Tag Archive: JAKIM Putrajaya


Bagi peminat-peminat siaran rancangan realiti kanak-kanak yang berorentasikan pendakwah cilik ‘Adik-Adikku’ bakal bersiaran bagi musim ke-4 pada tahun hadapan. Pada tahun ini sudah disiarkan bagi musim ke-3 dan pentas akhirnya telah diadakan pada 18 Mac 2012 lepas di Dewan Plenary PICC, Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Kini pihak penganjur iaitu JAKIM dengan kerjasama RTM giat mengadakan ujibakat bagi musim ke-4 yang dijangka disiarkan pada awal tahun 2013 pula. Pada sabtu lepas diadakan ujibakat di Labuan, sementara pada ahad 1 Julai, ujibakat serentak diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu. Ia adalah satu pengalaman menarik bagi saya apabila dilantik sebagai juri bagi ujibakat di Kota Kinabalu.

Saya menerima tawaran itu dengan perasaan berdebar tetapi tetap teruja, kerana rancangan realiti ini semakin mendapat sokongan dengan jumlah rating penonton yang agak tinggi, bimbang-bimbang penglibatan kecil saya tidak memenuhi kehendak dan objektif JAKIM itu sendiri. Saya sendiri berharap dapat menyumbang sesuatu bagi kemajuan dakwah di Malaysia apatah lagi ia rancangan yang bakal disiarkan di kaca tv.

Biarlah saya catatkan di sini, nama saya disebut oleh sahabat baik saya Mohd Nadzri Mustakim, teman persekolahan di Toh Puan Hajjah Rahmah dan Maahad Tahfiz Sabah sebelum kami mengambil haluan masing-masing. Nadzri kini bertugas di Bahagian Media JAKIM Putrajaya, mencadangkan nama saya apabila pihak penerbit rancangan berhajat mencari juri untuk sesi Sabah.

Sedikit hampa apabila peserta yang datang ke RTM Sabah hanya seramai 8 orang, dengan 6 orang daripada mereka sangat berbakat. Saya dimaklumkan surat dihantar ke Jabatan Pelajaran Negeri yang kemudian difaks pula ke Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya dipanjangkan ke sekolah-sekolah. Ustaz Kamarol Azhar dari Tenom memaklumkan saya betapa kreatifnya sekolah anaknya dengan pihak sekolah melampirkan surat kepada semua ibu bapa akan program ini. Sementara ada sekolah yang hanya memaklumkan kepada murid melalui lisan para ustaz sahaja. Entah berapa ramai pula sekolah yang tidak proaktif dengan program ini.

Saya ada memberikan beberapa cadangan kepada penerbit program agar cabaran ini mereka sahut. Antaranya melibatkan JAKIM Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kerana JHEAINS mempunyai sekolah-sekolahnya tersendiri yang patut diwarwarkan. Bahkan bagi saya tidak wajar sekadar faks surat, kalau perlu mesyuarat demi mesyuarat, kenapa tidak? Begitu juga tidak langsung kelihatan sepanduk-sepanduk, bunting atau poster-poster yang mempromosi program ini di lokasi strategik. Contohnya masjid surau, jabatan kerajaan dan sebagainya. Sebab itu promosi dan kerjasama ramai pihak sangat diperlukan.

Mudah-mudahan program ini terus mendapat sokongan dan bermanfaat demi kelansungan dakwah di Malaysia. Oh ya, 12 peserta terpilih seluruh negara dijangka akan berkampung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada cuti sekolah akhir tahun di mana rancangan ini akan dirakam, dan kemudian siarannya dijangka pada awal tahun 2013. Harapnya adalah peserta Sabah akan terselit di celah-celah pendakwah cilik ini.

Sejujurnya saya agak tertekan dengan undangan Bahagian Dakwah JAKIM Putrajaya khususnya daripada sahabat saya Ustaz Hamdi Yahya yang sebelum ini pernah bertugas di Sabah. Saat saya menyatakan persetujuan hadir dan mengisi satu slot dalam ijtimak yang diadakan di Pusat Latihan Islam Kundasang, saya kurang cermat dan tidak menyangka bahawa pesertanya yang hampir 100 orang itu datangnya dari seluruh negara.

Para penceramah lain pula bukannya calang-calang orang. Saya dimaklumkan hanya seorang penceramah dari Semenanjung manakala tiga lagi dari Sabah – Ustaz Haji Bungsu Aziz, Ustaz Haji Abu Hurairah Abd Rahman dan saya sendiri. Tambahlah saya gemuruh dan gementar kerana tidak tahu hendak berceramah atas tajuk apa.

Penceramah-penceramah lain menyentuh pelbagai tajuk yang berlegar sekitar dakwah. Ada tentang dakwah di Malaysia, peranan dan tanggungjawab dakwah, metod dakwah dan seumpamanya. Lama juga saya berfikir untuk mencari tajuk agar apa yang saya sampaikan tidak bertembung dengan isi ceramah penceramah lain. Akhirnya saya memutuskan tajuk ‘Dakwah Media Baru’ agar tidak banyak pertembungan dengan isi ceramah tokoh lain.

Kebetulan pula beberapa hari sebelum itu saya beruntung mendapat maklumat berharga berkenaan media baru (fokus blog, facebook dan twitter) yang hendak dikongsi dengan semua peserta. Dalam hal facebook, saya memberi contoh kajian bahawa 10 juta rakyat Malaysia mempunyai facebook dan pengguna facebook dari Malaysia didapati mempunyai rakan yang tertinggi iaitu purata 233 orang berbanding Brazil (231 orang), Norway (217), Korea Selatan (50), Tanzania (38) dan Jepun (29). Saya melihat keadaan itu sebagai satu peluang dakwah yang baik.

Dalam isu blog, saya melihat apatah lagi para peserta terdiri daripada Penggerak Masyarakat di kawasan orang asli, itu sudah menjadi satu kelebihan mereka untuk bercerita pengalaman dakwah kepada para pembaca. Saya membaca satu artikel saifulislam.com, bahawa antara ciri blog yang berjaya ialah ia mempunyai cerita sendiri yang berlainan daripada orang lain. Ini kerana tidak ramai orang berpeluang bercerita tentang pengalaman dakwah kepada masyarakat berkenaan.

Kesimpulannya, tujuan saya membentang tajuk itu ialah agar para pendakwah memanfaatkan IT seperti blog, facebook dan twitter untuk dunia dakwah mengikut kemampuan masing-masing. Saya suka memetik maksud ungkapan Abul A’la al-Maududi : “Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan) dan lidah (untuk berdakwah)”

Alhamdulillah, musafir solo saya ke Kundasang bermula jam 5 pagi dan berhenti beberapa kali, mengisi ceramah hampir 2 jam di dewan PLI, kemudian bergerak pulang mulai jam 10.30 pagi, singgah di gerai Pekan Kundasang untuk membeli sayur dan tidur keletihan seketika di Tuaran dan tiba di rumah jam 1.30 petang sebelum bergerak ke destinasi berikutnya.

PEMERIKSAAN

Baru-baru ini saya menyertai rombongan pegawai daripada Bahagian Penyelidikan JAKIM Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Kawalan Teks al-Quran dan Penerbitan KDN, JAKIM Sabah dan JHEAINS membuat rondaan dan pemeriksaan terhadap bahan-bahan penerbitan yang dilarang oleh KDN.

Di Kota Kinabalu, antara lokasi premis yang diperiksa ialah sekitar kawasan Sinsuran dan Wisma MUIS. Beberapa hari sebelum itu agensi yang sama telah mengadakan pemeriksaan di daerah Tawau, Lahad Datu dan Sandakan. Pegawai-pegawai JHEAINS yang terlibat ialah Ustaz Musally Moksin (KPP Bahagian Penyelidikan & Informasi), Ustaz Haji Hilham Md Noor (PTA JHEAINS Pantai Barat Selatan) dan beberapa anggota lain.

Pemeriksaan kali ini di Kota Kinabalu berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

%d bloggers like this: