Tag Archive: Kelahiran


Kenduri kesyukuran sempena kelahiran bayi.

Nama : Muhammad Nazim Ilhan Bin Abdul Wafie

Tarikh Lahir : 23 Oktober 2012

Lokasi : Selunsung E, Taman Sempelang Sembulan

Semoga Allah memberi kefahaman agama yang baik kepada anakanda ini dan memberi ilmu takwil. Amin

Nazim (1)Nazim (2)Nazim (3)

AHMAD ABHAR KHALIS BIN ARIF

Ahmad Ahbar Khalis (1)

Nama : Ahmad Abhar Khalis bin Mohd Ariff
Tarikh Lahir : 16 November 2012 / 2 Muharram 1434
Tempat Lahir : Kota Kinabalu Sabah

Kami turut diundang meraikan majlis kesyukuran atas kurniaan anak keempat sahabat kami Ustaz Arif di Kepayan. Genap seminggu, majlis ringkas dengan sesi tahnik oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim dan dituruti dengan bergunting diiringi solawat keatas junjungan Rasulullah SAW.

Sungguhpun dalam suasana santai dan sederhana sahaja, saya melihat ada keberkatannya dalam majlis seumpama ini apabila doa dipanjatkan, solawat dikumandangkan, juga sunnah-sunnah dalam menyambut kelahiran bayi dapat dilaksanakan semampu tuan rumah.

Satu keunikan yang saya lihat ialah kesatuan rakan-rakan Ustaz Arif yang berasal dari Kelantan ini, kehadiran didominasi oleh sahabat-sahabat seKelantan juga. Positifnya mereka menjaga ukhuwah mereka walau berada jauh di negeri orang.

Ahmad Ahbar Khalis (2)Ahmad Ahbar Khalis (3)Ahmad Ahbar Khalis (4)Ahmad Ahbar Khalis (5)Ahmad Ahbar Khalis (6)Ahmad Ahbar Khalis (7)Ahmad Ahbar Khalis (8)

ANIS UMAIRA BINTI NAZRI

Semoga Allah SWT memberi keberkatan dan menambah kebahagiaan buat sahabat kami Ustaz Nazri Yaakob dan sekeluarga diatas kelahiran anak ke-5 mereka pada 3 September 2012. Malam tadi sahabat-sahabat hadir atas jemputan kenduri kesyukuran sempena aqiqah Anis Umaira. Saya difahamkan jamaah Masjid as-Salam Kg Contoh dan Masjid al-Hilal Kg Tg Dumpil Putatan memeriahkan majlis beliau ini.

Ya Allah, fahamkan anak ini dalam urusan agama dan berbakti untuk orang tua dan agamanya.

ANAK-ANAK BARU SAHABAT KAMI

Asma’ Raihana binti Azman dilahirkan pada 30 Ogos 2012.

Alhamdulillah, pada 2 dan 3 September lepas, sempat berziarah hari raya sekaligus mengucap tahniah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahaya mata baru. Ada yang dapat hampir Ramadhan, dalam Ramadhan dan awal hari raya dan kesemuanya belum sempat diziarahi sehinggalah sehari dua  kebelakangan ini. Menariknya bayi-bayi ini sempat ditahnik oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu beberapa hari lepas.

Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah kefahaman sahabat-sahabat kami untuk memberikan nama yang baik dan indah untuk anak-anak. Perhatikan sahaja nama-nama Asma’, Fatimah, Humaira dan Nusaibah merujuk kepada tokoh-tokoh muslimat yang berlegar dalam kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat. Asma’ merujuk kepada salah seorang anak Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq juga adik kepada Sayyidatina Aisyah salah seorang isteri Baginda. Fatimah pula adalah anak kesayangan baginda yang luhur budi pekertinya, sementara Humaira ialah gelaran manja Rasulullah SAW kepada isterinya Aisyah RA. Nusaibah ialah seorang srikandi pada zaman Rasulullah SAW yang terlibat dalam perang uhud dan peperangan lain.

Anak-anak adalah permata hati, penyejuk mata dan penyeri kehidupan kita semua, mudah-mudahan anak-anak akan membesar sebagai muslimin dan muslimat yang berbakti kepada orang tua dan agamanya, mencontohi kehebatan tokoh yang mereka ambil namanya, insya Allah. Saya cadangkan sehingga anak-anak mengerti tentang kehidupan nanti, ceritakan kepada mereka watak-watak hebat dalam perjuangan Asma’, Fatimah dan Humaira’ (Aisyah) dan Nusaibah ini menyebarkan Islam pada zaman tersebut. Tahniah kepada semua sahabat kami suami isteri dan sekeluarga masing-masing.

Fatimah az-Zahra’ binti Muharram dilahirkan pada 19 Ogos 2012 bersamaan 1 Syawal 1433.

Humaira’ binti Hambali dilahirkan pada 14 Ogos 2012 bersamaan 26 Ramadhan 1433.

Aufa Nusaibah binti Saharuddin dilahirkan pada 29 Syaaban 1433  bersamaan 19 Julai 2012.

SYAH ISKANDAR

Suka hati saya apabila sabtu baru lalu dapat berziarah ke rumah sahabat baik di Beaufort, Tuan Haji Yakob Haji Jilun dan isteri Ustazah Suzanah Jamadih yang selamat menimang cahayamata pertama mereka pada 19 April lepas. Kami singgah selepas menziarahi Ybhg Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim al-Hafiz seorang tokoh agama dalam bidang al-Quran di Sabah. Seronok juga mendengar celoteh mereka dengan pengalaman menangani anak pertama.

Alhamdulillah, sempat juga diberi peluang mentahnik anakanda ini. Allahumma faqqihhu fiddin wa ‘allimhu fi at-ta’wil. Mudah-mudahan kehadiran anak pertama mereka yang diberi nama Syah Iskandar ini akan menceriakan dan menambah bahagia kehidupan berkeluarga mereka. Jangan jemu-jemu mengandung lagi agar dapat melahirkan zuriat yang kasihkan agamanya.

Terima kasih juga kepada Haji Yakob, kerana kesempatan yang sama beliau turut menitip nasihat buat para beberapa lepasan maahad yang akan ke Mesir tahun ini.

USRAH MALAM SABTU

Usrah terakhir tahun ini diadakan di rumah seorang sahabat kami yang baru membeli sebuah rumah di Jalan Muzium dengan harga kira-kira RM400 ribu beberapa minggu lalu. Cantik dan agak luas ruang dalamnya. Sesuailah beliau sekeluarga menjemput sahabat-sahabat berkenduri kesyukuran di rumah. Keluarga muda ini saya kenali sangat optimis dan komited dengan program-program dakwah yang diadakan sekitar Kota Kinabalu.

Saya tersenyum bila saya dimaklumkan bahawa ketika Ramadhan lalu, beliau membuat tinjauan akhir sebelum memutuskan membeli rumah tersebut, justeru ketika berada di rumah itu terdengar sayup tazkirah zuhur Ramadhan yang sedang saya sampaikan dari Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, maknanya antara perkiraan sebelum membeli rumah itu ialah mereka dapat mendengar seruan azan dan tazkirah dari corong Masjid Negeri Sabah.

Majlis yang sama juga diadakan untuk meraikan beberapa sahabat yang akan berpindah setelah beberapa tahun berada di Sabah. Dr Adlin Zafrulan Zakaria akan kembali ke Kelantan setelah 6 tahun di Sabah. Beliau selama tempoh itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth dan pernah menjadi pengerusi PERKIPS hospital berkenaan. Di Masjid Negeri Sabah, beliau pernah beberapa kali saya pelawa menyampaikan tazkirah zuhur di dalam dan di luar Ramadhan yang berkait dengan isu-isu kesihatan seperti solat daripada perspektif kesihatan, bahaya rokok dan lain-lain.

Saudara Nazir Ramlan yang bertugas di Petronas Kota Kinabalu juga sekeluarga akan berpindah ke ibu negara. Beliau sekeluarga adalah tetamu setia Surau Taman Austral dan sering menyertai kuliah-kuliah termasuk kuliah Tajwid al-Quran yang saya bimbing setiap rabu malam khamis. Di petronas jika apa-apa pertandingan majlis tilawah al-Quran, merekalah suami isteri menjadi peserta. Ini saya ketahui sebab saya beberapa kali menjadi juri dalam majlis tilawah mereka.

Majlis juga disekalikan untuk menyampaikan hadiah dan cenderamata pihak usrah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahayamata baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Antara yang menerima ialah keluarga Ustaz Mad, Ustaz Shazali, Ustaz Sabri, Ustaz Mujib, Ustaz Jumat, Ustaz Mizan dan kami juga. Cenderamata disampaikan oleh Ustaz Azam selaku penasihat surau. Di akhir majlis sedang makan-makan, kami dikejutkan dengan ketibaan rombongan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengadakan program di Kota Kinabalu. Banyak jugalah sembang-sembang kami berkenaan hal ehwal semasa.

MUHAMMAD DANIAL SYAMIL WAFI

Tahniah kepada Ustaz Haji Ahmad Nasir Harun sekeluarga yang menimang cahayamata keempat sebulan lalu. Istimewanya, tarikhnya berhampiran dengan tarikh kami menerima cahayamata keenam Ramadhan lalu. Sementara isteri saya bersalin pada 17 Ogos bersamaan 17 Ramadhan, isteri Ustaz Nasir pula bersalin cahayamata perempuan pada 18 Ogos (tetapi) bersamaan 19 Ramadhan sekitar 8.30 malam.

Beberapa hari lepas, dua ekor kambing diimport khas dari Tawau untuk majlis aqiqah untuk Muhammad Danial. Ustaz Haji Muchlish diberikan penghormatan untuk menyembelih kambing berkenaan dan pada ahad semalam diadakan majlisnya. Seronok juga sesekali mendengar alunan rawi barzanji oleh suara-suara merdu seperti Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Imam Saidin Arpha dan Ustaz Ibrahim Katibe.

Ia juga sekaligus majlis bergunting rambut, tahnik dan perasmian nama bayi berkenaan yang dilakukan oleh Ustaz Haji Muchlish sendiri. Mudah-mudahan nama itu sesuai dengan diri anak berkenaan, dan menjadi anak yang soleh serta berbakti kepada keluarganya. Sekali lagi tahniah untuk keluarga Ustaz Ahmad Nasir. Dapat juga anak Sabahan seorang.

ANAK KE-6

Selamat dilahirkan pada 12.40 pagi tadi, bayi lelaki dengan berat 3.3kg.

Sebenarnya tarikh jangkaan isteri saya bersalin ialah pada 15 Ogos lalu. Tetapi berdasarkan pengalaman kelima-lima anak sebelum ini, semuanya lahir lebih awal daripada tarikh jangkaan, paling tidak sehari sebelum. Maka sebahagian besar undangan-undangan Ramadhan kali ini melibatkan tugasan imam tarawih, majlis berbuka puasa atau ceramah Ramadhan terpaksa saya tolak bagi memberi persediaan dan tumpuan kepada isteri yang dikasihi.

Tarikh 15 Ogos berlalu, ada suara kawan-kawan mengatakan, barangkali bayi di dalam perut kurang agresif di dalam Ramadhan, atau mencari takdir lahir pada 17 Ramadhan? Tiba-tiba saja saya teringat tarikh itu kerana saya merancang memberi nama anak ini seorang tokoh hebat zaman Rasulullah SAW. Maka menjelang hari-hari kebelakangan, selain mendoakan proses kelahiran berjalan lancar dan selamat, doa saya juga agar tarikh 17 Ramadhan menjadi hari bersejarah buat kami.

Sejak tarikh 15 Ogos, saya kerap mengingatkan isteri agar bersedia ke Hospital Likas selewat-lewatnya tengahari esoknya (16hb Ogos), memandangkan beberapa hari sebelum itu saya sudah mebuatkan sendiri sebotol air selusuh, mengikut apa yang tercatat lewat buku Ybhg Tuan Guru Dato Dr Haron Din yang menjadi rujukan kami dalam kelas pengajian Darussyifa’ Sabah. Maka selepas zuhur semalam, saya membawa isteri ke Hospital Likas dan dia mula masuk wad (Kenanga 1) sekitar jam 4 petang.

Petang itu kami bersungkai bersama dengan dua tapau nasi ayam dan dua gelas air sirap tanpa suara dan gangguan anak-anak yang semuanya saat itu berada di rumah bersama atok dan nenek mereka. Sebelum pulang, saya ingatkan isteri beberapa ayat dan zikir mudah untuk dibaca ketika saat hendak bersalin. Saya keluar, bermaghrib di Masjid Kg Bangka-Bangka dan isyak serta tarawihnya di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan.

Saya pulang rumah hampir tengah malam dan anak-anak sudah ‘berkelamparan’ di ruang tamu. Saya sendirian di bilik dan tidak mengambil masa yang lama untuk belayar dan hanya tersedar sekitar jam 4 pagi. Rupanya isteri saat itu sudah selamat melahirkan anak lelaki pada jam 12.40 tengah malam tadi. Alhamdulillah.

Pagi ini saya menziarahinya sendirian. Katanya ini proses bersalin yang paling mudah (?). Masuk dewan bersalin jam 12.15 pagi dan bersalin 25 minit kemudian tanpa sempat disambut oleh jururawat. (Saya mengajarnya membaca dalam hati : “Thummas sabiila yassarah”). Alhamdulillah. Doa kami agar Abdul Hadi mempunyai adik lelaki diperkenankan oleh Allah SWT. Dan ini melengkapkan cucu ke-20 di sebelah keluarga saya dan cucu ke-17 di sebelah keluarga isteri saya.

Petang ini, isteri dan bayi kami dibenarkan keluar dan khabar gembira kelahiran ini kami kongsi sejak awal pagi lagi bersama rakan-rakan FB yang turut mengucapkan tahniah – tidak kurang 100 orang yang klik ‘like’. Terima kasih atas doa kalian semua, semoga anak ini menjadi penyejuk mata dan hati kami. Saya turut bercuti selama seminggu untuk membantu urusan rumahtangga.

NAMANYA SI BERSIH

Anakanda kedua kepada sahabat kami ini selamat dilahirkan sebelum subuh pada hari bersejarah 9 Julai 2011 lalu di Kota Kinabalu. Oleh kerana tarikh itu adalah suatu fenomena dan sejarah yang akan dikenang oleh generasi negara ini (bahkan juga mungkin dari luar negara), saya cadangkan nama Nazifah diberikan kepadanya.

Alhamdulillah, cadangan lewat facebook itu diterima baik oleh Sdr Nasr sekeluarga dengan sedikit penambahan – Nazifatul Husna. Semoga anak ini seperti lahirnya BERSIH dan berkekalan bersihnya sepanjang hayat dan menjadi insan yang BAIK, berbakti kepada orang tua dan masyarakatnya suatu hari nanti. Malam tadi, kami berziarah ke rumah mereka meraikan Nazifatul Husna dan saya sempat mentahnikkannya dengan cebisan tamar yang disediakan.

NUR SOFEA ZAHRAH

Sekalung tahniah kami sekeluarga ucapkan buat Norhayati Ahmad dan suami yang menimang cahayamata pertama mereka dua bulan lalu. Saya hampir terlupa untuk memuatkan foto kenangan mereka bertiga dalam kenduri kesyukuran yang kami hadiri di rumah mereka di Kg Muhibbah Baru Petagas tempoh hari. Majlis dilengkapkan dengan pelaminan bayi yang cantik tanda kegembiraan seluruh keluarga. Imam Qaryah Petagas, Imam Norisyam Pura memimpin kenduri kesyukuran berkenaan.

Mudah-mudahan kehadiran cahayamata sulung ini membawa seri kebahagiaan dalam rumahtangga. Tahniah juga buat semua ahli keluarga mereka kerana mendapat ahli keluarga yang baru. Mudah-mudahan keluarga ini diberkati Allah SWT.

%d bloggers like this: