Belum begitu lama saya mengenali beliau, hanya sekadar beberapa kali berjamaah di Masjid Kg Bangka-Bangka Likas atau bertemu di rumah Tuan Haji Abu Aslam di Taman Kingfisher sekali dua. Kemudian kami berpeluang bermusafir bersama pada akhir Ramadhan lepas ke Pulau Banggi sehari semalam (rujuk artikel lepas) atas urusan kerja-kerja dakwah, seterusnya ke Kota Belud sebelum pulang ke Kota Kinabalu.

Benar aktiviti bermusafir selain memberikan pengalaman berguna – jauh perjalanan, luas pengetahuan, banyak pemandangan – juga memberikan makna persahabatan dalam permusafiran. Beliau mengajak kami singgah ke rumah kedua beliau di Kampung Jawi-Jawi Kota Belud, yang menjadi rumah persinggahan beliau bersama keluarga pada hujung-hujung minggu jika tiada aktiviti penting di universiti atau lain-lain.

Kampung Jawi-Jawi yang saya ketahui terletak di pertengahan perjalanan antara Kota Kinabalu ke Kudat, dan nama kampung ini kalau tidak salah berasal daripada sebuah pokok jejawi yang dikatakan banyak ditanam satu ketika dahulu. Kampung ini lokasinya termasuk dalam Dewan Undangan Negeri N6 Tempasuk, dan dalam mukim Taun Gusi. Demikian yang saya baca dalam maklumat rasmi kerajaan negeri. Melihat dari sisi beranda rumah beliau di kampung ini agak indah dengan sekelilingnya sawah padi. Ketika ini kawasan sawah baru dibakar namun Dr Syafie mengirimkan saya foto sawah padi yang menghijau beberapa bulan lalu untuk tatapan pembaca blog ini.

Dr Syafie sebenarnya orang Terengganu dan beristerikan orang Kota Belud ini. Menarik juga kisah beliau mendirikan rumahtangga di Pulau Pinang yang menjadi lokasi berkecuali. Sepanjang sehari semalam kami bermusafir itulah, saya mengetahui yang beliau meminati kerja-kerja amal dan dakwah. Insya Allah saya kira kami mempunyai seorang lagi ahli akademik yang berminat dengan kerja-kerja dakwah bilhal ini. Selamat bersahabat.

Foto yang diberikan oleh Dr Syafie :