Tag Archive: Kelantan


KELANTANBAJET

Sumber : http://ahmadfadhli.com.my/

Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan)

YAB Ustaz Dato Ahmad Yakob hari ini 7 Oktober 2013 telah membentangkan Bajet Kelantan 2014 yang masih lagi berimejkan bajet bersyariat seperti yang telah dimulakan sekian lama oleh YB Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat lebih dua dekad yang lampau.

Bajet Kelantan hari ini yang bertemakan “Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri” membayangkan komitmen kerajaan untuk terus mengekalkan identiti Kelantan sebagai sebuah negeri yang berkebajikan selain mengutamakan pembangunan insan yang menjadi tumpuan utama kerajaan negeri.

Bajet Defisit

Sekalipun merupakan Bajet defisit, ia sama sekali tidak akan merencatkan pembangunan negeri Kelantan berasaskan pertimbangan bajet defisit ialah satu isu yang biasa. Semenjak awal pentadbiran PAS di negeri Kelantan contohnya, bajet yang dibentangkan sentiasa defisit namun di akhir tahun, berlaku lebihan hasil daripada kecekapan pengurusan dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan.

Untuk rekod, pada tahun 1992, dalam anggaran bajet, Kelantan mengalami defisit sebanyak RM16.63 juta, tetapi ketika perbelanjaan sebenar, Kelantan mempunyai lebihan RM9.32 juta. Begitu juga pada tahun 1993, semasa anggaran bajet dibuat, defisit sebanyak RM27.27 juta, tetapi selepas perbelanjaan sebenar, Kelantan masih mempunyai lebihan sebanyak RM30.33 juta.

Bajet 2014 menyaksikan defisit sebanyak RM10.39 juta di mana anggaran hasil ialah RM549.26 juta berbanding anggaran perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM559.64 juta. Faktor terbesarnya ialah kerana jangkaan pengurangan dalam kutipan premium tanah.

Adalah dijangka hanya sebanyak RM24.80 juta sahaja premium tanah dapat dikutip berbanding RM45.00 Juta pada tahun 2013. Ini disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar bagi tahun hadapan. Untuk rekod, anggaran hasil pada tahun 2013 ialah RM581.77 juta.

KDNK Lebih Tinggi Dari Nasional

Menarik di dalam pembentangan bajet ini juga mendedahkan bagaimana Keluaran Kasar Dalam Negeri Kelantan telah mengatasi KDNK peringkat nasional beberapa kali. Ini sekaligus menafikan tohmahan bahawa Kelantan mengalami kemunduran di bawah pentadbiran Parti Islam Semalaysia (PAS).

Di dalam bajet ini dinyatakan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Kelantan bagi tahun 2011 ialah sebanyak 6.5% dan bagi tahun 2012 ialah 5.4%. Ini bermakna purata pertumbuhan KDNK bagi kedua-dua tahun tersebut ialah sebanyak 5.95%. Angka ini mengatasi purata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional di dalam tempoh yang sama iaitu hanya sebanyak 5.35%.

Kelantan juga telah mengunjurkan pertumbuhan KDNK  Negeri Kelantan bagi tahun 2013 sebanyak 5.7% dan ini mengatasi unjuran peringkat Nasional yang hanya berada di tangga 5.3% sahaja seperti yang diramalkan oleh para penganalisis ekonomi negara. Antaranya ialah Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Group, Dr. Yeah Kim Leng seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mei 2013 yang lepas.

Bahkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataannya pada 23 Julai yang lepas hanya berani menjangkakan pertumbuhan sekitar 5-6 peratus untuk tahun ini iaitu angka yang tidak jauh berbeza dengan unjuran negeri Kelantan.

Perjuangan Menuntut Royalti Hasil Petroleum

Sekali lagi untuk Bajet 2014, kerajaan negeri telah memasukkan bayaran petroleum yang patut dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM200.0 juta. Untuk tahun ini, ia membentuk 36.41% daripada keseluruhan bajet. Ia merupakan satu lambang ketegasan kerajaan negeri yang sama sekali tidak akan berundur dari tuntutan hak rakyat negeri Kelantan ke atas hasil mahsul bumi mereka sendiri.

Sekalipun kes ini masih dibicarakan di mahkamah, namun ia tetap segar di hati rakyat Kelantan. Bahkan lebih menyedihkan jika benar jumlah tertunggak tuntutan royalti ini ialah sebanyak RM12 billion berdasarkan kepada jumlah pengeluaran semenjak tahun 1997, ia membayangkan betapa besarnya kezaliman yang telah dilakukan oleh kerajaan Pusat selama ini. RM12 billion ini jika diserahkan kepada Kelantan akan dapat digunakan untuk manfaat seluruh rakyat negeri ini yang lebih 90 peratus rakyatnya terdiri daripada orang Melayu.

Justeru, langkah kerajaan Kelantan memasukkan bayaran royalti ini sebagai salah satu anggaran hasil merupakan satu lambang kesungguhan Kelantan untuk terus berdiri mempertahankan tuntutan royalti ini. Ini bukan satu mimpi, ini ialah satu perjuangan yang satu hari nanti pasti akan berjaya Insya-Allah. Kata Sitting Bull, “If we must die, we die defending our rights..”

Di sudut yang lain pula, YAB Ustaz Dato Menteri Besar telah mengambil kesempatan di dalam ucapannya untuk merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan Kehadapan  Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan yang  telah beberapa kali mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama pihak Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan berkenaan.  Harapan kita, agar adanya sinar harapan di sebalik perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku ini.

 Pendidikan Kekal Sebagai Agenda Utama

Untuk tujuan pendidikan dan pembinaan modal insan, Kelantan dilihat terus mengekalkan agenda ini sebagai salah satu daripada agenda utama dengan memperuntukkan RM72.0 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan. Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM4.0 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf 91 buah sekolah di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan.

Jumlah sebanyak RM76 juta ini sebenarnya merupakan satu pelaburan yang cukup besar dari pihak kerajaan untuk memastikan program pendidikan di bawah Yayasan Islam Kelantan berjaya dilaksanakan dengan lancar. Jumlah ini tidak berubah berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan di dalam Bajet Kelantan 2013 yang dibentangkan pada tahun lepas membuktikan aspirasi yang sama diwarisi oleh YAB Menteri Besar Kelantan pada hari ini daripada YB Tuan Guru Dato Bentara Setia sebelumnya.

Jika dijumlahkan bersama RM2.0 juta peruntukan untuk Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang merupakan satu-satunya instituti pengajian tinggi yang bernaung di bawah kerajaan negeri pula, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk pendidikan sebanyak RM78 juta.

Jumlah RM78 juta ini bukannya merupakan satu jumlah yang sedikit. Ia membentuk kira-kira 13 peratus dari jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus pada tahun 2014. Ia menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap usaha membangunkan modal insan sebagai pewaris kepimpinan di masa hadapan. Justeru tidak hairan apabila produk-produk kelahiran Yayasan Islam Kelantan terus mencapai kecemerlangan dan mewarnai dada-dada akhbar setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan.

Sepanjang tahun 2012 misalnya, seramai 316 orang pelajar sekolah-sekolah di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),  seramai 186 orang pelajar mendapat 9A hingga 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seramai 115 orang pelajar mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Ini berbeza dengan negeri-negeri lain di bawah pentadbiran UMNO/Barisan Nasional di mana pendidikan tidak menjadi agenda utama dalam pembahagian kek perbelanjaan. Perak misalnya hanya  memperuntukkan sejumlah RM42 juta untuk sektor pendidikan daripada keseluruhan bajet berjumlah RM948.47 juta pada tahun 2013 atau hanya kira-kira 4.5% dari jumlah keseluruhan bajet.

Begitu juga dengan negeri Johor yang terkenal dengan insituti pengajian agama hanya memperuntukkan sejumlah RM31.27 juta untuk tujuan pendidikan daripada keseluruhan perbelanjaan RM904.26 juta pada tahun 2013. Dalam erti kata lain, jumlah ini membentuk sebanyak 3.4% dari jumlah keseluruhan.

Wanita Sebagai Komponen Utama Masyarakat

Kerajaan negeri juga dilihat tidak memandang rendah peranan wanita sebagai komponen utama di dalam masyarakat. Selain mengekal poftfolio pembangunan wanita yang dipegang oleh Yang Berhormat Puan Mumtaz Mohd Nawi, kerajaan di bawah kepimpinan YAB Ustaz Dato Menteri Besar dilihat sebagai sebuah kerajaan yang cakna terhadap keperluan golongan ini.

Ini dapat dibuktikan melalui peruntukan sebanyak sebanyak RM3.8 juta bagi program kebajikan dan pembangunan wanita serta keluarga, program latihan belianita serta lain-lain program supaya mereka boleh bergiat aktif dalam program pembangunan diri dan juga masyarakat. Jumlah ini meningkat berbanding dengan tahun lepas di mana hanya sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan untuk tujuan yang sama.

Ini mengukuhkan lagi hujah bahawa kerajaan negeri Kelantan sama sekali tidak mendiskriminasikan golongan wanita di dalam pentadbiran negeri. Di dalam DUN Kelantan, terdapat tiga orang ADUN wanita di mana salah seorang daripadanya ialah ahli exco kerajaan negeri. Salah satu kerusi parlimen di Kelantan iaitu Parlimen Rantau Panjang disandang oleh wanita dan demikian juga seorang Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh kerajan negeri Kelantan merupakan seorang wanita.

Dalam erti kata lain, di Kelantan, tangan yang menghayun buaian itu telah lama diberikan kepercayaan yang begitu besar oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan yang optimum dan berkesan.

Lebuhraya dan Stadium : Persoalan Yang Terus Bermain di Minda Rakyat

Di dalam bajet Kelantan 2014 ini, tidak disentuh tentang persoalan pembinaan lebuhraya dan stadium yang menjadi bahan kempen utama PAS Kelantan di dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang lepas. Kedua-dua isu ini tidak dapat tidak wajib ditangani dengan bijaksana oleh pimpinan kerajaan negeri kerana ia sedang dipersoalkan oleh rakyat negeri Kelantan dan tidak kurang yang sudah menganggapnya sebagai satu janji hipokrit semata-mata.

Adalah dipercayai bahawa, kedua-dua projek ini tidak dibiayai oleh kerajaan negeri bahkan hanyalah merupakan pelaburan pihak ketiga semata-mata merupakan faktor utama ia tidak dimasukkan di dalam pembentangan bajet Kelantan 2014 ini. Namun, di dalam masa yang sama, jika ia dinyatakan dengan jelas di dalam kesempatan yang berprestij ini, ia pasti sekali akan dihargai oleh rakyat Kelantan.

Dalam hal ini, kedua-dua isu tersebut telah diberikan penjelasan oleh kerajaan negeri melalui exco yang berkaitan namun dengan mengenepikan persoalan tentang kedua-duanya di dalam Bajet Kelantan 2014 dibimbangi akan dilihat sebagai satu ‘usaha senyap’ untuk menenggelamkan kedua-dua isu berkenaan dari dibicarakan oleh rakyat. Dalam situasi langit terbuka seperti hari ini, usaha-usaha berkenaan jika wujud tidak boleh dibiarkan sama sekali.

Penulis berpandangan, kenyataan Timbalan Menteri Besar, Dato Mohd Amar Abdullah pada akhir September lepas bahawa lebuh raya Kelantan sepanjang 78km dari Machang ke Kuala Krai akan mulai dibina pada tahun 2014 dan akan siap dalam masa tempoh tiga tahun banyak membantu meredakan persoalan yang sedang berlegar di kalangan rakyat Kelantan khususnya dan seluruh pendokong Pakatan Rakyat di negara ini. Untuk itu, dokongan dan sokongan dari semua pihak amatlah diharapkan agar kerajaan negeri Kelantan berjaya mencapai sasaran ini.

Rumah Mampu Milik Dan Sasaran Kerajaan Negeri Kelantan

YAB Ustaz Dato Menteri Besar di dalam sidang media selepas mesyuarat Exco kali pertama setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan telah menyatakan cita-citanya untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri membina sebanyak mungkin rumah mampu milik kepada rakyat negeri Kelantan yang berpendapatan rendah.

Hasrat ini nyata sekali dicerminkan melalui peruntukan sebanyak RM9.0 juta yang disalurkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam bajet 2014 untuk  membangunkan  Perumahan Awam Kos Rendah. Bajet Kelantan 2014 juga telah meletakkan sasaran yang jelas di mana sekurang-kurangnya 2000 unit rumah mampu milik dibangunkan dalam tempoh empat tahun bermula 2014.

Dalam erti kata lain, menjelang pilihanraya umum ke14 nanti, sebanyak 2000 unit rumah mampu milik sudah berjaya dibina dan digunakan oleh rakyat Kelantan yang berpendapatan rendah. Angka ini secara tidak langsung menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri namun jika ia berjaya dicapai, ia akan menjadi satu testimoni yang cukup kuat bagi rakyat mengekalkan sokongan terhadap kerajaan negeri Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Bajet 2014 Penerusan Legasi Tuan Guru

Dilihat secara keseluruhan bajet Kelantan 2014 yang dibentangkan hari ini, jelas sekali cita-cita dan hasrat yang telah diletakkan oleh YB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat selaku mantan Menteri Besar Kelantan untuk membangunkan Kelantan selaras dengan ajaran Islam turut dikongsi bersama penggantinya, YAB Ustaz Dato Ahmad bin Yakob.

Tepat sekali pilihan yang telah dibuat sendiri oleh Tuan Guru agar penggantinya meneruskan usaha membangunkan negeri ini berlandaskan syariat Islam dan membuktikan bahawa Islam boleh mentadbir negeri bahkan negara.

Hari ini, amanah yang berat ini sedang terpikul di atas bahu Ustaz Ahmad bin Yakob. Nyata sekali ia bukan amanah yang ringan, ombaknya pasti kuat, badainya juga sangat kencang. Namun, jika rakit berikat utuh, penumpang pula berdiri seimbang, yang mengayuh teruskan berkayuh, jangan ada yang terjun ke tengah gelora, insya-Allah ke muara juga mudik akhirnya.

Berdoalah dan teruskan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan Darul Naim.

 7 Oktober 2013

penulis merupakan Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

artis2

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/22425-bersama-artis-saat-paling-gembira-saya-tg-nik-aziz

AMPANG: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pertemuannya dengan para artis hijrah adalah antara perkara paling menggembirakan sepanjang 23 tahun bergelar  Menteri Besar. Katanya, walaupun sebahagian artis merasa janggal untuk bersama dengan pemimpin politik seperti beliau, namun Tuan Guru Nik Aziz bersyukur kerana mereka  sudi untuk mengunjunginya dan beramah mesra.

“Keadaan itu berlaku membuatkan saya rasa terharu, sebak malah saya menitis air mata bila mengenangkan perkara ini. Mungkin ianya mustahil golongan artis untuk bersama saya, dan saya juga mungkin dianggap begitu, tetapi itulah yang berlaku,” ujarnya.

Katanya, golongan artis bukan insan yang buruk sifat malah sebaliknya mampu dijadikan ikon masyarakat apa lagi bagi mereka yang berpegang kepada syariat Islam. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Selebriti yang diadakan di sebuah hotel, dekat sini, Ahad lalu.

Program  diadakan bagi meraikan golongan artis dan selebriti yang pernah menjayakan majlis anjuran kerajaan Kelantan dari 2008 hingga 2013 terutamanya program “Bicara Selebriti”. Turut hadir  Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Antara selebriti dan artis yang hadir ialah  Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mustafa Kamal,  Noryn Aziz,  Bob Lokman, Yatt Hamzah,  Akhil Hayy, Waheeda,  Rabbani,  Ainan Tasneen dan lain-lain lagi. Sambungnya, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbirannya  sering ‘merentas arus’ dengan pihak lain untuk masa depan dan kebaikan rakyat.

“Pernah saya mula-mula pegang Kerajaan Kelantan dahulu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir nak jadikan negara ini negara perindustrian,  saya pula nak jadikan Kelantan negeri pertanian. Begitu juga ketika orang memandang rendah pada pekerja kilang,  saya jaga imej mereka dengan tidak membenarkan bekerja di waktu malam di samping menyeru pada mereka supaya hadir pada kelas-kelas ilmu,” ujarnya.

Begitu juga katanya, sewaktu ada segelintir masyarakat tidak suka kepada artis, Kerajaan Kelantan membuka pintunya untuk golongan itu datang bagi berkongsi pengalaman dan sebagainya.  Jelasnya, golongan artis ialah antara insan yang paling rapat dengan masyarakat.

“Mereka orang yang paling mudah untuk menarik minat masyarakat ke arah mana sekalipun. Andai kita membawa mereka pada jalan yang baik,  kebaikan akan mereka ikuti dan begitulah sebaliknya.  Jadi jadilah artis yang disayangi dan dihormati masyarakat,” ujarnya.

artis1 artis3

ustahmad

Sumber : harakahdaily

TUMPAT: Mungkin ramai tidak tahu, ketokohan Datuk Ahmad Yakob sebenarnya diwarisi daripada ayahnya, Tok Guru Haji Yaakob Ishak, pengasas Pondok Berangan. Haji Yaakob pernah ditahan di bawah ISA bersama Nik Abdullah Arshad kerana lantang memperjuangkan Islam.

Hari ini Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Mad menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhamad V di Istana Negeri di Kubang Kerian, petang semalam.

Ustaz Mad dilahirkan pada 1 Febuari 1950. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Berangan pada 1957. Di peringkat menengah belajar di Maahad Muhammadi. Pada 1977 melanjut pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Selepas menamatkan peringkat ijazah dalam bidang Syariah menyambung pula di peringkat Diploma pendidikan di Ain Shams University.

Memulakan kerjaya awal sebagai pendidik di Sekolah Menengah Dato’ Bentara Dalam, Segamat. Pernah mengajar di Sekolah Menengah Dabong, Kuala Krai. Pada 1986 dipindah pula ke Sekolah Menengah Perempuan di Pasir Mas. Sekolah terakhir iaitu Sekolah Menengah Rantau Panjang sebelum meletak jawatan dan bertanding di Dun Pasir Pekan pada pilihan raya umum 1995.

Perwatakannya sederhana, tiada protokol yang menjadi penghalang biar pun mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan. Rumahnya masih lama, rumah kayu. Hasil perkahwinan dengan Datin Siti Zabidah Abdul Hamid, seorang pendidik mereka dikurniakan 12 orang. Rumahnya tidak jauh berbeza dengan rumah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

Sekarang beliau dipilih Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggantikan tempatnya.

 

Ustaz Haslin Baharim Bollywood | Kuliah Jumaat 22 Mac 2013

Published on Mar 23, 2013

Rakaman kuliah Jumaat oleh Ustaz Haslin Bollywood, Selebriti Dakwah.

10 Jamadil Awal 1434H/ 22 Mac 2013M

KelantanTV: Tepat dan Informatif

Sumber : http://www.facebook.com/zamUKMB

 

 

 

Bicara Selebriti yang diadakan 18 Julai 2012 di Balai Islam Kota Bharu yang menampilkan Mass Azzam iaitu Hero Ketika Cinta Bertasbih, Yatt Hamzah, Ana Raffali, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan juga moderator sensasi Amin Idris.

KELANTAN YANG MENAKJUBKAN

Sumber : http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/kelantan-yang-menakjubkan/

16 APRIL — Ada sebuah peribahasa Tamil yang mengingatkan bahawa apa-apa yang didengar mungkin palsu dan apa-apa yang dilihat juga palsu; lalu tindakan terbaik adalah menyelidik sendiri sesuatu perkara. Sambil berpegang pada peribahasa itulah juga saya memutuskan untuk tidak mempercayai bulat-bulat kempen besar-besaran pihak tertentu yang berusaha keras memberi gambaran paling negatif mengenai keadaan di Kelantan.

Akhirnya, apabila berada di Kota Baru pada 11-14 Mac 2012, saya berpeluang mendapatkan sendiri jawapan berhubung pelbagai perkara berkaitan Negeri Serambi Mekah yang mengamalkan corak pentadbiran “Membangun Bersama Islam”.  Kebanyakan maklumat yang sahih dan tepat ini saya peroleh menerusi perbualan santai bersama-sama pelbagai pihak yang sempat saya temui di sana. Misalnya rakan-rakan penulis yang sama ada berasal dari Kelantan atau kini tinggal di negeri itu.

Tidak ketinggalan juga hasil perbualan bersama-sama sekian ramai golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadiri Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Hotel Raudah. Saya juga berkesempatan bergaul bersama penduduk setempat yang cukup mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah dan pengalaman. Selebihnya, juga menerusi pemerhatian — bukan sekadar melihat, tetapi meneliti apa-apa yang berlaku di depan mata.

Selain daripada itu, pelbagai bahan bacaan yang diperoleh dari pejabat Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan juga amat membantu usaha mengumpulkan fakta sebenar yang malangnya kurang diketahui orang ramai; khususnya generasi muda. Misalnya, buku “100 Fakta Kelantan Menerajui Perubahan” (2011) menyebut bahawa “sebahagian besar program yang dilaksanakan di Kelantan telah diciplak oleh Kerajaan Pusat dengan menampal label lain dan mengaku kononnya merekalah yang memulakan program tersebut”.

Saya tidak mahu menyokong mana-mana pihak dalam “pertikaian” ini, sebaliknya sekadar mahu meneliti sebahagian daripada perkara-perkara yang menarik perhatian saya mengenai kehebatan di Kelantan sejak 1990. Abdul Mutalib Awang, pemuda berusia 23 tahun yang menjadi “pemandu pelancong” saya antara lain menceritakan mengenai Skim Az Ziwaaj iaitu bantuan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga tetapi kurang mampu. Skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2011 memperuntukkan bantuan RM1,000 bagi individu berpendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Bagi keluarga miskin tegar, bantuan makanan asas berupa beras (10 kilogram sebulan) diberikan sejak Februari 2011 di bawah Skim Al It’aam. Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, sehingga September 2011, sekitar 8,100 penduduk miskin dari seluruh Kelantan menerima bantuan itu. Kakitangan kerajaan persekutuan sudah biasa dengan jadual kerja lima hari seminggu. Rupa-rupanya, sistem ini mula-mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan memberi cuti pada Jumaat dan Sabtu.

Begitu juga dengan cuti bersalin 60 hari yang dinikmati kakitangan wanita. Dahulu, cuti hanya 42 hari. Kakitangan kerajaan negeri menjadikannya 60 hari supaya si ibu boleh meluangkan lebih banyak masa bersama bayi, serta untuk berehat. Di Kelantan, apabila seorang wanita bersalin, si suami diberi cuti kebajikan seminggu supaya dia dapat membantu menguruskan dan menyediakan keperluan isteri.

“Hospital Bersalin An-Nisa dikendalikan doktor dan kakitangan wanita serta mengikut kaedah Islam. Selain memberi keselesaan kepada bakal ibu, hospital seperti ini juga menjamin ketenangan fikiran kepada semua pihak,” kata Nur Hidayah yang menjadi penyelaras program sepanjang saya berada di Kota Baru. Saya juga diberitahu oleh seorang pak cik yang bekerja di sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim mengenai Skim Kifalah Warga Emas yang diberikan tanpa batas kaum, agama dan fahaman politik.

Di bawah skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2007, apabila warga emas (lebih 60 tahun) yang mendaftar meninggal dunia, sumbangan RM500 diberi untuk menguruskan jenazah. Baki RM1,000 pula akan diberi kemudian kepada warisnya. Selain daripada itu, Tabung Serambi Mekah yang ditubuhkan pada 1991 bertujuan membantu golongan tua, daif, miskin dan uzur membaiki rumah. Tabung itu juga digunakan untuk pelaksanaan kerja-kerja bantuan berikutan kemusnahan akibat bencana alam dan kebakaran.

Bagi penduduk miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah, disediakan pula Rumah Dhuafat sejak 2007. Skim berkenaan juga boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang menghadapi masalah berikutan rumah asal terbakar, rumah terlalu uzur, pendapatan tidak tetap atau mempunyai ramai anak/tanggungan.

Tabung Amanah Tok Kenali yang ditubuhkan pada 1992 adalah untuk membantu penduduk Kelantan yang cemerlang dalam pelajaran dan mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Kerja-kerja meningkatkan taraf pendidikan sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok juga tidak dilupakan. Kota Baru diisytiharkan sebagai “Bandar Raya Islam” pada Oktober 2005. Pasti sahaja pelbagai pihak cuba memberi gambaran negatif terhadap perkara yang baik itu kerana mahu meraih “keuntungan politik”. Tidak perlulah dihuraikan lebih lanjut di sini.

Bagaimanapun, daripada apa yang saya perhatikan sendiri, pengisytiharan itu sebenarnya membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan golongan ulama untuk melaksanakan secara lebih menyeluruh aspek-aspek pembangunan yang selaras dengan ajaran Islam. Saya tidak akan terkejut jika masih ada pihak tertentu yang mahu memanipulasi usaha murni itu dengan cuba menyebarkan fitnah bahawa masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam akan tertindas.

Penyebaran dakyah seperti itu membuktikan bahawa golongan tertentu tidak memahami ajaran sebenar Islam. Malah, kedudukan Kota Baru sebagai “Bandar Raya Islam” sejak 2005 menjadi bukti nyata bahawa tidak ada sebarang penindasan ke atas sesiapa. Saya rasa bertuah kerana berpeluang mengalami sendiri suasana sebenar di Kelantan — khasnya di Kota Baru — dan dapat pula berkongsi maklumat itu bersama orang ramai. Seperti kata Mahatma Gandhi, jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini kerana tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.

Penulis – Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

%d bloggers like this: