Tag Archive: JHEAINS Sipitang


Ia sebenarnya satu impian untuk berucap di daerah kelahiran sendiri, apatah lagi dalam jumlah kehadiran yang ramai. Pada awalnya saya dihubungi oleh Imam Daerah Tuan Imam Haji Raffee Md Salleh yang sudah saya kenali beberapa tahun lalu. Beliau memaklumkan hampir 2 minggu sebelum majlis berlangsung. Pilihannya hanya dua, Ustaz Haji Bungsu Aziz atau saya.

Saya kurang maklum puncanya kami berdua menjadi sasaran mereka, tapi saya mengagak barangkali kerana ceramah itu perlu diselitkan dengan dialek brunei yang menjadi majoriti bahasa penduduk selain kedayan. Di hujung talian, Imam Raffee seolah mengiyakan. Saya hubungi Ustaz Bungsu dan nampaknya beliau berhalangan kerana tarikh berkenaan berangkat ke ibu negara. Saya pula sudah diundang ke kursus pengurusan janazah anjuran PTPL.

Penganjur khabarnya memutuskan mengundang Ustaz Awwaluddin dari Bahagian Dakwah JHEAINS. Takdirnya beliau juga berhalangan dan saya  diminta sekali lagi untuk hadir mengisi slot ceramah. Akhirnya saya berbincang dengan PTPL untuk menganjak masa daripada jam 9 pagi kepada 1 tengahari, agar kedua-dua program dapat saya sertai. Alhamdulillah nampaknya itu satu keputusan yang ada hikmahnya yang tersendiri.

Saya bermusafir sekali lagi ke Sipitang ditemani oleh Masri Rosdi, siswa al-Azhar yang sedang bercuti. Kami berangkat jam 11.30 isnin malam selasa dan dengan perjalanan yang santai tiba sekitar jam 1.20 pagi di rumah pakcik di Kampung Buang Sayang Sipitang, kampung kelahiran saya. Dua kali datang dalam tempoh 3 hari.

Majlis bermula sekitar jam 7.30 pagi dengan perarakan bersama 19 kontinjen diketuai oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan ADUN Sindumin Haji Ahmad Haji Bujang dengan kehadiran tidak kurang 1500 tetamu pelbagai kampung, masjid, jabatan dan lain-lain lagi. Acara dewan pula berlangsung di Dewan Serbaguna tepat pada jam 9 pagi dengan ucapan Pegawai Daerah dan Ahli Parlimen yang menjadi perasmi. Saya mengambil giliran berikutnya untuk ceramah sekitar 35 minit sebelum berhenti pada jam 10 pagi.

Majlis yang sama juga disambung dengan festival nasyid peringkat daerah yang menampilkan empat kumpulan nasyid untuk memilih wakil ke peringkat bahagian dan negeri kelak. Walaubagaimanapun saya tidak dapat menanti sehingga ke hujung kerana perlu berada di Kota Kinabalu untuk majlis berikutnya pada jam 1 tengahari pula. Terima kasih atas undangan yang berharga ini khususnya kepada sahabat saya, Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) JHEAINS Sipitang Ustaz Mohd Hafidz Ahmad, Tuan Imam Haji Raffee dan seluruh JK Sambutan Maulidur Rasul 1432 daerah Sipitang.

Foto menyusul..

PUM KE SIPITANG LAGI

Ini kisahnya.

Sebulan lalu, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ust Hj Muchlish Ali Kasim ada menghubungi saya.

Beliau memberitahu hasrat rakan-rakan dari Sipitang agar PUM Sabah datang lagi ke sana bagi mengisi program ceramah Maulid Nabi SAW secara serentak di lapan buah masjid dan surau.

Tahun lalu, kami datang ke sana untuk ceramah Isra’ Mi’raj seramai 7 orang di 7 buah masjid dan surau serentak pada satu malam dan itu dianggap berjaya.

Permintaan itu kami persetujui. Tarikh yang ditetapkan ialah 20 Februari 2010. Tugas saya berhubung dengan Imam Daerah Sipitang, Imam Rafaie dan menghubungi rakan-rakan yang bersedia untuk turut serta berceramah ke Sipitang.

Pada awalnya ia tidaklah sukar mencari lapan orang dan meminta persetujuan mereka. Dua minggu lalu, Ust Hj Muchlish menarik diri kerana ada mesyuarat PUM Pusat pada tarikh yang sama. Itu tidak mengapa kerana masa masih banyak untuk mencari pengganti.

Alhamdullillah pengganti diperolehi. Awal minggu saya berhubung dengan penganjur di Sipitang untuk memuktamadkan jumlah masjid dan surau. Ia berkurang kepada tujuh buah, sama ketika program Isra’ Mi’raj dahulu.

Saya memikir seseorang untuk ditolak tetapi saya pendamkan sehingga saat akhir.

Malam jumaat, Ust Ithnin yang bertugas di SMK Bandaraya menyatakan hasrat menarik diri kerana bertembung dengan kuliahnya di UPM. Sementara pada Jumaat Ust Azam mohon sedia pengganti kerana kurang sihat dan masih berada di KL.

Jadi kami kekurangan seorang.

Pagi sabtu pula, Ust Zainuddin menarik diri kerana hal yang tidak dapat dielak. Saya mohon bantuan beberapa orang untuk sama-sama mencari pengganti. Menjelang jam 11 pagi, semua pengganti dapat dicari dan bersetuju untuk menyertai misi ke Sipitang.

Tetapi sepanjang 3 jam mencari dan bertelefon, saya memperolehi bermacam alasan. Tidak kurang 15 orang yang dihubungi. Belum lagi dihitung bantuan rakan-rakan lain yang menghubungi sahabat masing-masing.

Mereka yang mempunyai komitmen awal dengan program masing-masing, itu tidak mengapa. Tetapi ramainya tidak sanggup untuk berceramah dan kerana tidak sanggup berjalan jauh. Padahal ke sana dengan berkenderaan dan balik malam yang sama.

Sedih sangat diri saya ketika itu. Betapa kemampuan berceramah untuk acara yang begitu asas kepada orang kampung seperti maulid nabi tidak disanggupi. Walaubagaimanapun, itu menjadi cabaran dan pengajaran yang sangat berguna buat kami bersama.

Kami akan bergerak sekitar jam 2.30 petang. Jam 2 petang, seorang pengganti pula menarik diri kerana suaranya mula selsema. Ust Azam yang tiba tengah malam dari ibu negara menyelamatkan keadaan walaupun kesihatan zaujahnya tidak begitu mengizinkan.

Alhamdulillah, di Sipitang kami tidak menghadapi masalah. Kami solat maghrib di Masjid Daerah sebelum beredar ke restoran yang menaja makan malam kami. Setelah jamuan, kami bergerak ke masjid yang ditetapkan.

Ust Bungsu Aziz di Masjid Daerah, Ust Abu Asyraf  di Masjid Sindumin (sempadan Sabah-Sarawak), Ust Arbaen Syawal di Masjid Ulu Sipitang, Ust Sayuti di Kg Pelakat, Ust Azam di Masjid Banting, Sheikh Hannafi di Masjid Mesapol Lama dan saya di Masjid Kg Pantai.

Saya sendiri selesai ceramah jam 9 malam, berhadapan 6 soalan yang berkait dengan keadaan mereka. Antaranya berkait masalah mandi safar, solawat, menyambut kelahiran, dan kaedah menyambut maulidur rasul. Mau setengah jam menjawab persoalan mereka.

Selesai ceramah, kami berkumpul kembali di restoran dan masing-masing bercerita dengan pengalaman manis itu. Ust Arbaen tiba paling akhir dengan senyuman jam 10.20 malam. Di restoran, kami dikehendaki menulis nama masing-masing dan lokasi masjid atas permintaan Cawangan Khas.

Jam 10.40 malam kami bertolak pulang dengan dua kenderaan.  Alhamdulillah, saya selamat tiba di rumah jam 12.30 malam.

Terima kasih JHEAINS Sipitang, semua imam daerah dan qaryah, JK masjid yang terlibat, penduduk kampung, penaja makan dan lain-lain. Kami memperolehi pengalaman, kenalan baru, layanan istimewa dan pelbagai kenangan.

Saya berkunjung ke Sipitang mengisi program bermakna pada hari saya dilahirkan 31 tahun lalu di daerah saya dilahirkan. Manis rasanya!

%d bloggers like this: