Tag Archive: Ismail Kamus


IHB @ Masjid Kg Muhibbah

Rasanya ada 3-4 tahun kuliah kami berjalan di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat hasil tulisan Ybhg Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus, pendakwah yang sangat saya minati. Ini buku kedua kuliah saya di masjid ini selepas buku Hadith 40 yang juga memakan masa bertahun.

Kebetulan ini minggu terakhir kuliah sebelum masuk bulan Ramadhan, kami mengambil masa sehingga jam 8.30 malam untuk baca lebih kali ini. Setinggi kesyukuran akhirnya dapat menamatkan bacaan buku ini semoga ada pahala hasil ilmu dan amal soleh sepanjang pengajian buku ini. Saya merancang untuk membaca buku lain selepas hari raya nanti.

Selain masjid ini, buku Indahnya Hidup Bersyariat juga kami baca di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan (setiap isnin malam selasa), Masjid Kg Sembulan (setiap ahad malam isnin), Surau ar-Rahman Maahad Tahfiz Negeri Sabah (setiap jumaat malam sabtu) dan kuliah mingguan di Bank Rakyat Donggongon Penampang.

BERSAMA ULAMAK

Foto lama :

“SUDAH 3 KALI MATI”

Sumber : di sini

GOMBAK, 7 Dis: Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Ismail Kamus dikatakan telah meninggal dunia, malah sehingga kini sudah tiga kali mati jika berdasarkan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. Khabar angin seperti itu bertiup kencang di tengah masyarakat, malah diakui turut didengar sendiri oleh tokoh tersebut tetapi hanya disambutnya dengan senyum.

Menurut Datuk Ustaz Ismail Kamus, kali pertama khabar angin seperti itu bertiup di tengah masyarakat berlaku sekitar 12 tahun lalu, manakala yang kedua sekitar 5 tahun lalu. Katanya, sesudah itu, beliau menyangkakan fitnah seperti itu tidak akan berlaku lagi ke atasnya, tetapi sangkaannya itu ternyata meleset apabila ia kembali berulang untuk kali ketiga terutama ketika beliau berada di Mekah untuk mengerjakan ibadat haji tahun lalu.

“Saya hairan macam mana mereka boleh sebarkan fitnah seperti itu ke atas saya, sedangkan saya sebenarnya masih hidup,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di pusat perubatannya, Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, di sini, hari ini. Fitnah tersebut, menurut beliau, agak sukar untuk diterjemahkan mesejnya kerana ia mungkin berpunca dari keinginan pihak terbabit supaya beliau segera meninggal dunia atau sebaliknya.

“Saya sebenarnya tak pun berasa sedih dengan fitnah itu. Lagipun kalau mereka tak kata saya dah meninggal dunia pun, saya pasti akan mati juga apabila tiba masanya nanti,” ujarnya.  Beliau bagaimanapun berharap agar pihak-pihak terbabit tidak lagi menyebarkan fitnah seperti itu terhadap beliau selepas ini bagi mengelakkan salah faham di dalam masyarakat, di samping mengelakkan dosa kerana menyebarkan fitnah.

Tokoh agama yang disegani itu bagaimanapun mengakui beliau kurang sihat sejak 6 bulan lalu kerana mengalami sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis. Ekoran masalah kesihatannya itu, aktiviti beliau dalam kemasyarakatan dan agama turut terbatas sejak hampir setahun lalu, tetapi kini mulai aktif kembali setelah kesihatannya bertambah baik.

Sejajar dengan sumbangannya yang besar dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 26 November lalu. Beliau menerima wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, midal Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sebelum anugerah itu disampaikan, saya sudah dengar ‘angin’ mengenainya, tetapi saya memang terkejut juga dengan pemilihan ke atas saya sebagai Tokoh Maal Hijrah itu. Selain itu, saya juga berasa gembira, bersyukur dan terharu dengan anugerah tersebut yang jelas merupakan satu penghargaan daripada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkenaan ke atas saya,” katanya.  Ekoran kesihatannya yang kurang baik, beliau kini mengambil keputusan untuk tidak bergiat aktif dalam politik bersama-sama para pemimpin PAS, melainkan memberikan sumbangan sekadarnya untuk parti setakat yang terdaya.

“Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan yang berlaku. Bagi saya, PAS sememangnya mempunyai harapan yang cerah untuk menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Saya berharap agar para penyokong PAS terutama generasi muda mengambil manfaat yang sebaiknya dari perkembangan baik yang dialami oleh PAS sekarang bersama-sama para pemimpin PAS di semua peringkat, bagi membolehkan PAS mencapai kejayaan besar bukan sahaja di negeri-negeri tetapi juga di peringkat nasional,” tambahnya.

Sebagai tokoh agama dan aktivis masyarakat, kini beliau banyak menghabiskan masanya dengan memberikan sumbangan kepada orang ramai di pusat perubatannya bersama para pembantunya.  “Jika ada jemputan daripada orang ramai untuk berubat di rumah mereka, khususnya bagi kes-kes kronik, saya dan rakan-rakan yang juga pembantu saya akan turut pergi ke rumah mereka bagi membantu sekadar terdaya,” ujar beliau.

Sejuk hati melihat foto-foto pertemuan mereka, dua tokoh pendakwah yang tidak perlu diperkenalkan lagi di tanah air kita ini. Wajah mereka berdua bersama dengan Dato’ Dr Hassan Ali suatu ketika dahulu sentiasa dinanti pada setiap khamis malam jumaat melalui forum perdana ehwal Islam di tv1. Saya pernah mendengar dan membaca catatan orang, siapa buat kenduri kendara malam itu, sah orang tidak ramai kerana majoriti hendak menonton forum perdana ehwal islam.

Saya kira bukan setakat topiknya yang menarik, tetapi kerana keikhlasan para pendakwah seperti mereka berdua (dan ramai lagi) untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Saya teringat satu ketika majlis forum perdana di dewan saadah wisma MUIS diadakan, dewan penuh sesak sehingga pengerusi forum Dr Hassan Ali meminta mereka duduk bersila di mana saja ruang yang kosong. Mereka inilah antara wajah-wajah yang menghiasi dan menggembirakan umat Islam dengan untaian nasihat dan tazkirah mereka.

Kedua-dua mereka adalah tokoh pengubatan Islam di Malaysia, khususnya Ybhg Dato Dr Haron Din. Saya difahamkan Ustaz Ismail Kamus antara murid awal Dr Haron di UKM termasuk dalam mempelajari pengubatan Islam. Ustaz Haron mengasaskan Darussyifa’ di Bangi sementara Ustaz Ismail Kamus mengasaskan Darussalam di Gombak. Setahu saya daripada segi rawatan berkaitan sihir dan makhluk halus, tidak banyak perbezaan kerana sumber yang sama. Hanya di Darussyifa’ ada rawatan berkaitan penyakit jasmani dan rawatan diberikan secara  percuma.

Foto dirakamkan ketika rombongan Darussyifa’ diketuai oleh Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din menziarahi Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus pada 20 hb Oktober lepas.

Sumber foto : facebook Jeng!Jeng!Jeng! (terima kasih)

Foto paling mahal :

Saya salin beberapa keping foto dari facebook Jeng!Jeng!Jeng! berhubung ziarah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus bertarikh 13 Oktober 2011. Alhamdulillah kelihatan TG Nik Abdul Aziz mengimamkan solat berjamaah dan kemudian menjamu selera bersama-sama. Gayanya santai, duduk bersila di atas lantai, mereka saling rai-meraikan antara satu sama lain. Allah, saya merindukan kehidupan pemimpin yang hidup dalam keadaan sederhana begini.

Kepada kedua-duanya semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang baik untuk terus mereka menyampaikan risalah Islam kepada ummat ini. Saya mendapat serba sedikit maklumat berkenaan perkembangan kesihatan Ybhg Ustaz Ismail Kamus daripada sumber yang boleh dipercayai, mudah-mudahan beliau sabar dan tabah menghadapinya. Peminat kuliah-kuliah beliau tentu merindui kehadiran beliau menyampaikan ceramah dan kuliah dengan santai tetapi berisi dan bermakna.

Walaupun beliau semakin pulih, saya difahami keaktifannya sudah tentu tidak seperti dulu lagi. Harapnya para peminat Ustaz Ismail Kamus dapat merakam secara video kuliah-kuliah yang beliau sampaikan khususnya untuk kami yang jauh ini menatap gambar dan wajah beliau semasa syarahannya berlangsung.

Tapi bagi saya, inilah foto yang paling mahal sekali..

LAWAK MELAMPAU

Sumber : di sini

Assalamualaikum! Sahabat dan kroni sekelian, pagi telah tersebar berita palsu mengatakan Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia pada pagi ini. Berita ini adalah palsu dan gurauan yang melampau dan tidak menghormat tuan guru. Melalui blog http://wasiatpejuang.blogspot.com/ berita ini telah tersebar dengan amat cepat. Kami terpaksa menjawab panggilan yang minta pengesahan tentang berita ini.

Amat duka cita berita seperti ini menjadi bahan gurauan penulis blog tersebut. Kepada sahabat dan orang ramai, sentiasalah merujuk laman web rasi Pusat Perubatan Darussalam untuk maklumat mengenai ustaz. http://darussalam.net.my/v1/. Ataupun boleh ke Facebook Jeng!Jeng!Jeng! http://www.facebook.com/pages/JengJengJeng/134727219875275

DUGAAN MINGGU LEPAS

Salam.

Ramai yang tahu, khutbah jumaat minggu lepas tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu yang begitu merasai bahang kehangatannya. Tajuknya : Berhati-hati mendengar khabar berita.

Tapi bak kata sahabat yang baru berpindah ke Kedah, Ust Abdullah Din, katanya : “Tanda khutbah tu berkesan, apabila selepas jumaat ramai yang memperkatakannya”.

Memang benar, tuan imam yang menjadi khatib dihubungi SB jam 1.30 petang. Balik ke pejabat jam 2, pejabat Ketua Menteri meminta teks khutbah hari itu difakskan ke pejabat mereka.

Sebenarnya, khutbah itu saya yang susun. Isunya, ingin menerangkan kepada umat Islam supaya menyelidiki khabar berita yang diterima. Dalilnya dari surah al-Hujurat, ayat 6. Semua maklum apabila sesuatu berita tidak benar, akan menyusahkan orang lain tambahan lagi apabila khabar yang melibatkan maruah orang.

Khabarnya, pejabat pentadbiran menerima panggilan bertalu-talu. Saya tau Pengarah ditekan oleh orang politik yang tidak mau menerima nasihat.

(Sabda Nabi SAW : “Agama itu nasihat”. Kami para sahabat bertanya : “Untuk siapa?” Jawab Nabi : “Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemimpin orang Islam dan untuk seluruh rakyatnya”)

Akibatnya, saya diambil tindakan. Saya tidak dibenarkan lagi menulis khutbah dan kebenaran asal pergi ke Kedah untuk menghadiri tilawah kebangsaan ditarik semula.

Keadaan itu menunjukkan Islam diperintah bukan memerintah. Islam terpaksa menurut kehendak orang politik yang rakus. Kalau dia kata bab ni boleh kata, maka kita boleh kata. Kalau dia kata tak boleh, maka kita kena ikut, walaupun Islam kata kena sebut.

(Sabda Nabi : “Katakanlah yang benar sekalipun pahit”)

Saya tahu itu mehnah dan tribulasi. Adat dalam berdakwah, ada suka dan duka. Bukan semua orang boleh terima dakwah kita. Tapi saya juga manusia biasa, bukannya pejuang hebat. Datang juga rasa takut dan bimbang.

Akhirnya saya sedar, sebenarnya tindakan yang dikenakan itu tidak ada apa-apa yang mesti dirisaukan. Kecik punya hal. Lagipun ia menepati sunnah dalam berdakwah – sentiasa diuji.

Dalam masa yang sama, saya yakin dakwah Islam tidak boleh disekat. Bak kata Dato’ Ismail Kamus, dakwah umpama air sungai. Ia akan terus mengalir dan mengalir.

Ya! Saya tidak akan berhenti. Kerja dakwah itu tidak hina di sisi Allah. Ya Allah bantu hambaMu menegakkan agamaMu!

%d bloggers like this: