Tag Archive: Kuliah Tafsir


Pengajian adalah secara percuma. Sebaik-baiknya membaca terjemahan al-Quran untuk mengikuti kuliah berkenaan.

Umat Islam dijemput hadir. Kuliah adalah percuma.


Alhamdulillah, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah melancarkan satu lagi program ‘menempuh jalan ke syurga’ dengan menambah siri-siri kuliah tetap dengan memulakan Kuliah Tafsir malam tadi.

Ustaz Muchlish Ali Kasim selaku Pengerusi Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah memulakan kuliah berkenaan dengan menyampaikan beberapa perkara asas berkenaan ilmu tafsir. Ia termasuklah tentang perbahasan kalimah tafsir, kepentingannya, jenis-jenis tafsir dan sebagainya.

Dengan pelancaran kuliah tafsir ini, Syukbah Dakwah mempunyai 5 kuliah bersiri setiap minggu yang diadakan secara percuma. Jadualnya adalah seperti berikut :

Isnin – Tasauf – 8.30-9.30 malam oleh Ust Hj Mursal Muchtar

Selasa – Fekah – 8.30-9.30 malam oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim

Rabu – Tauhid – 8.30-9.30 malam oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim

Sabtu – Tajwid – 6.00-8.00 pagi oleh Datuk Hj Mokhtar Rapok

Sabtu – Tafsir – 8.30-9.30 malam oleh 4 orang ustaz yang bergilir-gilir.


Pelancaran kuliah ini yang dihadiri sekitar 40 jamaah semalam bagi memperbaiki lagi kefahaman umat Islam berkenaan al-Quran al-Karim yang sudah dipelajari bentuk bacaannya. Sudah tentu membaca al-Quran tanpa memahaminya tidak memadai kerana dimaklumi al-Quran adalah sumber rujukan dalam kehidupan manusia. Ia juga menambah lagi ilmu asas agama Islam dalam setiap diri disamping mempelajari ilmu tauhid, fekah dan tasauf.

Umat Islam di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dijemput hadir ke kuliah-kuliah yang diadakan. Sebarang sumbangan idea, kewangan, atau pertanyaan sila berhubung dengan nombor-nombor berikut : 019-8025254 (Hj Md Pozi Awang), 019-8305566 (Cikgu Zainal Yusuf) atau 012-8691220 (Chef Abdullah Ahmad).

Pelancaran kuliah tafsir berkenaan semalam dilakukan dengan bersama-sama membaca Ummul Kitab al-Fatihah.




Kalau tidak salah, saya memulakan kuliah maghrib subjek tafsir al-Quran di Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut seminggu sebelum dipindahkan ke Istana Negeri, iaitu penghujung oktober 2006.

Dengan serba kekurangan dan kelemahan, saya mencuba sedikit demi sedikit. Kami memulakan kuliah itu dengan mengupas sedikit kepentingan belajar terjemahan dan tafsir al-Quran kepada masyarakat Islam, khususnya kita yang bukan Arab ini.

Huraian surah al-Fatihah, pada minggu kedua dimulakan dan dihabiskan selama 3 kali kuliah maghrib setiap ahad malam isnin. Kemudian surah-surah lazim, beberapa surah terpilih seperti Yasin, as-Sajadah, Luqman, ad-Dukhan, al-Hujurat, an-Nur dan ar-Rahman.

Minggu lalu, kami memulakan surah baru iaitu surah Yusuf pula.

Lebih 3 tahun lalu, ketika memulakan kuliah ini, saya ada berpesan kepada mereka agar memiliki senaskhah terjemahan al-Quran, paling baik ialah Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM.

Setiap kali memulakan surah baru, saya menyediakan nota sebanyak 20 set yang mengandungi surah berkenaan – ayat dan terjemahannya.

Nota yang saya sediakan itu biasanya mereka kumpul dan simpan di rak surau. Tiada catatan tulisan tangan masing-masing kerana menganggap itu milik surau. Maka jamaah akan pulang berlenggang tanpa buku di tangan.

Mulai minggu lalu, spontan saya mengingatkan mereka. Saya tidak lagi menyediakan salinan nota.

Saya sangat berharap masing-masing menginfaqkan sedikit harta untuk membeli tafsir lengkap 30 juz yang berharga sekitar RM50-60 itu, untuk dipelajari bersama-sama demi kebahagiaan dunia hingga akhirat.

Buku milik sendiri boleh catatan sisi, dan dirujuk semula apabila berada di rumah. Itu hasrat saya.

Harapnya, seruan saya lebih 3 tahun lalu akan dipenuhi minggu ini.

%d bloggers like this: