Tag Archive: Jin


Rawat (1)

Apa yang saya tahu, bicara makhluk jin ini tidak semestinya benar dan tidak juga semestinya salah. Boleh jadi juga benar dan boleh jadi juga bohong. Jika dia berbohong terpulanglah kepada Allah SWT untuk menilai penyelewengan yang mereka lakukan, sama sahaja seperti manusia yang sama-sama dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Kejadian yang berlaku beberapa hari kebelakangan amat menggusarkan sekaligus menjadi ilmu dan pengalaman yang sangat berharga. Apabila beberapa orang warga kami diganggu oleh makhluk jin ini, keadaan kalut seketika. Seorang daripada mangsa dirasuki berpuluh-puluh jin, sebahagiannya mengaku beragama Islam pula dan sebahagiannya tidak.

Ada jin yang mudah keluar  setelah diminta baik-baik, ada juga yang diruqyah sepertimana biasanya dilakukan. Bagi jin muslim setengahnya amat mudah dipujuk keluar, apatah lagi disebutkan tentang kuasa Allah SWT, janji syurga bagi mereka yang berbuat baik dan tidak mengganggu orang lain dan sebagainya.

Ada yang mengaku datang dari Putatan, Kepayan, Tawau bahkan dari Thailand juga. Ada yang berbahasa jawa, mandarin dan sabahan. Lucu juga apabila ada jin memaklumkan, aktiviti warga kami bersukan saban hari pada sebelah petang, mereka (puak-puak jin) ramai-ramai menonton di tepi padang atau gelanggang. Ada yang berlagak suara seperti rockers, peminat rempit – kerana mengajak kami menonton  lumba kereta dan sebagainya.

Rawat (2) Rawat (3)

Tegur Imam

Lucu juga memerhatikan gelagat seorang pesakit – yang juga pelajar saya – yang diganggu makhluk halus, saya bawa ke Masjid Negeri Sabah untuk dirawat. Petugas yang merawat hari itu antaranya sahabat saya Imam Amiruddin Amir, Imam Masjid Negeri Sabah. Sesi rawatan diadakan di bilik imam dan sambutan ketika itu (bahkan setiap minggu) memang amat baik sekali.

Asalnya saya tidak memerhatikan sangat rawatan kepada pelajar saya ini. Tumpuan saya kepada salah seorang pesakit lain yang asyik menjerit tetapi reaksi badannya tidaklah gagah sangat. Jeritannya sangat kuat, rasanya kalau bangunan bertingkat boleh sampai ke tingkat 5-6.

Apabila saya dimaklumkan dialog menarik jin dan Imam Amiruddin, saya beralih kepada mereka. Imam Amiruddin meruqyah dan seperti biasa membacakan ayat-ayat al-Fatihah, ayatul kursi dan lain-lain termasuk azan. Ada beberapa kesilapan tajwid yang saya kesan berlaku pada bacaannya Imam Amiruddin dan kesalahan-kesalahan itu ditegur oleh jin yang berada di dalam tubuh pelajar saya tadi.

Ada kesilapan berupa makhraj huruf, sifat huruf, kurang dengung dan sebagainya. Cara menegurnya pula tidak ubah seperti cara saya mengajar subjek tajwid kepada pelajar maahad. Jin berkenaan sangat cermat memerhati dan mendengar kesalahan bacaan Imam Amiruddin. Berlaku dialog :

“Jin, mana kamu belajar tajwid ni?”

“Saya kan ada dalam badan dia (pelajar ni)”

“Budak ni belajar di mana?”

“Maahad Tahfiz kan..”

“Maahad Tahfiz tu di mana?”

“Kepayan laa..”

“Siapa guru-guru di sana?”

“Mokhtar, Azlan…”

“Kamu bilang tadi, belajar tajwid ikut budak ni di kelas. Siapa yang ajar tajwid?”

(Terdiam sekejap)

“Ustaz Akmal…”

Saya sendiri berada di hadapan dan merakam babak ini. Jin berkenaan mengaku beragama Islam dan masuk diajar oleh jin-jin lain. Tidak lama sesudah itu, kami pinta baik-baik agar beliau keluar. Dengan mudahnya, jin berkenaan keluar dan berakhirlah babak jin menegur tajwid imam. Semoga anakanda kami ini diberikan keafiatan daripada sebarang gangguan.

JIN SIAM

Salim (bukan nama sebenar), baru berumur 22 tahun. Beberapa tahun lepas dia mendapat tawaran menjalani latihan percubaan di sebuah syarikat penerbangan ternama di ibu negara. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, pihak pentadbiran memutuskan dia gagal untuk diambil bekerja di syarikat mereka.

Salim tidak terus kembali ke Sabah, tetapi mencari kerja lain di Selangor. Melalui kesempatan latihan percubaan, dia berkawan dengan mereka yang bergelumang dalam kerja-kerja di disko dan kelab malam. Hasil keterlibatannya, Salim mengakui pernah memegang senjata berbahaya tetapi belum pernah membunuh atau mencederakan sesiapa. Ada juga perasaan kasihan dan simpatinya.

Demi untuk mempertahankan diri dalam kerja-kerjanya, Salim sanggup mempelajari ilmu hitam daripada pengamal-pengamal ilmu hitam dan memakai tatto di tubuhnya. Ada tiga tatto, satu di leher, di lengan dan di betis. Menurutnya, paling berkesan dan utama ialah tatto di bahagian leher sehingga kononnya jin yang bersarang di tubuhnya hanya boleh keluar jika tatto di situ dibuang terlebih dahulu.

Salim tergerak balik ke Sabah beberapa hari sebelum ini dan ibu bapanya mengesan sesuatu yang tidak kena dalam diri anak mereka. Salim tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah, bahkan kalimah Allah sekalipun tidak dapat dilafazkannya. Apabila dia cuba menyebut, kelihatan terhalang seperti sedang dicekik oleh sesuatu. Rawatan berterusan telah dan akan dilakukan di Surau SK Putatan pada khamis malam jumaat.

Ahad malam isnin, selepas solat isyak adalah giliran saya menyampaikan kuliah tafsir di bilik kuliah 2, Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, saya berkesempatan menghabiskan muka surat terakhir daripada surah al-Ahqaf bermula ayat 29 hingga 35, sesudah empat atau lima kali pertemuan rasanya. Saya catatkan semula terjemahan sebahagian ayat yang ditafsirkan :

29. Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

30. Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar kitab (al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)

31. “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepada-Nya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

32. “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Setelah tiga bulan Sayyidatina Khadijah isteri Nabi SAW wafat dan disusuli dengan wafatnya bapa saudaranya Abu Talib, yang menyebabkan Baginda kehilangan dua orang penyokongnya yang terkuat di samping penentangan kaum kafir Quraisy semakin menjadi-jadi, maka pada malam akhir-akhir bulan Syawal tahun yang kesepuluh kerasulan, baginda bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah yang telah meninggalkan Kota Makkah menuju ke Taif untuk berdakwah.

Di sanalah Baginda tinggal selama sebulan, menyeru penduduknya terutama para pembesar kaum agar memeluk Islam, tetapi mereka menolak. Sebaliknya mereka hasut budak-budak nakal supaya memaki-maki, menghalau dan melemparinya dengan batu. Ini menyebabkan Baginda kembali semula dari Taif ke Makkah dengan perasaan yang sangat kecewa.

Sehinga baginda tiba di Batnu Nakhlah, yang terletaknya sejauh perjalanan satu malam dari Makkah, di sanalah baginda didatangi oleh serombongan bangsa jin seramai tujuh atau sembilan jin yang mendengar baginda SAW membaca al-Quran semasa mendirikan solat tahajud.

Dikatakan jin itu dari jin Nasibin negeri Yaman yang menjadi pembesar dan  atau dari jin Ninuwa negeri tempat kediaman Nabi Yunus AS. Quran yang dibaca oleh Nabi SAW dan didengari oleh rombongan jin itu dikatakan daripada surah al-Alaq (Iqra’), ar-Rahman dan al-Jin. Para ulama menyebutkan bahawa antara sebab Nabi SAW didatangi oleh rombongan jin itu antara lain adalah sebagai perintah Allah kepada baginda agar memberi peringatan kepada bangsa jin agar menyembah Allah dan membacakan al-Quran kepada mereka.

Maka Allah datangkan serombongan daripada kalangan jin kepada baginda supaya mereka nanti apabila pulang dapat pula memberi peringatan kaum mereka sendiri. Ini kerana jin juga makhluk yang dibebani dengan kewajiban agama seperti manusia. Jin ada yang mukmin dan kafir, ada menganut agama Yahudi, Kristian, Majusi, menyembah berhala dan lain-lain. Mereka diberi pahala setiap kebaikan dan mendapat dosa atas kejahatan yang dilakukan.

%d bloggers like this: