Tag Archive: Kelahiran


ALEEYA HUMAIRA

Abang Ali Hassan, setiausaha JK Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil mengundang saya ke rumahnya, bersebelahan dengan masjid untuk majlis kenduri kesyukuran menyambut kelahiran anaknya yang ke-4 malam tadi. Alhamdulillah, setelah 12 tahun katanya mereka menimang cahayamata baru dan terasa muda kembali.

Di rumah, jamaah masjid yang hadir mengadakan majlis bacaan rawi barzanji,  marhaban , menggunting rambut serta doa, manakala sebelum jamuan saya diminta mentahnik bayi perempuan berkenaan. Memang di masjid mereka saya berkuliah setiap isnin menggunakan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’, dan dalam bab awal buku berkenaan ada menjelaskan tentang syariat kelahiran, antaranya azan dan iqamah, tahnik, memberi nama yang baik, khitan, aqiqah dan mencukur rambut.

Semoga abang Ali Hassan bertambah bahagia dengan kehadiran seorang lagi ahli keluarga yang baru. Tahniah!

NAJIHAH BINTI MIZAN

Kami sekeluarga menyertai rombongan kawan-kawan yang lain minggu lalu sempat berziarah ke rumah sahabat kami, Ustaz Mizan Helmy dan isteri Ustazah Hanisah Mansor yang baru mendapat cahayamata ketiga. Puteri ketiga bernama Najihah ini selamat dilahirkan pada 28 Januari lalu di Hospital Likas. Anak pertama dan kedua juga adalah perempuan.

Ustaz Mizan berasal dari Terengganu, sudah berada di Sabah sejak 5 tahun lalu kini bertugas di SMK Limbanak Penampang sementara isteri beliau, juga orang Terengganu bertugas di SMK Tansau Putatan. Alhamdulillah Ustaz Mizan juga termasuk antara tenaga di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Antara yang turut serta ialah Ustaz Mohamad Suaid, Ustaz Abdul Mujib dan Cikgu Hambali bersama keluarga masing-masing. Semoga Najihah menjadi anak yang solehah dan berjaya seperti namanya. Demikian jugalah doa kami buat Ustaz Mizan Helmy sekeluarga…

MD HAFIZUDDIN HAKIM

Tahniah buat Cikgu Saharuddin dan keluarga yang menimang cahayamata keempat. Hafizuddin lahir pada 23 November 2010. Ahad malam isnin lalu (30 Januari), saya hadir ke kenduri kesyukuran di rumah beliau di Kolombong bersama sahabat-sahabat yang lain. Ustaz Nik Anwar memimpin solat hajat, tahnik dan menggunting rambut.

Semoga berbahagia.

BATRISYIA QURRATUAIN

Barangkali jarang benar orang mengadakan kenduri kesyukuran seawal 7.30 pagi seperti yang dilakukan oleh Tuan Haji Zawawi dan keluarganya pada pagi ahad lalu di Sembulan. Namun menariknya, tetamu yang hadir hampir 200 orang, kebanyakannya jamaah Masjid Negeri Sabah dan Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral.

Saya difahamkan kenduri seawal itu turut mengambil kira kehadiran jamaah dan kuliah subuh ahad yang berakhir sekitar jam 7 di Masjid Negeri Sabah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Kuliah subuh ahad oleh Ustaz Muchlish di masjid berkenaan sudah berlangsung lebih 15 tahun dan menghuraikan pelbagai kitab.

Batrisyia Qurratuain binti Mohd Noor Akhwan yang dilahirkan 30 Disember 2010 saya kira beruntung kerana didoakan oleh ramai tetamu pada ahad lalu, ditahnik serta dirasmikan namanya oleh Ustaz Haji Muchlish. Khabarnya seekor kambing turut dikorbankan sebagai aqiqah untuk cucu kedua Haji Zawawi ini.

Tahniah buat keluarga Noor Akhwan dan semoga bayi berkenaan menjadi anak yang solehah.


AISYAH MADIHAH

Abang Dzulkeflee adalah kenalan kami para siswa awal di Maahad Tahfiz al-Quran ketika kami tinggal berjiran selama 3 tahun di Grace Court Sembulan antara tahun 1997-1999.  Beliau dan keluarganya menjadi teman sembang dan susah senang kami ketika itu.

Sudah beberapa tahun, saya sendiri terputus hubungan dengan beliau apatah  lagi kami menyambung pelajaran. Dalam tempoh setahun kebelakangan inilah rasanya kami bertemu semula. Antaranya ketika saya menyampaikan tazkirah menjelang Ramadhan di Bahagian Audit Jabatan Pelajaran Sabah tahun lalu, saya bertemu semula dan berbual lebih panjang dengan abang Zul.

Pada 25hb Disember lalu, Abang Zul mengundang saya dan kawan-kawan lama untuk hadir ke kenduri kesyukuran sempena kelahiran anaknya yang ke-4 pada 1.11.2010 lalu dan juga sempena rumah barunya di Taman Sungai Wang, Kinarut. Selain keluarga terdekat, turut hadir dua rakan baik kami, Haji Yakob Jilun dan Imam Abdul Amir Mohd Arapa. Tahniah kepada abang Zul, isterinya Kak Rosnaini Sabli dan keluarga. Semoga berbahagia.

Semua foto diambil oleh anakanda Nuha Wafiyyah.


 

ANIS INSYIRAH

Malam rabu, kami sekeluarga berziarah ke kenduri kesyukuran rumah sahabat Saharuddin Ibrahim di Taman Indah Permai meraikan anak ketiga mereka yang selamat dilahirkan pada 17 Dis lalu di Hospital Pakar, Damai. Alhamdulillah, nampaknya anak dan ibu kedua-duanya sihat.

Ramai rakan-rakan tetamu yang hadir mengucapkan tahniah. Majlis yang sama diadakan tahnik dan pengisytiharan nama kepada anak ini. Semoga menjadi anak yang solehah.

MUHAMMAD DANI IMAN

Tahniah kepada abang dan kakak ipar saya – Md Safree dan  Foziah @ Intan yang menimang cahayamata keempat di Hospital Labuan pada jam 12.50 pagi 6 Disember 2010, bertepatan akhir tahun kalendar Islam iaitu 30 Zulhijjah 1431, beberapa jam` sebelum tahun baru 1432 menjelang.

Ini anak keempat mereka dan lelaki yang ketiga dan merupakan cucu yang ke 19 bagi Nenek Aji dan Nenek Uban. Danial, Danisya dan Danish mesti suka..

 

MUHAMMAD ANAS

Muhammad Anas bin Bacho @ Azman selamat dilahirkan pada 23 Disember lalu. Malam selasa lalu tuan rumah mengadakan kenduri kesyukuran sempena 7 hari kelahiran dengan majlis aqiqah, potong rambut dan perasmian nama yang diketuai oleh Ustaz Haji Parmin Sahlan di Taman Kingfisher Millenium.

Beberapa hari selepas kelahiran, Sdr Azman ada bertanya tentang nama yang bakal diberikan. Saya katakan, Anas adalah nama seorang sahabat Rasulullah, terkenal sebagai khadam baginda SAW sejak awal remajanya lagi. Seorang yang didoakan Rasulullah SAW secara khusus dengan panjang umur, murah rezeki dan ramai anak.

Ini anak keempat bagi pasangan Azman Talib dan Kak Rasinah @ Ummu Aisyah. Semoga menambah seri kebahagiaan yang sedia ada. Aisyah, Ahmad dan Azhad dapat adik lagi. Tahniah.

AHLAN ANIS BATRISYIA

Saya terlambat tiba ke Taman Sepanggar kerana kuliah maghrib dan solat isyak di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral berakhir jam 8.30 malam.

Hadirin di rumah Sdr Nordin Sakke sedang berdiri mengalunkan bait-bait marhaban. Ramai sehingga melimpah keluar. Kebanyakannya penduduk taman ini khususnya jamaah Surau Taman Sepanggar dan rakan-rakan sekerja beliau dari UMS dan rakan-rakan isteri di SMK Tebobon.

Pemerhatian saya, ramai juga rakan-rakan ustaz yang hadir. Khabarnya sesi tahnik terlebih dahulu dilakukan oleh Ust Nik Anwar (SMKA KK) dan doa penutup oleh Ust Rafihi (Maktab Kent Tuaran) dan Ust Nahar.

Alhamdulillah Anis Bartisyia selamat dilahirkan pada 11.25 pagi jumaat 16 April lalu. Anak keempat Sdr Nordin dan isterinya Puan Mardiana. Aiman, Fatin dan Atiqah dapat adik lagi. Nampaknya Aiman masih belum dapat kawan untuk main bola sama-sama.

“Aiman tak kisah..”

Dari kami sekeluarga hanyalah sepotong doa agar anak ini menjadi anak yang solehah dan diberikan kefahaman dalam agama Islam. Tidak lupa sebungkus kurma ajwah dari Madinah sebagai hadiah.

 

AKRAMULLAH

Kebetulan ketika bercuti, rakan karib isteri sejak sekolah menengah hingga kini Ustazah Razuin Milin yang kini bertugas di WP Labuan baru bersalin 2 minggu lalu.

Cahayamata lelaki itu dilahirkan di Hospital WP Labuan dengan berat 2.75kg.

Ketika kami mendirikan rumahtangga 6 tahun lalu, Razuin hadir dan bermalam di rumah kami menemani temannya itu.

Kini Razuin sudah dikurniakan 2 cahayamata hasil perkahwinan bersama suaminya Ayub, yang sulungnya bernama Zikrul, masuk 6 tahun dan belajar di TASKA ABIM di bandar Labuan.

Terima kasih menerima kehadiran kami menziarahi mereka sekeluarga.

%d bloggers like this: