Alhamdulillah, sekali lagi tahun ini saya berpeluang mengisi satu slot dalam program Kem Anak Soleh anjuran as-Solihin Management milik Ustaz Zulhazmi Osman yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Putih Putatan dengan kehadiran sekitar 120 orang peserta berumur antara 9 hingga 15 tahun.

Awal pagi saya hadir untuk menyampaikan kuliah subuh di surau kompleks berkenaan dengan membawa tajuk ‘Cinta Rasul’ seperti yang diminta oleh penganjur. Ada dua perkara yang saya sentuh dalam tazkirah berkenaan.

Pertama, untuk mencintai seseorang (apatah lagi Rasulullah SAW) hendaklah kita kenal dengan keperibadiannya. Saya bawakan beberapa contoh hadith berkenaan kehidupan baginda SAW seperti sosok tubuh baginda, kegemaran makan dan minum, dan seumpamanya.

Kedua, sebagai bukti cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah kita mengikut nasihat Nabi SAW, sama ada berupa suruhan atau larangan. Ia berkait dengan seluruh kehidupan kita di dunia ini, bukannya semata-mata soal solat sahaja.

Terakhirnya, saya paparkan satu video klip tentang kecintaan kepada Rasulullah SAW berkenaan saat-saat akhir menjelang kewafatan Rasulullah SAW. Terima kasih kepada Ustaz Zul yang mengundang.