Tag Archive: Kursus Ibadah Qurban


Alhamdulillah, dalam keterbatasan masa, tenaga dan seumpamanya, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah dapat menganjurkan Kursus Ibadah Qurban dan Penyembelihan pagi tadi di bilik kuliah 2 Masjid Negeri. Sebenarnya idea untuk mengadakan kursus berkenaan pada tahun ini sudah saya lontarkan sekitar sebulan lalu, tetapi ketika itu belum ada muafakat tarikh dan pembimbing atas beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan di sini.

Dua kertas kerja dengan dua pembimbing mengisi slot yang diamanahkan. Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dengan ┬átajuk ‘ibadah qurban’ dan Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi dengan topik ‘wakalah’. Ustaz Muchlish Ali Kasim memberi tumpuan kepada sejarah, keutamaan dan hukum asas ibadah qurban seperti hukum pelaksanaan, waktu penyembelihan, umur haiwan, masalah kecacatan atau aib haiwan, pembahagian daging qurban dan adab-adabnya. Sementara Datuk Haji Asmali memfokuskan tentang masalah berwakil ketika berqurban, kerana ramai orang yang berqurban tidak menghadiri majlis qurban dan hanya mewakilkan kepada pihak penganjur, maka kaedah berwakil dan adab-adabnya perlu difahami.

Jujurnya kesuntukan masa dalam menghebah dan mempromosikan program menyebabkan kehadiran agak kurang memuaskan. Berdasarkan pengalaman kami menganjurkan kursus, walaupun hebahan dibuat di Masjid Negeri Sabah melalui pengumuman sebelum azan jumaat, notis iklan di papan kenyataan, promosi di blog, facebook dan sms, biasanya sambutan tetap berkurangan. Strategi yang agak memenatkan, gaya lama tetapi berkesan ialah menghantar surat undangan ke masjid-masjid dan surau.

Ia kami lakukan ketika menganjurkan seminar azan tempohari. Kehadirannya lebih 200 orang, surat dan maklumat sampai ke masjid dan surau kerana ia berbentuk surat rasmi kepada pengerusi dan imam. Tetapi ia memerlukan kerja keras, bergerak ke masjid-masjid dan surau-surau, dan masa yang lebih luas kerana petugas adalah sukarelawan, bukan pekerja sepenuh masa. Kerja-kerja menghantar surat dibuat pada hujung-hujung minggu dan untuk kepuasan, ia dibuat oleh sukarelawan sendiri, bukan dikirimkan kepada sebarangan orang.

Insya Allah kualiti penganjuran perlu dan akan dipertingkatkan pada masa akan datang, dan kami sangat memerlukan tenaga sukarelawan untuk membantu kerja-kerja ini. Kasihan juga sahabat-sahabat yang mengendalikan pelbagai kursus terpaksa bertungkus lumus daripada awal sehingga ke akhirnya. Daripada bab kerja susun kerusi, kebersihan, jaga kaunter pendaftaran, pengacara majlis, jaga jamuan, tahniah kepada Tuan Haji Mohd Pozi Awang, Chef Abdullah Ahmad, Ribbang Haji Ampong, Cikgu Zainal Yussuf dan lain-lain. Semoga ada pahala untuk kalian.

KURSUS IBADAH QURBAN

 

Tarikh : 6 November 2010 (Sabtu)

Masa : 8 pagi – 12 tengahari

Tempat : Masjid Negeri Sabah

Pembimbing : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Yuran : RM10.00 Sahaja

Wakil-wakil masjid, surau, NGO, badan kebajikan di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, siswa di IPTA & IPTS serta umat Islam sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Barat Sabah dijemput hadir.

%d bloggers like this: