaat hingga pagi ahad, kami dikehendaki menyemak antara 80-82 juzu’ al-Quran seorang. Saya pula terpaksa balik awal pada petang sabtu ke Kota Kinabalu kerana ada kelas Darussyifa’, justeru terpaksa bekerja keras dan bersengkang mata dan kudrat menghabiskan tugasan sehingga tengahari sabtu. Masa berlebihan sekitar sejam sebelum berangkat ke KL Sentral saya luangkan untuk berjalan seketika di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, ke kedai buku mencari koleksi buku terbaru untuk dibawa pulang. Foto-foto itu saya akan kongsikan dalam entri akan datang.

Kesesakan dan kepadatan tugas kali ini menyebabkan waktu sembang dan santai hampir tiada langsung kecuali waktu makan atau ketika kami dalam bas menuju solat jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Itu pun ada sahabat-sahabat yang turut membawa bahan untuk disemak dalam perjalanan terutama bahan digital yang didengar sepanjang perjalanan pergi dan balik. Walaupun tugasan yang banyak, kami tetap diingatkan agar tidak semberono dan cuai dalam tugasan. Mudah-mudahan tugasan menyemak al-Quran ini diterima oleh Allah SWT.

Ketika mesyuarat memasuki hari terakhir, kami dikunjungi oleh sepasukan krew TV al-Hijrah untuk membuat rakaman berkenaan proses penyemakan al-Quran dilakukan oleh Lajnah Tashih al-Quran KDN ini. Ia rakaman langsung, bukan lakonan, mereka menyaksikan sendiri sesi mesyuarat berlangsung, dan kemudiannya selesai mesyuarat berakhir, pengacaranya Wan Kamaruddin menemubual pengerusi kami, Ybhg Dato’ Haji Shaikh Mohammad Nor Mansur al-Hafiz.

Katanya, ia akan disiarkan dalam rancangan ‘Khidmat Syariah’ di TV al-Hijrah pada hari khamis jam 8.30 malam. Alhamdulillah mudah-mudahan ia dapat menjelaskan proses penyemakan al-Quran kepada para penonton khususnya umat Islam dan memberikan kefahaman tentang kewajiban mereka mengasihi al-Quran al-Karim. Kalau tidak dapat menonton, insya Allah akan ada rakaman atau ulangannya nanti. Rajin-rajinlah menonton tv al-Hijrah.

Alhamdulillah, selesai mengadakan mesyuarat sejak jumaat malam sabtu hingga tengahari tadi di Hotel Regency Jalan Raja Alang Kampung Baru Kuala Lumpur. Lokasi yang pertama kali saya masuk dan menginap di sini, walaupun sebelum ini jalan berkenaan pernah beberapa kali saya lalui kerana hajat makan durian bersama sahabat-sahabat lain yang merupakan tempat paling strategik di sini.

Kehadiran mesyuarat sangat baik, hanya seorang ahli lajnah yang tidak hadir iaitu Ustaz Shukri Sarkawi dari Sarawak yang menunaikan fardhu haji bersama rombongan Majlis Ugama Islam Sarawak. Di pihak urus setia, Ustaz Haji Mohd Rahimi Dato’ Ibrahim juga sudah bertolak ke tanah suci. Minggu hadapan khabarnya pengerusi kami Ybhg Dato’ Haji Mohammad Nor Mansur juga berangkat sama.

Muqaddimah pertemuan kami turut dihadiri oleh Encik Abdul Aziz Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran dan Ustaz Nawawi, Timbalan Setiausaha Bahagian. Mesyuarat awal tertumpu beberapa perkara antaranya berkait dengan kekuatan yang wajar digembeling dan kelemahan manusiawai yang patut diperbaiki dalam memeriksa dan mengesahkan sesuatu bahan al-Quran yang disemak.

Bermula malam itu sehingga pagi isnin tadi, secara keseluruhannya setiap seorang daripada kami menyemak 62 juzu’. Memang kali ini agak meletihkan, di mana setidak-tidaknya pada sepanjang sabtu dan ahad sebaiknya menyelesaikan 30 juzu’ sehari, sementara pagi isnin untuk membuat rumusan dan laporan sebelum mesyuarat akhir diadakan, memberikan cadangan kepada lembaga teks al-Quran, sama ada menerima atau menolak bahan al-Quran yang sudah disemak.

Ada sedikit kelainan dalam mesyuarat ini, ahli lajnah dibahagi-bahagikan kepada kumpulan, bertanggungjawab kepada bahan-bahan semakan tertentu daripada awal juzu’ sehingga ke akhirnya, membahagi-bahagikan sendiri jumlah juzu’ sesama ahli kumpulan masing-masing dan duduk secara berkumpulan di meja bulat. Alhamdulillah, semuanya dapat disudahkan dengan baik.

BERSAMA TO’ WAN

Satu majlis ringkas tetapi bermakna bagi kami semua – ahli-ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah Majlis Penghargaan Bersama Dato’ Haji Wan Mohammad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru bersara pada 22 April lalu. Majlis berkenaan diadakan di hotel quality, pada malam sabtu.

Dalam ucapannya, Dato’ Wan menggesa JK Lajnah Tashih al-Quran ini lebih berinovasi dalam mendepani cabaran penjagaan al-Quran khususnya pada zaman teknologi ini. Ada tiga perkara yang dicadangkan oleh beliau, pertama lajnah ini berusaha untuk mencipta kandungan pendidikan al-Quran yang bermanfaat kepada umat Islam bahkan kepada yang bukan Islam juga.

Kedua, beliau mencadangkan agar muzakarah serantau bersama ahli lajnah tashih diadakan. Buat permulaan muzakarah berkenaan mengundang ahli-ahli lajnah peringkat ASEAN, sebelum diangkat ke peringkat lebih tinggi seperti mengundang negara-negara Islam yang lain. Muzakarah berkenaan isu-isu penjagaan al-Quran dan seumpamanya menjadi objektif dan matlamat ia diadakan.

Ketiga, beliau turut mencadangkan agar lajnah tashih mengambil manfaat kehadiran 10 pensyarah dari Universiti al-Azhar yang bertugas di Malaysia khususnya di JAKIM. (JAKIM telah bekerjasama dengan Universiti al-Azhar  untuk mendapatkan tenaga-tenaga pengajar). Kepakaran mereka boleh dimanfaatkan dalam kerja-kerja pentashihan termasuk di dalam lembaga atau urus setia kawalan teks al-Quran.

Terdahulu, Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran Datuk Sheikh Mohammad Nor Mansor al-Hafiz bagi pihak seluruh ahli lajnah mengucapkan setinggi penghargaan kepada Dato’ Wan Mohamad atas jasa besar yang ditinggalkan selama berkhidmat untuk Islam. Katanya, hubungan akrab yang lama terjalin khususnya sejak beliau menjadi pengetua Darul Quran pada akhir 90an sehingga menjadi Ketua Pengarah JAKIM telah memartabatkan JAKIM dan institusi-institusi Islam yang lain seperti yang ada sekarang ini dan ia sewajarnya diteruskan oleh KP JAKIM yang baru.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM yang baru Ustaz Othman Mustafa, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Encik Abdul Aziz Mohd Nor, timbalannya Ustaz Mohd Nawi Bakar, semua ahli lajnah tashih al-Quran serta urus setia Unit  Kawalan Teks al-Quran. Majlis berakhir pada jam 10 malam.


Bertemu lagi dengan seluruh ahli Lajnah Tashih al-Quran, kali ini kembali ke Hotel Quality Kuala Lumpur. Baru dua malam pulang ke Kota Kinabalu, kali ini datang pula memenuhi kerja-kerja penyemakan dan pengesahan mashaf sama ada berbentuk teks, digital atau pen al-Quran yang agak banyak kali ini. Keseluruhannya setiap ahli yang hadir (kali ini seramai 34 orang, kecuali Dato’ Salahuddin yang menunaikan umrah) menyemak sekitar 45-46 juzu’ seorang.

Sangat jelas permintaan untuk menyemak dan mengesahkan al-Quran berbentuk digital sangat tinggi sekali. Sebagai contoh, daripada 46 juzu’ yang saya terima keseluruhan, ada 30 juzu’ adalah al-Quran digital dan al-Quran telefon bimbit. Daripada segi dakwahnya, ia adalah sangat baik untuk menyebarluaskan pembacaan al-Quran bahkan teknologi ini dilengkapi pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu, himpunan hadith-hadith dan sebagainya.

Hanya teknologi seumpama ini sangat terdedah kepada kesilapan dan kerosakan seperti yang berkait dalam soal rasm (tulisan), dhobt (tanda), dan tilawah (bacaan) kerana kebanyakan al-Quran digital menggabungkan video dan audio. Ertinya ada paparan teks al-Quran sekaligus qari yang membacanya, yang kedua-duanya perlu disemak oleh ahli lajnah. Sekiranya qari membaca dengan terlalu perlahan, maka masa yang lama akan diambil untuk menyelesaikan satu-satu juzu’.

Alhamdulillah, pada pertemuan kali ini saya sendiri dapat menyelesaikan semakan terakhir sehingga jam 4 pagi sebelum mesyuarat terakhir diadakan pada jam 10 pagi. Mudah-mudahan kerja-kerja ini diberkati oleh Allah SWT dalam rangka untuk memelihara al-Quran daripada diselewengkan oleh musuh-musuh Islam.

ZIARAH KE AMSYIQ

Semua ahli Lajnah Tashih al-Quran dan warga Unit Penerbitan al-Quran KDN berkesempatan berkunjung ke pejabat Amsyiq Gold Enterprise milik  Sheikhul Maqari Ustaz Haji Osman Hamzah, mantan Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam. Kalimah AMSYIQ itu sendiri membawa makna Akademi Maqari Syifa Qurani.

Rupanya kunjungan kami ke pejabat AMSYIQ di Pangsapuri Bistari Persiaran Kemajuan, Shah Alam tempohari sedia disambut oleh petugas-petugas dan keluarga AMSYIQ. Sempena kunjungan kami juga diadakan sedikit majlis ringkas pelancaran Amsyiq Gold Coin oleh Dato’ Sheikh Haji Mohammad Nor Mansur, Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran KDN.

Kami juga berpeluang mendengar taklimat ringkas berkenaan perkembangan semasa dinar emas dan melihat sendiri pameran dinar, emas dan perak. Selain itu, barangkali istimewa pertemuan berkenaan apabila kami bertemu dan beramah mesra dengan Dato’ Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, Pengarah Urusan Proton Holding Berhad. Beliau memberitahu rancangan Proton untuk membuat perisian GPS yang dilengkapi dengan bacaan al-Quran, arah kiblat dan sebagainya.


%d bloggers like this: