Tag Archive: Kg Lubok Temiang


JUMPA KAWAN SEKAMPUNG

Tarikh : 26 Disember 2015

Lokasi : Kg Lubok Temiang WP Labuan

Kesempatan menghadiri majlis perkahwinan, menemukan saya dengan kawan-kawan sekampung, saudara Zaidi Jumat selaku tuan rumah yang meraikan perkahwinan adiknya. Zaidi kawan sekelas saya sejak tadika dan kemudian di SK Lubok Temiang dalam darjah 1-3 pada tahun 1986-1988.

Begitu juga Sdr Rosli Abdullah, jiran depan rumah yang lama tidak ditemui. Saya sudah merantau sejak tahun akhir 1991 dan hanya balik sekali sekala ke kampung, sementara saudara Rosli juga tidak lagi tinggal di hadapan kerana tinggal di kampung bersebelahan bersama keluarga isterinya. Rosli meski lebih senior, adalah kawan melepak zaman nakal dahulu.

20151226_112954 20151226_114712

BALIK KAMPUNG LAGI

Tarikh : 29 Mei 2015

Lokasi : Kg Lubok Temiang WP Labuan

20150529_170216 20150529_220317 20150529_220751 20150529_221312 20150529_222152IMG-20150529-WA0173IMG-20150529-WA0178IMG-20150529-WA0181

KENDURI KESYUKURAN

Tarikh : 30 November 2014

Lokasi : Kg Lubok Temiang WP Labuan

Tidak mudah untuk berkumpul bagi sebuah keluarga besar seperti kami. Apabila masing-masing sudah berkeluarga, sementara anak-anak semakin membesar dan ada yang merantau untuk melanjutkan pengajian, masa untuk berhimpun sudah semakin payah.

Jadi apabila ada kesempatan sebegini, walaupun hampir 100% kehadiran ia sudah memadai. Kami mengadakan kenduri kesyukuran kecil-kecilan dalam kelompok keluarga sempena ada anak-anak buah yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan masing-masing. Abang saya yang bekerja di Arab Saudi juga ada pulang sekali walau cuma 2 minggu sahaja, sementara saya dan abang sulung dengan famili masing-masing juga balik dari Kota Kinabalu.

Famili (1) Famili (2)

BALIK DULU

Tarikh : 2 Ogos 2014

Setelah bercuti selama seminggu di kampung, sampai masa untuk kembali ke tanah besar Sabah. Seminggu yang berharga, anak-anak semakin rapat dan kasih kepada nenek mereka di sini.

Seperti orang lain juga, saya selalu mengingatkan anak-anak agar hormat dan kasih kepada nenek di kampung, selalu duduk di sisi mereka serta memenuhi permintaan dan suruhan dari masa ke masa sepanjang keberadaan di kampung.

Saya mahu menerapkan kepada diri anak-anak apabila sudah balik ke Kota Kinabalu mereka ada perasaan rindu dan ingatan yang mendalam kepada nenek di kampung.

Labuan (1) Labuan (2) Labuan (3) Labuan (4)

Tarikh : 26 Julai 2014

Alhamdulillah, tahun ini kami sekeluarga menyambut hari raya di WP Labuan. Semua gembira hendak bertemu dengan nenek di kampung, pakcik makcik dan sepupu-sepupu yang ramai di sini.

Balik Labuan (1) Balik Labuan (2) Balik Labuan (3) Balik Labuan (4) Balik Labuan (5) Balik Labuan (6) Balik Labuan (7) Balik Labuan (8) Balik Labuan (9) Balik Labuan (10)

Orang tua, enam beradik, lima menantu dan 18 orang cucu.

18 cucu (insya Allah bertambah) bersama nenek aji, nenek uban dan nenek uwa.

Keluarga asal, enam beradik (ada dua orang meninggal dunia ketika kecil)

SUNGKAI 30 RAMADHAN

Sungkai (berbuka puasa) 30 Syawal menjadi kenangan manis keluarga besar Haji Othman Mahali di Kg Lubok Temiang baru-baru ini. Semua anak cucu, ipar duai dan menantu hadir bersama-sama berbuka puasa. Apatah lagi tahun ini semua anak-anak berhari raya di sini. Meriah sekali.

Selain bersungkai, ada majlis ringkas untuk anak-anak. Kebetulan anakanda Nur Anisa Nabila binti Azri Onn, menyambut ulangtahun ke-8  di rumah. Tambah gamat lagi dengan sesi cabutan bertuah untuk semua ahli keluarga. Ada yang dapat hadiah coklat, air minuman dan macam-macam lagi. Yang penting semuanya dapat dan menjadi kegembiraan bersama kami.

Satu

Peristiwa dihambat dengan rotan pada awal tahun 1986 masih diingat.

Pagi-pagi saya bersekolah kebangsaan yang terletak hanya sebelah rumah. Dengan takdir Allah SWT juga mulai tahun itu diwujudkan sekolah agama pada waktu petang, menumpang bangunan sekolah kebangsaan.

Hairan juga mengingatkan, ke sekolah kebangsaan saya suka dan semangat sekali. Namun kembali pada waktu petang untuk sekolah agama saya begitu takut. Payah dipujuk dan diugut.

Sekali itu saya bersembunyi di balik pintu dapur kerana tidak mahu ke sekolah agama. Saya dirotan dan dibawa ke sekolah menangis-nangis.

Dua

Akhir 1991, saya diterima masuk belajar di Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Tinggal jauh daripada kedua orang tua, itu pengalaman baru dan mendebarkan. 

Pada awal tahun itu ketika dalam darjah 6, saya pernah berpisah dengan keluarga buat beberapa hari kerana mewakili WP Labuan dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah di SMK Bingkor Keningau.

Saya serombongan dari Labuan, antaranya bersama dengan Ust Zulkarnain Ali (blogger http://mesrarakyat.wordpress.com/. Saya darjah 6 dan dia darjah 4. Saya wakil tilawah dan dia wakil hafazan.

Masuk ke sekolah TOPUHARA diiringi oleh bapa, dia bercerita tentang zaman Malaysia yang dilihatnya semakin cerah dengan sinar Islam. Asbabnya, Anwar Ibrahim yang muncul sebagai tokoh gerakan Islam dalam kerajaan Malaysia berpotensi sebagai Perdana Menteri.

“Belajar rajin-rajin, nanti jadi peguam Islam. Masa tu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Islam lebih baik di Malaysia” Begitu lebih kurang nasihatnya.

Tiga

Akhir 1994, kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah mulai 1995. Takdirnya juga, pelajar yang dicari ialah lepasan PMR, iaitu umur kami ketika itu.

Puas diiklan, diceritakan dan dipujuk, saya tidak terfikir untuk menyertainya.

Ust Hj Muchlish yang ketika itu masih bertugas di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah memanggil saya :

“Bapa kamu mahu kamu masuk tahfiz”. Ust. Muchlish adalah rakan baik bapa saya ketika mereka sama-sama berkhidmat di Sipitang, daerah kelahiran saya.

Ketika itu saya buat donno saja. Akhirnya tidak lama saya masuk bersama rakan-rakan lain.

Empat

Bapa saya, Hj Othman Mahali dilahirkan pada 17 Januari 1944 di Labuan. Memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah Kerajaan Labuan pada 1951.

Beliau pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah seperti SMK Labuan, SMK Pengiran Omar Sipitang dan SMK Membedai Labuan dengan memegang pelbagai jawatan bermula sebagai guru biasa, guru penolong, Penolong Kanan dan Pengetua.

Tepat 11 tahun lalu beliau bersara dalam dunia pendidikan dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat Pendidikan WP Labuan.

Kini selain dengan perniagaan HOM Enterprise di bandar Labuan, beliau dalam usia 66 tahun masih aktif dengan aktiviti sastera dan penulisan dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) yang beliau diantara pengasasnya.

Alhamdulillah dengan kesihatan yang Allah SWT berikan, beliau juga aktif dengan aktiviti pengimarahan sebagai pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang dan juga dalam Pertubuhan Peladang Kawasan WP Labuan.

Sebagai anak, saya menzahirkan perasaan kasih dan sayang melalui blog ini dengan kisah-kisah suka duka dan pahit manis yang saya catatkan sebagai kenangan untuk diabadikan bersama.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan ketenangan dalam beribadah pada saat-saat usia emas sebegini bersama seluruh keluarga. Saya, isteri dan anak-anak mendoakan.

Gambar di atas dicilok daripada facebook babu Ika dalam kenduri keluarga untuk Nenek Aji dan Pacik Onn yang tarikh lahir mereka serentak pada 17 Januari. Seorang 1944, seorang lagi 1968.

Gambar Nenek Aji bersama 9 daripada 18 cucu yang berada di WP Labuan. Sembilan orang cucu lagi berada di KK.

%d bloggers like this: