Tag Archive: Kg Rudang Kota Belud


Ini adalah entri ketiga dan terakhir tentang Kg Rudang Kota Belud sempena kunjungan kami ke sana ahad lepas. Bermula dengan catatan program ceramah dan rawatan, kenduri dan kali ini tentang masjid pula, yang menjadi lokasi program ziarah, ceramah dan sesi rawatan perubatan Islam bersama penduduk kampung berkenaan. Kampung ini berjiran dengan kampung Merabau, Tawadakan, Kota Peladuk dan berada dalam DUN Tempasuk, Parlimen Kota Belud.

Kami dimaklumkan bahawa masjid ini – dahulunya hanya bertaraf surau – dibina pada zaman pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang pernah memerintah negeri antara tahun 1985 hingga 1994. (Menarik, bacaan saya tentang PBS yang baru berusia 47 hari kemudian menyertai pilihanraya 1985 kemudian menang 25 daripada 48 kerusi DUN Sabah menumbangkan kerajaan BERJAYA).

Tentang surau ini kata Tuan Haji Jamari, ia kemudian dinaik taraf kepada masjid setelah perbincangan diadakan bersama Tuan Haji Jamil Atan ketika beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah JHEAINS. Alhamdulillah, walaupun masjidnya sederhana sahaja, lokasinya sesuai di tepi jalan memudahkan penduduk kampung solat dan beribadah di dalamnya. Pemandangan sekitarnya juga sangat indah, dengan suasana sawah padi yang mulai menguning.

Kepada pengerusi JK Masjid Tuan Haji Maklin Haji Umbang dan Imam Rawatib Tuan Imam Butar Haji Adim serta seluruh JK masjid, kami mengharapkan agar program pengimarahan masjid dilakukan dengan lebih giat lagi agar masyarakat lebih cintakan masjid. Adakan program ziarah ke masjid atau surau lain untuk mempelajari dan mengambil pengalaman mereka bagaimana melonjakkan aktiviti di masjid kampung sendiri. Saya dimaklumkan kehadiran solat jumaat yang turun naik. Adakalanya tidak mencapai 40 orang dan adakalanya lebih daripada itu, sedangkan masjid ini boleh memuatkan sekitar 200 orang termasuk di ruang beranda.

KENDURI DI KAMPUNG RUDANG

Seronok melihat kesatuan masyarakat kampung berkenduri ketika kami berziarah untuk sesi rawatan di sana. Di rumah keluarga Haji Jamari Sikin, selepas zuhur ahad lepas ada majlis kenduri dan tahlil arwah. Alang-alang ketibaan kami, wakil tuan rumah mempersilakan Yang Mulia Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim untuk memimpin bacaan tahlil.

Kami ada juga bercerita tentang kehebatan orang-orang Kota Belud sehingga terdapat kalangan mereka yang memegang jawatan penting. Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar adalah orang Kota Belud, Speaker DUN Sabah DSP Salleh Tun Said juga orang Kota Belud. Pengarah SIRIM Sabah Tuan Haji Khairan juga orang Kota Belud (kami bertemu abang beliau di sini). Oh ya jangan lupa, imam besar Masjid Negeri Sabah ketika ini, Ustaz Ibrahim Kisab juga orang Kota Belud.

Di sini juga kami bertemu beberapa orang yang kami kenali pernah menjadi jamaah tetap Masjid Negeri Sabah satu ketika dahulu, tetapi apabila sudah bersara daripada perkhidmatan awam, beliau kembali ke kampung halaman. Ada beberapa jamaah di sini turut mengenali Ustaz Haji Muchlish yang pernah membimbing mereka dalam siri-siri kursus haji beberapa tahun lepas.

Tidak lupa kisah-kisah politik di sini yang juga dikhabarkan panas. Kisah-kisah ini mewarnai permusafiran kami ke Kampung Rudang Kota Belud, khususnya ketika bersembang dengan mereka. Saya juga bertemu seorang pelayar tegar blog Abu Nuha Corner, fotonya yang bawah sekali. Heheh, selamat melayari blog ini. Siapa lagi mahu jumpa, kita boleh bergambar bersama.

ZIARAH KG RUDANG KOTA BELUD

Alhamdulillah, pada ahad lepas saya menyertai serombongan kumpulan perawat dari Masjid Negeri Sabah ke Kampung Rudang Kota Belud atas undangan salah seorang ahli grup kami Tuan Haji Jamari Sikin. Tuan Haji Jamari yang berasal dari kampung berkenaan adalah warga JKR di Sembulan dan merupakan peserta Kuliah Perubatan Islam Masjid Negeri Sabah dan Darussyifa’ Sabah.

Musafir kami seramai 5 orang bermula jam 8.45 pagi dari Masjid Negeri Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan disertai oleh Tuan Haji Pozi Awang, Ustaz Ku Azam, Sdr Marjum Bandari dan saya sendiri. Kami tiba di kampung berkenaan sekitar jam 10 pagi dan sesi ceramah bermula setengah jam kemudian yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish.

Dalam ceramahnya antara lain beliau memaklumkan di hadapan 60-70 penduduk kampung yang hadir bahawa pengubatan Islam adalah termasuk dalam perkara yang diajar oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana sihat dan sakit adalah ujian Allah SWT kepada makhluknya, maka sebagai hamba kita sepatutnya menanganinya dengan cara yang betul juga. Mengisi waktu sihat dengan perkara yang baik dan menangani waktu sakit dengan cara yang betul juga.

Justeru kata ustaz, Islam mendidik kita dengan aqidah yang betul agar tidak bertemu dengan pawang yang amalannya bertentangan dengan ajaran Islam, memakai tangkal atau azimat, ataupun beriktiqad bahawa ubat dan doktor yang menyembuhkan penyakit, bukannya Allah. Selain itu, umat Islam mesti mengukuhkan aqidah dengan ilmu yang benar dan tidak membiarkan diri dalam kejahilan, sehingga apabila ditimpa suatu musibah atau penyakit, sewenang-wenangnya mencari sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Selepas ceramah ustaz, diadakan sesi rawatan secara percuma dan berhenti rehat untuk solat zuhur dan kenduri di rumah keluarga Tuan Haji Jamari yang berhampiran dengan lokasi masjid kampung mereka. Pada jam 2.30 petang, sesi rawatan disambung kembali dan berakhir menjelang waktu asar dengan keseluruhan 30 orang penduduk kampung yang diruqyah dengan ayat-ayat al-Quran dan doa daripada hadith-hadith Nabi SAW.

Dengan rasa syukur dapat membantu penduduk kampung, rombongan kami kembali selepas itu dan tiba di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada jam 6 petang.

%d bloggers like this: