Sejak tahun 2007, kami sekeluarga adalah pengunjung setia kepada majlis konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) apatah lagi ketika itu bermulanya anak kami dalam dunia pendidikan formal pra-sekolah. Walaupun sebenarnya beberapa tahun sebelum itu saya sendiri pernah menghadirinya dan terlibat sebagai petugas kecil-kecilan di balik tabir.

Saya mengakui tidak sama suasana ketika itu berbanding melihat anak seorang demi seorang tampil di pentas untuk menerima penghargaan daripada pihak pentadbir PASTI. Nuha Wafiyyah menyertai PASTI pada tahun 2007, ketika PASTI Nur al-Fathonah memulakan operasinya di Taman Union Putatan dengan murid yang sangat sedikit dan bajet yang tidak kecukupan untuk menampung kos operasi dan elaun guru. Ketika itu ketika konvo, masih ada anugerah dan hadiah untuk murid berumur 4 tahun dan Nuha adalah salah seorang penerimanya.

Barangkali kerana jumlah murid yang sedikit – murid satu kelas sekitar 10 orang ke bawah, anak-anak kami setiap tahun naik pentas menerima hadiah. Saya menaruh sangkaan baik dan berfikiran positif dengan suasana itu agar anak-anak tetap bermotivasi dengan hadiah yang mereka terima, walaupun pada satu sisi yang lain, ada pendapat mengatakan anak-anak kurang tercabar kerana bilangan mereka yang sedikit. Padahal sebenarnya soalan peperiksaan bukanlah dibikin sendiri oleh guru tetapi soalan berpusat dan ada kalanya anak-anak memperolehi markah yang cemerlang atau sangat baik.

Saya merasa tenang apabila melihat anak-anak mampu membaca doa amalan harian – walaupun tidak semua – seperti doa sebelum dan sesudah makan, doa sebelum dan sesudah tidur, doa keampunan untuk ibu bapa dan lain-lain, aqidah kekuasaan Allah diterap di dalam diri mereka, bahawa Allah yang mencipta pokok, laut, bumi, awan, hujan, Allah yang menjadikan sihat dan sakit dan seumpamanya.

Maka jika PASTI mengekalkan pembelajaran seumpama ini (dengan memperbaiki kaedah, kualiti dan sebagainya) saya tidak ragu mengekalkan anak-anak berikutnya untuk terus mendapat pendidikan di PASTI. Saya tetap akan menyokong PASTI dan pejuang-pejuangnya.