Tag Archive: Kg Tamau Kota Belud


Tarikh : 6 Julai 2014

Lokasi : Pondok Fii Dzilalil Quran, Kg Tamau Kota Belud

Perjalanan dari Pekan Kudat setelah sebelumnya dari Pulau Banggi, kami singgah ke lokasi seterusnya untuk berziarah ke sini melihat-lihat anak-anak yang menadah ilmu teras agama, sambil kami berehat sebentar dan mendirikan solat zuhur asar secara jamak qasr.

Saya kenalkan pondok ini kepada dua pelajar yang menyertai permusafiran ini – Adam dan Brenge akan satu dunia pendidikan tradisi yang sudah lama beroperasi di bumi semenanjung dan lain-lain sementara di Sabah sudah ada sekitar 10-15 tahun lalu.

Pondok Tamau (1) Pondok Tamau (2)

Tarikh : 17 Nov 2013

Tempat : Pondok Fii Zilalil Quran, Kg Tamau Kota Belud

Terkejut kami melihat anak-anak pondok ini menyambut kami dengan paluan kompang. Kami diraikan dengan persembahan qasidah ya hanana, dan jamuan berat sedangkan kami sekadar berziarah dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk kebajikan dan pengurusan pondok.

Di hujung majlis sebagaimana kami persetujui dalam usrah malam sebelumnya di Kudat, seorang sahabat kami yang pernah menjadi penuntut awal pondok ini diistihar sebagai pengerusi JK Alumni Pondok, membantu hal ehwal ekonomi dan pembangunan pondok yang sememangnya memerlukan dana untuk membiayai kehidupan seharian para penghuninya.

PondokTamau (1) PondokTamau (2) PondokTamau (3) PondokTamau (4) PondokTamau (5) PondokTamau (6) PondokTamau (7) PondokTamau (8) PondokTamau (9) PondokTamau (10) PondokTamau (11) PondokTamau (12) PondokTamau (13) PondokTamau (14) PondokTamau (15) PondokTamau (16) PondokTamau (17)

Ketika akhir Ramadhan tempohari, saya dan kawan-kawan sempat berziarah ke Pondok Fii Zilalil Quran di Kampung Tamau Kota Belud yang seluas 5 ekar. Pondok ini bermula sekitar tahun 2000 setelah berpindah dari lokasi pertama di Kampung Rosok juga di Kota Belud ini. Ia bermula dengan surau dan kemudian semakin membesar dengan rumah guru, beberapa pondok atau asrama kayu dan simen, dapur, maktabah dan sebagainya.

Buat masa ini terdapat 18 orang pelajar remaja yang menuntut di pondok ini dengan beberapa orang guru tetap dan sambilan yang membantu secara sukarela demi kemajuan ilmu dan tarbiyyah untuk para penuntutnya. Sesuatu yang sangat menggembirakan ialah kebanyakan dana disumbangkan oleh umat Islam serata tempat dari seluruh negara.

Menurut Cikgu Saifuddin Ahmad yang menjadi pengurus pondok ini, mereka kini sedang mengusahakan sebuah tanah lapang untuk mendirikan beberapa lagi blok bangunan (foto disertakan di bawah). Namun demikian pihak pengurusan tetap memerlukan bantuan umat Islam bagi memberikan sumbangan kewangan. Begitu juga sebuah lorong yang perlu diturap bagi kemudahan pelajar dan pelawat kesemuanya memerlukan dana.

Mereka yang berminat untuk menyumbang atau menginfaqkan sebahagian harta mereka dipersilakan untuk menyalurkan sumbangan kewangan ke dalam akaun Bank Islam : 100 160 202 129 36. Selamat menyumbang!

Kredit foto : http://www.facebook.com/annisajamilah02

Kawan-kawan dari Kota Belud memaklumkan program berkenaan disusun sejak sebulan lalu dan diadakan secara bentuk karnival, yang bermula sejak awal pagi sabtu dan berakhir malam ahad. Bahkan saya dimaklumkan ada juga rombongan dari Kota Kinabalu yang datang untuk membantu kerja-kerja penyembelihan dan melapah 3 ekor lembu yang ditumbangkan pada pagi sabtu. Alhamdulillah, ramai penyumbang-penyumbang khususnya untuk mencukupkan dana jamuan rakyat yang diadakan pada malam minggu.

Program Paluan Gendang PRU-13 diadakan dengan 2 sesi siang dan malam. Antara program sebelah siang ialah ziarah hospital, sukaneka rakyat, pemeriksaan kesihatan serta penyembelihan dan kerja-kerja melapah 3 ekor lembu. Paling mencuri tumpuan ialah pelepasan konvoi 100 buah motorsikal oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz bagi mengiringi ketibaan Tuan Haji Mohammad Sabu dan rombongan mengelilingi Pekan Kota Belud dan kampung-kampung terpilih.

Sementara sebelah malam dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat dan solat isyak berjamaah di Kampung Tamau berdekatan rumah Ustaz Awang Laiman Haji Ikin. Juga diadakan tazkirah antara maghrib dan isyak oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. Jamuan rakyat dihadiri oleh sekitar 3 ribu penduduk Kota Belud dan daerah berhampiran dengan menu daging masak kicap, sup tulang, gulai kawah dan ulam-ulaman yang sangat menyelerakan diadakan di hadapan rumah Ustaz Awang Laiman.

Kemuncak program ini ialah ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohammad Sabu (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS Malaysia), YB Dr Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihanraya PAS Pusat), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia), Mohd Aminuddin Aling (Pesuruhjaya PAS Sabah), Dr Edwin Bosi (Setiausaha DAP Sabah) dan Ahmad Tamrin Jaini (Pengerusi PKR Sabah). Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Haji Awang Laiman Haji Ikin (Setiausaha PAS Sabah) disaksikan oleh ribuan rakyat yang duduk bersila di bawah 10 buah khemah yang disediakan penganjur.

BAKUL BERNILAI PERSAHABATAN

Seronok juga perjalanan kami berlima menuju ke kampung Tamau di Kota Belud untuk menziarahi keluarga Allahyarham Tuan Haji Barabag yang kembali ke rahmatullah seminggu lalu.

Kami tiba setengah jam sebelum zuhur. Ahli keluarga mereka sudah menanti dan membuat persiapan untuk kenduri selepas zuhur nanti. Bersembang lebih kurang dengan dihidangkan milo panas dan beberapa kuih muih.

Kami berangkat untuk solat zuhur di surau berhampiran. Ia kecil sahaja dan kini surau itu turut beroperasi sebagai pondok mengajar anak-anak muda tentang agama Islam. Khabarnya baru beberapa orang pelajar dengan seorang guru ditempatkan di sini.

Selepas zuhur kami berangkat pulang dengan kami masing-masing dibekalkan bakul penuh berisi makanan. Ada nasi, daging dan kuih muih pelbagai jenis.  Ia bakul yang penuh barakah kerana penduduk kampung sama-sama bergotong royong dan bersedekah kepada tetamu tuan rumah. Ziarah yang ringkas tetapi kami mendapat satu pengalaman baru di kampung sahabat.

Ia tetap bernilai bagi sebuah persahabatan.

TUAN HAJI BARABAG @ ABDULLAH

Foto dirakam pada 12 Julai 2009 di Kg Tamau Kota Belud ketika kami hendak pulang ke Kota Kinabalu setelah selesai berziarah dan makan tengahari di rumah ini.

Jam 6.50 petang, Abu Aslam menghantar sms : “..jika awal sikit, singgah rumah sekejap, lihat Maha Kuasanya Allah”. Ketika itu saya masih di rumah, hendak keluar ke Masjid Negeri Sabah.

Selepas isyak, dari Masjid Negeri Sabah saya singgah menjemput Ustaz Azam untuk menghadiri usrah di rumah sahabat di Sepanggar. Hampir jam 9, Abu Aslam ada menghubungi melalui telefon bimbit, tapi kurang jelas. Hanya saya jelaskan kami akan singgah di sana. Niat saya hendak menziarahi bapanya yang sudah lama terlantar sakit.

Jam 9.15 malam kami tiba di rumahnya di Ujana Kingfisher. Saya bertanya tentang bapanya yang berumur lebih 100 tahun itu. Saya pernah berjumpa dengannya beberapa kali, khususnya di Kg Tamau Kota Belud. Tiap kali berziarah ke kampung tersebut, rumah itulah tujuan kami. Makan minum dan berehat di sana.

Saya masih ingat, hampir setiap kali pulang dari berziarah, kami biasanya bersalam erat, dia selalu mendoakan dan bertanya bila pula akan bertemu lagi. Kadang-kadang perpisahan itu diakhiri dengan air matanya mengalir, seolah-olah kami ini bagai anak dan cucunya.

Kali pertama berziarah di rumah dan kampung tersebut ialah pada JULAI 2000 dan kali terakhir pada JULAI 2009. Malam ini, 26 JULAI, saat umat Islam menyambut Nisfu Sya’ban, Tuan Haji Barabag @ Abdullah kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang dan sempat menunaikan solat isyak di pembaringannya, bukan di Kg Tamau tapi di Taman Ujana Kingfisher, Likas.

Rupanya saat Abu Aslam menghubungi saya hampir jam 9 tadi itulah bapanya baru kembali ke rahmatullah. Katanya, itulah maksud sms yang meminta saya singgah melihat kuasa Allah SWT.

Saya mensyukuri nikmat persaudaraan dan persahabatan apabila melihat dalam tempoh sejam selepas pemergian, hampir kesemua sahabat-sahabat ahli usrah sudah tiba memenuhi rumah tersebut dan menghulurkan bantuan segera seperti mengemaskini rumah dan mengangkat jenazah ke ruang tamu bagi memudahkan orang ramai berziarah.

Persetujuan dicapai, jenazah dimandi dan dikafan sebelum subuh sementara solat jenazah di Masjid Kg Bangka-Bangka selepas solat subuh. Jenazah dibawa ke Kg Tamau Kota Belud selepas itu. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas Allahyarham dan memberikan kesabaran ke atas seluruh anggota keluarganya. Insya Allah, Allahyarham meninggalkan keturunan yang baik dan beramal soleh untuk perjuangan agama ini. Al-Fatihah.

%d bloggers like this: