Tag Archive: Islam


tuan-guru-dr-haron-din

Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/06/islam-tidak-diukur-melalui-tingkah-laku.html

Di negara-negara Arab khususnya di Timur Tengah yang dihuni bijak pandai agama khasnya ulama-ulama besar, masih menerima-pakai undang-undang dan peraturan manusia yang diistilahkan “man made law”, seolah-olah ia wajar dan tidak bercanggah dengan Islam. Persoalannya mengapa di Malaysia timbul suara yang menuntut undang-undang Islam dilaksanakan?

Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukur dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu. Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.

Oleh kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar.

Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.

Perlu kita fahami bahawa negara umat Islam suatu ketika dahulu semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w memerintah Madinah. Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini.

Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka ditubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabi’en yang digelar Khulafa’ ur-Raashidin, Daulah Umayyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.

Semuanya kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam. Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular.

Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan,  undang-undang Islam diketepikan dan undang undang ciptaan manusia diterima pakai. Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat.

Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka.

Sejak daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal. Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.

Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mcngembalikan pcrundangan Islam asal. Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dahulu dimenangi oleh Parti Pcnyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat.

Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat.

Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikchendaki Allah Taala. Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah mcnerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya), “Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran.”

Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah. Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a’lam.

Penulis

Prof. Dato’ Dr. Haron Din merupakan Naib Mursyidul ‘Am Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cemerlang daripada Universiti Darul Ulum Kaherah (1972-1974). Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

Saya teringat satu ceramah yang disampaikan oleh Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus berkenaan orang-orang yang liat untuk menerima Islam sebagai satu cara hidup secara keseluruhan. Yang banyak berlaku dalam masyarakat ialah menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Ada menzahirkan penolakan mereka dan ada pula yang menyembunyikan dengan dalih yang bermacam-macam.

Ada yang ‘berbulu’ mendengar teguran dalam ceramah, seolah-olah menyesal menjemput ustaz datang kerana teguran itu walaupun benar tetapi terkena batang hidung mereka. Di sisi yang lain ada juga yang berterima kasih kerana teguran itu benar kerana sudah tidak menyangkut dengan diri mereka lagi.

“Hentam ustaz, hentam! Saya dah pencen”, demikian cerita Ustaz Ismail dalam ceramahnya, mengajuk kembali kata-kata audien yang pernah berjawatan tinggi yang mendengar ceramahnya. Ertinya, ketika dia masih berjawatan dan berpangkat tinggi, jangan cuba-cuba hendak menegur atau mengkritik. Tunggulah akibatnya. Ia biasanya ceramah tentang keperluan menegakkan Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran yang meresahkan ramai manusia berkepentingan.

Ini menunjukkan naluri mereka sebenarnya mahu kepada kebaikan dan kebenaran. Hanya sanya kerana mereka terikat dengan jawatan seperti ketua-ketua jabatan atau ahli yang berhormat, jadi mereka menolak nasihat atau teguran mana-mana ustaz yang berkenaan. Tapi kalau ceramah dalam bab sembahyang, puasa, haji, baca al-Quran, sedekah, mereka boleh terima.

Pengalaman peribadi saya juga begitu. Seorang bergelar datuk ketika memegang jawatan sebagai pengarah sebuah jabatan, bukan main payah untuk ditegur terutama dalam hal mempraktikkan kerja Islami dalam jabatan, perkhidmatan awam, pentadbiran negeri dan negara. Tapi apabila beliau sudah pencen, beliau pula lebih bersemangat dan mengiya-iyakan perkara berkenaan apabila saya menyebutkannya dalam ceramah di sebuah masjid.

Ketika berjawatan, mereka tidak berani menyatakan kebenaran di hadapan ketua atau pihak atasan mereka. Apa sebabnya, mungkin kerana jawatan, kerana periuk nasi, kerana ampu sana dan ampu sini, kerana rahsia peribadi yang berada dalam ‘kocek’ ketua mereka, mereka masing-masing tau sebabnya.

Tidak sedikit kisah beberapa Ahli Yang Berhormat sebelah UMNO yang saya ketahui dalam diam mengkagumi keperibadian pimpinan PAS terutama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang sehingga timbul rasa hormat dan segan mereka. Mereka ceritakan kepada orang dekat mereka tetapi di khalayak tidak mahu menzahirkan kebenaran itu. Ia bukan semata-mata keperibadian dua tok guru itu sebenarnya tetapi Islam yang mereka junjung dalam diri dan seluruh pentadbiran yang mereka pimpin.

Tidak sedikit juga kisah mereka yang berjawatan politik dalam UMNO yang memohon khidmat dan menerima pengubatan Islam daripada Tuan Guru Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus, tetapi apabila kedua-duanya menceritakan tentang kebenaran politik Islam yang PAS bawa, serta merta mereka berdalih dan menolak. Saya dapat mengesahkan ada orang besar UMNO di Sabah yang menggunakan khidmat perawat Darusyyifa’ Bangi dengan membayar  tiket penerbangan terus ulang alik dari KLIA ke Sabah untuk merawat seorang keluarga mereka yang mengalami sakit gangguan makhluk halus.

Seorang berjawatan besar dalam negara ini berpangkat Tan Sri juga pernah menceritakan kepada seorang berjawatan tinggi di Sabah betapa dia mengkagumi cara perbahasan dan ceramah beberapa Ahli Parlimen dari PAS dan PKR terutama yang muda-muda. Seorang pemandu kepada seorang Allahyarham Tan Sri juga menceritakan bahawa di dalam kereta, Tan Sri berkenaan suka sekali mendengar cd dan kaset ceramah Ustaz Ismail Kamus.

Seorang Datuk YB apabila terserempak dengan Tok Guru Haji Abdul Hadi di LTA Kota Kinabalu, bersalaman dan mencium tangan beliau. Akibatnya tidak lama kemudian beliau dipanggil oleh pihak tertentu atas tindakannya itu.  Saya mengenali baik beliau dan beliau juga mengenali saya. Demikianlah mereka sebenarnya dalam diam mengakui kebenaran dan Islam yang PAS junjung. Tetapi dalam tindakan terutama di khalayak ramai, mereka terpaksa menjaga perut mereka.

“Katakanlah : Telah datang kebenaran, dan terhapuslah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu akan hilang akhirnya”.

p/s : kirim salam dengan yb berkenaan. kita boleh jumpa dan minum sama-sama.

Soalan : Bagaimana Islam dikatakan agama sejahtera sedangkan ia disebarkan melalui mata pedang?

Jawapan :

Adalah satu rungutan biasa di kalangan beberapa orang bukan Islam bahawa Islam tidak akan mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia sekiranya penyebarannya tidak dilakukan dengan kekerasan.

Fakta berikut akan menjelaskan bahawa jauh sekali daripada menggunakan mata pedang untuk menyebarkan Islam; kewujudan kebenaran, sebab yang munasabah dan logik adalah yang bertanggungjawab terhadap penyebaran pesat Islam.

1) Islam bererti kesejahteraan.

Islam berasal dari kata akar ‘salam’ bermakna sejahtera. Ia juga bermakna menyerahkan kehendak diri kepada Allah SWT. Oleh itu Islam adalah agama kesejahteraan, diperolehi dengan menyerahkan kehendak diri kepada kehendak Yang Maha Pencipta, Allah SWT.

2) Kadang-kala kekerasan perlu untuk memelihara kesejahteraan.

Bukan setiap dan semua manusia di dunia ini menyokong pemeliharaan kesejahteraan dan keharmonian. Terdapat ramai yang akan mengganggu kesejahteraan untuk kepentingan sendiri.

Hanya kerana sebab ini, kita mempunyai polis yang menggunakan kekerasan terhadap penjenayah dan unsur antisosial untuk mempertahankan kesejahteraan negara.

Pada masa yang sama, Islam menggesa pengikutnya melawan sekiranya terdapat penindasan. Perjuangan menentang penindasan, kadang-kala memerlukan kekerasan. Dalam Islam, kekerasan hanya boleh digunakan untuk menggalakkan kesejahteraan dan keadilan.

3) Pandangan sejarawan De Lacy O’Leary.

Jawapan terbaik kepada tanggapan salah bahawa Islam disebarkan melalui mata pedang diberikan oleh sejarawan terkemuka De Lacy O’Leary di dalam buku ‘islam at the Cross Roads (halaman 8 ) :

“Sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa legenda umat Islam fanatik yang bergerak serata dunia dan memaksa kaum yang ditawan untuk memeluk Islam dengan cara kekerasan adalah sebenarnya salah satu mitos karut terhebat yang pernah diulangi oleh sejarawan”.

4. Umat Islam memerintah Sepanyol selama 800 tahun.

Umat Islam memerintah Sepanyol lebih kurang 800 tahun. Umat Islam di Sepanyol tidak pernha menggunakan mata pedang untuk memaksa sesiapa menukar agama.

Hanya kemudian, pejuang-pejuang Salibi Kristian datang ke Sepanyol dan menghapuskan umat Islam. Tiada seorang pun umat Islam di Sepanyol yang dapat melaungkan azan, iaitu seruan untuk solat, secara terbuka.

5. Empat belas juta orang Arab adalah Kristian Koptik.

Orang Islam merupakan pemerintah negara Arab selama 1400 tahun. Orang British memerintah selama beberapa tahun dan orang Perancis juga memerintah beberapa tahun. Secara keseluruhan, orang Islam memerintah Arab selama 1400 tahun.

Sungguhpun demikian pada hari ini, terdapat 14 juta orang Arab yang merupakan Kristian Koptik iaitu Kristian sejak turun temurun. Jika orang Islam telah menggunakan mata pedang, pasti tiada seorang pun orang Arab yang masih beragama Kristian.

6. Terdapat lebih daripada 80% orang bukan Islam di India.

Orang Islam memerintah India lebih kurang seribu tahun. Jika mereka mahu, mereka mempunyai kuasa untuk mengislamkan setiap penduduk bukan Islam di India.

Pada hari ini, lebih daripada 80% penduduk India adalah bukan Islam. Kesemua penduduk India yang bukan beragama Islam pada hari ini adalah bukti Islam tidak dikembangkan menerusi mata pedang.

7. Indonesia dan Malaysia.

Indonesia merupakan negara yang mempunyai jumlah umat Islam paling ramai di dunia. Majoriti penduduk Malaysia adalah Islam. Pasukan tentera Islam manakah yang telah ke Indonesia dan Malaysia?

8. Pantai Timur Afrika.

Begitu juga, Islam tersebar luas di Panti Timur Afrika. Mungkin ada yang bertanya lagi, sekiranya Islam disebarkan melalui mata pedang, pasukan tentera Islam manakah yang telah ke pantai Timur Afrika?

9. Thomas Carlyle.

Sejarawan terkemuka, Thomas Carlyle dalam bukunya ‘Heroes and Hero Worship’ merujuk kepada tanggapan salah mengenai penyebaran Islam :

“Sememangnya mata pedang, tetapi di manakah mata pedang itu diperolehi? Setiap pandangan baru, pada permulaannya, secara tepat adalah minoriti yang satu. Di dalam pemikiran seorang manusia sahaja. Dan ia kekal di situ. Satu insan sahaja daripada seluruh dunia mempercayai, hanya seorang manusia menentang seluruh manusia. Bahawa dia mengambil mata pedang dan cuba menyebarkannya, tidak banyak yang dapat dilakukan. Kamu mesti mendapatkan mata pedang kamu! Satu kesemuanya, sesuatu itu akan tersebar dengan sendirinya”.

10. Tiada paksaan dalam beragama.

Dengan mata pedang manakah Islam disebarkan? Sungguhpun jika orang Islam memilikinya, mereka tidak boleh menggunakannya untuk menyebarkan Islam kerana di dalam al-Quran disebut ayat berikut :

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat..” (al-Baqarah : 226)

11. Pedang kebijaksanaan/kebenaran.

Ia adalah mata pedang kebijaksanaan. Mata pedang yang menawan hati dan pemikiran manusia. Al-Quran menyebut dalam surah 16, an-Nahl, ayat 125 :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik..”

12. Pertambahan agama di dunia daripada 1934 sehingga 1984.

Satu rencana di dalam Reader’s Digest ‘Almanac, buku tahunan 1986, memberikan statistik pertambahan peratusan agama utama di dunia dalam tempoh setengah abad daripada 1934-1984. Rencana ini juga disiarkan di dalam majalah ‘The Plain Truth’.

Tempat teratas adalah Islam, dengan peningkatan sebanyak 235% dan agama Kristian hanya meningkat dengan kadar 47%. Mungkin ada yang bertanya, perang apakah yang berlaku pada abad ini yang berjaya mengislamkan jutaan manusia?

13. Islam adalah agama paling cepat berkembang di Amerika dan Eropah.

Pada hari ini, agama yang paling cepat berkembang di Amerika adalah Islam. Agama yang paling cepat berkembang di Eropah adalah Islam. Mata pedang manakah yang memaksa orang-orang barat menerima Islam dalam jumlah yang sebegitu tinggi?

Dipetik daripada buku :

20 Soalan Paling Lazim Tentang ISLAM, oleh Dr. Zakir Abdul Karim Naik, terbitan SABA Islamic Media, Kuala Lumpur, cetakan Januari 2005.

(Saya catatkan ini setelah ditanya oleh seorang peserta mengaji al-Quran berkenaan perkembangan Islam).

%d bloggers like this: