IMG_6825

Sebenarnya, tujuan saya ke Pitas ini ialah untuk menziarahi rumah keluarga Allahyarham Ust Ismail Ghaffar di Kg Kalipuon khususnya Muhammad Kamil.

Program lain yang disusun oleh sahabat saya Ust Kamal Sindong, hanyalah sampingan sahaja.

Ismail meninggal dunia pada 25 Januari, 2 hari selepas terlibat dalam satu kemalangan di Pitas. Beliau meninggalkan seorang isteri, Ustazah Suji Rahini Abd Rahman dan seorang zuriat lelaki Muhammad Kamil berusia hampir 8 bulan.

Keluarga Ustazah Suji berasal dari Tangga Batu Melaka dan kini menetap di Bahau Negeri Sembilan. Kini bertugas di  Kota Marudu.

Khabarnya, Allahyarham Ismail sempat menemani isterinya ketika melahirkan Muhammad Kamil di Negeri Sembilan. Wajah anak ini ada iras-iras Allahyarham juga terutama matanya.

Allahyarham adalah anak ke-8 daripada 10 adik beradik, 5 lelaki dan 5 perempuan.

Faham saya, kebanyakan keluarga besar mereka termasuk ipar duai yang berada dalam dunia perguruan, tetapi hanya Allahyarham seorang yang bergelar ustaz.

IMG_6820

Kehadiran saya bersama Aslam dan Ust Kamal sudah dimaklumkan lebih awal.

Ibu Allahyarham bersama ahli keluarganya yang ada di rumah, nampak kami begitu berbesar hati menerima kami walaupun ini pertemuan kali pertama.

Saya memperkenalkan diri sebagai rakan Allahyarham di Mesir. Ibu masih tidak dapat melupakan Allahyarham. Sejurus kami duduk, ibu bercerita dan menangis.

Sementelahan pula, suami ibu meninggal dunia pada 13 Disember 2008, 40 hari sebelum Ismail menghembuskan nafas terrakhirnya. Kami mendengar cerita-cerita ibu dan ahli keluarganya.

Mykad Allahyarham diunjukkannya kepada saya. Berkali-kali ibu menyebutkan bahawa Allahyarham Ismail adalah seorang anak yang baik.

Sebenarnya ibu sendirian tinggal di rumah besar ini.

Hanya hujung minggu anak menantu bersama cucu-cucu yang sudah mencecah 26 orang itu pulang bergilir-gilir menziarahi orang tua ini. Kakak sulung mereka yang paling hampir, tinggal tidak jauh dari situ.

Adik Allahyarham Ismail, Cikgu Adibah yang bertugas di SMK Bingkungan, Kota Marudu berkahwin juga dengan seorang guru, orang Benoni (?lupa bertanya nama), bertugas di sekolah yang sama sejak awal tahun ini, baru memperoleh cahayamata lelaki beberapa hari lepas.

Mereka menamakan bayi comel ini, Ismail.

Sementara kita berharap dan berdoa semoga Muhammad Kamil menjadi anak yang soleh dan berjasa kepada keluarganya, mudah-mudahan Allahyarham Ismail pula tenang di alam sana, al-Fatihah.

IMG_6833

IMG_6837

Orkid Lodge, Pitas.