Masjid Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Hari ini kita menyambut hari raya bersempena dengan ibadah haji dan qurban, yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS dengan perintah Allah SWT. Ia menunjukkan betapa besar dan pentingnya kedua-dua ibadah ini di sisi Allah dan betapa besar fadhilanya serta banyak hikmah dan pengajarannya.

Dua ibadah yang dimulakan di bumi Makkah yang dinamakan sebagai Ummul Qura (ibu segala negeri dan kampung), tempat suci yang dipilih menjadi qiblat ibadah, tempat dilahirkan nabi akhir zaman Muhammad SAW dan bermulanya al-Quran diturunkan. Negeri Makkah dipilih untuk mengajar manusia bahawa matlamat atau tujuan mereka dijadikan oleh Allah ialah supaya memperhambakan diri kepadaNya dengan ibadah hanya kepada Allah SWT sahaja.

Ini sekaligus menafikan segala tuhan yang lain daripadaNya, dengan menolak segala syirik, menyekutukan Allah SWT dengan yang lain, dan manusia juga diperintah memakmurkan bumi dengan mengguna dan mentadbir makhluk bumi dengan syariat Allah dan menolak segala hukum dan undang-undang yang berlawanan dengannya.

Manusia diperintahkan agar tidak mengada-adakan undang-undang dan cara hidup sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT, dengan janji oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menunaikannya diberi kelebihan ganjaran di negeri akhirat kelak, serta jaminan rezeki yang baik dan berkat daripada Allah SWT di atas dunia ini.

Tugas itu semua boleh dilakukan oleh makhluk manusia sahaja, kerana kelebihan yang ada pada diri mereka, yang berbeza dengan para malaikat di langit, binatang yang tidak berakal di bumi serta batu dan kayu yang tidak dapat bergerak dengan sendiri. Firman Allah SWT (bermaksud) :

“Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak-anak Adam, dan Kami tempatkan mereka boleh berada di atas darat dan laut, serta Kami berikan kepada rezeki daripada segala yang baik, dan Kami beri kelebihan daripada kalangan makhluk yang Kami ciptakan, dengan kelebihan yang istimewa yang tidak ada pada makhluk lain.” (Surah al-Israk : 70)