IMG_6004

Ada masa setengah jam lagi sebelum maghrib, saya dijadualkan menyampaikan ceramah umum di masjid yang sama. Kalau tadi khusus untuk para imam dan bilal, ceramah nanti untuk penduduk kampung pula.

Imam Daerah Tuan Imam Hj Madli Mansur membawa saya berehat sebentar di persisiran pantai. Nama kampungnya pun Kg Pantai Emas.

Khabarnya dahulu di persisiran pantai itu langsung tiada pepohonan kayu. Hanya rumput semata. Jadi sejauh mata memandang, pemandangan rumput di persisiran pantai itu berwarna kuning keemasan. Demikian cerita imam qaryah kepada saya. Wallahu a’lam.

IMG_5996

Tuan Imam Hj Madli Mansur sudah saya kenali hampir 10 tahun lalu. Seorang qari, dan pernah mendapat johan qari dalam MTQ Negeri Sabah beberapa tahun lalu. Suara beliau memang merdu dan padat.

Pada 2007, pernah saya memimpin solat sunat tarawih di Masjid Pekan Kota Belud bersama TYT dan rombongan Istana Negeri. Ketika itu Hj Madli bertindak sebagai bilal. Pulang dari Kota Belud, TYT Tun Ahmadshah memuji suara merdu beliau.

Dalam perjalanan kami ke seluruh pelusuk Sabah bertarawih bersama rakyat, gandingan saya bersama Imam Madli, diikuti dengan sambutan jamaah masjid di Pekan Kota Belud, TYT Tun menyatakan ia antara yang terbaik pada tahun itu.

Tuan Imam Hj Madli setahu saya antara yang dicalonkan ke Istana Negeri mengganti tempat saya sebagai pegawai agama Istana ketika itu. Saya difahamkan beliau menolak dengan baik atas beberapa alasan yang munasabah.

Saya berdiri dan berjalan di persisiran pantai di Kg Pantai Emas yang kelihatan luas dan bersih. Dapatlah seketika saya menenangkan fikiran dan mencari idea baru untuk ceramah malam itu.

IMG_6014

IMG_6017