Barangkali saya terlambat untuk mendedahkan hal ini lewat blog. Kursus Haji untuk sesi 2011/1432 sudahpun bermula sejak 12 Mac 2011 dan sedang berlangsung setiap sabtu. Bagi di Kota Kinabalu, kursus berlangsung di Masjid Negeri Sabah antara jam 8 pagi hingga tengahari dengan bimbingan tenaga-tenaga pengajar yang dilantik oleh Tabung Haji sendiri. Di sini kursus akan berjalan selama 10 minggu dengan 5 jam setiap kali pertemuan.

Sesuatu yang tidak ramai mengetahui tentang kursus ini ialah ia terbuka kepada semua, sama ada mereka sudah mendaftar sebagai calon jamaah haji 1432 atau belum. Anggapan ramai bahawa kursus ini hanya disasarkan kepada bakal haji tahun berkenaan sahaja. Bagi saya eloklah setiap umat Islam mendalami ilmu berkenaan ibadah haji dan umrah ini, bukan semestinya menunggu nama masing-masing naik untuk ibadah fardhu haji.

Saya ada sedikit pengalaman dalam hal ini ketika menunaikan fardhu haji pada tahun 2002. Seorang jamaah haji dari Sabah yang kami temui di Kota Makkah bercerita yang dia langsung tidak pernah menyertai kursus haji hanya kerana beranggapan bahawa namanya tidak tersenarai sebagai bakal haji. Statusnya ketika itu hanya dalam senarai menunggu.

Menjadi kebiasaan pemerintah Arab Saudi memberikan kouta tambahan pada saat akhir kepada negara-negara tertentu dan Malaysia mendapat bahagiannya. Maka menjadi rezeki jamaah yang saya temui itu untuk menunaikan fardhu haji tahun berkenaan. Rombongan mereka ke Madinah terlebih dahulu sebelum meneruskan misi ke Makkah selepasnya. Saya bertemunya di Makkah.

Namun malangnya beliau memberitahu bahawa sesudah tiba di Makkah, barulah beliau mengetahui bahawa selama 8-9 hari lalu beliau berada di bumi Madinatur Rasul, tempat bersemadinya jasad Rasulullah SAW dan lokasi taman syurga sebagaimana yang disebutkan dalam hadith-hadith Rasulullah SAW. Alangkah jahilnya. Semoga Allah mengampunkan beliau dan kita semua di atas kelalaian ini.

Nota : Saya diminta memimpin solat hajat tempohari bersama bakal-bakal haji dalam kursus mereka. Memohon kepada Allah SWT agar dimudahkan segala urusan bermula proses pembelajaran kursus, kewangan, perjalanan pergi dan balik serta ibadah haji dan yang berkaitan dengannya. Sebak juga memimpin solat hajat, sedangkan saya tidak termasuk daripada kalangan mereka. Semoga suatu hari nanti saya berpeluang lagi ke sana.