Tag Archive: Khusyuk Dalam Solat


 

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman :  Tafsirnya :

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang khusyu‘.

Untuk mendapatkan khusyu‘ dalam sembahyang hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar sembahyang, sebelum seorang itu mendirikan sembahyang. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:

1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:

i) Menjaga makanan dan minuman. Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum hendaklah bersumber daripada yang halal. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya :

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’. Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya. (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata maksudnya : “Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya :

“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:

�� Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.

�� Memutihkan gigi.

�� Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

�� Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.

�� Menolong menguatkan gusi.

�� Meningkatkan kecerdikan.

�� Menggandakan pahala amal ibadat.

�� Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.

�� Menguatkan hafalan.

�� Mensucikan hati.

�� Menyukakan malaikat.

iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar. Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya :

“Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)

vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas. Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma maksudnya :

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud. Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda maksudnya :

“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan sembahyang.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut :

i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antara syi‘ar agama. Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

ii) Menghadirkan hati. Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan. Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu  maksudnya:

“Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang sembahyang.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata : “Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.  Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab maksudnya :

“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”

iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:

�� Surah an-Nas: Tafsirnya: “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. ”

�� Ta‘awudz, seperti: Tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

�� Tahlil: Ertinya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

�� Zikir: Maksudnya: “Kami beriman dengan Allah dan rasulrasulNya.”

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….” (Hadits riwayat Muslim)

3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:

i) Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu tasbih dan takbir dan doa. Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda maksudnya:

Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud….. (Hadis riwayat Muslim)

iii) Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v) Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah. Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan). Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir:  سبحان الله  Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda maksudnya :

“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta, sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya. Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.

Sumber : Mufti Brunei

“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada berpura-pura khusyuk. Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah! Apakah khusyuk yang berpura-pura itu? Baginda menjawab : Apabila hanya anggota zahirnya sahaja yang khusyuk, sedangkan hatinya berpura-pura (tidak khusyuk)”. (HR al-Hakim, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Penganjur (Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah) menyatakan dalam iklannya kursus terbuka kepada 100 peserta. JK berbincang dan memutuskan untuk menyediakan 200 kertas kerja. Namun yang mengejutkan jumlah kehadiran yang direkodkan ialah seramai 320 orang kesemuanya.

Pada awalnya, kursus tahsin solat ini sebagaimana siri pertama diadakan di bilik kuliah aras bawah Masjid Negeri Sabah. Pada siri pertama 2 minggu lalu, kehadiran mencecah 180 orang dan bilik kuliah penuh sesak.

Jadi dengan kehadiran lebih 300 orang kali ini, penganjur terpaksa memindahkan lokasi kursus ke dewan solat utama, untuk menampung jumlah yang lebih ramai dan nyaman dengan penghawa dingin.

Hanya dengan keadaan peserta yang duduk bersila tanpa meja selama lebih 5 jam itu menyebabkan ramai kurang selesa. Sekejap bersila, sekejap bersimpuh, sekejap pula berlunjur.

Kedua, duduk tanpa meja dan kerusi menyebabkan peserta duduk bertebaran, sebahagian besar memang bersusun di hadapan, namun sebahagiannya selesa menyandar di belakang dan membentuk kumpulan-kumpulan kecil tersendiri.

Bagaimanapun sehingga ke akhir kursus menurut pemerhatian saya, hanya sedikit yang berundur pulang apatah lagi sesi soal jawab dan kuiz yang menarik perhatian itu berlanjutan selepas solat zuhur dan berakhir jam 2.30 petang.

Kasihan dengan ramainya peserta yang tidak mendapat kertas kerja memandangkan yang tersedia hanya 200. Alhamdulillah, Allah SWT telah menggerakkan saya malam tadi untuk membuat sedikit nota penting melalui powerpoint untuk dipaparkan buat peserta yang hadir.

Ternyata itu banyak membantu khusus bagi mereka yang tidak punya kertas kerja.

Siri 2 kali ini difokuskan tentang khusyuk dalam solat. Ust Hj Muchlish menerangkan tentang maksud khusyuk, pembahagian khusyuk zahir dan batin, keutamaannya, faktor yang membantu khusyuk seperti kesihatan, pemakaian, tempat dan cara menunaikan solat, masa dan suasana solat dan sebagainya.

Turut dijelaskan halangan-halangan khusyuk seperti gangguan iblis dan syaitan, lupa dan lalai dalam solat serta melakukan perkara-perkara makruh dalam solat.

Sesi soal jawab mengambil masa yang lama dengan kira-kira 30 soalan dikemukakan kepada Ustaz yang memimpin kursus ini dengan baik sekali. Meski soalan yang diberikan tidak tertumpu soal solat, namun Ustaz dapat menangani dengan cemerlang sekali.

Ada slot kuiz yang dibuat secara spontan, dan saya diminta menyediakan 6 soalan mudah untuk dijawab oleh peserta kursus di hujung kursus.

Kehadiran yang ramai dengan promosi yang sederhana sebenarnya menaikkan semangat kami untuk memperbaiki kursus ini pada siri berikutnya. Insya Allah kami merancang untuk mengedit semula kertas kerja ini sebelum dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku nanti. Doakan misi ini berjaya.

Tahniah buat semua peserta, juga JK yang bertungkus lumus.

Antaranya Ust Hj Muchlish sendiri selaku Pengerusi Syukbah Dakwah dan sekaligus pembimbing, sdr Ribbang Hj Ampong yang mempengerusikan kursus, Hj Pozi dan Chef Abdullah, Cikgu Zainal dan lain-lain yang mengatur pendaftaran dan masalah-masalah teknikal sehingga kursus berakhir dengan baik. 

Insya Allah bertemu lagi pada 2 Mei 2010 untuk siri ketiga nanti.

%d bloggers like this: