Tag Archive: Kuliah Sirah


Kuliah Sirah secara bulanan bersama Syukbah Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan sabtu lepas. Kehadiran kelihatan lebih ramai berbanding bulan lalu. Saya sangat positif kehadiran mereka dan satu sisi lain mencabar diri saya untuk persediaan yang lebih rapi.

Sebenarnya, saya jarang mengajar atas subjek Sirah Nabawi kecuali sekali ketika mengajar di Maahad Tahfiz sekitar tahun 2004-2005 menggunakan kitab ar-Rahiqul Makhtum yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. ‘Keberanian’ saya menerima pelawaan mereka khususnya Ybhg Dr Hajjah Suzain Datuk Suhaimi ┬álebih kepada supaya saya lebih banyak membaca buku-buku rujukan dan mempelbagaikan kebolehan dalam mengisi kuliah atau ceramah agama.

Kalau bulan lepas kuliah muqaddimah itu lebih kepada memperkenalkan tujuan dan keperluan mempelajari sirah nabawi, kaitan sirah nabawi dengan aqidah islamiyah, serta salsilah daripada Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW. Pertemuan kali ini pula membincangkan tentang beberapa kisah Nabi Adam AS seperti kejadiannya, tujuan baginda dijadikan, penciptaan Hawa, godaan iblis sehinggalah Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi serta kisah anak mereka Qabil dan Habil.

Sedikit masa di hujung kuliah saya mempersilakan satu kumpulan kalangan mereka untuk membentangkan berkenaan Nabi Nuh AS. Sebenarnya dalam kuliah siri 1 pada bulan lepas, ada tugasan untuk mereka membentangkan 5 Rasul Ulul Azmi. Kumpulan yang membentangkan kisah Nabi Nuh AS ini nampaknya melakukan kerja rumah mereka dengan baik, pembentangan lengkap dengan dalil ayat al-Quran daripada pelbagai surah.

Semoga bertemu lagi pada bulan hadapan.

Pada asalnya kuliah bulanan subjek sirah nabawi ini sepatutnya bermula pada bulan Mac lepas, namun berhalangan kerana saya ada tugasan di luar. Namun alhamdulillah, seperti yang diharapkan kuliah bermula juga akhirnya pada sabtu lepas dalam tempoh 2 jam di bilik mesyuarat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Saya tabik kepada kesungguhan dan kerjasama berpasukan Syukbah Wanita Masjid Bandaraya yang diketuai oleh Dr Hajjah Suzain Datuk Suhaimi yang dikenali sebagai tunggak bagi syukbah ini menjalankan aktivitinya. Apa yang saya tahu, kebanyakan aktiviti mereka dibiayai sendiri oleh kumpulan ini dan mereka yang terlibat. Antara aktiviti yang menjadi rutin syukbah ini ialah kelas al-Quran dan kelas-kelas agama serta program ziarah pesakit paliatif iaitu pesakit-pesakit kronik.

Kembali kepada kuliah sirah ini. Sebenarnya di satu sisi saya merasa gerun juga untuk menerima jemputan syukbah ini kerana saya bukannya pakar dalam bab sirah. Apatah lagi mereka meminta saya memulakan perbincangan tentang objektif dan menghuraikan susur galur @ salsilah para nabi bermula daripada Nabi Adam AS sehingga kepada Rasulullah SAW, juga pecahan antara bangsa arab dan bani israil yang patut diketahui.

Namun undangan ini saya anggap sebagai satu cabaran untuk saya sendiri mendalami dan membaca lebih banyak maklumat tentang kisah-kisah para nabi seterusnya berkongsi dengan mereka serta mengambil teladan akan kisah-kisah yang dikongsikan. Pada akhir perbincangan, saya meminta mereka membuat 5 kumpulan untuk masing-masing melakukan sedikit carian berkenaan kisah-kisah 5 rasul ulul azmi – Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW untuk dibentang pada bulan hadapan. Insya Allah.

%d bloggers like this: