Tag Archive: Isu kalimah Allah


Sumber : di sini

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

“Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

“Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah,” kata kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak yang bermesyuarat malam tadi. Kenyataan itu ditandatangani oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din. Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak.

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia 
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din 
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Akhirnya para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sedia bermuzakarah secara harmoni dengan cendekiawan muslim, ahli akademik, para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta beberapa pihak lagi.

Walaupun muzakarah di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut malam tadi dilihat agak lewat, sekurang-kurangnya inisiatif tersebut boleh dijadikan sandaran bahawa masing-masing begitu peduli dengan isu kalimah ‘Allah’ serta tidak mahu isu tersebut dijadikan ‘tiket’ untuk menghalalkan gereja-gereja di Malaysia dibom oleh pihak tertentu.

Bagi Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, PR seharusnya lebih bersikap realistik dalam menyelami perasaan sebenar akar umbi masyarakat Islam, khususnya di kalangan orang-orang Melayu.

“Kita mungkin boleh kata ini emosi orang Melayu semata-mata, tapi mereka yang di bawah rakyat berasa sendiri kegelisahan sebenar orang-orang Melayu,” jelasnya.

“Iyalah…memang perlu dakwah dan kefahaman yang rasional, tapi kita juga harus rasional melihat realiti sebenar orang-orang Islam Melayu apabila kalimah Allah ini dituntut sebegitu.”

Menurut beliau, realiti emosi sebegini timbul bukan disebabkan Ketua Paderi Gereja Roman Katholik, Tan Sri Murphy Pakiam memohon menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar minggu mereka, The Herald semata-mata.

Tetapi, umat Islam menurutnya, begitu merasai asakan demi asakan dari pihak tertentu, bermula pada kes permohonan gugur perkataan Islam pada kad pengenalan oleh Azalina Jailani atau Lina Joy, tuntutan mayat Allahyarham Muhammad bin Abdullah atau Moorty, usaha merendah-rendahkan kedudukan Mahkamah Syariah dengan mendesak Artikel 121 (1A) digugurkan; dan banyak lagi.

Mengakui perkongsian Azmi itu, Anwar mahu perbedaan pendapat tersebut terus digalakkan.

Tetapi, perbedaan tersebut menurut Anwar, tidak seharusnya dijadikan asas untuk semua pihak mengetepikan kezaliman yang lebih besar, yang dilakukan oleh Umno.

“Sebab itu, sama ada kita setuju atau tidak, baik tidak dipertajamkan,” tegas Anwar.

Tambah Anwar lagi, kebimbangan seperti yang diperkatakan oleh Cikgu Azmi juga adalah sesuatu yang wajar.

Pun begitu, kebimbangan tersebut tidak boleh menjadikan para pendakwa Islam bersikap rendah diri (infearility complexs), sebaliknya harus progresif menjelaskan keadilan Islam secara rasional dan wacana.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mencelah kemudiannya berkata, kebimbangan yang dirasai bersama itu tidak boleh dijadikan asas untuk menghalang orang bukan Islam melihat keadilan Islam.

“Kalau hari ini kita (umat) Islam bimbang dan berjaya menghalang mereka dari menggunakan kalimah (Allah), esok lusa kita akan halang mereka pula menggunakan kalimah ‘Isa’ disebabkan bimbang,” jelas Khalid.

“Kebimbangan kita menyebabkan orang bukan Islam tidak dapat keadilan dan hikmah Allah, sedangkan Dia sendiri membenarkan namaNya disebut-sebut oleh sekelian hamba-Nya.”

Bagi filosof Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Dr Osman Bakar pula, membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ lebih menguntungkan Islam itu sendiri.

“Membenarkan mereka menyebut ‘Allah’ sebenarnya memudahkan mereka mengkaji Islam kerana ada ‘persamaan nilai’ akhirnya menguntungkan Islam, kalau tidak umatnya; kerana mereka mengkaji tentang Tuhan kita,” jelas Osman.

Mengambil pengalaman melihat sendiri ‘budaya beragama’ di Amerika Syarikat pasca runtuhnya Pusat Perdagangan Antarabangsa (WTC) pada 11 September 2001 yang lalu, Osman berkata inkuiri penganut agama Kristian terhadap Islam amnya tidak begitu mudah, disebabkan tiada ‘persamaan nilai’ – iaitu menggunakan nama ‘Allah’.

“Di Amerika, orang bukan Islam menganggap orang Islam menyembah suatu Tuhan yang lebih kecil daripada kita hinggakan nampak seperti Tuhan mereka dan kita berlain-lainan.

“Akhirnya, mereka itu lebih sukar didekatkan dengan Islam, istilah Tuhan yang lain-lain,” jelasnya.

Senada dengan Dr. Osman, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat lebih mengambil sikap optimis kerana berasaskan kewajaran Allah menggalakkan Rasulullah s.a.w berwacana dengan Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani menggunakan ‘ kalimatin sawa’in ’ (suatu titik persamaan).

Firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah: ‘Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah (berpegang) dengan suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu…” (Surah Aali-Imran: 64)

Menurut Tuan Ibrahim, kalau penganut Gereja Katholik dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’, mereka juga boleh jadi terkeliru sebagaimana yang disangkakan (iaitu rasa bimbang) oleh segelintir umat Islam.

“Hikmah Allah membenarkan (nama-Nya disebut oleh orang bukan Islam) sebenarnya nak kelirukan orang bukan bukan Islam supaya dekat dengan agama Islam.

“Zaman Nabi lagi, orang bukan Islam sembut nama Allah dan Nabi tak sekat mereka dari menggunakan nama Allah,” ujarnya.

“(Nabi bertanya kepada Ahli Kitab Nasrani), betulkah Allah itu ada anak? Siapa pula Rohulkuddus? Akhirnya mereka ini menyembah Allah yang Maha Esa disebabkan mereka keliru (dengan agama mereka) tapi nak sebut nama Allah.”

Tuntas dari itu, Naib Presiden PAS Salahuddin pula mencadangkan PR memulakan budaya ‘Wacana Ilmiah’ bersama-sama umat Islam dan masyarakat bukan Islam atas nama ‘kalimatin sawa’in’.

Berpijak atas ayat ke-64 dari Surah Aali-Imran, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, wacana ilmiah tersebut tidak seharusnya dibataskan hanya atas kalimah ‘Allah’ semata-mata.

Sebaliknya, ‘Kalimatin Sawa’in’ atau ‘suatu titik persamaan’ tersebut, menurut Salahuddin boleh juga dimaknakan dengan nilai-nilai sejagat yang lain seperti keadilan, integriti, kebebasan, ketelusan, demokrasi dan sebagainya.

Dalam benak saya, mungkin inilah yang dimaksudkan oleh beberapa cendekiawan kontemporari sebagai polisi ‘Islamisasi’.

Kalau benar tanggapan ini, bermakna PAS dilihat lebih mudah memenangi akal fikiran-budi masyarakat Islam dan bukan Islam yang serba plural, majmuk dan rencam ini; sebelum Pilihan raya Umum Ke-13 kelak bergendangan kelak.

Kalau yang menolak Islam ini adalah para pemimpin Umno, esok lusa mereka ini jugalah yang akan menolak idea faham Islam yang mahu diketengahkan PAS di Malaysia.

Lebih 50 tahun Umno menolak keadilan hak di sebalik undang-undang Allah di tanah air, tetapi baru hari ini rakyat tidak kira beragama Islam atau berpegangan yang lain diberi peluang mulai melihat pihak-pihak terbabit seolah-oleh sedang membantu Umno menghalang sekalian manusia dari menyebut nama Allah.

“Nas al-Quran adalah wahyu. Setiap ketetapan yang ‘membenarkan’ di dalam al-Quran ini sudah tentu tersembunyi di sebaliknya sesuatu maslahah (kebaikan) yang berlebihan, berbanding mafsadah (kemudhoratan) yang sedikit,” saya berbisik seorang diri.

Mungkin apa yang sedang menghimpit Umno inilah salah satu hikmahnya.

“Fiqar…kalau lebih banyak lagi berwacana sebegini, PAS dan Pakatan Rakyat mungkin lebih berani (dalam) membuat banyak lagi perubahan pemikiran di kalangan ahli-ahlinya sendiri, insya Allah,” bisik Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar kepada saya.

http://idhamlim.blogspot.com/2010/01/dzulfikar-mashoor-akhirnya-kalimah.html

Saya dimaklumkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Muzakarah Pakar Menjelaskan Isu Kalimah Allah pada 21 Januari 2010 akan datang.

Antara yang diundang untuk membentangkan pendapat dan pendirian masing-masing ialah SS Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Badaruddin Bin Ahmad; Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Dato Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama  PKR, Dr. Muhd Nur Manuty.

Turut diundang sama ialah Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Hj Amri Suratman dan beberapa tokoh lain.

Mudah-mudahan muzakarah berkenaan akan menatijahkan sesuatu yang baik demi kemaslahatan agama Islam dan keharmonian serta kerukunan hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Maklumat lain boleh layari di web rasmi IKIM di sini.

Dipetik dari http://www.terengganukini.net/bahan/Allah.pdf dengan sedikit edit pada ejaan. Juga sedikit tambahan berdasarkan ucapan dalam kuliah khas tuan guru.

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polemik hangat dalam negara, menjadi lebih panas setelah Mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup didalamnya Umat Islam, kerana menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing.

Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci Al Quran al-Karim yang tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran iaitu bahasa Arab.

Persoalannya, adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas konsep kebebasan beragama? Sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang boleh mencetuskan perkara  yang merosakkan hubungan sesama manusia.

Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan umat Islam.

Perlu difahami, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus digunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah?

Atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini.

Perkataan Allah disebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Bukan sahaja disebut di dalam al-Quran, bahkan disebut dalam sirah Nabi SAW.

Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah :

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ

61. Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu : “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? (al-Ankabut).

Firman Allah :

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ مِنۢ بَعۡدِ مَوۡتِهَا لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ‌ۚ بَلۡ أَڪۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ 

63. Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu : “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad) : “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik). (al-Ankabut)

Firman Allah:

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ‌ۚ بَلۡ أَڪۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ

25. Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu : “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik). (Luqman)

Firman Allah:

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۚ قُلۡ أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنۡ أَرَادَنِىَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ هَلۡ هُنَّ كَـٰشِفَـٰتُ ضُرِّهِۦۤ أَوۡ أَرَادَنِى بِرَحۡمَةٍ هَلۡ هُنَّ مُمۡسِكَـٰتُ رَحۡمَتِهِۦ‌ۚ قُلۡ حَسۡبِىَ ٱللَّهُ‌ۖ عَلَيۡهِ يَتَوَڪَّلُ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ

38. Dan demi sesungguhnya! Jika Engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu : “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Allah”. Katakanlah (kepada mereka) : “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi : “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.

Firman Allah :

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡعَلِيمُ

9. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu :”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Firman Allah :

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَهُمۡ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ‌ۖ فَأَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ

87. Dan demi sesungguhnya! Jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka : “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab : “Allah!” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah, padahal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya.

Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara.

Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa ( Al Asma Al Husna).

Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya ( Al Asma Wa Sifat) :

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya.

Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya; yang dikenali dan diyakini benarnya; kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf; maka disebut ALLAH.

Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah :

قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ ڪَلِمَةٍ۬ سَوَآءِۭ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابً۬ا مِّن دُونِ ٱللَّهِ‌ۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ

64. Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka : “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Ali Imran)

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah seperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH di hadapan umat Islam.

Imam ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun :

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar, tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensitiviti Umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah. Firman Allah :

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٍ۬‌ۗ كَذَٲلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّہِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Al-An’am)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Presiden PAS.

%d bloggers like this: