Tag Archive: Khutbah


Khatib : Abu Nuha

Lokasi  : Surau Penjara Kepayan (Bersama banduan)

“Demi Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya seseorang  daripada kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga  (ketika hidupnya) sehingga jarak antaranya dengan mati hanya sehasta lagi,  lalu dia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka dia akan masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya ada di kalangan kamu yang beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan mati itu hanya sehasta saja, tiba-tiba dia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia dimasukkan ke dalam syurga”

Hadith ini sangat menggerunkan kita agar jangan berbangga dengan diri masing-masin dan jangan menghina orang lain dengan tidak menghitung amalan diri kita sendiri. Sedar dan insaflah betapa kita wajib bergantung kepada Allah SWT. Manusia yang lemah kadang-kadang tidak tahan dengan ujian yang terlalu banyak serta tipu daya syaitan, jin dan manusia menyebabkan kita terpesong dari jalan Allah SWT.

Perjalanan di atas jalan yang betul (seperti doa dalam surah al-Fatihah) terlalu banyak ujian dan mudah manusia terpesong. Berlakulah takdir yang ditentukan Allah, manusia yang terpesong dari jalan Allah walaupun ketika hayatnya ia seorang manusia yang baik tetapi berbangga dengan amaan dirinya dan lupa bergantung kepada Allah, tiba-tiba ia hanyut dan mendapat su’ul khatimah (kesudahan umur yang buruk) yang membawanya ke neraka walaupun pada awalnya dia beramal dengan amalan ahli syurga.

Dalam masa yang sama, adanya manusia yang dikasihi Allah, yang beramal dengan amalan yang jahat ketika hidupnya kerana dia jahil tetapi hatinya bergantung kepada Allah, benar-benar mahu berubah ke jalan yang betul maka Allah menunjukkan hidayah-Nya walaupun hanya sehasta lagi jaraknya untuk meninggal dunia. Oleh itu kita disuruh bermujahadah (bersungguh-sungguh) untuk memohon jalan yang baik dan berada di jalan yang betul.

Lokasi : Masjid Jamek Tun Ahmadshah, Kg Inanam Laut

Khatib : Abu Nuha

Umat yang benar-benar cinta kepada Allah dan rasul-Nya akan berasa bangga untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan Rasulullah SAW yang berjaya mengubah keadaan dunia daripada kelam kufur kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam.

Kita akan bangkit menentang sesiapa sahaja yang merendah-rendahkan baginda sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada rasul mulia ini. Baginda menjadi ikutan utama kita dalam setiap aspek kehidupan dari sekecil-kecil urusan sehinggalah kepada sebesar-besar perkara kerana baginda bukan sekadar memberitahu sebaliknya baginda melaksanakannya untuk mudah diikut oleh kita semua.

Rasulullah SAW telah ditarbiah sejak kecil dengan kesusahan demi kesusahan disamping menjauhi amalan syirik dan merosakkan akhlak walaupun berada di sekeliling masyarakat jahiliah. Sesuai dengan keadaan baginda yang pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu, maka baginda begitu mengambil berat tentang anak yatim serta sentiasa menggalakkan umat Islam supaya mengasihi anak yatim disamping begitu murka terhadap sesiapa yang menzalimi anak yatim.

Begitu juga dengan kehidupan baginda yang menjauhi kehidupan mewah bertujuan mendidik umatnya agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat utama. Kemiskinan yang dilalui oleh nabi bukannya disebabkan baginda pemalas kerana betapa banyak harta baginda yang dikorbankan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Nabi Muhammad SAW banyak kali menolak tawaran kemewahan samada daripada musuh Islam mahu pun permintaan daripada malaikat bertujuan menjaga keikhlasan umat Islam supaya memeluk Islam kerana Allah bukannya untuk mengejar kemewahan. Banyak kisah yang dibentangkan kepada kita tentang kehidupan nabi Muhammad SAW yang susah namun kemiskinan nabi bukan membawa kepada kehinaan sebaliknya dilihat oleh pemimpin dunia sebagai suatu kehebatan dan pengorbanan yang begitu mulia dalam membela nasib manusia.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas tentang kisah Sayyidina Umar al-Khottab semasa beliau menziarahi nabi di mana kata Umar :

“Aku pun duduk dan aku lihat bekas tikar pada tubuh Nabi Muhammad SAW Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung lalu aku pun terus menangis. Baginda SAW terus bertanya : Wahai Ibnu Khottab. Mengapa engkau menangis? Aku menjawab : Mengapa tidak wahai Rasulullah! Aku ternampak bekas tikar kasar di tubuhmu dan aku melihat hartamu hanyalah sekadar apa yang aku lihat sekarang. Bayangkan Maharaja Rom dan Parsi yang hidup dalam kelazatan sedangkan engkau adalah nabi hidup seperti ini. Lalu Nabi terus bersabda : Wahai Ibnu Khottab, apakah engkau tidak redha bahawa bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka hanya dunia?”

%d bloggers like this: