Tag Archive: Kota Bharu


 

Sesi 1 : Ustaz Tuan Sharifuddin Tuan Ismail

Sesi 2 : Ustaz Nik Mahadi

 

FOTO ISTIMEWA

Selesai bersarapan bersama kawan-kawan, kami berhasrat untuk berangkat ke lokasi berikutnya. Maklumlah berada dalam tempoh bermusafir, banyak urusan hendak diselesaikan. Baru berjalan selangkah dua, saya disapa oleh seseorang.

“Tuuu…”, dia memuncungkan mulutnya ke arah kanan saya, menunjukkan sesuatu tidak jauh dari tempat berdiri kami. “Pegi ambil gambar”, katanya. Kerana barangkali dia melihat saya menyandang kamera, dia menyuruh saya mengambil gambar susuk tubuh kecil itu.

Dia baru duduk di meja gerai, sekitar jam 9 pagi. Menempah makanan, sambil-sambil itu, satu demi satu orang ramai datang, bersalam dan bergambar dengannya. Ketika soto yang dipinta sudah sampai, orang masih datang bergambar.

Dia biarkan saja mereka duduk di sisi atau berdiri di sampingnya mengambil gambar sedang dia tersenyum sambil meneruskan sarapannya.

Saat jurugambar profesional, amatur dan blogger semakin ramai, saya berundur puas kerana sudah dapat merakam gambar yang istimewa.



Antara perkara yang menggembirakan di dalam hidup ini ialah apabila bertemu kembali dengan sahabat, rakan dan orang-orang yang sudah lama terpisah.

Menghadiri Ijtimak Lepasan Timur Tengah di Kota Bharu  malam tadi menemukan saya dengan ramai rakan-rakan sepengajian, baik di ketika di Darul Quran Kuala Kubu Bharu atau di Mesir.

Terdapat pula di kalangan mereka yang hanya saya kenali wajah mereka tetapi tidak tahu nama kerana sekadar pernah bersua suatu masa dahulu dan mungkin kerana zaman pengajian mereka memegang jawatan kepimpinan pelajar.

Ada di kalangan mereka yang tidak pernah ditemui dan diketahui khabar mereka sejak lebih 10 tahun lalu. Ada pula yang diketahui khabar mereka lewat facebook dan blog masing-masing. Di dewan Pak Nik Lah itu, hati  saya girang melihat satu demi satu sahabat mengendong anak masing-masing sambil bercerita tentang aktiviti dakwah masing-masing.

Saya bertemu dengan Ustaz Mohd Azizul Hisham, rakan sepengajian di Maahad Qiraat Shoubra Mesir yang terakhir saya temui setahun lalu. Beliau kini adalah Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), berasal dari Kuala Terengganu.

Begitu juga rakan Ustaz Muhammad Tarmizi, orang Kelantan yang kini berhijrah ke Selangor, merupakan antara jiran dan rakan mutazawwijin di Mansoura Mesir satu ketika dahulu.

Ustaz Ahmad Ubaidillah Ilyas yang kini galak menulis juga saya temui. Beliau duduk di sebelah saya. Beliau sudah menulis 9 buah buku pelbagai bidang yang sudah terdapat di pasaran seluruh negara.

Saya juga pertama kali melihat Ust Asri Mat Daud, seorang ulama’ muda dari Kelantan lepasan al-Azhar yang sudah banyak menulis buku, termasuk ketika masih menuntut di Mesir. Saya ada membaca beberapa buku tulisan beliau sebelum ini termasuk ketika di Mesir. Ketika ini khabarnya beliau adalah pensyarah di KIAS.

Di dewan ini, sekitar 300 orang Lepasan Timur Tengah merangkumi Mesir, Madinah, Jordan, Algeria, Yaman, Sudan, Maghribi, Syria dan lain-lain berkumpul dan bertemu untuk mencari kekuatan strategi dakwah secara berjamaah melalui aktiviti dakwah dan penyelidikan tarbiyyah yang akan diserap ke negeri dan daerah masing-masing nanti.

Sebenarnya saya merasa begitu kerdil sekali melihat ulama’-ulama’ pelapis ini berhujjah dan berucap di hadapan pentas, menunjukkan suatu keyakinan masa depan dakwah yang cemerlang di tanah air ini, insya Allah.

Seorang yang pernah sekali saya lihat tetapi dari jauh satu ketika dahulu yang tidak saya ketahui namanya pun, menegur saya di majlis itu : Abu Nuha kan?

Saya hanya mengangguk tersenyum.


JAWI

Tiap kali tiba di Bandaraya Islam ini, saya gemar sekali merakam iklan-iklan papan tanda yang ada tulisan jawi. Lihat kedudukan tulisan jawi berbanding rumi. Jelas ada kesungguhan pemerintah dan rakyat mereka memartabatkan tulisan jawi ini.


IMG_2321Pagi jumaat lalu, saya sempat juga ke pusat bandaraya Kota Bharu, tujuan asalnya hendak mencari buku-buku untuk dibawa balik.

Sememangnya, sejak zaman di Maahad lagi, apatah lagi sehingga memasuki alam kerjaya, saya membiasakan diri dengan membeli buku setiap bulan paling tidak sebuah buku.

Seperti biasa, premis yang tidak asing lagi ialah kedai buku Syarikat Jaafar Rawas Sdn Bhd yang terletak di Medan Ilmu, Jalan Tok Pati, dalam bangunan Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

Di atas bangunan tersebut ialah Dewan Zulkifli, yang menjadi tempat melaksanakan program parti termasuk kuliah-kuliah, usrah, mesyuarat sekaligus sebagai surau.

IMG_2316Kebetulan jumaat lalu itu juga, berlangsung Kuliah Pagi Jumaat yang disampaikan oleh Menteri Besar, Tok Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga al-Mursyidul Am PAS. Ramai maklum, kuliah berlangsung di kawasan terbuka di hadapan premis Jaafar Rawas itu.

Bagi yang tidak pernah mengetahui kuliah pagi jumaat ini, sebenarnya sudah berlangsung puluhan tahun, sebelum PAS menguasai Kelantan pada tahun 1990.

IMG_2323Sebelum 1990, kuliah diadakan di dewan Zulkifli dan selepas itu dilebarkan di kawasan terbuka, di tengah-tengah jalanraya, sehingga jalan-jalan sekitar terpaksa ditutup untuk memberi ruang puluhan ribu umat Islam duduk bersila di jalanraya mendengar kuliah tok guru.

Umat Islam bukan sahaja dari sekitar Kelantan, bahkan dari luar Kelantan sama. Saya juga ada diceritakan, tidak kurang peminat kuliah Tok Guru ini yang datang dari luar.

Mereka menginap di hotel-hotel pada malam jumaat dan pulang selepas solat fardhu Jumaat ke tempat masing-masing, semata-mata mendengar kuliah dan nasihat daripada ulama kesayangan ummat ini.

IMG_2330Saya tidak berhajat untuk mendengar sepenuh kuliah tok guru, melainkan terpaksa bergegas membeli buku yang dihajati kerana tugasan sebenar ke Kota Bharu yang terlalu banyak.

Tetapi khusus bagi yang tidak pernah melihat suasana kuliah pagi jumaat di medan ilmu bersama Tok Guru Menteri Besar, saya paparkan di sini beberapa gambar.

IMG_2331Selain Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang pernah menjawat MB Terengganu pada 1999-2004 yang mengadakan kuliah pagi jumaat (bahkan sejak sebelum menjawat MB, sehingga kini di Masjid Rusila, Marang), tiada lagi mana-mana menteri besar yang melakukan kuliah berkenaan secara konsisten sehingga dengan izin Allah telah menarik puluhan ribu umat Islam.

Kesungguhan mereka untuk menuntut ilmu bersama menteri besar menggamit jiwa saya apabila melihat terdapat di kalangan yang hadir merupakan orang kurang upaya (oku) sama ada cacat penglihatan, cacat di kaki dan sebagainya. Begitu juga orang tua yang uzur sehingga datang bertongkat dan tidak mampu lagi duduk bersila.

IMG_2332Kelihatan juga kanak-kanak, remaja anak-anak muda berlilit serban di kepala – menjadi benteng bagi mempertahankan kerajaan tok guru ini.  Bilakah masanya ketua kerajaan di Sabah ini akan memulakan kuliah mingguan mereka seperti ini..

Belek punya belek punya belek, pusing punya pusing punya pusing, habis jugalah hampir RM300 di Jaafar Rawas saja.

IMG_2344

IMG_2267Mesyuarat penyemakan teks al-Quran kali ini dihadiri oleh 29 daripada 35 ahli lajnah.

Mereka yang tidak hadir ialah Sheikhul Maqari Hj Othman Hamzah (Selangor), Dato’ Hj Idris Talib (Melaka), Sheikh Roslan Abd Halim (Kedah), Ust Khairul Anuar Mohammad al-Bakri (Terengganu), Ust Hj Hashim Othman (Perlis) dan Ust Aizi Abd Aziz (Terengganu).

IMG_2271esyuarat bermula pada malam Khamis di Hotel New Pasific , Kota Bharu dan dipimpin oleh Pengerusi Dato’ Sheikh Mohammad Nor Mansur al-Hafiz, yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Ahli lajnah kali ini dikehendaki menyemak kira-kira 36 juzu seorang, terdiri daripada bahan-bahan teks al-Quran, al-Quran digital, pen al-Quran dan al-Quran VCD. 

Alhamdulillah, penyemakan al-Quran kali ini berakhir awal daripada yang dijadualkan.

Menurut jadual asal ia berakhir pada tengahari sabtu. Tetapi memandangkan usaha keras ahli lajnah, sesi berakhir pada jumaat malam sabtu.

IMG_2263

IMG_2270Mesyuarat penangguhan diadakan pada malam itu juga pada jam 11.30 malam dan berakhir sekitar jam 1 pagi.

Sebelum mesyuarat berakhir, Dato’ Sheikh mewakili ahli lajnah menyampaikan sumbangan ikhlas buat saudara Md Zahid, staf Unit Kawalan Teks al-Quran KDN yang bakal mendirikan rumahtangga hujung Jun nanti. Untuk Zahid, selamat pengantin baru, semoga berbahagia.

IMG_2360

IMG_2345Tarikh : 8 Mei 2009

Masa : 5.23 petang

Lokasi : Dari Hotel New Pasific, Kota Bharu

“Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi; pertukaran malam dan siang; kapal yang belayar di lautan membawa barangan untuk kegunaan manusia; air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan melalui air itu tumbuh-tumbuhan di bumi setelah matinya; dan Allah juga membiakkan di muka bumi bermacam-macam binatang; demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kekuasaan Allah terapung-apung di antara langit dan bumi;  semua itu menjadi tanda kebesaran dan kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir”. (al-Baqarah : 164)

%d bloggers like this: