Tag Archive: Kedah


 

 

Satu projek kebanggaan rakyat Kedah. Syukur al-hamdulillah. Semoga harapan dan doa ingin melihat kecemerlangan tamadun Islam di Kedah dimakbulkan. Amiiin.

************

Kolej Universiti Insaniah(KUIN) telah ditubuhkan pada tahun 2006. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) dinaikkan taraf sebagai Kolej Universiti pada 15 Mei 2006. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia KPT/JPS/DFT/US/K03 dan dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Ahli Lembaga Pengarah KUIN dopengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman. Kesepaduan tenaga akademik dari dalam dan luar negara telah menarik ramai warga asing daripada Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja termasuk Iran, Australia, Republik Rakyat China dan lain-lain.

Tarikh : 9 November 2012 (Ahad)

Tempat : Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral Kepayan

Pembimbing : Syeikh Zainul Asri (Mudir Darul Hadith, Kedah)

Kehadiran : 120 orang

Kredit foto : FB Mohd Shakir Mohd Nawi

Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya penganjur, pembimbing, peserta, tuan rumah, para penyumbang sehingga kehadiran ramai yang tidak dijangka oleh pihak penganjur dalam bengkel sifat solat Rasulullah di Surau Taman Austral semalam.

Rata-rata peserta menunjukkan rasa puas hati dengan penerangan yang disampaikan oleh Syeikh Zainul Asri dan berharap ada lagi siri-siri seterusnya bagi menambah kefahaman dan kecintaan umat terhadap solat. Huraian beliau berkenaan surah al-Fatihah yang merupakan ibu al-Quran begitu mengesankan para audien yang memenuhi surau tersebut.

sza1 sza2 sza3 sza4 sza5 sza6 sza7 sza8 sza9 sza10 sza11

 

HIKMAH BAH

Sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai hikmah yang besar kepada kita. Pada sisi orang lain, ia mungkin menjadi musibah dan pada sisi orang yang lain pula ia menjadi kebaikan yang tersendiri. Ketika berlaku kematian, ia menjadi musibah kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang menyayanginya. Boleh  jadi dalam sisi lain ia menjadi titik perubahan kepada seseorang untuk menjadi manusia yang lebih baik. Demikianlah.

Banjir besar berlaku di Kedah dan Perlis melibatkan sekitar 40 ribu manusia. Daripada pandangan yang besar, ini adalah musibah yang Allah SWT turunkan kepada hamba-hamba-Nya, baik yang beriman atau sebaliknya. Hanya bentuk musibah itu perlu dibahagikan, adakah ia berbentuk musibatul bala – yang berbentuk ujian, musibatul jaza’ – yang berbentuk pembalasan, atau musibah at-tarbiyah – yang berbentuk pendidikan. Jadi setiap orang sudah barangkali tidak sama bentuk musibah yang menimpanya.

Kami bermesyuarat menyemak al-Quran di Alor Star. Alhamdulillah, bahan tidak banyak dan penutupan mesyuarat diawalkan kepada malam rabu – jadual asal berakhir pada tengahari rabu. Sebahagian AJK kami berkira-kira balik awal  pagi rabu khususnya yang menaiki penerbangan ke KLIA. Saya dan beberapa sahabat lain pula merancang hendak ke Pekan Rabu yang terletak tidak jauh dari lokasi penginapan kami.

Beberapa orang bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star awal pagi untuk balik ke Kuala Lumpur. Tidak sampai sejam, mereka patah balik. Rupa-rupanya laluan ke lapangan terbang ditutup kepada semua. Bahkan khabarnya semua penerbangan ditangguhkan bermula 6 petang selasa lagi. Keadaan menjadi sedikit kelam kabut. Perancangan untuk bersiar-siar di Pekan Rabu terbatal.

Sebahagian menukar penerbangan ke Butterworth Pulau Pinang, manakala sebahagian lagi menumpang kenderaan kawan-kawan menuju ke Kuala Lumpur atau Ipoh dan kemudian menaiki bas. Saya dan Ustaz Ibrahim berpakat meng‘open’kan tiket Alor Star-KLIA dan kami menumpang Ustaz Haji Azhari Othman bersama-sama Ustaz Haji Ilham dari Selangor. Saya berhajat turun di Ipoh sementara yang lain terus ke Kuala Lumpur.

Menjadi hikmah yang baik kepada saya apabila bah berlaku di Kedah sehingga kami gagal menaiki pesawat. Barangkali demikian disusun oleh Allah SWT, apabila di Ipoh saya ditakdirkan bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Saya menghubungi Cikgu Jamil Dayan yang menjemput di R&R Simpang Pulai, kemudian bertemu Ustaz Atiqullah di Masjid Negeri Perak dan akhirnya menziarahi Ustaz Md Iqbal Said di rumahnya. Saya akan catatkan kisah-kisah mereka dalam entri yang akan datang.

Foto berikut di R&R Simpang Pulai, sementara menanti Cikgu Jamil.

LAWATAN KE INSANIAH

Kesempatan berada di Kedah, kami semua ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN melakukan kunjungan rasmi ke Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah pada petang tadi diketuai oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Ustaz Haji Azhari Othman. Ketibaan kami pada jam 3.25 petang disambut oleh Dekan Pengajian al-Quran Prof Madya Dr Azharuddin Sahil dan Pendaftar Mohd Najib Haji Abdullah dan beberapa staf INSANIAH yang lain.

Dalam pertemuan sejam itu, majlis didahului dengan taklimat dan pengenalan Lajnah Tashih al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Haji Azhari Othman sebelum pihak INSANIAH memberikan taklimat berkenaan sejarah dan perkembangan KUIN sehingga kini. Apa yang saya fahami, pengajian akademik INSANIAH yang bermula pada awal 1996 dengan tiga jurusan asas iaitu Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab, kini sudah dinaiktaraf sebagai kolej universiti bermula 2006.

Apabila YAB Ustaz Azizan menerajui kerajaan negeri Kedah pada 2008 beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH, beliau telah melantik Prof Dato’ Dr Jamil Osman sebagai Rektor INSANIAH yang keempat pada 1 Mei 2008. INSANIAH terus mengorak langkah kehadapan apabila pada sepanjang tahun 2009 INSANIAH menawarkan sebanyak 40 program pengajian merangkumi daripada peringkat asasi sehingga PhD berbanding 7 program sahaja sebelum itu. Sebanyak 4 Kulliyyah dan Pusat akademik  baru ditubuhkan iaitu Kulliyyah Kejuruteraan dan Teknologi, Kulliyyah Kejururawatan, Pusat Siswazah dan Penylidikan dan Pusat Asasi.

Kami turut dimaklumkan berkenaan pembinaan kampus tetap INSANIAH di Kuala Ketil disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak dengan tanah seluas 832 ekar dijangka akan siap fasa pertama pada 2012. Sehingga kini terdapat 150 orang pensyarah, 6,000 siswa siswi termasuk hampir 1000 pelajar antarabangsa dari 25 buah negara dengan pelbagai program pengajian daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran (PhD).

Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, layari web rasmi INSANIAH di http://www.insaniah.edu.my/v3m/index.php/


KUALA MUDA


Dalam wikipedia disebut begini :

Tsunami pada akhir tahun 2004 telah mengakibatkan banyak kemusnahan kepada komuniti perikanan Kuala Muda. Banyak rumah di tepi jalan raya pantai yang menuju ke Kuala Muda telah dimusnahkan oleh ombak tsunami, termasuk pangkalan dan pasar basah.

Ketika itu, sebuah khemah sementara terpaksa didirikan untuk bertindak sebagai pasar, sementara menunggu pembinaan pasar yang baru.

Kampung Haji Kudong yang kami ziarahi sebenarnya tidak jauh dari kawasan Kuala Muda, lokasi berlaku ombak tsunami 2004 dahulu. Hanya sekitar 4-5 minit perjalanan berkereta. Antara kampung-kampung yang sempat saya catat namanya di sekitar itu adalah Kg Sungai Muda dan Kg Tepi Sungai.

Satu monumen telah dibina menggunakan 26 buah perahu yang terlibat dalam tsunami untuk menjadi kenangan berharga kepada mereka dan juga buat sesiapa yang lalu di perjalanan ini.


KAMPUNG HAJI KUDONG


Entah apa sejarahnya sehingga kampung ini dinamakan dengan nama sedemikian. Kami ke sini dengan tujuan mengerat silaturrahim yang lama terjalin.

Ustaz Awang bercerita ketika zaman remajanya pernah belajar di Maahad Khairiah Pokok Sena Pulau Pinang, kira-kira setengah jam perjalanan dari kampung ini. Sementara Kg Haji Kudong ini terletak dalam negeri Kedah.

Keluarga yang kami ziarahi ini adalah keluarga angkat beliau yang kali terakhir ditemui kira-kira 8 tahun lalu.

Walaupun pertemuan diatur terlalu singkat, kami dirai dengan semangat persaudaraan. Baru tiba di rumah itu, kami dihidang dengan rambutan, durian dan sebagainya. Belum habis durian, makan tengahari pula. Habis nasi, laksa Kedah pula menanti.

Ibu angkat Ustaz Awang begitu gembira sekali sehingga mengalirkan air mata kegembiraan kerana bertemu anak angkatnya. Satu persatu anak dan cucu diperkenal dan diingatkan semula, mana yang hadir disuruh bersalam dengan kami satu persatu.


IMG_7549

Kunjungan terakhir di Negeri Kedah sebelum berangkat pulang ialah ke SMA Nahdzah yang khabarnya kini mempunyai lebih 600 pelajar.

Kami tiba ketika pelajar sekolah sedang bercuti seminggu, sama seperti sekolah lain. Pak guard kehairanan saya masuk sambil kamera menyangkut di leher.

“Saya dari Sabah. Nak ambil gambar”.

“Oh. Di sini ada empat orang Sabah. Tapi semuanya balik bercuti”.

Asalnya saya tidak mengetahui tentang sekolah ini. Tetapi ketika pertama kali melintasi kawasan Kota Sarang Semut untuk ke Pendang, Cikgu Hameed menjelaskan bahawa dahulu inilah sekolah Ust. albelurani.

Saat itu juga hadir minat saya untuk datang sekali lagi ke sekolah berkenaan.

Kami bertemu dengan salah seorang tenaga pengajar di sekolah ini. Ust Azam namanya. Juga lepasan sekolah ini dan bertugas di sini setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar pada tahun 2000.

Sekolah Nahdzah juga dikenali dahulu dengan nama Pondok Pak Man, sempena seorang ulama bernama Othman al-Yunusi.

Walaupun sekolah ini bertukar status kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), ia kini masih mengekalkan subjek-subjek agama berbahasa arab. Jumlah subjek yang diajar adalah sebanyak 21 mata pelajaran akademik dan agama.

Sepertimana Sekolah Taufikiah, saya turut mengharapkan agar usaha-usaha membawa lebih ramai pelajar Sabah ke sini digiatkan selepas ini.

IMG_7551

IMG_7552

IMG_7557

IMG_7566

IMG_7573

[Terima kasih kepada mereka yang menghantar SMS ucapan selamat berpuasa. Saifulzan Alimin (Kolombong); Amirah Md Fikri (UMS KK); Md Firdaus Ismail (Lahad Datu); Ust Hj Lukman Said (Kaherah); Supt Hj Abd Latif Ibrahim (Istana Negeri); Ustazah Noraini Ag Adi (Sandakan); Norfatinih Salbido (Keningau); Bob (DSelera Catering & Services Likas)]

 IMG_7504

Kali pertama saya mendengar nama sekolah ialah pada tahun 1995.

Saya masih mengingati, seseorang menghadiahkan saya sebatang pen bertanda dan bertulis nama sekolah ini. Pen itu masih dalam simpanan dalam almari di kampung saya.

Daripada ketika itu, saya menyimpan hasrat untuk melawatinya satu hari nanti.

Yang saya tahu, ia terletak di Kedah. Di kawasan mana, bagaimana rupanya, saya kurang maklum sehinggalah saya berpeluang menziarahi sekolah berkenaan ahad lalu.

Selepas itu, barulah saya mengetahui bahawa sekolah yang bermula pada 1941 ini memberi jasa yang bukan sedikit kepada pelajar Sabah khususnya yang pernah menimba ilmu di sini.

Dahulu ia dikenali dengan nama Pondok Pak Ya, mengambil nama Tuan Guru Hj Yahya Junid yang menjadi pengasasnya.

Nama itu masih kekal pada panggilan penduduk tempatan dan bekas pelajarnya, sementara secara rasmi di atas kertas ia bergelar Sekolah Menengah Agama Taufiqiah al-Khairiah al-Halimiah.

Sekolah ini sudah tentu sangat nostalgik sekali kepada mereka yang pernah bergelar penuntut di sini. Ramai sahabat, dan orang yang saya hormati berguru di sini.

Ketua di bahagian saya sekarang, Ustaz Musally Moksin adalah lepasan sekolah ini sebelum menyambung ke UM. Sahabat yang saya hormati di Sandakan, Ust Bahtiar Hud juga pernah mengaji di sini.

Anak-anak Imam Lukman @ Gumikin dari Masjid Jamek Pekan Kundasang juga belajar di sini. Ustaz Suzairy, Ustaz Fadly dan Ustazah Khairunnisa antara produk sekolah Khairiah.

Satu masa dulu saya ada mendengar sekolah ini mengalami masalah kewangan yang serius. Antara akibatnya, mereka kekurangan pelajar.

Khabar terkini pula, saya dimaklumkan sekolah ini mula mendapat tempat semula di hati masyarakat.

Saya ingin benar tempohari kalau-kalau terserempak dengan guru atau pelajarnya. Tetapi oleh kerana ia musim cuti, saya hanya dapat mengambil gambar dan semangat perjuangan mereka sahaja.

Saya berharap usaha-usaha untuk menghantar semula pelajar Sabah ke sini seperti satu masa dahulu dapat diaktifkan semula. Saya juga mencari-cari maklumat sekolah ini di alam maya, tetapi tidak bertemu.

Harap-harap mereka yang pernah mengaji di sana dapat memberikan respon.

IMG_7481

IMG_7488

IMG_7489

IMG_7493

MASJID DUA MENTERI

 IMG_7458

Segan dan berkali-kali saya menolak pelawaan permintaan mereka supaya saya menyampaikan tazkirah di masjid ini selepas solat zuhur. Maklumlah, ini kawasan orang besar.

Segan dan terasa kerdil diri.

Ini Masjid at-Tohiryyah, Kg Sungai Lintang, Yan Kedah, yang terletak di tengah bendang. Inilah kampung asal YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Kg Sungai Lintang pula terletak dalam DUN Sungai Limau, yang rakyatnya berADUNkan YAB Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah.

IMG_7475

Saya turut diperkenalkan kepada Tuan Hj Baharom Hj Ramli (gambar atas), ayahanda kepada Datuk Jamil Khir. Hj Baharom sudah berusia lebih 70 tahun, gagah hadir berjamaah ke masjid selaku bilal dan tok siak di sini.

Dikhabarkan kepada saya bahawa keluarga Hj Baharom ini adalah keluarga PAS. Hj Baharom adalah antara pengasas PAS di sini. Begitulah juga keluarga sebelah mertuanya juga orang kuat PAS juga.

Berat hati untuk bangun berdiri, saya gagahkan juga bercakap sedikit tentang sebuah hadith :

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu. Sesiapa mendirikan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang lalu”.

Puasa adalah ibadah yang tidak nampak dan tidak diketahui orang. Ia bukan seperti solat, yang zahirnya boleh dilihat orang gerak geri pelakunya. Berwudhu’, berdiri, mengangkat tangan untuk takbir, rukuk, sujud, duduk sehingga memberi salam.

Puasa juga bukan seperti berzakat. Kelihatan ia bertemu dengan amil, atau berkunjung ke tempat asnaf. Bahkan jika zakatnya dibayar kepada wakil amil yang dilantik rasmi, bukti bayaran akan diperolehi dengan sehelai resit.

Puasa juga bukan seperti haji. Bakal jamaah haji menabung sekian tahun lamanya, berkursus sebelum berangkat, sehingga di sana berwuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar di Mina, bertawaf dan saie di Masjid al-Haram sehingga ia kembali ke tanahair.

Tiada sesiapa mengetahui seseorang itu berpuasa kecuali Allah SWT. Seseorang yang lemah longlai, pucat lesi, letih dan lesu belum tentu itu bukti ia berpuasa.

Justeru puasa mendidik kita tentang keimanan. Iman itu keyakinan di dalam. Jika dia tidak berpuasa sedangkan di hadapan khalayak dia berpura-pura letih kononnya berpuasa, sesungguhnya Allah SWT Maha Tahu hakikat sebenarnya.

Setelah puasa yang fardhu ditunaikan sepanjang siang, agama menuntut kita menegakkan malamnya dengan ibadah sunnat pula. Ada tarawih, witir, zikir dan seumpamanya.

Pengharapan yang betul pula apabila semakin ke hujung Ramadhan, ia semakin giat dan galak. Bukannya semakin lemah dan malas. Kerana tawaran Allah SWT begitu. Semakin Ramadhan ke hujung, ia semakin ke puncak dan tawaranNya pula semakin hebat.

‘Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunanan dan hujungnya bebas dari api neraka”.

Lihat pula praktikal kita. Masjid penuh pada minggu pertama, mulai susut minggu kedua, kurang separuh minggu ketiga, tinggal sebaris minggu terakhir. Ketika itu, masjid dan surau bukan lagi sasaran, tetapi pusat membeli-belah.

Maha Bijak Allah SWT mengadakan malam al-Qadar itu di penghujungnya, bukan di awalnya. Beruntunglah mereka yang mendapatnya.

IMG_7470

IMG_7471

IMG_7473

IMG_7476

SIKAP BALIK KAMPUNG

Saya mendapat pengalaman, pengajaran dan ilmu yang sangat banyak ketika berada di kampung Cikgu Hameed di Kg Sungai Yan Kechil, Kedah Darul Aman.

Aktiviti kami yang paling banyak sekali ialah program ziarah ke sekitar kampung dan kampung berdekatan khususnya rakan-rakan lama beliau juga sanak saudaranya.

Sesetengah orang apabila balik kampung lebih gemar terperap di dalam rumah, kononnya untuk membalas dendam dengan kesibukan kerjaya di kota.

Tetapi tidak dengan Cikgu Hameed. Walaupun musim hujan, kami tetap juga berjalan. Kereta berganti dengan motosikal, ziarah tetap menjadi aktiviti utama.

Sebagai kenangan, saya titipkan lagi beberapa gambar sepanjang ziarah kami selain gambar yang telah disiarkan sebelum ini. Mudah-mudahan ia menjadi kenangan baik untuk Cikgu Hameed dan mereka yang diziarahinya.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga Cikgu Hameed khususnya ayah beliau Abu Bakar dan mak barunya atas layanan baik yang diberikan sepanjang 3 hari berada di rumah beliau.

IMG_7259

IMG_7273

IMG_7275

IMG_7286

IMG_7300

IMG_7340

IMG_7450

IMG_7477

IMG_7262

IMG_7265

%d bloggers like this: