Tag Archive: KUWASA



Saya ditemani Sdr Ribbang Hj Ampong untuk mengisi program tazkirah menjelang Ramadhan di Bahagian Audit Jabatan Pelajaran Negeri Sabah di bangunan KUWASA pada pagi isnin lalu. Sudah dua tahun berturut-turut saya mengisi program yang sama menjelang Ramadhan di pejabat ini.

Saya mengemukakan beberapa buah hadith sebagai pengisian ceramah untuk diamplikasikan dalam bulan Ramadhan. Slot ini jangkanya berakhir dalam tempoh sejam namun hanya selesai 4 jam kemudian. Terima kasih buat semua.


Ini penampilan pertama saya hadir dan mengisi program di Kolej PTPL. Kolej ini khabarnya sudah menjangkau 10 tahun dan kini beroperasi di blok A, KUWASA. Program yang saya hadiri ini namanya Program Jom Ibadah anjuran Kelab Modal Insan kolej berkenaan.

Seramai 50 peserta menyertai program ini yang bermula sejak petang jumaat. Selain saya, turut terlibat dalam mengisi program ialah Ustaz Shahir Ismail dari IPG Gaya. Tajuk yang diminta saya sampaikan ialah Klinik Wudhu’, Solat & Hikmah Pergerakan.

Dalam suasana santai dan relaks – kerana ceramah di hadapan orang muda dan belia, saya melihat sebahagian besar mereka tetap ada kesedaran berikutan soalan dan pertanyaan yang bertubi-tubi terpaksa saya jawab. Kami juga bersama-sama membaca bacaan-bacaan dalam solat seperti doa iftitah, qunut, fatihah, tasyahhud dan sebagainya.

Saya gembira dapat bersama-sama mereka, dan terasa singkatnya masa. Insya Allah jika diundang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk bersama mereka lagi. Terima kasih Cik Norbety Ramli yang mengundang, dan juga kepada pengetua yang baik hati dan semua peserta yang kelihatannya gembira dengan program ini.


KELAS AL-QURAN

“Orang yang mahir membaca al-Quran tempatnya bersama malaikat yang mulia. Sementara orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap dan kepayahan, dia mendapat dua pahala”.

Notis : Hubungi saya 013-8510199 melalui telefon terus atau sms atau whatsapp.

Saya sangat menghargai mereka yang bertahan lama dan sanggup mengaji al-Quran hatta daripada peringkat asas. Walaupun peringkat dewasa, hakikatnya tiada istilah lewat kecuali jika kesedaran itu tiba sesudah kita berada di lubang kubur.

Di kalangan mereka yang mengaji al-Quran bersama saya, ada yang bermula sejak tahun 2005 lagi dan masih bertahan sehingga kini. Istiqamah itulah yang amat berharga sekali meskipun kualiti bacaan dilihat biasa-biasa saja.

Kelas itu bermula di pejabat am Masjid Negeri Sabah, kemudian berpindah ke rumah sahabat di Quarters Perguruan Bukit Padang, pernah di Madrasah Nurul Hikmah Bukit Padang, kemudian beralih lagi ke pejabat Sektor Pengurusan Akademik (SPA) di KUWASA sehingga kini.

Di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral pula, rasanya sudah setahun kami memulakan kuliah maghrib dengan subjek tajwid al-Quran. Bermula dengan sesi talaqqi beramai-ramai, kemudian terjemahan dan huraian ringkas ayat yang dibaca, kemudian para peserta membaca bergilir-gilir ayat demi ayat sambil saya menyemaknya.

Tilawah mereka ditegur secara sederhana, tidak terlalu menekan atau sebaliknya. Saya amat meraikan Tuan Hj Farid Abdullah yang tidak membaca tetapi kehadirannya paling awal itu saya hormati.

Beliau pernah memberitahu saya sedang mengadakan kelas mengaji di rumahnya di peringkat asas. Bersama saya walaupun segan membaca, dia tetap duduk bersama memerhati al-Quran di hadapannya. Rasanya jarang sekali beliau ponteng kelas bahkan beliaulah yang paling awal hadir dan menyediakan air minum saya. Semoga Allah SWT memberi pahala kepada beliau.

Begitu juga Tuan Hj Fauzi How yang nampaknya bersungguh-sungguh mendalami tilawah al-Quran ini. Kepada beliau dan orang yang membaca dalam serba kepayahan, hadith di atas mudah-mudahan menjadi penghiburnya.

Teruskan dan teruskan. Insya Allah janji dan ganjaran baik daripada Allah SWT.

REFLEK KAKI

Sambil-sambil kelas mengaji al-Quran di SPA KUWASA berjalan, di pintu masuk pejabat berkenaan ada batu-batu ini untuk dipijak-pijak.

Kelas mengaji berlanjutan biasanya berlanjutan hingga 2-3 jam, jadi agak letih diam mendengar. Sesekali bangun berjalan dan memijak-mijak batu berkenaan untuk menghilang letih dan mengantuk.

Nyaman juga rasanya apabila batu mengena tempat dan celah tapak kaki yang sakit.

Teringat, Allahyarham nenek kami yang meninggal dunia pada januari 1992, semasa hayatnya gemar berjalan kaki di luar rumah tanpa selipar atau kasut. Zaman itu rasanya belum timbul tentang premis niaga urut refleksologi kaki seperti sekarang.

Allahyarham nenek Saliha binti Bakar meninggal dunia ketika umur melewati 90 tahun.

IMG_7099

Di hadapan kira-kira 20 orang warga Bahagian Audit Sekolah, Jabatan Pelajaran yang berpejabat di bangunan KUWASA, saya memulakan pertemuan pagi semalam dengan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang bergembira dengan masuknya bulan Ramadhan, Allah SWT mengharamkan jasadnya disentuh api nereka”

Hadith tersebut menjelaskan sikap sebenar yang patut diamalkan oleh orang Islam, iaitu gembira dengan kedatangan Ramadhan.

Menjelang Ramadhan, kita menyaksikan bermacam perangai manusia. Ada yang suka gembira, ada pula yang sedih berduka, ada juga yang suram dan muram wajahnya.

Dalam ceramah itu juga, saya mencadangkan agar kita mengurangkan sebutan ‘bulan puasa’, kerana ia hanya mengingatkan masyarakat tentang puasa sahaja. Sedangkan di dalam bulan Ramadhan banyak lagi amalan lain.

Sebutan tentang bulan puasa menyebabkan ramai terlalai tentang perintah solat, membaca al-Quran, membayar zakat, bersedekah, bertarawih, berqiyamullail, beriktikaf dan seumpamanya.

Hasilnya, ramai yang hanya sekadar berpuasa tetapi tidak solat, tidak ke masjid, semuanya tidak. Yang dikenangnya, sejak awal pagi lagi, petang nanti apa yang hendak dimakan.

Kalau kita makan nasi, kita perlukan lauk. Nasi itu yang wajib, sementara lauk pauk adalah sunnatnya. Dalam bab makan, kita tidak sekadar makan nasi sepinggan, tetapi sekali dengan lauknya.

Begitulah amal ibadah yang kita lakukan, tidak sekadar puasa yang wajib ditunai tetapi juga mengambil fadhilat tentang ibadah-ibadah yang lain sama ada wajib atau sunnatnya.

Kepada Puan Zainon dan semua anak buahnya, terima kasih atas undangan. Ada umur kita bertemu lagi.

Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

IMG_7096

IMG_5918

Pagi tadi pula, saya mengisi ceramah yang sama di Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Jabatan Pelajaran Sabah, Bangunan KUWASA.

Rasanya, ini adalah ceramah isra & mi’raj yang ke-6, selepas RTM, GiatMARA, Kg Dumpiring Atas Kundasang, Kg Pelakat Sipitang dan Kg Serigai Putatan.

Hari ini saya tumpukan ceramah tentang pengajaran menerusi ayat 1 surah al-Isra’. Masa yang terbatas, tidak mengizinkan saya bercakap lebih lama.

Tetapi, yang lebih utama di sini ialah aplikasi kita untuk menjadi hamba Allah melalui contoh yang santai dan mudah, seperti zikir harian, solat fardhu, serta pergerakan seharian.

Sebenarnya, saya seronok berceramah kerana peluang berkongsi ilmu dan pendapat serta ruang berbuat pahala yang banyak kerana kemungkinan besar ilmu yang kita kongsikan itu diamalkan sama oleh para pendengar selepas ini.

Tambahan pula, berhadapan dengan pegawai-pegawai di SPA, saya seronok melihat kebanyakan mereka tidak lekang dengan pen dan buku, mencatat apa yang patut.

Tetapi satu segi yang lain, kadang-kadang saya tertanya-tanya juga apakah dengan banyaknya jemputan ceramah itu menunjukkan kita kekurangan penceramah dan pendakwah?

Bukan hendak mengangkat diri, tetapi saya mendapati beberapa rakan-rakan ustaz seperti tidak menang tangan menerima jemputan ceramah, sehingga dalam beberapa keadaan terpaksa menolak jemputan yang diberikan. Habiskah sudah penceramah dan pendakwah kita?

Sebenarnya di luar sana, terlalu ramai ustaz dan ustazah yang mampu berceramah dengan lebih hebat dan baik, tetapi tidak disedari oleh penganjur.

Satu hal pula, mungkin ada ustaz dan ustazah yang juga tidak menyedari mereka boleh berceramah dan sangat diperlukan oleh masyarakat untuk membimbing mereka.

Di mana ada sekolah, di sana ada ustaz dan ustazah. Panggillah mereka untuk berceramah dan berkuliah. Bukan hanya untuk hari kebesaran Islam, tetapi dalam kuliah tetap yang disusun secara berkala.

Terima kasih kepada Puan Hjh Nuri Udin, Ketua SPA bersama warganya yang hadir. Dalam kita bergembira, tersengih, tersenyum dan ketawa, ambillah pengajaran dan teladan. Itulah yang lebih aulanya.

IMG_5917

%d bloggers like this: