Tag Archive: Kuliah Perubatan Islam Masjid Negeri Sabah


CEMPAKA TERSENYUM

Ayat al-Quran dibacakan kepadanya yang sudah terbaring. Sejak awal dia duduk di bilik itu saya perhati matanya sudah menjeling tajam walaupun kepalanya sedikit tertunduk. Dia gadis muda berumur 20an dari sebuah daerah di Kota Belud tetapi bekerja di Kota Kinabalu.

“Diamlah!!” jerit Cempaka. Beberapa ustazah terus membacakan ruqyah walaupun suara Cempaka semakin tinggi menyuruh orang sekelilingnya diam. Antaranya dibacakan surah al-Fatihah, ayatul kursi, tiga qul, beberapa ayat lain dari surah al-Mukminun, al-Anbiya, al-Hasyr, Ghafir serta beberapa doa bersumber hadith Nabi yang berkaitan.

“Cempaka dari mana?” Tanya saya. Cempaka marah-marah. Dia hanya menjerit dan tidak mahu menjawab soalan.

“Aku mau ikut dia balik bah!”

“Cempaka asal dari mana?” Saya bertanya lagi.

“Kampung Kelawat bah!”

“Kenapa Cempaka kacau perempuan ini?” Tanya ustazah Elfi pula.

“Aku mau ikut dia balik. Ada orang tunggu aku di sana. Abang dia mau kawan dengan aku tapi perempuan ni tidak suka kami tinggal di sana. Dia kacau kami. Aku mau dia mati!!” Saya baru memahami kemudiannya, maksud perempuan itu mengacaunya kerana perempuan itu seorang muslimah yang baik, rajin membaca al-Quran dan ma’thurat, lalu Cempaka dan kawan-kawannya terganggu.

“Kalau begitu tinggalkanlah dia”, pujuk ustazah. Sementara yang lain terus membacakan ruqyah.

“Baca kuat lagi”, kata Ustaz Muchlish yang ada di samping ustazah. “Aku tunggu dia dengan air”, kata Ustaz. Sesekali Cempaka cuba mengamuk dan melepaskan diri. Tangannya digenggam erat menunjukkan penumbuknya. “Eiihhh!!!!”. Marah benar Cempaka apabila ayat-ayat itu dibacakan.

Imam Amiruddin kemudian turut tampil membantu mengazankan gadis berkenaan. Cempaka berteriak kuat, barangkali kesakitan. Lima muslimat memegang erat seluruh tubuh perempuan berkenaan yang meronta-ronta. Sehabis azan, Imam menghembus ke arah muka perempuan berkenaan.

“Nah, bau KFC kan?” Saya menyakat Cempaka. Kami melihat Cempaka hanya tersenyum.

p/s : Cempaka adalah nama jin perempuan yang berada dalam tubuh muslimah berkenaan.

PRAKTIKAL RAWATAN

Pengajian kelas perubatan Islam (KPI) anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah setiap ahad malam isnin bagi musim pertama sudah hampir ke penghujungnya. Pembimbing, Ustaz Nik Anwar Zakaria sudah mendedahkan banyak perkara berkaitan termasuk hal-hal aqidah, syariat serta ruqyah-ruqyah yang perlu dihafaz oleh semua perawat.

Terlalu banyak ilmu yang diperolehi terutama adab-adab seorang perawat (muallij),  serta kaedah merawat yang betul. Setelah melalui siri-siri pengajian, para penuntut juga diuji dan ditasmik hafazan mereka oleh naqib-naqib yang telah dipilih. Ahad malam isnin lalu pula diadakan sesi praktikal rawatan sambil pemantauan dilakukan oleh Ustaz Nik Anwar sendiri. Beberapa pesakit (yang benar-benar sakit) datang untuk diruqyah oleh para pelatih.

Secara praktikalnya pula, ia nampaknya memberi pengalaman baru dan menarik. Sesetengahnya, meruqyah secara berkumpulan apatah lagi pesakit yang agak ‘keras’ reaksinya. Kadang-kadang ada yang buntu apabila berhadapan dengan pesakit yang agresif, tidak tahu soalan apa yang hendak ditanya kepada jin berkenaan (walaupun sudah diajar dalam kuliah). Yang pentingnya pengalaman kali ini memang menarik sekali.

Idea untuk mewujudkan kelas ini sebenarnya sudah disuarakan beberapa tahun lalu namun barangkali ketika itu belum ada kekuatan dan sokongan pelbagai pihak. Di pihak Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, sudah beberapa kali seminar berkaitan perubatan Islam diperkatakan khususnya tentang rawatan dan gangguan makhluk halus, sihir, saka, azimat dan seumpamanya. Ia bagai satu promosi dan pendedahan awal kepada masyarakat.

Minggu kedua februari lalu, Kuliah Perubatan Islam secara mingguan anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pun bermula dengan penyertaan dibuka kepada umum selama tiga minggu berturut-turut sebelum ditutup. Jumlah akhir peserta kuliah ini menjangkau 132 orang, memenuhi ruang bilik kuliah Masjid Negeri Sabah.

Pihak Syukbah Dakwah berbesar hati dengan penyertaan semua pihak yang pelbagai latar belakang, ada ketua-ketua jabatan, bahkan para guru agama ramai yang turut serta dalam kuliah ini. Pengerusi Syukbah, Ustaz Haji Muchlish pernah mengeluarkan kenyataan bahawa, sedayanya pihak penganjur berharap tiada peserta yang disingkirkan kerana kelemahan-kelemahan tertentu selagi ia boleh diperbaiki. Begitu juga para peserta diharapkan bersabar dan istiqamah serta tidak mudah putus asa dalam mendalami ilmu ini.

Ustaz Nik Anwar Zakaria yang membimbing kelas ini sejak 3 minggu lalu juga berharap kuliah ini menjadi medan untuk semua peserta berdakwah kepada masyarakat melalui perubatan Islam kerana ramai di kalangan umat Islam yang terpedaya dengan penipuan bomoh dan pawang, terlibat dengan penggunaan azimat, tangkal dan pelbagai lagi kesalahan yang boleh menjejaskan aqidah.

Pihak urusetia juga sedang berunding dengan Pusat Perubatan Darussyifa di Bangi di bawah pimpinan Ybhg Dato’ Dr Haron Din agar kelas ini dijadikan sebagai cawangan yang berdaftar di bawah Darussyifa berdasarkan syarat-syarat tertentu kelak. Semoga urusan ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

%d bloggers like this: