Tag Archive: Jamiat Islami


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34894-rejim-bangladesh-semakin-haus-darah

kamzaman

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 15 April 2015.

LAUNGAN takbir dan esakan pilu mengiringi kesyahidan Ustaz Kamaruzzaman, tokoh kanan Jamiat Islami Bangladesh yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh rejim Bangladesh. Assyahid menjadi tokoh kanan ketiga dibunuh selepas Maulana Abdul Qader Mullah dan Sheikh Mutiur Rahman. Ramai lagi yang kini sedang menunggu giliran untuk menuju ke tiang gantungan regim sekular di sub continent itu.

Jamiat Islami Bangladesh telah ditubuhkan selepas munculnya negara Bangladesh yang berpisah daripada Pakistan pada tahun 1971, berakar daripada pengasasannya di Pakistan pada tahun 1941. Gerakan ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat Islam Bangaladesh yang juga kuat beragama, kesan daripada bersemaraknya pusat pengajian Islam di kawasan bandar dan juga  sub bandar dalam dekad 80-an dan 1990-an. Negara ini juga sering terjadi wabak bencana seperti taufan, banjir besar, kebuluran, serta wabak penyakit. Juga terletaknya daerah Tonggi yang merupakan tapak ijtimak Jamaah Tabligh terbesar di dunia.

Semasa awal kewujudan Bangladesh, Jamiat Islami diharamkan di sana. Pemimpin Jamiat iaitu Ghulam Azam berhijrah ke UK dan Timur Tengah kerana kerakyatannya telah dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh yang dipimpin oleh Mujibur Rahman.

Perbalahan politik berlaku di Bangladesh apabila Ghulam Azam dibenarkan kembali ke Bangladesh tetapi dia tidak dibenarkan terlibat dengan aktiviti politik. Jamiat Islami mula menjadi parti politik di Bangladesh pada tahun 1982 dan mereka memenangi 10 kerusi Parlimen dalam pilihan raya tahun 1986.

Perjalanan Jamiat Islami dalam politik Bangladesh sangat berliku, mereka diasak dengan kebencian awam melalui media perdana dan juga mahkamah, terutama dalam isu perang saudara 1971. Jamiat Islami Bangladesh telah dituduh bersubahat dengan pihak tentera Pakistan dan juga menubuhkan gerakan militia seperti ‘al-Badar’. Pada 1 Ogos 2013, mahkamah agung Bangladesh telah mengharamkan pertubuhan politik Islam terbesar Bangladesh ini dan juga menjatuhkan hukuman kepada pemimpin Jamiat.

Antara yang telah dihukum gantung sampai mati ialah Abdul Kader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamiat Islami. Lebih 40 ribu anggota Jamiat Islami telah dipenjarakan di seluruh penjara Bangladesh. Tekanan ini juga telah membawa kepada bantahan awam terutama di bandar-bandar besar Bangladesh terutama oleh penyokong muda mereka yang melihat tindakan mahkmah ini lebih bermotifkan politik untuk meredam kebangkitan Jamiat Islami.

Selama hampir tujuh dekad berada di persada politik dan dakwah di Bangladesh serta beberapa negara Indo-Pak, Jamiat Islami semakin kuat dan berkembang walaupun dihadang oleh rejim dan kelompok munafik. Pada awal keberadaannya di Bangladesh, Jamiat Islami agak lemah prestasinya dalam pilihan raya yang disertainya kerana pimpinan Jamiat Islami lebih menekankan soal kualiti dan ahli yang bersahsiah tinggi namun pengaruh dakwahnya berkembang pesat dan diakui sangat menyumbang kepada negara. Dalam penglibatan berpilihan raya, Jamiat kurang didekati oleh rakyat jembel serta massa malah lebih mendapat sokongan daripada golongan intelek dan kelas menengah.

Keadaan ini mula berubah apabila Jamiat mula mengadakan pendekatan strategik dengan mengadakan permuafakatan politik dengan pelbagai kumpulan Islam yang lain. Mereka mula menunjukkan peningkatan dalam peratusan kemenangan di Parlimen seluruh Bangladesh. Peningkatan sokongan ini juga berkait rapat dengan pelbagai NGO-nya yang turun menyantuni masyarakat.

Antara NGO jaringan Jamiat yang berkesan ialah Masjid Mission, gerakan swadaya yang tak lelah menghidupkan jihad ta’lim dan membantu masyarakat miskin di negara miskin itu. Walaupun bersaing pengaruh dengan Jamaah Tabligh di medan dakwah serta mempunyai reputasi yang baik di sektor perbankan Islam, Jamiat Islami sangat digeruni regim. Pelbagai usaha dibuat untuk menyekat kemaraan mereka di sektor politik termasuk menyekat dana luar negara untuk kegiatan kebajikan seperti majlis korban eid Adha.

Regim muflis idea untuk berdepan dengan harakah Islam bernuansa khairiyah ini, apatah lagi dengan sosok-sosok cemerlang Jamiat Islami yang didokong kelas menengah berpendidikan Bangladesh. Maka jalan pintas bagi regim ialah tiang gantungan dan penjara pengap serta mahkamah kangaroo buat amilin Jamiat Islami. Bangladesh di belakang regim tirani Mesir dalam menumpahkan darah para syuhada! – HARAKAHDAILY 15/4/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Dakwah Pusat)

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34410-jamiat-islami-membadai-arus-perjuangan

Dr Riduan Mohamad Nor

Ijtimak Alami kali ketiga turut dihadiri oleh pimpinan Jamiat Islami, gerakan Islam yang telah lapan dekad berjuang dimedan operasi dakwah dan siasah.Perjuangan umat Islam di rantau sub-continent merupakan jalur sejarah yang panjang di mana umat Islam seperti empayar Moghol dan kesultanan Delhi. Wilayah ini juga turut memancarkan cahaya kebenaran Islam ke rantau lain melalui usaha perdagangan sehingga rantau Asia Tenggara turut menerima angin sejahtera Islam.

Jami’at Islami telah ditubuhkan di Lahore pada 26 Ogos 1941 untuk melaksanakan tuntutan al-Quran dan Sunnah. Maududi telah mengundang seramai 150 orang pecinta Islam untuk bermesyuarat di kediamannya yang terletak berhampiran dengan Masjid Mubarak, Islamia Park. Kelompok awal ini terdiri daripada mereka yang mendapat pendidikan moden yang terdiri dari kalangan pemikir Muslim dan mewakili pelbagai latar belakang profesi.

Jamiat Islami bukanlah merupakan parti politik atau pertubuhan agama dalam erti kata lain, atau cuma badan kebajikan tetapi ia adalah satu gerakan aqidah atau Harakah Islamiyyah yang bermatlamatkan Iqamah ad-Din dan mencari keredaan Allah di akhirat kelak. Penegakan agama yang dimaksudkan ialah Islam secara keseluruhannya, sama ada dari segi ibadah membawa kepada ekonomi, sosial, politik, dan lain-lain. Oleh itu, mukmin hendaklah mencurahkan segala potensi dan kemampuan yang ada pada mereka untuk menegakkan Islam keseluruhannya. Persoalan peribadi Muslim hendaklah diselesaikan secara Jamiat. Tanpa wujudnya individu-individu yang mahu berkhidmat dan menyumbangkan segala potensi dan kemampuan yang ada pada diri masing-masing, hasrat untuk mencapai cita-cita Islam adalah mustahil (M.Kamil Abdul Majid:1990)

Memandangkan gerakan ini semakin berkembang, maka pimpinan Jami’at Islami memutuskan untuk membina sebuah ibu pejabat parti bagi melincinkan perjuangan. Pembinaan pejabat ini yang melindungi mini kompleks, hospital, kolej, universiti, sekolah tahfiz, masjid, perpustakan, kedai buku, rumah tetamu dan perumahan staff telah dimulakan pada tahun 1972 di Mansoorah, Lahore. Gerakan ini semakin berkembang termasuk mendapat derma daripada ahli-ahlinya yang bekerja di luar negara. Ahli-ahli gerakan ini sangat aktif mengumpulkan kulit-kulit binatang korban untuk dijual dan hasil jualan disumbangkan kepada Jamiat Islami.

Cerakan ini sangat responsif terhadap isu-isu dalam negara dan luar negara dan sangat digeruni oleh regim Pakistan, ahli-ahlinya sangat peka kepada isu yang menyentuh nurani ummat seperti isu perobohan Masjid Babri di India, isu `satanic verses’ , isu Palestin dan kekejaman Yahudi Amerika terhadap ummat Islam malah turut menghantar ahli-ahlinya ke medan tempur Afghanistan dan Kashmir. Demonstrasi yang diadakan daripada masa ke semasa bagi menjuarai isu yang menyentuh kepentingan ummah biasanya dihadiri oleh ratusan ribu aktivis.

Cerakan pemuda Islamnya digelar sebagai PASBAN cukup dikenali ramai di Pakistan, biasanya mengawal majlis-majlis dan memastikan keselamatan program. Jamiat juga turut menaungi beberapa NGO tersohor di Pakistan seperti al-Khidmat Foundation, Pakistan Islamic Medical Asociation (PIMA), TRUST Foundation.

Jami’at turut menjaring masyarakat dengan rangkaian sistem persekolahannya yang melebar di seluruh negara, contohnya di Punjab sahaja Jami’at Islami mempunyai 500 buah sekolah. Cerakan ini juga mempunyai rangkaian hospital dan klinik Islam, termasuk pusat-pusat khidmat sosial yang bertebaran di seluruh negara.

Selama hampir lapan dekad berada di persada politik dan dakwah di Pakistan serta beberapa negara Indo-Pak, Jami’at Islami semakin kuat dan berkembang walaupun dihadang oleh regim dan kelompok munafik. Jami’at Islami agak lemah prestasinya dalam pilihanraya yang disertainya kerana Maududi lebih menekankan soal kualiti dan ahli yang bersakhsiah tinggi namun pengaruh dakwahnya berkembang pesat dan diakui sangat menyumbang kepada negara. Dalam penglibatan berpilihanraya, Jami’at kurang didekati oleh rakyat jembel serta massa malah lebih mendapat sokongan daripada golongan intelek dan kelas menengah.

Kini Jamiat Islami berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran, di Bangladesh mereka ditekan dengan hebat termasuk dalam penjara negara itu kini mendekam 40 ooo aktivis Jamiat. Ada yang telah syahid di tali gantung seperti Maulana Abdul Qader Mulla, Mutiur Rahman. Begitu juga Jamiat Islami di Sri Langka, dimana populasi muslim sangat rendah dan mereka diwajahkan oleh media tempatan sebagai ekstremis dan barbarik. Di ijtimak Alami ini kita akan berkongsi cerita suka duka gerakan mereka. Jom! – HARAKAHDAILY 18/3/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat ,Pengarah Promosi Ijtimak Alami kali ketiga)

%d bloggers like this: