Tag Archive: Kuliah Fekah Mazhab Syafie


KURANG SEDIKIT


Dari bangunan RTM Sabah, saya terus ke Masjid Negeri untuk mengikuti Kuliah Fekah bimbingan Ust Hj Muchlish Ali Kasim anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah setiap selasa malam rabu, 8.30-9.30 malam.

Ketika saya tiba, kuliah sudah hampir ke penghujung. Ini kerana program di Sabah FM berakhir jam 9, keluar dari sana sekitar 9.10 malam.

Kuliah masih merujuk jilid 1 Kitab Fekah Mazhab Syafie, dan menyentuh tentang zakat fitrah selepas bercerita tentang topik solat sunat hari raya.

Barangkali kerana cuti panjang  5 hari sejak jumaat lepas, ramai muka-muka yang biasa hadir tidak kelihatan. Mungkin balik kampung atau bercuti di tempat lain. Mudah-mudahan minggu mendatang, kehadiran kembali melonjak.

Seronok hadir kerana dapat ilmu banyak dan ukhuwwah sesama audien yang menyertai kelas ini.


KULIAH FEKAH MAZHAB SYAFIE

 

Sudah lebih setahun kuliah ini berjalan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah.

Ia diadakan setiap minggu setiap selasa malam rabu, jam 8.30 hingga 9.30 malam. Selain kuliah fekah, turut diadakan ialah kuliah tasauf (isnin malam selasa), aqidah (rabu malam khamis) dan tajwid (pagi sabtu).

Bermula april 2009, saya belum menyertainya lagi. Khabarnya bermula dengan kehadiran sekitar 30 orang. Alhamdulillah, berkat inayah Allah SWT, melalui usaha berterusan dan berdikit-dikit, kini saya melihat pertambahan sekali ganda sehingga melebihi 60 orang.

Ada rakan-rakan yang menghantar sms setiap kali kuliah akan berlangsung, menjemput orang ramai hadir ke kuliah berkenaan. Tidak kurang promosi lewat facebook masing-masing juga.

Yang menarik, selain graf kehadiran yang semakin menaik, peserta yang hadir juga mewakili pelbagai peringkat umur. Tidak benar dikatakan yang hadir hanya orang tua dan pencen sahaja. Ada remaja, ada belia. Ada golongan profesional dan ada penjawat awam. Ada pegawai bank, peguam, ahli korporat dan bermacam rupa lagi.

Bagi yang bersungguh hadir dan menjadikan kuliah ini sebagai rutin dan jadual hariannya, tetap bergegas hadir meski belum sempat pulang ke rumah dengan pakaian ke pejabat. Inilah namanya nikmat dan kelazatan belajar dan menadah kitab.

Teringat hadith Nabi SAW : “Sesiapa yang Allah SWT kehendaki mendapat kebaikan, orang itu akan difahamkan dalam soal agama”. Semoga yang hadir itu termasuk orang yang mendapat kebaikan. Amin.

%d bloggers like this: