Tag Archive: Kota Belud


Tarikh : 12 April 2015

Lokasi : Kota Belud

Lama tidak bersua dengan mantan calon PRU DUN Tampasuk ini. Satu ketika di JHEAINS beliau sibuk dengan urusan anak-anak yatim di Tambunan yang menjadi sebahagian hidupnya.

Ketentuan Allah SWT kami berziarah ke rumahnya malam ini, beliau tidak begitu sihat sepenuhnya dan beliau juga ada merancang untuk bertemu dengan perawat Darussyifa’. Sempat juga saya meruqyah beliau dan mencadangkan agar tidak mengabaikan rawatan di klinik atau hospital berhampiran. Semoga beliau sihat-sihat dan thabat dalam perjuangan.

Laiman

EKHSAN JAFRANEE

Ekhsan

Rakan dan kenalan lama saya Sdr Ekhsan, yang saya ziarahi di rumah mertuanya di Kota Belud baru-baru ini.

Ketika saya bertugas di Masjid Negeri Sabah, Ekhsan adalah antara mereka yang konsisten datang belajar mengaji bersama saya bermula dengan kaedah Iqra’ sehinggalah ke tahap al-Quran al-Karim.

Meski beliau sudah kembali ke Kota Belud, dan saya pula tidak lagi bertugas di Masjid Negeri Sabah sejak akhir 2006, namun perhubungan masih terjalin dan saya mengetahui komitmen Ekhsan dalam urusan agama dengan selalu mendengar ceramah dan kuliah.

Dengan usaha yang bersungguh, saya yakin satu masa Ekhsan boleh tampil sebagai orang muda yang boleh memimpin program keagamaan seperti imam, khatib, kenduri kendara doa selamat dan sebagainya. Selamat berjaya.

 

 

MENCARI ADIK SYAHMI

syahmi

Anak kepada sahabat kami Muhammad Syahmi berumur 10 tahun didapati hilang di pantai Kampung Nanamun, berdekatan Kg Rampayan Kota Belud sejak 2 November lepas. Syahmi pada petang 2 November tersebut gagal ditemui ketika sedang berkelah bersama beberapa rakannya dari sekolah tahfiz berdekatan.

Gerakan mencari diadakan secara besar-besaran merangkumi pelbagai jabatan, agensi kerajaan, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung turut membantu mengesan dan mencari adik Syahmi di laut, darat hingga ke kawasan hutan.

Petunjuk paling jelas hanyalah sepasang selipar kepunyaan Syahmi yang diletakkan di tepi pantai berkenaan. Skuad anjing pengesan juga digunakan sehingga dikatakan mencari ke kawasan hutan berdekatan dan berhenti di suatu lokasi.

Darussyifa’ Sabah turut menghulurkan bantuan dengan aktiviti ruqyah, solat hajat, zikir, azan dan sebagainya. Beberapa rombongan Darussyifa’ bergilir-gilir telah dan akan pergi ke lokasi.  Saya terlibat dalam rombongan kedua bersama-sama dengan Hamid Ismail, Chef Abdullah Ahmad, Yusrizal Anuar dan Cikgu Haji Makhtar berada di lokasi selama 4 jam.

Mohon sahabat-sahabat pembaca blog ini turut mendirikan solat hajat dan mendoakan keselamatan Syahmi serta kesabaran buat ibu bapa dan keluarga Syahmi – Haryadi dan Sufilah. Sehingga catatan ini dibuat, adik Syahmi masih belum ditemui.

Isu Syahmi (1) Isu Syahmi (2) Isu Syahmi (3) Isu Syahmi (4) Isu Syahmi (5) Isu Syahmi (6) Isu Syahmi (7) Isu Syahmi (8) Isu Syahmi (9) Isu Syahmi (10) Isu Syahmi (11) Isu Syahmi (12) Isu Syahmi (13) Isu Syahmi (14) Isu Syahmi (15)

Alhamdulillah, malam tadi saya menyertai Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Haji Sipri Abdul Razak dan Ustaz Japar Ibrahim bertugas sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kota Belud. Memang ketika ini adalah musim MTQ daerah-daerah sedang berlangsung sebelum menghadapi MTQ Negeri yang akan diadakan pada pertengahan Mei nanti di Kota Kinabalu.

Untuk tahun ini, inilah pertama kali saya dapat menyertai sebagai hakim MTQ peringkat daerah walaupun sebelum ini ada pelawaan daripada urus setia penghakiman di JHEAINS untuk bertugas di Tuaran dan Pulau Banggi tetapi berhalangan. Bertugas sebagai hakim MTQ di mana-mana peringkat sebenarnya dapat mengasah kemahiran dan berkongsi pengalaman apatah lagi kadang-kadang dapat bertugas bersama-sama dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Di perjalanan kami, Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok ada bercerita tentang serba sedikit perkembangan tilawah al-Quran pada zaman-zaman beliau dahulu. Katanya, sekitar tahun 70an dan 80an, MTQ adalah sesuatu yang dinanti-nanti oleh masyarakat Islam termasuk di kampung-kampung dan daerah dan negeri. Qari qariah juga berlumba-lumba belajar ilmu tarannum sehingga melahirkan qari-qariah yang hebat.

Secara jujurnya, beliau melihat perbezaan yang ketara pada zaman ini di mana kadang-kadang majlis-majlis tilawah al-Quran di peringkat daerah dan jabatan-jabatan kehadirannya agak berkurangan atau terpaksa dikerah untuk hadir. Beliau ada menyebutkan satu MTQ di sebuah daerah yang dihadirinya apabila melihat kehadiran sangat menyedihkan. Kadang-kadang MTQ diadakan hanya sekadar buat dan asal ada.

Berkenaan MTQ Daerah Kota Belud, saya kira wajar menekuni ucapan Pegawai Daerah Tuan Abdul Gari Itam dalam majlis berkenaan agar pihak-pihak berkaitan terutama para guru al-Quran dan masyarakat Islam keseluruhannya dalam melihat ‘kejatuhan’ Kota Belud dalam dunia tilawah al-Quran sehingga pada tahun 2011 lepas tiada seorang qari atau qariah yang layak ke saringan akhir negeri (dengan mendapat markah 70% di peringkat daerah).

Sedangkan jika kita menelusuri sejarah MTQ di peringkat negeri dan kebangsaan, daerah Kota Belud pernah melahirkan wakil-wakil qari qariah yang  pernah sampai ke peringkat kebangsaan. Sudah tentu bagi peminat MTQ akan mengingati Allahyarham Abdul Malik Lilah pada 70an dan 80an, Puan Hajjah Alinsam Haji Zaman pada tahun 90an dan awal 2000 serta tidak ketinggalan Tuan Haji Madli Mansur yang pernah menjadi johan negeri pada tahun 2005.

Kehadiran malam itu bagi saya agak sederhana saja. Tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu ramai. Barangkali kerana program ini sejak siang disatukan dengan Festival Kesenian Islam peringkat daerah menyebabkan ramai peminat-peminat nasyid dan marhaban hadir lebih ramai. Saya seronok melihat makcik-makcik datang dari kampung-kampung menaiki ‘pikap’ bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Adapun foto yang saya kongsikan di bawah adalah ketika majlis baru bermula ketika Pegawai Daerah sedang berucap. Apabila bacaan qari dan qariah bermula, kami para hakim berkumpul di bilik khas yang disediakan. Saya juga terharu dapat bertemu dengan pendakwah lama Ustaz Haji Abdul Muttalib Indra yang banyak berjasa khususnya di daerah ini. Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya rakan-rakan JHEAINS Kota Belud dan qari qariah yang menyertai MTQ kali ini.

SILAP-SILAP DI KOTA BELUD…

Saya bersama rakan-rakan turun ke Kota Belud pada isnin 4 Julai 2011 untuk melihat suasana ceramah Tuan Guru Haji Hadi Presiden PAS di Dewan Restoran Rasa Sayang, Kota Belud. Kami sebuah kereta datang lambat dari Kota Kinabalu kerana menanti rakan-rakan lain. Kami terkejut sambutan hebat rakyat di Kota Belud yang penuh sesak di dewan berkenaan sehingga melimpah keluar.

Sambutan dengan paluan kompang memeriahkan suasana, kami dikhabarkan terdapat beberapa sabotaj dilakukan  apabila ada sepanduk-sepanduk yang dirosakkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi menggagalkan kehadiran masyarakat Kota Belud. Yang hadir menurut maklumat bukan sahaja masyarakat sekitar Kota Belud tetapi juga dari Kudat, Kota Marudu, Pitas dan kawasan berdekatan. Bahkan ada juga dari Kota Kinabalu datang ke sini.

Kami juga melihat kehadiran ramai audien bukan Islam, mendengar ceramah dan penjelasan isu-isu semasa oleh YB Tuan Guru Presiden dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Turut berucap ialah Sdr Mazlan Aliman, YB Dr Hiew (Ahli Parlimen Kota Kinabalu -wakil DAP), Aminuddin Aling (Pesuruh Sabah), Setiausaha PKR Sabah, dan Ustaz Mustakim Aling (YDP PAS Kota Belud). Kami difahamkan banyak isu-isu tempatan melanda masyarakat Kota Belud terutama yang berkait dengan hak rakyat di sana. Saya bersependapat dengan ramai kawan-kawan yang hadir, silap-silap ‘kawan’ tu boleh tumbang di Kota Belud lepas ni.

Program berakhir pada jam 11 malam.

Pengambilan Pelajar Baru

Kelayakan untuk kemasukan sebagai pelajar pondok

1) Lelaki berumur 10 tahun keatas dan berminat mempelajari pengajian agama Islam;

2) Warganegara Malaysia;

3) Tidak mempunyai masalah disiplin. Sedia patuh kepada semua peraturan pondok, mudir dan guru;

4) Tidak merokok atau terlibat dengan perkara yang seumpamanya;

5) Pendaftaran RM50 dan yuran makan bulanan RM100. Bagi yang tidak mampu, boleh berunding dengan pihak pondok;

6) Matapelajaran yang diajar ialah al-Quran, tauhid, fekah, nahu (tatabahasa Arab), balaghah (sastera arab), Soraf (ilmu kunci bahasa Arab), tasawwuf, tafsir, hadith, mantiq (ilmu logik) dan sejarah Islam;

7) Ko-kurikulum meliputi belajar barzanji, latihan imam, latihan syarahan, khutbah, pertanian/ penternakan, perubatan Islam.

Misi Pondok

Melahirkan generasi muslim yang menghafal al-Quran dan berpegang pada ajarannya bagi membentuk ulama’ dan pemimpin masa depan yang mempunyai ilmu dan maklumat untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Maklumat lanjut boleh berhubung di talian 019-8102540 / 019-8692990. Emel : pondokkotabelud@gmail.com. Alamat : Peti Surat 210, Kg Tamau, 89158 Kota Belud Sabah.

MD FIKRI GUSTIN SULAIMAN

Seminar Rasm Uthmani N Sabah (17)

Anak muda ini adalah siswa baru di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, yang beroperasi di Kepayan Kota Kinabalu.

Berasal dari Kg Tamau Kota Belud, suku iranun dan berumur 18 tahun. Sebelum ke Maahad Tahfiz, Fikri pernah belajar di SMKA Tun Said Kota Belud dan di SMK Taun Gusi Kota Belud.

Dalam majlis perasmian Seminar Rasm Uthmani Peringkat Negeri Sabah 2009 yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri pada selasa lepas, Fikri tampil sebagai qari undangan.

Dalam mesyuarat persiapan bagi mengadakan seminar ini, saya dipertanggungjawabkan untuk mengatur qari dari Maahad Tahfiz. Saya hubungi Ustazah Dg Masni selaku pensyarah al-Quran dan Qiraat di sana untuk memilih siswa yang bersuara baik.

Ustazah Dayang membimbing daripada sudut ilmu qiraatnya, sementara Datuk Mokhtar Rapok pula daripada seni tarannumnya.

Md Fikri membaca surah al-Fatihah dan surah al-Humazah secara tarannum dengan qiraat Imam al-Kisa’ie, salah seorang daripada 10 imam qiraat yang masyhur dan mutawatir.

Bacaannya diamati oleh ratusan audien di dalam dewan termasuk ahli qiraat seperti Dato’ Sallehuddin Omar al-Hafiz, Ust Abd Rahim Md Zin al-Hafiz dan Sheikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah.

Memang suara Fikri bagus dan jika bersungguh-sungguh, dia boleh menjadi qari yang baik pada masa hadapan. Insya Allah. Selepas majlis itu, saya ada  bertemunya, mengucapkan tahniah dan berharap dia terus memperbaiki diri.

Membaca al-Quran dengan qiraat dan riwayat selain Imam ‘Asim dan Hafs, kebiasaannya memang menarik perhatian audien, kerana ia jarang didengar. Apatah lagi di negeri Sabah ini, ilmu qiraat begitu terasing sekali.

Salah satu tujuannya ialah hendak memaklumkan audien betapa ilmu pembacaan al-Quran ini begitu luas sekali, sebagaimana yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dengan perantaraan Jibril AS.

Dengan itu, ia boleh meransang umat Islam untuk terus menerus mempelajari ilmu yang berkaitan tentang al-Quran, termasuk tentang soal pembacaannya, tafsiran, hukum hakam dan pengamalannya.

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (18)

Seminar Rasm Uthmani N Sabah 2009 (19)

IMG_6431

Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hajat untuk bertemu para imam qaryah, tidak kira dari daerah mana.

Jadi, peluang menyampaikan ceramah di hadapan 119 orang imam qaryah dan rawatib daripada sejumlah 169 orang imam Kota Belud, adalah satu kesempatan yang sangat baik.

Pada zaman dahulu, imam qaryah adalah segala-galanya. Pengaruhnya lebih berbanding namanya ketua kampung atau penghulu.

Bukan setakat imam solat dan kenduri kendara, imam adalah tempat masyarakat kampung mengadu masalah suami isteri, kecurian, masalah kewangan dan sebagainya.

Saya kurang maklum adakah situasi berkenaan masih wujud kini. Saya suka bertemu mereka untuk bertukar pandangan.

Mereka adalah orang yang duduk dan hidup bersama jantung rakyat khususnya orang kampung, bukan duduk di pejabat di bawah penghawa dingin, menunggu orang datang mengadu itu dan ini.

IMG_6422

Semalam saya dijemput lagi ke Kota Belud untuk program yang sama seperti 2 minggu lepas. Bezanya kali ini pesertanya seluruh imam-imam Daerah Kota Belud.

Programnya berlangsung sekitar 3 jam di Masjid Daerah Pekan Kota Belud.

Ia didahului oleh perasmian sahabat saya, Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) JHEAINS Kota Belud Ustazah Fatimawati Adlin dan taklimat oleh Imam Daerah Hj Madli Mansur sebelum saya mengambil tempat.

Pembentangan kertas kerja memakan masa sejam, sebelum praktikal selepas masa rehat.

Perkara yang paling dititik beratkan dalam pengurusan solat tarawih ialah ketenangan dalam melakukan ibadah, tidak tergesa-gesa hendak cepat habis.

Ada di kalangan imam pula terikut-ikut rentak jamaah hendak cepat menamatkan solat tanpa mengambil kira panduan dan ketetapan agama.

Selain itu, ketepatan sebutan serta adab bersolawat juga disebut sama. Solawat yang dilontarkan biarlah lurus, beradab tetapi bersemangat.

Di sinilah peranan imam dan bilal dalam majlis solat tarawih untuk menarik hati jamaah agar mereka konsisten bertarawih hingga ke akhirnya.

Mudah-mudahan Allah SWT menemukan kita dengan Ramadhan pada tahun ini. Cuma 2 minggu lagi.

Allahumma ballighna Ramadhan…

IMG_6424

IMG_6427

IMG_6434

IMG_6435

IMG_6436

IMG_6438

IMG_6439

IMG_6024

25 Julai 2009, 6.30 petang – 9 malam, Masjid Nurul Hikmah Kg Liang Kota Belud.

Saya kurang maklum apakah punca kampung ini dinamakan dengan nama sedemikian, tetapi sejak masjid ini dibina (dengan status surau ketika itu) pada 1982, bersebelahan dengan masjid ini terdapat taman perkuburan bagi orang-orang Islam.

Bagus juga keadaannya begitu, kerana tiap kali hadir ke masjid jamaah akan melihat kawasan perkuburan ini di sisi masjid. Mudah-mudahan suasana itu mendekatkan mereka kepada agama Allah SWT ini.

Malam ini kehadirannya begitu ramai. Penduduk kampung lain sekitar Kg Liang dimaklumkan turut hadir. Imam Daerah ada memberitahu saya tentang kehidupan orang kampung yang menitikberatkan soal agama.

Pada awal ceramah, saya hanya menjangkakan kehadiran tidak lebih 100 orang. Rupanya, ramai lagi yang mendengar ceramah itu dari beranda dan perkarangan masjid.

Saya baru perasaan apabila solat isyak didirikan, masjid kelihatan sesak termasuk juga kaum ibu serta anak-anak yang turut mengimarahkan masjid.

Dalam ceramah yang ringkas itu, selain menekankan tentang solat, saya juga mencadangkan kepada mereka agar mengadakan kuliah mingguan secara tetap.

Oleh kerana tidak jauh dari situ ada sebuah sekolah, maka pihak JK masjid boleh menjemput ustaz yang bertugas di sana untuk mengisi kuliah mereka.

IMG_6035

Saya juga bertemu seorang sahabat lama yang lebih setahun tidak saya temui.

Md Ekhsan Jafrani, 31 tahun pernah mengaji al-Quran dengan saya ketika saya bertugas di Masjid Negeri. Apabila saya berpindah ke Istana Negeri, kelas itu tetap berjalan dengan sedikit ubaisuai jadual.

Ekhsan mengaji mulai iqra’ sehingga masuk al-Quran. Kelas yang berjalan sehingga lebih separuh al-Quran, tersekat apabila beliau balik kampung hampir 2 tahun  lalu kerana dapat pindah kerja di Hospital Kota Belud yang lebih hampir dengan kampung halamannya.

Dia mendirikan rumahtangga tidak lama selepas itu dan kini sudah punya seorang cahayamata puteri bernama Wafa Saniyyah berusia 5 bulan.

Saya dimaklumkan Ekhsan kini aktif sebagai AJK masjid kampung berkenaan. Alhamdulillah, saya mengharapkan orang muda seperti beliau diberikan ruang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan demi agama Allah.

Terima kasih atas layanan semua, khususnya kepada Tuan Imam Daerah Hj Madli Mansur. Tidak ketinggalan pengerusi JK masjid bersama seluruh orang-orang kuatnya, serta semua hadirin yang ada malam itu.

Layanan istimewa saya terima sehingga hendak mengangkat pinggan sehabis makan pun tidak dibenarkan. Hidangan siager ikan yu sudah tentu tidak dapat dilupakan. Ada umur panjang kita bertemu lagi.

Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat bertemu orang kampung di sini. Jam 9.00 malam saya bertolak balik dan selamat tiba di rumah sejam setengah kemudian. 

IMG_6029

IMG_6030

IMG_6031

IMG_6033

%d bloggers like this: