Tag Archive: Kursus Tahsin Solat


Sesudah kehadiran kursus yang sedikit muram pada dua siri lalu, ‘kursus tahsin solat : asas-asas solat’ anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, sedikit melonjak dengan kehadiran lebih 100 orang memenuhi bilik kuliah masjid. Lebih menggembirakan kehadiran ramainya peserta baru yang pertama kali hadir ke kursus ini.

Saya ditunjukkan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim selaku penceramah kursusĀ  kali ini dengan kesungguhan beberapa peserta sejauh dari Keningau (128 km dari Kota Kinabalu) dan Kota Belud (70 km dari Kota Kinabalu). Begitu juga kemunculan jamaah-jamaah dari masjid dan surau lain sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Papar.

Tajuk berkenaan asas-asas solat merangkumi perbahasan fadhilat, syarat, rukun dan sunat solat. Selepas solat zuhur, sesi soal jawab mewarnai suasana kursus dengan pelbagai pertanyaan yang melampaui tajuk kursus namun tetap dijawab dengan baik oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Dua minggu berselang akan datang (24 April 2011), kursus akan bersambung dengan tajuk berkaitan ‘khusyuk dalam solat’. Semua dijemput hadir.

Mulai 13hb Mac 2011, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah melancarkan program kursus ‘Tahsin Solat’ secara bersiri dua minggu sekali setiap hari ahad di dewan solat Masjid Negeri Sabah bermula jam 8.00 pagi (pendaftaran) dengan yuran RM10 sahaja. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan oleh JK Syukbah, antaranya menambah dan menggabung tajuk-tajuk tertentu agar lebih padat dan bersesuaian.

Pada siri pertama 13hb Mac lalu, kursus yang menerima kehadiran hampir 100 peserta ini menyentuh berkenaan toharah (bersuci) sebagai muqaddimah kepada pelaksanaan ibadah solat. Antara yang disentuh ialah tentang pembahagian jenis air, jenis najis, istinjak, wudhu’ dan lain-lain lagi. Pembimbing kali ini ialah Ustaz Ezri, guru agama dari SMK Tebobon. Ustaz Ezri berasal dari Melaka dan pernah menuntut di Yaman dan Mesir.

Siri seterusnya diadakan pada 27 Mac 2011, menyambung huraian berkenaan bersuci, juga oleh Ustaz Ezri. Semua dijemput hadir.

Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah diteruskan lagi dengan siri ke-4 pada ahad. Kali ini jumlah peserta jatuh sedikit kepada 200 orang sahaja.

Ketika saya tiba tepat jam 8.30 pagi, kelihatan pengacara majlis, Ribbang Hj Ampong baru memulakan acara dengan memperkenalkan sekali lagi biodata ringkas pembimbing iaitu Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Siri ke-4 kali ini berkisar tentang solat-solat sunat. Penceramah menghuraikan satu persatu pembahagian solat-solat berkenaan, sama ada solat sunat yang disunnatkan berjamaah dan solat sunat yang tidak disunatkan berjamaah.

Kursus berhenti rehat pada jam 12 tengahari untuk memberi laluan kepada solat zuhur dan kemudiannya bersambung pada jam 1 tengahari dengan sesi soal jawab yang biasanya dinanti-nanti oleh para peserta.

Tidak kurang 25 soalan yang dijawab oleh Ustaz Hj Muchlish dengan baik sekali. Majlis berakhir pada jam 2.30 petang dengan acara kuiz dan penyampaian sijil kepada semua peserta.

%d bloggers like this: