Tag Archive: Kelas Pengajian Syukbah Dakwah


MENUNTUT ILMU ITU WAJIB

Apabila saya mendengar dan menonton rakaman kuliah Yang Mulia Ustaz Azhar Idrus melalui vcd yang saya beli satu ketika dahulu, membincangkan tentang hadith yang sangat terkenal berkenaan kewajiban belajar  ke atas setiap individu muslim, saya jadi terbuka mata dan fikiran mendengar huraian beliau.

Selama ini kita hanya mendengar dan seperti membiarkan lalu hadith ‘Menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim’, biarpun selalu mendengar daripada sekian banyak ustaz dan pendakwah menghuraikannya. Tapi huraian Ustaz Azhar Idrus agak lain walaupun gayanya santai dan bersahaja seperti yang ramai kenali.

Mafhum kata-katanya begini, jika seseorang itu jahil dalam urusan agama – apatah lagi melibatkan ilmu fardhu ain seperti berkaitan rukun iman dan rukun islam dan seumpamanya, dan dia mengetahui adanya pengajian-pengajian, kuliah-kuliah maghrib, ceramah-ceramah dan seumpamanya dekat dengannya seperti di surau atau masjid berdekatan, lalu dia tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie, maka dia berdosa.

Sekiranya dia dalam keadaan sibuk mencari rezeki dan berhalangan daripada menghadirkan diri dalam majlis ilmu, maka dia wajib berikhtiar untuk mencari ruang belajar agama agar dia terkeluar daripada kejahilan. Kerana Nabi SAW ada berpesan, “Tidak patut orang jahil mendiamkan diri (tidak mahu belajar), dan tidak patut orang berilmu mendiamkan diri (tidak mahu mengajar)”.

***

Di Masjid Negeri Sabah Kota Kinabalu, pengajian-pengajian sangat banyak diadakan. Ada kuliah maghrib, ada kuliah subuh dan ada kuliah selepas isyak hampir setiap malam. Kuliah maghrib dan subuh sudah berjalan barangkali lebih 20 tahun. Sudah banyak kitab dihabiskan. Guru-guru yang mengajar juga bersilih ganti, ada yang masih kekal bertahan seperti Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, ada yang sudah berpindah dan ada juga yang sudah kembali ke rahmatullah.

Sementara kuliah selepas isyak diadakan sejak 2-3 tahun kebelakangan ini. Ada kuliah tasawuf, fekah, tauhid, al-Quran, tafsir dan perubatan Islam di bilik kuliah 2. Kuliah-kuliah ini semuanya diadakan secara percuma. Masyarakat hanya perlu hadir dengan adab-adab belajar, membawa buku dan boleh bertanya kepada guru yang mengajar.

Saya sangat menghormati dan tabik kepada kesungguhan sahabat-sahabat yang bekerja keras mempromosi kelas ini terutamanya Tuan Haji Mohd Pozi Awang dan lain-lain. Mereka mempunyai pelbagai idea untuk memperkemaskan lagi pemasaran kuliah ini. Daripada ribuan jamaah yang solat jumaat di masjid ini, ya, hanya tidak sampai 50 orang digerakkan hati mereka untuk hadir ke kuliah seumpama ini dalam keadaan masih ramai masyarakat yang jahil tentang agama mereka sendiri. Mungkin masih salah kami kurang memperkenalkan kuliah ini.

Insya Allah kami akan melancarkan promosi baru pada akhir tahun ini untuk mempromosi lagi pengajian-pengajian berkenaan. Para pembaca blog ini barangkali ada pandangan berbeza. Idea yang baik dan mampu kami laksanakan adalah dialu-alukan. Mudah-mudahan idea itu terlaksana dan mendapat pahala yang berpanjangan. Insya Allah.

PENGAJIAN BERSAMBUNG

Alhamdulillah, mulai minggu ini dan minggu hadapan, kuliah-kuliah maghrib dan pengajian lain akan bersambung semula. Sepanjang Ramadhan dan 2 minggu pertama bulan Syawal semua pengajian direhatkan digantikan dengan tazkirah Ramadhan dan aktiviti lain.

Kuliah maghrib isnin di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan menyambung bab hadith solat Dhuha (Kitab Syamail Muhammadiyyah SAW); selasa di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah menyambung kisah Rasul Ulul Azmi – Nabi Musa as (Kitab Indahnya Hidup Bersyariat); rabu di Surau Austral akan talaqqi ayat tertentu mengikut isu semasa (bermula minggu hadapan); sabtu di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru menyambung bab tilawah al-Quran (kitab al-Azkar).

Kelas-kelas pengajian al-Quran bersama Abu Nuha pula akan disambung mulai minggu hadapan, baik kelas di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) setiap isnin hingga rabu, dan di Sektor Pengurusan Akademik (SPA) Jabatan Pelajaran KUWASA setiap khamis dan sabtu. Sudah ada permintaan orang baru untuk turut serta.

Kelas pengajian di Masjid Negeri anjuran Syukbah Dakwah juga bermula minggu hadapan. Ia bermula dengan kelas tasauf pada isnin bersama Ustaz Haji Md Mursal Muchtar (8.30 malam), kelas fekah pada selasa bersama Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (8.30 malam), kelas tauhid pada rabu bersama Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (8.30 malam), kelas al-Quran dan tajwid  pada sabtu bersama Datuk Haji Mokhtar Rapok (6.00 pagi) dan kelas tafsir pada sabtu (8.30 malam).

Insya Allah Syukbah Dakwah dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah juga akan bermesyuarat pada masa terdekat bagi membincangkan program dan aktiviti akan datang seperti kursus-kursus dan ceramah di masjid-masjid secara bulanan di luar Kota Kinabalu.

Bagi kelas-kelas berkenaan, semua dijemput hadir untuk mengimarahkannya.