Tag Archive: Kamaruzzaman Mohammad


Tarikh : 10 Sept 2013

Tempat : Surau KUIZM

Panel : Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim (Penasihat PMRAM) & Sdr Kamaruzaman Mohamad (Ketua Pemuda PAS WP)

Anjuran: Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu

 

 

Tarikh : 6 Mei 2011 (Jumaat)

Masa : Selepas Solat Jumaat

Lokasi : Perkarangan Masjid Negara menuju ke pejabat JAWI

Henti politik hina, selamatkan maruah rakyat

Aziz Muda (Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Para pemimpin dan ahli-ahli parti Pakatan Rakyat serta lebih 80 NGO, hari ini sebulat suara menzahirkan kemarahan mereka terhadap perkembangan dan krisis ekonomi, sosial budaya dan politik kotor yang semakin parah di tanah air. Mereka dengan tegas mengutuk penularan gejala politik yang tidak sihat, budaya memfitnah dan mengaibkan seorang musuh politik, sehingga mengakibatkan maruah masyarakat dan seluruh negara telah tercela, malah semacam dijadikan tebusan untuk memenuhi nafsu serakah politik pihak tertentu.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka amat kesal kerana penyebaran bahan lucah dalam bentuk amat menjijikkan, ditambah pula dengan usaha penyebarannya secara meluas dalam media massa, sudah sampai ke tahap menjadi barah negara. Menurut beliau, perkembangan tidak sihat itu jika tidak dibanteras akan mengakibatkan seluruh masyarakat menjunam ke gaung kehinaan.

Katanya, mereka ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia sudah mual dan sangat tersinggung terhadap mereka yang terlibat dalam kehinaan mengaibkan keperibadian seseorang, tidak kira siapa pun beliau, semata-mata hanya kerana bernafsu untuk mengekalkan kuasa.

“Rakyat Malaysia belum pernah dihadapkan dengan politik sehina seperti yang berlaku sekarang. Malah persaingan politik sepanjang mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu tidak pernah mencecah ke tahap politik kotor dan jahat keterlaluan seperti yang sedang dipaparkan sekarang,” katanya. Ketika berucap pada perhimpunan aman Hari Amarah Rakyat di dataran Masjid Negara dan di hadapan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi), di sini, hari ini, beliau menyuarakan kekesalannya dengan penyebaran secara sengaja bahan-bahan lucah itu.

“Ia ternyata bertujuan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat, sehingga menyebabkan rakyat terpaksa melihat bahan murahan yang menghina pemikiran dan nilai budaya keseluruhan warga Malaysia,” katanya. Perhimpunan aman itu dianjurkan oleh Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf) dan turut disertai parti-parti politik serta lebih 80 NGO termasuk Teras, Shura, Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy), Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Perhimpunan yang turut mendapat kerjasama Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat Anti Politik Lucah/Fitnah (Maruah) bagi membantah gejala politik fitnah dan lucah di tanah air itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 1,000 orang dari seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Rozan, ketika berucap turut menzahirkan kemarahannya kerana ketika rakyat perlu berfikir jernih dan matang untuk memacu pembangunan negara segara secara sihat dan beradab, pemimpin negara pula membiarkan budaya politik lucah untuk menjadi santapan rakyat setiap hari.

“Akibatnya, persoalan-persoalan pokok negara yang sepatutnya ditumpu kini berkecai oleh politik murahan dan menjijikkan,” katanya.

Manakala Pengerusi Saf yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid ketika berucap menyuarakan kekesalannya dengan seluruh institusi awam dan swasta dalam negara termasuk polis, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Agama Islam, institusi kehakiman, Menteri Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri. Turut dikesali seluruh Jamaah Menteri Kabinet, institusi mufti, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, media massa awam dan swasta kerana kini berada dalam kedudukan sangat tercemar, akibat kehilangan wibawa dan integriti untuk bertindak menangani isu politik lucah.

Katanya, mereka menyatakan kemarahan mereka kerana pihak berkuasa dilihat bersekongkol dengan mereka yang terlibat dengan amalan jijik itu, tanpa tindakan segera menangani isu penyebaran bahan lucah berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kami menyatakan kemarahan kami lantaran pihak berkuasa yang diberikan mandat menguatkuasakan undang-undang qazaf yang diperuntukkan dalam Seksyen 41, Enakmen Jenayah Syariah 1997 Wilayah Persekutuan sehingga kini tidak dilaksanakan.

“Apakah yang menyebabkan pihak yang berkuasa ini seolah-olah tidak bermaya untuk bertindak, malah hanya menjadi penonton sahaja kepada jenayah dilakukan secara jelas itu,” tegasnya yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Malaysia (Shura). Beliau menegaskan, mereka merasakan kemarahan rakyat adalah wajar kerana bukan sahaja agensi yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang Islam kini dilihat mandul, malah integriti dan wibawanya pun turut terjejas.

“Kami menzahirkan kemarahan kami kerana isu politik lucah ini sudah diabsahkan sebagai budaya politik yang akan diwarisi oleh generasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negara,” ujarnya.

Sebelum itu, beberapa orang pemimpin NGO ketika berucap turut menzahirkan kekesalannya kerana pernyataan ulama yang menegur supaya pihak berkenaan menghentikan amalan mengaibkan peribadi seseorang tidak diendahkan sama sekali oleh mereka yang terbabit. Malah lebih parah lagi, ia disemarakkan pula oleh media arus perdana yang bertindak biadab dan menonjolkan budaya jahiliah kepada seluruh rakyat di dalam dan di luar negara.

Ucapan mereka turut diselang-seli dengan pelbagai laungan kutukan terhadap Umno dengan kata-kata “Hancur Umno” dan ucapan-ucapan lain, termasuk kutukan terhadap media tertentu yang turut memainkan peranan menyebarkan budaya politik fitnah dan lucah di dalam negara. Sementara setelah penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan 10 perkara kepada pihak Jawi dilakukan, Dinsman turut menyuarakan kekesalannya dengan membacakan sajak.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hassan yang turut menyertai perhimpunan itu bersama sekitar 300 rakan pelajarnya, ketika berucap menzahirkan perasaan mualnya dengan budaya politik hina di tanah air sekarang.

“Kami selaku generasi muda dan golongan pelajar tidak boleh menerima sekali-kali budaya politik hina, jijik, lucah, fitnah seperti sekarang dan mendesak agar semua itu dihentikan segera demi kepentingan negara,” tegasnya. Sempena himpunan aman itu, turut kelihatan pelbagai sepanduk yang dipamerkan oleh para peserta yang kesemuanya mengutuk keras budaya politik fitnah, lucah yang sedang berlaku dengan berleluasa di tanah air kita sekarang.

%d bloggers like this: