Tag Archive: KEMAS Sabah



Bersama rakan-rakan lain, kami diberi amanah menghakimi beberapa kategori pertandingan sempena Festival Kesenian Islam KEMAS Negeri Sabah 2010 di Dewan Kinabalu, Kompleks Tabung Haji semalam.

Ada pertandingan Marhaban & Barzanji, Tilawah al-Quran, Pidato dan Nasyid. Saya terlibat sebagai hakim tajwid dalam tilawah al-Quran bersama-sama Ust Hj Abd Rahman Talipudin, Ust Hj Parmin Sahlan dan Ust Yusuf Ali.

Festival ini diadakan selama dua hari, sabtu dan ahad. Hari ini hanya sebagai majlis penutupan manakala semua pertandingan berlangsung seharian pada semalam. Nasyid yang menjadi tumpuan dilangsungkan sebelah malam.

Saya datang sekitar jam 10.30 pagi untuk memulakan tilawah al-Quran. Ketika itu pertandingan marhaban dan barzanji  di penghujung acara dan penonton agak ramai. Selepas rehat tilawah mengambil tempat untuk menguji 10 peserta qari dan qariah.

Para hakim diletakkan di hadapan sekali, berhadapan dengan peserta. Namun saya terkejut apabila menoleh ke belakang, audien yang terlalu sedikit. Ke mana menghilang penonton yang hampir memenuhi dewan awal tadi. Adakah benar mengaji al-Quran tidak diminati orang?

Hanya sedikit penonton sebelah kanan dan kiri, sementara di ruang tengah hampir kosong. Hanya berisi di barisan pertama dengan beberapa orang muslimat.

Selesai majlis tilawah dan jamuan, saya tidak menanti lama kerana program seterusnya di Bangunan KUWASA. Terima kasih KEMAS memberi peluang kami menyumbang khidmat dalam majlis ini.


 

Hajat awal memang hendak hadir ke Tabung Haji mendengar kuliah Tafsir Maudhu’ie pimpinan Datuk Dr Siddiq Fadzil anjuran ABIM Sabah.

Namun tugasan diberi untuk menjadi salah seorang hakim bagi empat pertandingan – pidato, tilawah, marhaban & barzanji dan nasyid anjuran KEMAS di Dewan Kecil MAKSAK Likas bagi mengganti sahabat yang berhalangan.

Bersama saya ialah Ust Hj Abd Rahman Talipuddin, Ust Hj Parmin Sahlan dan Ust Hj Abdillah Nanun. Sebenarnya agak mencabar juga apabila menghakimi empat pertandingan yang berlainan. Mujur pesertanya tidak ramai.

Alhamdulillah, dapat mengutip ilmu dan pengalaman dengan para hakim yang lebih senior.

Zon 2 mewakili Parlimen Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Pemenang setiap kategori akan mewakili zon ini ke peringkat negeri Festival Kesenian Islam anjuran KEMAS pada akhir Mei nanti.

Festival bermula jam 8.30 pagi dan berakhir tengahari dan ditutup oleh Pengarah KEMAS Negeri Sabah.

%d bloggers like this: