Tag Archive: JHEAINS Semporna


Tarikh : 28 Mac 2014

Lokasi : Masjid ar-Rahman Pekan Semporna

Walaupun pernah beberapa kali berziarah dan solat di masjid ini, ini adalah kali pertama saya tampil menyampaikan ceramah di sini. Pada petang tersebut, saya berziarah ke pejabat JHEAINS Semporna untuk berukhuwah dan menyampaikan hajat penting mempromosi maahad tahfiz di masjid pekan.

Alhamdulillah, pihak JHEAINS dan masjid sangat mengalu-alukan hajat kami. Dalam rekod kami, sudah terdapat beberapa orang lepasan dan pelajar semasa yang berasal dari daerah ini. Kami mengalu-alukan sebarang permohonan yang berkelayakan calon-calon dari daerah ini untuk menuntut ilmu di maahad kami. Terima kasih atas kerjasama pihak JHEAINS dan JK masjid yang memberi ruang walaupun notis terlalu singkat.

Semporna (1) Semporna (2) Semporna (3) Semporna (4)

TELUK MENUNGGU

Sekitar 30 minit di pelayaran, kami tiba di lokasi. Alhamdulillah, pihak tuan rumah menyambut kami dengan mesra dan hidangan petang yang menyelerakan.

Pemandangan sepanjang perjalanan begitu indah dan mempersona. Jelas kehebatan Allah SWT menjadikan semua makhluknya dengan tidak sia-sia.

Selesai sembang panjang di pondok yang disediakan, kami kemudiannya berehat di penginapan yang disediakan. Sebahagian kami terus sahaja mengisi ruang dengan berjalan dan meninjau di kawasan perkampungan.

Ada 22 buah rumah kesemuanya.

Kami bersembang dengan Makcik Murni Abd Kadir berbangsa bugis + banjar yang berstatus ibu tunggal. Kami bercerita sedikit sebanyak tentang pengalaman menjaga seorang anak istimewa bernama Muhammad Mukhtar yang kini berumur 30 tahun.

Tidak tahu bercakap, malahan hanya tersenyum memanjang. Mukhtar hanya duduk di rumah, sesekali dipimpin keluar berjalan di hadapan rumah bersama keluarganya.

Tidak dapat meninjau lama sehingga ke hujung titi, kami terpaksa kembali ke penginapan ketika azan maghrib sudah dilaungkan.

Ust Hilham mengambil tempat memimpin solat maghrib dan tazkirah selepasnya. Saya tertarik dengan tazkirah surah al-Asr, dengan tumpuan kepada sifat sabar menjadi fokus tazkirahnya.

Beliau menyebut tentang sabar menerima ujian fitnah yang menimpa orang dahulu kala dan sehingga akhir zaman. Bersabarlah, kata Ust Hilham kerana orang yang sabar itu adalah penghuni syurga.

Tenang rasanya solat dan iktikaf seketika di Masjid ar-Rahman Pekan Semporna.

Masjid Daerah ini letaknya di tengah suasana sibuk pekan, amat sesuai sekali dengan tuntutan Islam bahawa masjid semestinya menjadi nadi masyarakat Islam.

Kami masuk ke masjid tepat ketika azan zuhur dikumandangkan. Anggaran saya ketika itu, tidak kurang 200 orang jamaah zuhurnya. Bahkan setelah itu, solat zuhur terus menerus didirikan oleh kumpulan berikutnya yang datang belakangan.

Masjid ini boleh memuatkan sekitar 1000 jamaah. Di suatu sudut di belakang terdapat perpustakaan kecil, menampung kitab al-Quran dan buku-buku subjek agama yang lainnya.

Pejabat Imam Daerah, Hj Istihal Danial juga ditempatkan di sini. Hanya kami tidak sempat menemuinya kerana beliau berada di luar.

Van untuk penyelenggaraan janazah juga diletakkan di sini atas sumbangan Pusat Zakat Sabah dan diurus oleh JHEAINS Semporna.

Menarik juga apabila masuk ke ruang letak kereta, ada pondok kecil untuk pemandu bersedekah seikhlas (tabarru’)mungkin buat tabung masjid. Agaknya idea itu bagus, berbanding parkir berbayar untuk kenderaan yang diletak di masjid.

Cuma ketika itu tiada penjaga pondok, jadi kami masuk parkir ke dalamnya tanpa menghulur apa-apa di pondok berkenaan.

Pemandangan Masjid Daerah Semporna dari laut

IMAM HAJI BO’OL NUNUKAN

Maafkan saya kalau tersalah ejaan nama beliau.

Setiba di Semporna sekitar jam 10.30 pagi, kami langsung menziarahi rumah Imam Bo’ol di Kampung Bubul Laut. Seingat saya, beliau termasuk rombongan kami ketika kami pertama kali melakukan ziarah ke Pulau Pantai Manis, Teluk Menunggu akhir tahun 2008.

Kunjungan kami ke Semporna untuk ke pulau berkenaan sekali lagi, namun Imam Bo’ol yang berumur 70 tahun sudah tiada. Beliau kembali kerahmatullah jam 9 pagi semalam di Hospital Semporna setelah diuji dengan sakit paru-paru.

Kami dimaklumkan Allahyarham dahulu adalah seorang guru bahasa Inggeris dan Matematik selama 32 tahun sebelum menjadi imam qaryah lantikan JHEAINS beberapa tahun lalu.

Anak-anak beliau memaklumkan Allahyarham dikebumikan di sebuah kampung dalam Pulau Bum-Bum, khabarnya ada masjid yang diwaqafkan sewaktu hidupnya. Sebelum kembali kerahmatullah beliau ada berpesan untuk dikebumikan berdekatan masjid berkenaan.

Rombongan kami seramai 12 orang diketuai Ust Sidik (Timbalan Pengarah JHEAINS) berkumpul seketika dan membacakan Yasin, tahlil dan doa, mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarham dan memberi ganjaran terbaik atas kebaikan yang dilakukan semasa hayatnya.

Allahumma Amin!

%d bloggers like this: