Tag Archive: Kg Rancangan Klias


Ahad, saya bersama isteri dan anak 1,2 dan 3 sekali lagi ke Beaufort, bagi sama-sama meraikan pengantin baru Aji dan Omeng.

Hampir 10.30 pagi baru bertolak dari rumah dan tiba sejam setengah kemudian di rumah pengantin perempuan, Kg Rancangan Klias. Seronok apabila tiba melihat ramai rakan-rakan sepengajian di SMAN TPHR dan al-Azhar yang turun hadir.

Antaranya Ust Jamil Moksin dan keluarga, Ust Sallehuddin Sani @ Bond, Ustazah Dg Maimun, Ustazah Salha, dan ramai lagi. Kami juga berselisih dengan Ustazah Suraya Fitri yang bakal menikah jumaat ini pula.

Kami juga dimaklumkan lebih ramai rakan-rakan datang sebelum itu dan tidak menunggu sehingga ketibaan pengantin lelaki. Bahkan pada malam sebelumnya juga ramai yang datang berziarah, Ustazah Hamidah Amat, Ust Taqiuddin Ansori dan lain-lain.

Tidak lama di rumah Omeng, kami menyertai pula ke rumah lelaki di Kg Pintas dalam acara meliwan. Rumah antara keduanya hanya sekitar 10-15 minit sahaja.

Di rumah Aji pula, ada lagi kelibat rakan-rakan lain. Ust Syafiq Syafii dan isteri, Ust Hj Ibrahim Kisab dan lain-lain. Alhamdulillah, ramai rakan-rakan yang datang menunjukkan ukhuwwah mereka untuk rakan sepengajian.

Warna-warni majlis perkahwinan Aji & Omeng..

Rumah Aji di Kg Pintas, Beaufort

AJI & OMENG

Sekali akad saja, sahabat kami Hj  Yakob & Suzanah @ Omeng sah menjadi suami isteri.

Aji, 30 tahun dan Omeng, 28 tahun adalah rakan akrab kami suami isteri. Aji rakan sejak tingkatan 1 (1991) di SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah, kemudian sama-sama ke Maahad Tahfiz pada 1995-1999, menyambung ke Maahad Qiraat al-Azhar selepas itu hingga kami khatam.

Ada satu kelebihan yang ramai rakan-rakan tidak mengetahui tentangnya. Dalam ilmu qiraat yang sama-sama kami pelajari, sehingga kini saya mengakui bahawa Aji merupakan rakan yang paling mahir daripada kalangan kami.

Omeng pula rakan isteri saya khususnya ketika sama-sama di Mansoura Mesir. Biar tidak serumah, tetapi hubungan mereka tetap akrab. Bahkan ketika Nuha selamat dilahirkan, Omeng antara rakan-rakan yang setia menemani dan membantu kami sehingga kami pulang pada pertengahan 2004.

Mengenangkan persahabatan itu, kami sekeluarga 7 beranak turun ke Kg Rancangan Klias Beaufort bagi sama-sama meraikan hari bersejarah mereka berdua.

Rombongan pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan pada jam 3.40 petang. Selesai majlis pada 4.30 petang kami beransur pulang kerana ada komitmen lain pada sebelah maghrib pula.

Tahniah Aji dan Omeng. Untung Aji, Omeng pandai masak!

%d bloggers like this: