Tag Archive: Kompleks Tabung Haji Sabah


Hujung minggu lalu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Sabah 1 menganjurkan program Sahsiah Ramadhan bagi tahun ini yang berlangsung selama dua hari satu malam di Kompleks Tabung Haji Sabah. Program ini disusun sejak sebelum Ramadhan dan sahabat saya yang bertugas di sana memohon saya menyediakan senarai penceramah bagi mengisi beberapa slot yang sudah diatur. Tema sasaran penganjur adalah berkaitan dengan solat.

Saya sendiri mengisi dua slot kem solat pada pagi dan petang jumaat. Sebelah pagi saya menyampaikan ceramah berkenaan pergerakan dan bacaan dalam solat, sementara sebelah petang berkait dengan hukum hakam solat termasuk syarat wajib, syarat sah dan lain-lain. Selepas kami solat asar, sedikit masa diambil untuk latihan praktikal solat subuh yang mengambil kira pergerakan dan susunan solat secara berjamaah.

Rakan-rakan lain yang mengisi slot lain ialah Ustaz Arbaen Shawal mengimam solat maghrib, isyak, tarawih dan tazkirah; Ustaz Mohammad Suaid membimbing qiyamullail dan kuliah subuh dan Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar mengisi slot motivasi solat. Tahniah kepada pengurusan AIM Sabah yang menganjurkan program seumpama ini setiap tahun khususnya dalam bulan Ramadhan.

Alhamdulillah, saya merasa bersyukur dan teruja sekali apabila dapat menyertai program kelas intensif tafaqquh haji dan umrah di Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu sejak malam tadi dan berakhir petang tadi.

Kursus ini disertai oleh kira-kira 70 peserta dari Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang terdiri daripada pengkursus ibadah haji dan juga muka-muka baru seperti saya sendiri dan ramai rakan-rakan lain.

Kitab rujukan utama ialah sebuah kitab jawi lama bernama al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi karangan Syheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani.

Semua peserta dibahagi kepada tujuh kumpulan dan masing-masing ditugaskan untuk membaca bab yang sudah ditetapkan. Kumpulan kami ditugaskan membaca bab berkenaan ziarah ke Masjid Nabawi SAW, Raudhah, Maqam Rasulullah dan tempat-tempat utama di sekitar Madinah.

Memang bagi yang tidak biasa seperti saya membaca buku dengan tulisan dan bahasa jawi lama, agak sukar memahaminya khususnya buat kali pertama. Ada kalimah dan ayat yang sukar difahami kerana bentuk dan struktur ayat yang berbeza berbanding kini.

Walaubagaimanapun kami mendapat bimbingan berharga oleh dua orang pakar iaitu Ustaz Tengku Aziz selaku Pengurus Besar Bimbingan dan Dato’ Fadhil dari Kedah yang merupakan antara pakar rujuk Tabung Haji.

Pada sesi akhir, semua kumpulan diminta membentangkan nota-nota penting bagi kumpulan masing-masing sebagaimana yang diminta. Pembentangan bagi kumpulan kami disampaikan oleh Ust Hj Sipri Abd Razak.

Antara rakan-rakan yang turut sama ialah Ust Hj Sahudin Ajamain, Ust Hj Zulkarnain Ali, Ust Hj Md Hilham Md Noor, Ustazah Hjh Salmah Hassan, Ustazah Hjh Hafizah Ag Basir dan lain-lain. Antara guru-guru yang turut sama ialah Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, Ust Hj Sipri Abd Razak, Ust Hj Saidin Musi dan lain-lain.

Oh ya, saya dimaklumkan semua peserta pengkursus haji mestilah sudah menunaikan fardhu haji.


Saya berpandangan, Wacana Pendidikan Fatwa anjuran Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang diadakan di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji Sabah pagi semalam kalaupun tidak mencapai keseluruhan objektifnya, ia hampir mencapai sasarannya.

Saya datang atas kapasiti Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah. Di dewan itu, audien pelbagai latar belakang saya saksikan namun kebanyakannya adalah penjawat awam termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Juga kelihatan pimpinan-pimpinan NGO Islam seperti ABIM, JIM, PUM, Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain, juga para imam, guru-guru, AJK Masjid-Masjid dan sebagainya.

Saya juga mendapat maklum akan kehadiran wakil-wakil Jabatan Mufti seluruh Malaysia yang diundang hadir ke majlis ilmu ini.

Setahu saya, amat jarang sekali kedengaran Pejabat Mufti menganjur program besar yang mengundang umat Islam menghadiri suatu wacana atau seminar berkenaan kepentingan umat Islam. Jadi atas asas itu, penghargaan saya rakamkan kepada mereka semua di sana.

Saya memahami kalaupun tidak kesemuanya bahawa program ini bertujuan hendak mendidik masyarakat Islam bagaimana proses fatwa berjalan. Dengan memberi contoh dengan kertas kerja terhadap isu kehamilan luar nikah, satu kertas kedua dibincangkan tentang hukum menggugurkan kandungan. Umat didedahkan bagaimana sesuatu hukum diputuskan bukan dengan sesuka hati para alim ulama’, bahkan setelah meneliti pelbagai sumber hukum Islam barulah diambil suatu keputusan.

Tajuk ini sebenarnya menarik bagi audien yang hadir, kerana sebenarnya saya turut merasai perasaan geram masyarakat terhadap keengganan kerajaan melaksanakan Islam secara keseluruhan. Ia bukan sahaja melibatkan proses hukum hakam jinayat yang diabai dengan sengaja, tetapi bagaimana pemerintah sepatutnya memberi contoh yang baik terhadap rakyat yang dipimpinnya.

Semuanya tahu tentang antara punca masalah kegawatan sosial ialah kekurangan ilmu pengetahuan, keruntuhan institusi keluarga, gaya hidup yang tidak berlandaskan agama, serangan dan pengaruh media dan seumpamanya, namun punca-punca ini seperti diabaikan oleh pemerintah supaya diatasi.

Lihatlah suatu contoh dan pendekatan yang mudah, bagaimana kalau pendidikan agama itu kurang, sepatutnya diperkukuh dan diperkasakan. Seperti tiada usaha agar mata pelajaran agama Islam itu menjadi subjek wajib dan teras. Begitu juga budaya hiburan melampau pelbagai peringkat, daripada peringkat pemerintah sehingga rakyat marhaen digula-gulakan dengan hiburan.

Dua pembentangan dalam slot awal oleh Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj (Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Jabatan Pendidikan Perubatan Pusat Perubatan, UKM yang juga Naib Presiden JIM) bertajuk ‘Isu Kehamilan Luar Nikah : Situasi Terkini Dalam Masyarakat Dan Kesannya Pada Generasi Umat Islam’, dan Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj. Ismail, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) bertajuk : ‘Hukum Menggugurkan Kandungan’, saya anggap berjaya dan mengesankan.

Saya tersentak apabila Dr Harlina menyatakan rakyat Malaysia masih dibuai dan lalai apabila kebanyakan masih mengatakan kebejatan masalah sosial di negara ini masih sedikit dan tidak teruk berbanding di Barat.

Statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara 2005-2009  (5 tahun) mencatatkan bahawa jumlah anak tidak sah taraf adalah seramai 214,033, dan 74, 723 daripadanya adalah Melayu Islam. Kalau kita pecahkan lagi, purata setahun anak luar nikah ialah seramai 42,806 orang, sebulan 3567 orang, sehari 119 orang, dan 5 orang setiap jam.

Bagi saya pemerintah khususnya yang beragama Islam bertanggungjawab kerana tidak melaksanakan Islam secara keseluruhan – sama ada undang-undang, pendidikan dan lain-lain. Umat Islam dan rakyat Malaysia juga mempunyai saham yang mesti dijawab di hadapan Allah SWT apabila membiarkan negara ini ditadbir tidak dengan peraturan-Nya.

Sementara itu, pembentangan kedua oleh Dr Abd Hayei Bin Abd Shukor, (Ahli Jawatankuasa Fatwa MKI) dengan tajuk : ‘Amalan Khurafat dan Penggunaan Jin Dalam Masyarakat Islam’, meski hanya menceritakan perkara asas berkaitan dengan asal usul jin dan tersasar daripada tajuk yang dikehendaki, namun bagi saya pada peringkat ini amat wajar juga dan memadai untuk mengetahui perkara asas berkaitannya.

Untuk bercerita tentang makhlus halus bernama jin ini sudah tentu tidak memadai dengan masa yang terbatas, bahkan perlu kepada perbincangan lanjut yang berkaitan dengan amalan khurafat.

Saya meyakini sebahagian daripada jumlah 800 audien pelbagai latar belakang yang memenuhi dewan agak bersemangat pada awalnya, namun kemudian kurang berpuas hati, dan mereka telahpun membuat cadangan di dalam kertas soal selidik yang diedarkan. Mudah-mudahan itu diperhati oleh urusetia yang bertanggungjawab.

Keseluruhannya, tahniah buat Pejabat Mufti Negeri Sabah dan JAKIM yang bekerja keras menjayakan program penting ini. Mudah-mudahan membuka mata dan hati semua pihak yang berkepentingan akan maksud dan tujuan tersiratnya. Semoga ada lagi program seumpama ini pada masa akan datang untuk menyuntik kesedaran umat Islam dan tanggungjawab mereka di hadapan Allah SWT.







Bersama rakan-rakan lain, kami diberi amanah menghakimi beberapa kategori pertandingan sempena Festival Kesenian Islam KEMAS Negeri Sabah 2010 di Dewan Kinabalu, Kompleks Tabung Haji semalam.

Ada pertandingan Marhaban & Barzanji, Tilawah al-Quran, Pidato dan Nasyid. Saya terlibat sebagai hakim tajwid dalam tilawah al-Quran bersama-sama Ust Hj Abd Rahman Talipudin, Ust Hj Parmin Sahlan dan Ust Yusuf Ali.

Festival ini diadakan selama dua hari, sabtu dan ahad. Hari ini hanya sebagai majlis penutupan manakala semua pertandingan berlangsung seharian pada semalam. Nasyid yang menjadi tumpuan dilangsungkan sebelah malam.

Saya datang sekitar jam 10.30 pagi untuk memulakan tilawah al-Quran. Ketika itu pertandingan marhaban dan barzanji  di penghujung acara dan penonton agak ramai. Selepas rehat tilawah mengambil tempat untuk menguji 10 peserta qari dan qariah.

Para hakim diletakkan di hadapan sekali, berhadapan dengan peserta. Namun saya terkejut apabila menoleh ke belakang, audien yang terlalu sedikit. Ke mana menghilang penonton yang hampir memenuhi dewan awal tadi. Adakah benar mengaji al-Quran tidak diminati orang?

Hanya sedikit penonton sebelah kanan dan kiri, sementara di ruang tengah hampir kosong. Hanya berisi di barisan pertama dengan beberapa orang muslimat.

Selesai majlis tilawah dan jamuan, saya tidak menanti lama kerana program seterusnya di Bangunan KUWASA. Terima kasih KEMAS memberi peluang kami menyumbang khidmat dalam majlis ini.


IMG_8267

Saya seronok hadir pada pagi sabtu semalam bersama 108 orang warga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam program Sahsiah Ramadhan mereka untuk tahun ini.

Kali ini mereka mengadakannya di Kompleks Tabung Haji Sembulan selama sehari setengah bermula pagi jumaat dan berakhir tengahari sabtu.

Buat kali ketiganya saya dijemput hadir dalam program AIM Sabah. Semalam saya mengisi satu slot yang lain daripada tajuk-tajuk Ramadhan. Tajuk yang dipohon kali ini ialah huraian daripada surah al-Asr.

Sebagaimana pandangan imamuna al-imam asy-Syafie, bahawa kalau manusia bertadabbur dengan surah ini, sudah memadai.

Surah ini ringkas namun ia merangkumi perkara asas dalam kehidupan manusia serta menjelaskan golongan manusia yang beruntung.

Orang yang beriman, beramal, serta ingat mengingati dengan kebenaran dan kesabaran.

Seronoknya hadir bersama mereka berulang kali kerana ia bukan setakat ceramah demi ceramah. Mereka isi himpunan ini dengan qiyamullail, solat dhuha dan seumpamanya.

Inilah sepatutnya program yang dibuat oleh mana-mana pihak, iaitu memasukkan slot-slot kerohanian dalam majlis mereka, dan bukan membebaskan pesertanya. Siapa mahu qiyam silakan, siapa mahu tidur silakan.

Terima kasih Sdr Muharram yang mengundang, dan  juga buat Puan Nor Hayati – Pengurus Wilayah yang turut tekun mendengar ceramah bersama staf mereka yang lain.

(P/s : Tapi semalam, dahsyat betul gelak audien, baik lelaki atau perempuan. Yang penting, manfaat daripada surah al-Asr itu yang diambil, bukan kisah-kisah lucunya saja).

IMG_8268

IMG_8272

%d bloggers like this: