Perjalanan dari Terminal 2 LTAKK bertolak jam 2 petang menuju ke Clack International Airport, sekitar 2 jam dari Kotaraya Manila. Kami bertiga, dalam misi ke Cotabato di Wilayah Mindanao untuk menyampaikan bantuan. Sebenarnya berempat, seorang lagi dari Kuala Lumpur dengan penerbangan berasingan. Untuk ke Cotabato memerlukan penerbangan lain dan kami kena bermalam di Manila untuk meneruskan musafir keesokannya.

Ini kali kedua berkunjung ke negara Filipina, tanpa langsung saya menduga seorang sahabat mengajak saya ke negara ini. Pengalaman kali pertama pada akhir 2009 dengan perisa yang bermacam-macam, manis dan pahit, suka dan duka tetapi apabila kali ini lokasi sebenarnya ke Cotabato, yang belum pernah saya kunjungi maka saya mengangguk tanda setuju untuk turut serta.

Filipina adalah negara sekutu rapat Amerika bahkan Amerika pernah menakluk Manila daripada tangan Sepanyol semasa berlakunya Revolusi Filipina menentang Sepanyol. Jauh sebelum itu sebenarnya Islam pernah datang ke sini  dengan Manila pada zaman pra-Sepanyol adalah sebuah kesultanan Melayu Islam semasa zaman keagungan dan perkembangan empayar kesultanan Brunei. Nama MANILA sendiri datangnya dari kalimah Arab iaitu Fi amanillah yang bermaksud “Dalam Lindungan Allah”.

Walau bagaimanapun Islam tidak dapat berkembang pesat di Manila kerana ancaman Sepanyol yang ketika itu sedang melakukan usaha penyebaran agama Kristian. Daripada sembang kami dengan beberapa orang Islam yang ditemui di sini menyatakan bahawa umat Islam di Manila sekitar 1 juta berbanding sekitar 12 juta penduduk Manila. Filipina mempunyai sekitar 90 juta penduduk dan hanya 6-10% sahaja yang beragama Islam.

***

Tiba di Clark jam 4 petang dan kami bertolak ke Bandar Makati, Manila dan bermalam di sana. Lokasi penginapannya ialah Hotel Berjaya yang mempunyai pemandangan indah pada waktu malam dan siang. Sekitar 5 minit dari hotel, kami menjamu makan malam di sebuah restoran arab. Ya seperti pengalaman lalu, kota Manila memang banyak restoran seumpama ini dan kelihatannya juga ramai orang arab di sini.