Tag Archive: Kg Likas


Tarikh : 22 Mei 2016

Lokasi : Kg Likas & Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

20160522_101532 20160522_101918 20160522_102029 20160522_102238 20160522_112215 20160522_124759

INI KISAH KAMPUNG LIKAS

Tajuk asal : Sambil menghirup kopi di kampung Likas

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/

SAYA sedang menghirup kopi di sebuah restoran yang terkenal dengan nasi lemaknya di Taman Kemajuan Likas ketika tiba-tiba teringin untuk menulis sesuatu mengenai Kampung Likas. Saya teringat ketika pertama kali tiba di kampung ini pada tahun 1986, tidak berapa lama selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika itu saya menumpang di rumah abang sepupu, yang terletak di kampung yang diberi nama Kampung Seranti.

Tetapi Kampung Seranti itu lebih dikenali sebagai Kampung Kandang Ayam, kerana ia terletak bersebelahan dengan lokasi penternakan ayam Jabatan Haiwan. Apabila kampung itu terbakar seluruhnya pada tahun 1997, Ketua Menteri ketika itu, Datuk Yong Teck Lee dan Jumat Idris (kini Datuk) yang pada ketika itu Ahli Majlis MPKK, telah berusaha untuk menimbus kampung yang mulanya berstatus setinggan itu, menjadi sebuah perkampungan baru yang kini diberi nama Kampung Cenderamata Dua Likas.

Kampung itu diberi nama Kampung Cenderamata Dua Likas mungkin kerana ia merupakan cenderamata daripada kerajaan kepada penduduk kampung yang telah kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran yang memusnahkan lebih daripada seribu buah rumah. Barangkali ramai juga yang berasa aneh mengenai kewujudan kampung dalam kampung. Misalnya, jika ada orang yang bertanya, di mana letaknya Kampung Cenderamata Dua? Jawapan yang selalu kita dengar ialah ia terletak di kampung Likas.

Kenapa ia dinamakan Kampung Cenderamata Dua? Kerana sebelum itu sudah ada kampung di dalam kampung Likas yang dinamakan Kampung Cenderamata Satu. Sambil minum itu saya terfikir alangkah baiknya jika ada satu buku sejarah ditulis mengenai sejarah Kampung Likas. Setakat ini, sepanjang yang saya tahu, belum ada sejarawan yang menulis secara tuntas mengenai sejarah kampung itu.

Banyak cerita yang kita dengar. Umpamanya, ada yang mengatakan bahawa kampung Likas dulunya dipenuhi hutan pokok bakau. Ada yang mengatakan sejurus selepas pendudukan Jepun, Kampung Likas sudah diduduki, mulanya oleh beberapa orang. Ketika proses urbanisasi bermula, ramai penduduk yang pada asalnya bermastautin di Api-Api atau Jesselton ketika itu berpindah ke Likas. Ramai pula penduduk dari luar ibu kota seperti dari Kota Belud, Kudat, Tuaran, dan sebagainya, yang tinggal di perkampungan nelayan di kampung Likas kerana kebanyakan mereka adalah pekerja di ibu negeri, ada yang bekerja sebagai buruh pelabuhan, dan bermacam pekerjaan lain di ibu negeri.

Sejak itu, kampung Likas memiliki sebuah masyarakat yang heterogen. Keanekaragaman budaya, kepelbagaian suku dan latar belakang menjadikan kampung Likas sebuah kampung yang lain daripada yang lain. Di Kampung Likas, selain kampung yang dikenali sebagai Kampung Likas Lama, kerana dikatakan itulah kampung Likas yang asal, terdapat juga Kampung Jawa, Kampung Nelayan, Kampung Suluk, Kampung Seroja, Kampung Gusung, Kampung Cempaka, di samping Rumah Murah Peringkat satu hingga tiga.

Kampung Likas mendapat namanya dari perkataan masyarakat bajau yang bermaksud likus, atau sepemeluk kerana disana kononnya terdapat kayu sebesar pemeluk yang menjadi tempat rujukan bagi orang-orang yang berpindah ke sana dari Api-ApiMasyarakat Iranun menyebut Likas sebagai Likes, yang bermaksud lingkaran, dilingkari atau terhimpunkan. Sementara itu, kampung Jawa mendapat namanya daripada orang-orang keturunan Jawa yang bermastautin di sana. Sehingga sekarang, kampung yang sebenarnya kecil itu dinamakan Kampung Jawa.

Sebelum itu, terdapat juga kampung yang diberi nama kampung Nelayan, kerana ia menjadi penempatan nelayan.Masyarakatnya campur baur, daripada penduduk asal atau imigran dari Kota Belud, Kudat dan sebagainya, bahkan juga apabila pembangunan datang melanda, ia juga ditempati oleh pekerja-pekerja bangunan, pekerja kapal dan sebagainya.

Sebelum jalan Tanjung Lipat itu ditimbus kira-kira tahun 76, kampung itu terkenal dengan nama kampung nelayan.Tetapi setelah kebanyakan mereka dipindahkan ke Kampung Warisan di Inanam, diberikan rumah dan tempat tinggal yang selesa, kampung itu, entah kenapa, dipanggil pula dengan nama Kampung Suluk, kerana ramainya orang-orang Suluk yang menetap di sana, iaitu sebelum mereka dipindahkan pula ke Telipok dan sebagainya.

Kita juga mengenal nama Kampung Seroja, yang namanya diambil sempena nama pokok seroja yang tumbuh di sana. Demikian juga Kampung Cempaka, kerana di kampung itu terdapat banyak pokok cempaka yang tumbuh memandangkan ia berada dekat tanah perkuburan.Di Kampung Likas juga terdapat kampung Bakau, yang mulanya ditempati oleh kalangan imigran yang menebang pokok bakau atau tinggal di celah-celah pokok bakau satu ketika dahulu.

Fikiran saya menerawang lagi kepada orang-orang yang mendiami Likas dan ikut berpengaruh dalam kehidupan masyarakatnya. Saya teringat pakcik Surat, saya teringat arwah Haji Latif, saya teringat pakcik Madindi, yang satu waktu pernah jadi penyelia pembinaan rumah murah, saya teringat arwah Haji Kadis, Imam Mantamin, Haji Idris dan ramai lagi.Sebahagian daripadanya telah mendahului kita.

Bahkan saya agak terkejut juga ketika diberitahu Awang Lamin, bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) sudah kembali ke rahmatullah. Kelmarin sudah masuk kenduri tujuh hari, kata Laliman Ahmad, salah seorang orang lama di Kampung Likas. Selain beliau, Haji Amat Telijar juga sudah meninggal dunia. Beliau pernah menjadi Ketua kampung Likas. Sebelum ini, sudah ramai orang-orang yang pernah berjasa dan berbakti kepada kampung Likas dan masyarakatnya telah kembali ke alam baqa.

Kampung Likas terletak hanya kira-kira 5 Km dari bandaraya Kota Kinabalu. Ia memiliki kedudukan yang penting dalam proses pembangunan bukan saja di ibu negeri malah di sekitar bandaraya Kota Kinabalu. Sudah sewajarnya sejarah mengenai Kampung Likas itu ditulis dan didokumentasikan. Kampung yang dulunya pernah dikunjungi oleh Allahyarham Tun Razak Hussain, Perdana Menteri Malaysia bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah melawat kampung bersejarah itu.

Semakin ramai tokoh, semakin ramai personaliti, semakin ramai orang-orang yang pernah menorehkan jasa mereka pergi mendahului kita. Saya menjadi agak sedih dan pilu, hampir lupa membayar minuman sebelum meninggalkan kedai itu.

Saat babahnya disemadikan, Naufal, 4 tahun (baju kuning) bertanya kepada umminya : “Ummi, KENAPA Allah ambil babah?”

“Kita mesti redha nak..” jawab umminya.

Allahyarham Ustaz Nahar meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah. Seumur 4 tahun sudah tahu bertanya ‘kenapa’, dan memahami Allah yang berkuasa mengambil nyawa babahnya.

Mudah-mudahan menjadi pengajaran semua.


Mulai semalam diadakan majlis tahlil selepas solat maghrib, sementara selepas solat isyak diadakan majlis tadarrus al-Quran sempena pemergian Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin yang mengadap ilahi pada isnin lalu.

Pada malam tadi, sahabat-sahabat yang hadir sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali (60 juzu’). Antara yang hadir ialah rakan-rakan sepengajian beliau di Jordan, guru-guru, sahabat-sahabat seusrah dan jamaah masjid kg Likas.

Insya Allah, majlis tahlil selepas maghrib dan tadarrus al-Quran selepas isyak akan diteruskan sehingga hujung minggu ini. Solat maghrib dan isyak berjamaah di Masjid Jamek Kg Likas. Sahabat-sahabat dipelawa untuk hadir majlis berkenaan bersama pasangan masing-masing.

Sementara itu majlis yang khusus untuk tetamu muslimat juga akan diadakan bacaan Yasin dan tahlil di rumah Allahyarham pada 18 Julai (ahad) jam 2 petang anjuran Dewan Muslimat Sepanggar.

Majlis terakhir dijangka akan diadakan pada petang ahad berkenaan selepas solat asar bersama Ustaz Taib Azamuddin Mohammad Taib, Ahli Parlimen Baling Kedah yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur. Semua  dijemput hadir.

Di pihak JHEAINS juga akan mengadakan majlis tahlil pada pagi Jumaat 16 Julai 2010 di tingkat 10 Wisma MUIS di pejabat Bahagian Pentadbiran Masjid, Wilayah dan Daerah, tempat Allahyarham Ustaz Nahar bertugas sebelum ini.


Perjalanan terakhir seorang hamba Allah

Selepas solat subuh di Masjid Jamek Kg Likas dan bersarapan di Likas Plaza bersama rakan-rakan yang berjaga malam, saya kembali ke masjid. Baru jam 6 pagi, ada sedikit masa untuk berehat. Fikiran masih berkecamuk setelah kehilangan Ustaz Nahar yang dikasihi.

Rehat dan lena tidak sampai sejam sedikit sebanyak terusik dengan kenangan lama. Lagi pun beberapa rakan membuat panggilan masuk dan sms ke telefon, bertanyakan urusan penyelenggaraan jenazah, bila mandi, bila solat, bila kebumi dan seumpamanya.

Hampir jam 8 pagi, kami yang hanya berada di luar rumah dimaklumkan jenazah ustaz sudah bersedia untuk disolatkan. Maklumlah keluarga dan sanak saudara beliau yang besar, ahli jamaah masjid serta rakan-rakan ramai dan sedia membantu urusan mandi dan kafan.

Solat janazah didirikan di Masjid Jamek Kg Likas yang terletak berhadapan dengan rumah ustaz dengan diimamkan oleh Imam Abd Ghani Hj Nawawi disertai kira-kira 500 jamaah. Sesudah solat pertama, muncul lagi kumpulan kedua yang terlewat sampai diimamkan oleh Ustaz Shahrul Nizam, rakan beliau yang sama-sama belajar di Jordan yang tiba dari Pahang malam tadi.

Sekitar 8.25 pagi, jenazah bersiap sedia untuk diusung ke Taman Perkuburan yang terletak tidak jauh, hanya berjalan kaki sekitar 5-10 minit. Saya melihat deretan orang ramai sama ada saudara mara, sahabat, guru-guru agama, para pendakwah terus berkunjung ke taman perkuburan, tidak sempat menyertai solat janazah dan terus ke majlis pengkebumian ustaz walaupun majlis hampir ke penghujung.

Kami jangkakan tidak kurang tiga ribu umat Islam yang mengikuti dan memberikan penghormatan terakhir buat ustaz yang dikasihi. Oleh kerana tempat persemadian ustaz berada di lereng anak bukit, masih ramai berdiri dan duduk jauh kerana keadaan tersebut tambahan keadaan tanah yang licin akibat hujan lebat semalam.

Imam Abd. Ghani dan Imam Wahid bersilih ganti memimpin talqin dan tahlil. Hati begitu sedih dan sebak sekali berpisah dengan ustaz. Saya melihat setiap sahabat-sahabat seusrah, rakan-rakan seperjuangan yang hadir semuanya sugul dan mengalirkan air mata.

Imam Wahid turut sebak saat memimpin tahlil. Teringat kebaikan ustaz yang suka membantu muallaf dan pekerjanya, santunnya kepada anak muda, kasih sayangnya kepada sahabat, pemurah kepada tetamu, juga hormatnya kepada pemimpin. Alhamdulillah, beliau pergi meninggalkan isteri yang baik dan anak yang soleh. Mudah-mudahan Nasyraf menjadi pemimpin dan pengganti yang baik dalam keluarga.

Semoga Ustaz Haji Nahar tenang dan bergembira menerima nikmat dari Allah SWT di alam barzakh. Marilah kita meneruskan perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh para pendakwah terdahulu termasuk oleh Ustaz Nahar. Beliau telah mendahului kita semua.

Ya Allah ampuni Ustaz Nahar, kasihani dia, afiatkan dia, maafkan dia, muliakan dia, luaskan tempat semadinya, sucikan dia dengan air, salju lagi sejuk dan nyaman. Gantikan dia dengan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sudah dialaminya di dunia. Jauhkan dia daripada azab kubur dan fitnahnya, juga daripada azab api neraka. Masukkan dia ke dalam syurga bersama orang-orang yang baik. Allahumma amin.


NAIM


Rasa badan mula kurang selesa pada lewat petang ahad. Namun saya gagahkan juga untuk memandu bersama keluarga ke Kg Likas menghadiri kenduri kesyukuran dan aqiqah sempena kelahiran anak ketiga ipar saya.

Naim, demikian nama diberi telah lahir pada 8 April. Di sebelah pihak Datuk Ismail Abbas, ini adalah cucu yang ke-26 sementara di sebelah kami ini cucu ke-16.

Rupanya, majlis marhaban terlebih dahulu diadakan sesama kaum ibu selepas maghrib. Manakala sesudah isyak, tidak lama sesudah kami tiba, giliran majlis marhaban dan doa untuk kaum bapa pula.

Ramai orang kampung khususnya jamaah Masjid Kg Likas dan Masjid Bandaraya hadir. Antaranya termasuk Datuk Hj Matusin Ag Damit, Hj Syed Hussin Habib Omar dan Ust Hj Parmin Sahlan yang mengetuai bacaan solawat dan doa.

Dua ekor kambing telah selamat ditumbangkan sempena kenduri aqiqah ini.



ZIARAH DATUK AHMAD OTHMAN

Selesai solat isyak malam tadi, kami menziarahi mantan timbalan mufti Datuk Hj Ahmad Othman di rumahnya di Kg Likas. Banyak cerita yang kami dengar akhir-akhir ini berkenaan beliau.

Pertemuan diketuai oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ust Hj Nahar, Ust Arbaen dan saya sendiri. Beberapa sahabat yang dihubungi tidak dapat hadir atas komitmen lain, tambahan program ziarah ini hanya diatur pada lewat petang.

Memang dalam keuzurannya, sesekali beliau masih ke masjid khususnya Masjid Jamek Kg Likas dengan bantuan anak-anaknya. Dalam usia hampir 82 tahun, pergerakannya memang terbatas.

Kami mulanya menanti di ruang tamu, kemudiannya dipersilakan masuk ke bilik tempat istirehatnya.

Menurut isteri beliau yang biasa dipanggil Ummi, Datuk sudah beberapa hari tidak tidur. Kami melihat wajah dan matanya begitu keletihan, tetapi dia rancak bersembang, bercerita zaman lampau.

Bahkan sesuatu yang mengejutkan kata Ummi, Datuk mengingati lagu dodoian ibunya ketika dia berusia 2-3 tahun. Di hadapan kami, dia menyebutkan bait-bait seloka yang menarik.

Kata Ummi, sepanjang hidup bersama dia tidak pernah bercerita hal itu, tetapi 2-3 hari kebelakangan dia menyebutkannya.

Tatkala menyebut hal Allahyarham ibunya, Datuk beberapa kali mengalirkan air mata. Dia teringatkan dodoian dan nasihat ibunya.

Dalam sembang itu, beliau sempat berkuliah di hadapan kami, menghuraikan beberapa ayat al-Quran, menafsirkannya dengan tegas sebagaimana keperibadian beliau yang dikenal orang.

Datuk mahu berkuliah di masjid pada khamis akan datang, dan meminta kawan-kawan sepengajian Ust Nahar hadir dan menyoalnya.

Beliau juga menyebut beberapa perkara perihal politik semasa tanahair. UMNO, PAS, PKR.

Kami dijemput keluar semula oleh Ummi untuk ke ruang tamu minum syai. Katanya, Datuk ingin sangat makan ikan keli dan daging kambing. Saya memberi nombor telefon seseorang untuk dihubungi dan membekalkan ikan keli kepadanya.

Datuk dipapah keluar dan duduk di atas kerusi roda sebelum cerita kami bersambung di ruang tamu.

Kepada saya yang dikenalinya sebagai imam, beliau bertanya tempat saya bertugas kini. Pada tahun 2000 saya pernah bertugas di Masjid Bandaraya beberapa bulan sebelum berangkat ke Mesir.

Datuk menawarkan saya kembali ke Masjid Bandaraya : “Mau jadi imam bandaraya? Saya boleh cakapkan”, katanya. Saya tersengih saja. Dengan berat hati saya menolak.

Dalam Datuk rancak bercerita, kami menyedari beliau sebenarnya amat keletihan. Kami mohon izin pulang sekitar jam 9.50 malam bagi memberi laluan beliau berehat walaupun nampaknya cerita belum habis.

Kesimpulan yang kami perolehi hasil pertemuan itu, beliau sebenarnya kesunyian.

Beliau ingin benar diziarahi, menunggu teman bercerita. Disebutnya nama-nama ustaz lain. Ust Mansur (Mansuruddin Batubara), Iyen Atim, Jalidar Abd Rahim dan lain-lain. Ust Muchlish katakan, insya Allah semuanya ingat kepadanya.

Ustaz-ustaz lain, pergilah ziarah.

Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.

RUMAH TERBUKA UST HJ NAHAR MERIAH

IMG_9014

Ahad semalam saya khususkan untuk berziarah ke rumah terbuka Ust Hj Nahar Matamin di Kg Likas berhadapan dengan Masjid Jamek Kg Likas.

Ust Hj Nahar yang pernah belajar di Syria dan Jordan adalah bos saya ketika kami bersama-sama  di Masjid Negeri Sabah satu ketika dahulu. Kini beliau ditempatkan di ibu pejabat JHEAINS, unit masjid, bahagian pentadbiran agama, wilayah dan daerah.

Dalam banyak rumah terbuka yang saya hadiri di kalangan rakan dan sahabat, rasanya ini yang paling meriah. Seekor kerbau dan seekor lembu tumbang untuk majlis hari ini.

Khabarnya rumah terbuka beliau bermula sejak jam 10 pagi dan kami sekeluarga hanya ke sana selepas solat zuhur di Masjid Jamek Kg Likas.

Dalam majlis berkenaan, dua penceramah dijemput untuk menyampaikan tazkirah ringkas.

Ust Md Farhan Abdullah yang kebetulan balik dari KL mengambil masa sebelum zuhur sementara Ust Rafihi mengambil tempat selepas zuhur dengan tazkirahnya dalam bahasa bajau.

Menurut Ust Nahar, pada kesempatan rumah terbuka kali ini juga pihaknya berusaha mengumpul maklumat seluruh keluarga Allahyarham Hj Mantamin, bekas Imam Daerah Kota Kinabalu.

Ketika saya berhajat untuk pulang awal, hasrat itu tergendala apabila artis nasyid Nazrey Johani tiba. Anak-anak terpaku duduk di hadapan melihat dan  mendengar celoteh dan lagu-lagu nasyidnya. 

Dalam majlis yang berlangsung sehingga asar itu, dianggarkan tidak kurang 3 ribu tetamu hadir membanjiri kawasan rumah beliau, khususnya sanak saudara sekitar Kg Likas, Kg Bangka-Bangka, Kg Darau, Kg Rampayan, Kg Inanam Laut, Kg Kebagu serta kenalan beliau dari merata tempat sekitar pantai barat.

 IMG_8988

IMG_8994

IMG_8996

IMG_8998

IMG_9009

IMG_9021

IMG_9025

IMG_9028

IMG_9029

IMG_9038

IMG_9043

IMG_9049

IMG_9051

IMG_9056

IMG_9074

IMG_9082

%d bloggers like this: