Tag Archive: Kelas Muallaf


Menurut Tuan Haji Farid Abdullah, selaku ketua kelas ar-Raudhah yang beroperasi setiap ahad di dewan Maahad Tahfiz al-Quran, Kepayan, jumlah pelajarnya sekitar 60 orang – semuanya merupakan saudara kita bagi mereka mendalami agama Islam.  Beberapa tahun kebelakangan, kelas pengajian untuk saudara kita di Kota Kinabalu hanya diadakan pada setiap sabtu yang dikenali sebagai kelas Teratak Fitrah. Kemudian, atas permintaan ramai – kerana ramai juga yang bekerja pada hari sabtu, maka Bahagian Dakwah JHEAINS juga membuka kelas ini pada setiap ahad tetapi di lokasi yang berlainan.

Meski bangunan Maahad Tahfiz bukanlah asing kepada saya, jujurnya ini pertama kali saya datang menziarahi kelas ar-Raudhah khususnya untuk hadir bersama-sama menyampaikan sumbangan. Majlis ringkas didahului dengan tazkirah oleh Ustaz Sofi Ibrahim al-Hafiz dari Perak. Antara lain isi kandungan tazkirahnya ialah memberi motivasi kepada kesungguhan mereka mendalami agama Islam, kerana orang yang diberikan kefahaman di dalam urusan agama termasuk orang yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT.

Majlis disempurnakan dengan penyampaian sumbangan beras kepada 20 penerima terpilih, disampaikan bersama-sama oleh Ustaz Sofi dan Ustaz Jasimin Mohd Rashid dari Bahagian Dakwah JHEAINS, sambil disaksikan oleh tenaga pengajar dan para pelajar yang hadir bersama-sama. Dalam majlis sama, 15 lagi penerima dari kampung berhampiran iaitu Kampung Bunga Raya turut menerima sekampit beras setiap seorang.

PASTI AL-FURQAN, KINARUT

IMG_8082

Ketika hadir dalam Majlis Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi semalam, ada beberapa perkara yang menarik minat dan perhatian saya.

1. PASTI ini dibuka pada 2005 dengan jumlah pelajar pertama seramai 9 orang, beryurankan RM50, dua orang guru dan sewa rumah RM500.

2. Sesudah memasuki tahun kelima penubuhan, jumlah pelajar PASTI kini meningkat kepada 32 orang.

3. Pada 2006, PASTI al-Furqan mengorak langkah dengan membuka kelas al-Quran dan JQAF pada sebelah  malam. Jumlah yuran yang dikenakan diantara RM10 hingga RM30 mengikut kategori.

4. Jumlah terkini pelajar malam adalah seramai 118 orang yang datang dari sekitar taman dan luar kawasan seperti dari Taman Teluk Villa Putatan dan Beringgis Papar. Tenaga pengajar pula seramai lima orang.

5. Dalam majlis yang diadakan semalam, 13 pelajar diraikan dalam majlis khatam al-Quran. Mereka adalah antara penuntut awal kelas al-Quran pada sebelah malam.

6. Antara guru al-Quran yang sangat dedikasi ialah Ust Mahari Abu Bakar. Beliau datang dari rumahnya di Likas menuju ke Kinarut dengan jarak lebih 20km setiap malam kelas diadakan pada isnin hingga khamis.

7. Dalam dialog terbuka bersama ibu bapa, ada permintaan pula untuk kelas al-Quran bagi orang dewasa. Pihak PASTI membuka ruang untuk mereka belajar bersama.

8. Sejak awal tahun ini pula, PASTI membuka kelas untuk muallaf @ saudara kita yang diadakan pada setiap hujung minggu. Mereka didedahkan dengan bacaan al-Quran mulai asas dan pengajian fardhu ain.

9. Saya menjangkakan dalam tempoh sederhana, dengan izin Allah PASTI al-Furqan akan menjadi pusat sehenti pendidikan Islam mulai kanak-kanak sehingga dewasa termasuk yang baru memeluk Islam, khususnya bagi penduduk taman dan sekitarnya. PASTI ini akan menjadi sebutan dan lokasi penting di sini.

10. Saya mencadangkan pengurusan PASTI al-Furqan terus meneroka pendekatan-pendekatan baru untuk menarik minat masyarakat terhadap pendidikan Islam.

Tahniah Cikgu Hameed, Ust Zainuddin, Ust Wan Zaidel, Ust Mahari, Cikgu Norlaila, Cikgu Rismah, Ustazah Mukminah serta semua yang terlibat sejak mula sehingga saat ini. Insya Allah ada ganjaran di sisiNya.

IMG_8033

IMG_8035

IMG_8037

IMG_8063

IMG_8069

IMG_8071

%d bloggers like this: