Tag Archive: Kelab Remaja Ukhuwwah


Tarikh : 27 Disember 2014

Lokasi : Masjid Daerah Beaufort

Alhamdulillah, dapat bersama-sama mengisi slot buat pertama kalinya bersama Kelab Remaja Ukhuwah, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) Kawasan Beaufort. Seronok anak-anak remaja mengisi program keagamaan di rumah Allah SWT. Mudah-mudahan mereka akan tampil satu hari sebagai pemimpin yang beriman dan sayang kepada agama Islam ini.

PSS Beaufort (1) PSS Beaufort (2) PSS Beaufort (3) PSS Beaufort (4) PSS Beaufort (5) PSS Beaufort (6) PSS Beaufort (7)

Saya diminta oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria el-Besuti untuk mengganti beliau mengisi satu slot berkenaan dakwah, di hadapan adik-adik peserta ‘kelab remaja ukhuwwah’ Kota Kinabalu di Masjid UMS petang sabtu lalu. Kebetulan saya memang berkelapangan ketika itu, maka undangan itu saya terima dengan terbuka, berhadapan dengan lebih 100 anak-anak muda yang bersemangat dari sepuluh buah sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Tajuk slot saya ‘kenapa saya perlu berdakwah?’, selain menjawab persoalan berkenaan, juga menceritakan sedikit sebanyak peranan dakwah yang  mesti dimainkan oleh setiap orang walaupun ketika bergelar pelajar atau remaja. Barangkali sebilangan mereka saya lihat terpinga-pinga tuntutan berdakwah dalam usia mereka kerana hanya memahami skop dakwah yang terlalu sempit.

Dakwah dengan makna menyeru kearah kebaikan perlu dimanfaatkan oleh semua dalam hal ketika bercakap, menulis, berbuat sesuatu dan seumpamanya. Justeru setiap pendakwah mesti mempunyai ilmu, kesungguhan, kesabaran, persiapan dan latihan agar dakwah dan sasarannya menepati sebagaimana yang diharapkan. Dalam masa yang sama, kebergantungan kepada Allah SWT mestilah sentiasa dipupuk dalam jiwa dan diri seorang pendakwah, kerana usaha adalah daripada manusia sementara hidayah datang daripada Allah SWT.

Terima kasih urusetia penganjur khususnya adik Nun Dayah Abdul Hamid dan rakan-rakannya yang bertungkus lumus menjayakan program qiyamullail bulanan KRUKK. Sekalung tahniah untuk semua. Catatan lain boleh dibaca di sini.

BERSAMA KELAB REMAJA UKHUWWAH SIPITANG

Jam 4 petang, saya bersama sekumpulan empat ‘pendakwah pelapis’ siswa-siswi Sabah yang mengaji di Universiti al-Azhar bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke daerah Sipitang. Saya menerima undangan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) daerah Sipitang untuk mengisi dua slot ceramah bersama 50 pelajar terpilih SMK Pengiran Omar dan SMK Pengiran Omar 2.

Untuk slot pertama tazkirah maghrib di dewan solat Masjid Haji Hashim (masjid daerah)  yang turut dihadiri oleh jamaah maghrib dan para pelajar, saya isikan dengan beberapa peringatan berkenaan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Seorang yang meminati dan memuja seorang artis atau seorang pemain bola sepak akan melakukan bermacam-macam perkara sebagai tanda dia meminati ikonnya itu. Namun bagaimana pula bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW?

Pada slot yang kedua di dewan tertutup masjid selepas solat isyak, ceramah bertajuk ‘valentine day  menurut Islam’ diamanahkan untuk dibentangkan kepada para pelajar berkenaan. Ini berikutan terdapat di kalangan umat Islam yang suka meniru-niru amalan dan budaya orang asing tanpa mengetahui asal usul serta hukum menyambutnya. Dengan bentuk pergaulan bebas yang ada hari inilah yang menghasilkan persetubuhan haram dan anak-anak luar nikah yang kemudiannya dibuang seperti sampah. Kesedaran untuk mencintai dan mengasihi Islam perlu dipupuk kepada mereka agar mengetahui bahawa setiap perbuatan baik dan buruk itu diketahui dan dinilai oleh Allah SWT.

Terima kasih semua pendakwah masa depan – Azlinah Abdul Ghani, Maslina Rosdi, Lasafarudi Lahadi dan Masri Rosdi dari Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang sudi menjadi teman musafir saya sehingga lewat tengah malam sekitar jam 1 pagi baru tiba di rumah. Terima kasih juga buat Ustazah Feriza Berahim yang  mengundang saya balik kampung. Catatan lain berkenaan musafir kami boleh dibaca di di sini.

p/s – program di sipitang berlangsung pada 19 februari lalu, sehari sebelum ulangtahun saya ke 32. Peluang ke Sipitang memberi ruang saya balik kampung kerana di daerah ini saya dilahirkan.

%d bloggers like this: