Tag Archive: KLIA


CATATAN SANTAI DI KLIA

23 Oktober 2010 (Sabtu)

1) Jadual penerbangan pulang saya ke Kota Kinabalu ialah pada jam 9.50 malam, sedang program di Shah Alam berakhir pada jam 5 petang. Alhamdulillah, Ustaz Khidir sahabat lama yang pernah berjuang di Sabah dan kini menyambung pelajaran peringkat sarjana sudi menghantar saya pulang ke KLIA. Terima kasih. Beliau hendak mengajak ke rumahnya terlebih dahulu namun saya tolak baik kerana hendak bersendirian dan menghabiskan bacaan sebuah buku di KLIA.

2) Saya mengisi perut di sebuah restoran dan kemudian relaks di deretan kerusi berdekatan dengan laluan masuk penumpang domestik (yang biasa ke KLIA sudah tentu boleh agak). Seorang mamat pelancong kulit putih dengan bahasa inggerisnya ‘mengganggu’ khusyuk saya membaca dengan meminta titipkan barangnya sebentar. Masa masih awal dan saya mengiyakan pula dengan bahasa arab tanpa sengaja. Rupanya mamat tu orang arab Iraq dan dengan senang hatinya dia berjalan entah ke mana meninggalkan begnya bersama saya sekitar setengah jam.

3) Ada sekumpulan pelancong lagaknya dari Asia Timur seperti China atau Taiwan kelam kabut duduk di sebelah  kanan saya, membongkar beg dan pakaian mereka dan kemudian menyusunnya kembali. Mungkin mencari sesuatu atau mengemaskini barangan mereka. Saya tersengih melihat, antara barang yang mereka bawa balik ialah dua biji kelapa hijau. Tiada kaa kelapa di tempat mereka? Sekumpulan anak-anak muda di sebelah kiri sana tersenyum sinis melihat mereka.

4) Anak-anak muda di sebelah kiri saya rupanya orang Sabah. Mereka pelajar yang baru tamat dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan membawa banyak barang. Waktu baru jam 8 malam mereka sudah terpacak di KLIA menanti penerbangan awal pagi esok. Malangnya barang mereka melebihi had muatan sekitar 11 kilo. Saya menawarkan diri membawa sebuah beg mereka dan berjanji temu di KKIA pada pagi ahad sejurus ketibaan mereka jam 10.30 pagi ahad.

5) Alhamdulillah, saya meyakini Allah akan membantu hamba-Nya selama hamba itu membantu saudaranya sendiri. Saya bergerak lega kerana dapat membantu dua orang yang memerlukan bantuan. Saya ingin solat di surau bahagian dalam dan mencari ruang selesa di bilik menunggu untuk menghabiskan buku yang sedang dibaca. Khusyuk membaca sementara menanti panggilan masuk, akhirnya terganggu juga dengan sembang makcik-makcik wanita umno yang seronok bercerita tentang perhimpunan mereka.

JALAN TUANKU ABD RAHMAN

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 8.35 pagi. Program dan maksud tujuan saya kali ini ke Shah Alam hanya bermula menjelang maghrib. Oleh kerana awal tiba, saya berhasrat untuk meronda sebentar ke ibu negara dengan tujuan utama mencari buku-buku baru untuk dibawa balik.

Sebagaimana panduan yang diberi oleh Haji Pozi, saya menaiki ERL menuju ke Bandar Tasik Selatan dan kemudian bertukar naik STAR LRT menuju Stesen Bandaraya. Letih juga berjalan kerana saya ‘menyikut’ beg berisi laptop dan pakaian serta beg sandang berisi kamera. Setiba di stesen bandaraya, saya menuju ke Kompleks Pertama, khususnya ke sebuah premis kedai buku yang sering saya kunjungi. Cerita tentang premis ini akan saya sentuh dalam entri berikut nanti.

Sejak awal saya berhasrat untuk solat jumaat di Masjid Negara hari ini walaupun sekitar sini ada Masjid India dan Masjid Jamek. Saya keluar awal dari Kompleks Pertama untuk aktiviti fotografi sepanjang Jalan Tuanku Abd Rahman sehingga ke Masjid Negara. Sebenarnya sesi ini tidak pun sampai satu jam (40 minit sahaja) dan saya dapat melihat dan merakam pelbagai rencam manusia di ibu kota khususnya Jalan Tuanku Abd Rahman yang terkenal itu.

Saya kongsikan sebahagiannya..

MENYENGET

Setelah membawa kami singgah sebentar di Nilai 3 – yang terkenal dengan pasar tekstil terkemuka -, Hj Omar menghantar kami berdua ke KLIA. Dari rumah beliau ke KLIA sekitar 20 minit sahaja.

Setelah keletihan dalam mesyuarat dan persinggahan yang panjang sebelum berangkat terbang jam 8.00 malam, saya merancang untuk berehat dan tidur sepanjang perjalanan pulang.

Namun itu tidak berlaku. Kata orang, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

Kami agak terlambat masuk ke dalam pesawat kerana solat maghrib + isyak di surau berdekatan selesai jam 7.45 malam.

Terpaku apabila tiba berhampiran tempat duduk yang ditetapkan, saya mendapati seorang makcik bangsa india berbadan besar terlebih dahulu duduk dan berada di sebelah tempat duduk saya.

Ruang kerusinya penuh dan padat, bahkan tersasar ke bahagian saya pula. Dia baca suratkhabar sehingga mengganggu ketenangan saya dan orang di sebelah kirinya.

Saya bukan marahkan badan besarnya itu, sebenarnya kalau dia berbudi bahasa dan meminta maaf sudah memadai. Dia tidak memperdulikan keselesaan bersama.

Oleh kerana keadaan itulah, saya terhimpit dan terpaksa menyenget ke dinding hampir sepanjang penerbangan. Akibatnya, malam ini saya keluar dengan tangan kiri dan leher yang terseliuh. Adui.

REHLAH IMANIAH (1)

Tidak salah saya, Ust Azam mula menghubungi kami sekitar bulan 11 untuk mengajak menunaikan umrah.

Barangkali, saat itu rakan-rakan jamaah haji sedang berada di Tanah Suci. Mungkin saja ajakan Ust Azam itu berkait dengan doa-doa jamaah haji di Tanah Suci agar kami sampai ke sana suatu hari nanti.

Sehingga saat akhir minggu lalu, saya keberatan memaklumkan perjalanan imaniah ini kepada jamaah masjid dan surau yang saya berkuliah pada setiap malam. Begitu juga kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan pembaca blog Abu Nuha Corner ini. Maafkan saya.

Hanya beberapa orang sahaja yang saya maklumkan khususnya isteri, beberapa orang jamaah masjid dan surau secara peribadi.

Bukan niat hendak merahsiakan perjalanan berharga ini. Hakikatnya kami seluruh rombongan hanya menerima visa umrah beberapa hari sebelum keberangkatan pergi. Oleh itu kebimbangan jadi atau tidak tetap berlegar di kepala.

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui betapa risau dan resah kami menanti saat-saat perjalanan. Apatah lagi bagi kebanyakan ahli rombongan yang pergi buat pertama kali.

Bagi diri saya sendiri, selain ibadah berkaitan umrah dan ziarah, saya berazam untuk mengkhatamkan al-Quran sepanjang perjalanan ini.

12 Mac 2010 kami masing-masing berangkat ke KLIA. Ada yang penerbangan awal pagi dan ada tengahari. Bahkan ada yang berangkat sehari sebelumnya ke KLIA. Rombongan seramai 38 orang, 14 daripadanya dari Sabah.

Di pesawat KKIA-KLIA, selain buku-buku berkenaan umrah dan ziarah yang perlu diulangkaji semula, saya dapat menyelesaikan surah al-Baqarah. Selebihnya, mata terlelap keletihan.

Tiba di KLIA sekitar 3.30 petang, kami berkumpul semula. Bertemu dengan Ust Yusrizal Yusri yang baru kehilangan isteri seminggu sebelumnya. Beliau yang kelihatan semakin cengkung hadir untuk menghantar dan mengucap selamat jalan kepada kami.

Begitu juga Tuan Hj Omar Tompang yang memberikan sokongan buat kami semua. Beliau pernah bertugas lama di Lembaga Koko Sabah dan pengimarah tetap Surau Riyadhus Solihin Taman Austral dan setiausahanya sebelum berpindah ke Selangor pertengahan tahun lalu.

Antara rombongan kami ialah Tuan Hj Che Mat dan isteri yang baru berpindah dari LHDN Sabah ke Selangor sebulan lalu; Ust Zulkifli Mustafa yang pernah bertugas di Maktab Sabah dan Ust Shahrul Nizam yang pernah berkhidmat di Tawau.

Selain itu terdapat rombongan keluarga, pasangan suami isteri dan rakan-rakan rombongan yang baru dikenali.

Perjalanan pergi memang agak meletihkan kerana kami akan singgah di beberapa destinasi sebelum tiba di Tanah Suci. Dari KLIA, kami berangkat singgah ke Chennai, Madras India.

Ketika perjalanan masuk ke pesawat MAS ini, separuh daripada kami ditahan kerana beg terlalu banyak dan besar. Semua rombongan kami membawa barangan secara bimbit kerana untuk masuk ke India memerlukan visa.

Walaupun pada mulanya keadaan sedikit tegang kerana halangan berkenaan, alhamdulillah ia kemudiannya selesai dengan baik. Di dalam pesawat yang besar itu hakikatnya masih banyak ruang kosong untuk meletakkan beg-beg kami.

Di kalangan rakan-rakan rombongan, kedudukan tempat duduk saya terkehadapan dan bersendirian. Di kiri kanan, depan dan belakang semuanya orang India belaka. Rakan-rakan lain duduk berhampiran di sebelah belakang.

Sebenarnya tempat duduk saya di belakang, bersebelahan dengan isteri Ust Mad, Ustazah Atiah. Tak apalah bagi peluang dengan pasangan romantik ini duduk bersama untuk perjalanan sekitar 3 jam menuju ke Chennai.

Dalam penerbangan, penumpang dihidangkan dengan arak. Seorang pramugara yang bernama Sulaiman dengan senang hati menghidangkan arak kepada pakcik India sebelah saya. Kali kedua Sulaiman datang, pakcik tu minta lagi 2 gelas. Sulaiman tunjuk isyarat ibu jari tanda bagus pada pakcik tu.

Datang pula pramugari lain, dia minta lagi. Keseluruhannya, pakcik berkenaan tidak salah saya meminta 4 gelas + 1 tin arak. Sehingga apabila saya dihidang dengan air epal, tidak tergamak meminumnya kerana warnanya yang lebih kurang dengan arak.

Kami tiba di Chennai, Madras sekitar 12.15 tengah  malam waktu Malaysia (kira-kira 9.30 malam waktu Chennai).

Meski tengah malam, pemandangan dari udara dan juga persekitaran lapangan terbang nampaknya sentiasa sibuk. Mungkin ada yang terfikir mengapa kedai dan restoran mamak di Malaysia dibuka 24 jam, kerana kehidupan di India terlalu sibuk dengan urusan manusia.

Di sini kami tidak keluar daripada bangunan lapangan terbang. Solat, makan, bersembang, berehat dan tidur di kawasan dalam bangunan sahaja.

Pegawai dan kakitangan yang mengurus kami di sini juga amat baik hati. Mereka menyediakan sedikit jamuan ringan berupa air kotak, air mineral dan kuih muih.

Sekitar 6 jam di sini, kami berangkat menuju destinasi selanjutnya, Sharjah Emeriah Arab Bersatu (UAE). Sebelum bergerak ke Sharjah, saya sudah menamatkan surah al-Maidah (masuk juz 7).

Bersambung…

Baru sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Madras India. Di sini, pegawai MAS sedia menyambut kami dan menguruskan perjalanan kami seterusnya.

Sebahagian sahabat rombongan menunaikan solat maghrib & isyak jama’ ta’khir di kawasan lapang dalam bilik menunggu. Tiada surau di sini. Rakan-rakan berbincang dan berijtihad berkenaan arah qiblat kerana tiada yang tahu kedudukannya. Petugas di lapangan terbang yang ditemui pula, tiada yang beragama Islam.

Sebahagian sahabat rombongan bergambar kenangan di kawasan rehat dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Madras India.

Tiket dari Chennai ke Shahjah, UAE.

KE JOHOR BAHRU PULA

IMG_4999

Catatan 1. KLIA

Sekarang saya bersama-sama beberapa sahabat dalam Lajnah Tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada di KLIA, menanti saat-saat penerbangan ke Johor Bharu. Untuk mesyuarat kali ke-3 Penyemakan al-Quran pada tahun 2009 ini.

Sepanjang penerbangan tadi, lebih separuh masa perjalanan selama 2 jam setengah itu diselubungi dengan awan putih. Tidak banyak pemandangan indah dapat dinikmati melainkan warna putih bersih. Berdebar juga jantung, apabila beberapa kali tubuh pesawat bergegar.

Nampaknya ramai penumpang kali ini daripada kalangan anak muda. Mungkin mereka pelajar IPT yang menamatkan percutian semester dan kembali ke IPT masing-masing.

Ataupun, mereka bakal siswa-siswi yang baru diterima masuk. Gaya mereka mungkin seperti baru pertama kali naik kapal terbang! Orang kata perasaan teruja dan berkobar-kobar untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Sebelum saya duduk membuka laptop dan internet ni, saya disapa oleh seorang pelancong Arab bertanya lokasi surau. Mungkin kopiah putih di kepala saya membuatkan lelaki itu memilih saya untuk melontar soalannya.

“Makanus Solah?”

“Quddam syuwaiyyah”.

Saya kelam kabut memberi jawapan sambil menunjuk arah ke depan. Yalah, bukan hari-hari cakap arab.

p/s : Dua sahabat saya yang berada di sisi, melihat saya membuat catatan ini. Kedua-dua mereka iaitu Ust Hj Muridi Muhammad (Imam 1 Masjid Negeri Perlis) dan Ust Nasarudin Ngah (Maahad Tahfiz Pahang) berkirim salam kepada para pembaca dan peminat blog Abu Nuha Corner.

Catatan 2. Johor Bharu

IMG_5007

Sekitar jam 3.05, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai.

Di dalam teksi, kami naik berempat menuju hotel M-Suite. Sembang dengan pak sopir, kami pancing fikrahnya dengan memulakan perbualan sekitar pembangunan di Johor Bahru ini.

Mana tidak, lapangan terbang tadi mengalami pengubahsuaian. Keluar saja ke jalanraya, kelihatan projek-projek pembesaran jalan dilakukan.

“Ya pembangunan”. Sinis bunyinya.

“Masjid tu, sudah tiga tahun tergendala”. Tunjuknya ke arah masjid yang belum siap di tepi Lapangan Terbang.  Kemudian, pakcik itu merujuk pembangunan di Nusajaya yang diperkatakan ramai.

“Akhirnya, kita akan menumpang di bumi sendiri. Manalah kita mampu memiliki rumah-rumah besar di sana. Orang Melayu Johor, menengok ajelah..”

“Silap-silap nanti kita menjadi Palestin dan Israel. Tanah milik Palestin diambil oleh orang Israel. Orang Palestin terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan tanah mereka”.

Kami hanya banyak mendengar leteran pakcik itu. Leter punya leter, kami tiba di Hotel M Suites. Hotel yang pernah saya kunjungi 2 tahun lalu untuk mesyuarat yang sama.

“Cik, minta bilik menghadap laut yaa..” Pinta saya kepada petugas hotel.

IMG_5032

IMG_5033

%d bloggers like this: