Alhamdulillah, pagi ini solat subuh di surau Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Saya tiba di terminal ketika waktu azan subuh baru selesai berkumandang. Saya sudah daftar masuk lebih awal melalui sistem mesin malam tadi untuk ke ibu negara. Solat subuh disertai sekitar 15 orang, antaranya adalah beberapa bakal jamaah haji.

Hari ini juga seramai 447 bakal jamaah haji dari Sabah akan berlepas pada jam 8.35 pagi. Mereka adalah rombongan kedua selepas rombongan pertama berlepas pada 16 Oktober lalu. Mereka mula berkumpul di sini sejak jam 3 pagi lagi. Kelihatan juga beberapa sahabat saya yang bertugas lantikan Tabung Haji untuk memudahkan urusan perjalanan jamaah haji ini.

Antara yang kelihatan ialah Ustazah Inun Mamit, Ustazah Salwa dan Ustazah Hajah Salmah Hasan. Maklumlah, di kalangan jamaah haji ini bukan setakat tidak pernah ke luar negara, naik kapal terbang pun barangkali buat pertama kali. Jadi sudah tentu lebih banyak bantuan dan sokongan diperlukan.

Masuk ke balai berlepas, saya nampak Ustaz Suparlan Roto dan isterinya Winarsih Trimo berjalan dalam kelompok jamaah haji berkenaan. Rupanya mereka termasuk dalam senarai tetamu Allah SWT tahun ini. Semoga urusan mereka turut dimudahkan oleh-Nya. Mereka suami isteri orang baik.

“Doakan kami”, kata ustaz.

“Sama-samalah kita. Orang musafir doanya maqbul”, ujar saya.

Semoga Allah memberi kurnia haji mabrur kepada semua jamaah haji. Ustaz Haji Ahadin, Cikgu Haji Burhanuddin, Dr Hajah Kartina, Cikgu Haji Zulkifli Awang, Tuan Haji Suwito, Imam Haji Kifli, Cikgu Haji Abu Bakar, Dr Haji Awang Setia, Ustaz Haji Hamdan, Ustazah Hajah Qurratul Ain dan ramai lagi.