KOTA KINABALU, 28 Nov: PAS meminta pihak Kerajaan Negeri Sabah membantu mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru untuk jangka panjang bagi mendapatkan tempat tinggal. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, penyelesaian itu sama ada mangsa-mangsa dibenarkan kembali ke tapak lama untuk membangunkan semula kampung mereka atau dihantar ke rumah-rumah projek kerajaan dengan pertimbangan harga yang munasabah. Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut meminta kerajaan negeri membenarkan mereka tinggal di dewan masyarakat di situ untuk sementara sebelum dihantar ke tempat-tempat penempatan alternatif.

“Kami dan rakan-rakan di Sabah melahirkan rasa dukacita di atas musibah yang berlaku dan meminta mangsa yang terlibat bersabar dan menerimanya sebagai satu takdir,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan daripada pihak PAS kepada mangsa kebakaran itu, semalam. Beliau memberitahu, PAS akan cuba membawa bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa dan mengenengahkan masalah mereka kepada pihak berkuasa supaya diberikan pertimbangan untuk satu tempoh yang terdekat ini. Katanya, pihak berkenaan digesa untuk memberikan bantuan makanan kepada mereka yang berada dalam keadaan susah untuk memasak.

Sementara itu, pihak PAS negeri merayu kepada orang ramai agar membantu mangsa-mangsa kebakaran dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam di atas nama Tetuan PAS Tanjung Aru bernombor 1001-6010-0259-73.

Pada kejadian khamis lalu, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi. Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi. Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.